Anda di halaman 1dari 6

Persepsi Pelajar Dan Guru Sekolah Menengah Terhadap Isu Pemakaian Pakaian Sukan Semasa Kelas Pendidikan Jasmani

Haslindah Nursan, Diyana Zulaika Abdul Ghani, Mohad Anizu Md Nor, Halijah Ibrahim, Zainal Abidin Zainuddin, Syahrul Ridhwan Morazuki Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia, 81310 UTM Johor Bahru, Malaysia

Abstrak Isu pelajar tidak memakai pakaian sukan dengan lengkap semasa kelas Pendidikan Jasmani dijalankan masih berlarutan sehingga kini. Sekalipun terdapat garis panduan yang ditetapkan oleh pihak sekolah mengenai isu ini, namun pemakaian pakaian sukan dalam kalangan pelajar semasa kelas Pendidikan Jasmani masih tidak berlaku seperti yang disarankan. Dengan itu, kajian ini dijalankan bagi mengkaji persepsi pelajar dan guru terhadap isu pakaian sukan semasa kelas Pendidikan Jasmani serta mengkaji punca dan kaedah mengatasi masalah tersebut. Kajian ini dijalankan secara soal selidik terhadap 374 orang pelajar dan 270 orang guru sekolah menengah di sekitar kawasan Johor Bahru Tengah, Johor. Berdasarkan dapatan kajian, respon pelajar dan guru menunjukkan bahawa faktor minat pelajar dalam melibatkan diri semasa Pendidikan Jasmani bukan penyumbang kepada punca kebanyakan pelajar tidak berpakaian sukan semasa kelas dijalankan. Namun, kira-kira 77.4% guru berpendapat sikap malas pelajar merupakan punca utama situasi ini berlaku. Sebaliknya, 78.3% pelajar berpendapat bahawa sikap malas bukan punca pelajar tidak berpakaian sukan seperti yang ditetapkan. Dapatan kajian juga mendapati bahawa di antara punca-punca lain yang menyumbang kepada pelajar tidak memakai pakaian sukan ketika Pendidikan Jasmani ialah kekangan masa, ketetapan dua waktu pengajaran bagi bagi Pendidikan Jasmani dan Kesihatan yang berasingan serta ketiadaan kemudahan bilik persalinan pakaian sukan. Bagi mengatasi masalah ini, majoriti pelajar dan guru berpendapat bahawa pihak sekolah perlu menyediakan bilik persalinan yang dilengkapi dengan rak persendirian bagi memudahkan pelajar menukar pakaian dan menyimpan barangan peribadi dengan selamat. Selain itu, kesan faktor kekangan masa Pendidikan Jasmani terhadap isu pemakaian pakaian sukan juga dapat dikurangkan jika pihak sekolah dibenarkan untuk menetapkan pelaksanaan kelas Pendidikan Jasmani dan Kesihatan secara dua waktu berturut-turut.

PENGENALAN Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK) merupakan salah satu matapelajaran wajib yang ditawarkan di setiap sekolah di Malaysia. Secara dasarnya, pelaksanaan PJK ini sejajar dengan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan di ia merangkumi beberapa komponen diri dan modal insan seperti jasmani, emosi, rohani dan intelektual. Umumnya, Pendidikan Jasmani (PJ) dijalankan di padang sekolah memandangkan pelaksanaannya melibatkan aktiviti-aktiviti fizikal manakala Pendidikan Kesihatan (PK) dilaksanakan di kelas. Menurut Vasudevan T. Arasoo (1998), Pendidikan Jasmani merupakan suatu penyampaian pendidikan daripada dan melalui kegiatan fizikal. Pendidikan Jasmani juga dikaitkan dengan program pendidikan yang menyeluruh menerusi pengalaman-pengalaman pergerakan (Oberteutter, 1970; Pangrazi dan Dauer, 1992) yang bermatlamat untuk mempengaruhi semua perkembangan fizikal termasuk perkembangan mental dan sosial (Jenny, 1961). Bagi Pendidikan Kesihatan pula, ia merupakan suatu proses mengembang dan membekalkan pengalaman-pengalaman pembelajaran yang terancang menerusi pemberian maklumat bagi mengubah sikap dan mempengaruhi tingkah laku (Anspaugh dan Ezell, 1995). Bagi Pendidikan Jasmani khususnya di Malaysia, pelaksanaannya jika dilihat dalam konteks menyeluruh masih lagi di tahap kurang memuaskan. Realitinya, terdapat sekolahsekolah yang menggantikan masa Pendidikan Jasmani dengan matapelajaran lain khususnya jika sesi persekolahan menghampiri fasa peperiksaan. Terdapat beberapa isu yang berkemungkinan menjadi faktor kepada situasi ini seperti jangkamasa pembelajaran Pendidikan Jasmani, sikap pelajar, kesan terhadap aktiviti pengajaran dan pembelajaran sebelum dan selepas Pendidikan Jasmani, prasarana atau kemudahan fizikal dan penekanan atau kecenderungan sesebuah sekolah terhadap aktiviti ko-kurikulum. Namun, pada pandangan penyelidik, kajian mengenai tahap pelaksanaan Pendidikan Jasmani ini masih terbatas. Selain faktor-faktor yang mungkin mempengaruhi pelaksaan Pendidikan Jasmani seperti yang telah dinyatakan, isu pemakaian pakaian sukan ketika kelas Pendidikan Jasmani juga perlu diambil perhatian. Ini kerana seringkali didapati pelajar-pelajar tidak memakai pakaian sukan lengkap atau bersesuaian semasa kelas Pendidikan Jasmani diadakan sekalipun garis panduan pakaian sukan telah ditetapkan oleh pihak sekolah. Memandangkan pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Jasmani menerapkan nilai-nilai disiplin dan sahsiah kepada pelajar, pemakaian pakaian sukan ketika beraktiviti juga menyumbang kepada pembentukan disiplin dan sahsiah pelajar tersebut. Dengan itu, kajian ini dijalankan bagi mengkaji persepsi pelajar dan guru terhadap isu pemakaian pakaian sukan dan mengkaji punca serta cadangan penyelesaian kepada isu ini.

RESPONDEN KAJIAN Seramai 374 orang pelajar tingkatan empat dan 270 orang guru sekolah menengah di sekitar daerah Johor Bahru (Tengah), Johor Darul Takzim. Daripada keseluruhan 374 orang pelajar, 43.9% (164 orang) pelajar adalah lelaki manakala selebihnya adalah pelajar perempuan (56.1; 210 orang). Berdasarkan bangsa responden, 43.1% (161 orang) adalah berbangsa Melayu, diikuti dengan responden berbangsa

Cina (34.5%;129 orang), India (21.0%; 79 orang) dan hanya 5 orang pelajar (1.4%) dikategorikan sebagai lain-lain bangsa. Bagi responden guru pula, 33.3% (90 orang) responden adalah lelaki manakala 66.7% (180 orang) adalah guru wanita. Majoriti responden adalah daripada bangsa Melayu iaitu seramai 219 orang (81.1%), diikuti dengan guru berbangsa Cina seramai 35 orang (13.0%) dan selebihnya adalah guru berbangsa India dan lain-lain masing-masing dengan 5.9% dan 1.2%. Selain itu, 89.0% responden adalah guru opsyen PJK manakala selebihnya adalah guru dari opsyen yang lain. METODOLOGI KAJIAN Kajian ini dijalankan secara soal selidik di mana dua set soal selidik dibina masingmasing bagi mengkaji persepsi pelajar dan guru terhadap isu pemakaian pakaian sukan ketika pembelajaran Pendidikan Jasmani. Terlebih dahulu, kajian yang dijalankan ini telah mendapat kelulusan daripada Bahagian Pembnagunan dan Penyelidikan Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia (BPPDP) dan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ). Bagi mendapatkan kebolehpercayaan soal selidik, kajian rintis telah dijalankan terhadap 30 orang pelajar tingkatan empat dan 30 orang guru sekolah menengah. Analisis nilai kebolehpercayaan soal selidik yang diperolehi bagi pelajar dan guru masing-masing adalah 0.74 dan 0.85.

DAPATAN KAJIAN Persepsi Pelajar Terhadap Isu Pemakaian Pakaian Sukan Semasa Pendidikan Jasmani Berdasarkan sikap pelajar, dapatan kajian mendapati bahawa 78.3% responden berpendapat bahawa sikap malas bukan punca pelajar tidak menukar pakaian seragam sekolah kepada pakaian sukan semasa Pendidikan Jasmani. Malah, 49.0% responden menyatakan ia bukan disebabkan pengaruh rakan kelas. Selain itu, hanya 27.8% pelajar menyatakan bahawa mereka tidak mahu membawa pakaian ke sekolah untuk kelas Pendidikan Jasmani. Bagi persepsi sama ada membawa pakaian sukan ke sekolah adalah suatu bebanan, 47.3% responden menyatakan tidak bersetuju, manakala 25.7% dan 27% menyatakan kurang setuju dan setuju. Tambahan lagi, majoriti responden (64.7%) juga bersetuju bahawa memakai pakaian sukan semasa Pendidikan Jasmani adalah satu kewajipan. Berkenaan dengan tanggungjawab guru dalam memastikan pelajar memakai pakaian sukan ketika Pendidikan Jasmani, 66.8% responden tidak bersetuju bahawa guru tidak menggalakkan pelajar untuk memakai pakaian sukan. Kira-kira 65.2% responden turut tidak bersetuju bahawa guru tidak menegur pelajar sekiranya tidak memakai pakaian sukan. Bagi item yang berkaitan dendaan terhadap pelajar yang tidak membawa pakaian sukan, 39.5% responden bersetuju pelajar patut didenda manakala 19.3% kurang setuju dan 41.2% tidak bersetuju. Bagi mengatasi dan/atau meningkatkan bilangan pelajar yang memakai pakaian sukan semasa Pendidikan Jasmani, 76.2% responden berpendapat pelajar patut dibenarkan hadir ke sekolah dengan berpakaian sukan pada pembelajaran yang melibatkan Pendidikan Jasmani. Majoriti responden (64.1%) juga berpendapat mereka tidak perlu menukar pakaian sukan

kepada pakaian seragam sekolah selepas sesi Pendidikan Jasmani tamat. Di samping itu, 89.5% responden bersetuju bahawa pihak sekolah perlu menyediakan bilik persalinan untuk memudahkan pelajar menukar pakaian sukan. Tambahan lagi, majoriti responden (87.4%) menyatakan bahawa bilik persalinan tersebut perlu dilengkapi dengan rak penyimpanan barangan peribadi. Selain itu, 88.0% responden turut bersetuju bahawa penyediaan bilik persalinan dan rak penyimpanan barangan peribadi ini meyakinkan pelajar bahawa pakaian dan barangan peribadi mereka tersimpan secara teratur dan selamat. Persepsi Guru Terhadap Isu Pemakaian Pakaian Sukan Semasa Pendidikan Jasmani Dapatan kajian mendapati bahawa 67.0% guru berpendapat bahawa majoriti pelajar tidak mahu memakai pakaian sukan semasa Pendidikan Jasmani. Berdasarkan maklumbalas daripada guru, sikap malas dipercayai merupakan salah satu punca mengapa pelajar tidak memakai pakaian sukan (77.4%). Selain itu, 60.7% responden menyatakan bahawa pelajar tidak membawa pakaian sukan kerana dipengaruhi oleh rakan kelas. Kira-kira 72.2% responden turut bersetuju bahawa pelajar mengikut rakan lain sekiranya tidak mahu memakai pakaian sukan. Selain itu, 32.9% responden bersetuju bahawa pakaian sukan yang perlu dibawa oleh pelajar adalah membebankan, manakala 46.0% kurang setuju dan 21.1% tidak bersetuju. Tambahan lagi, 80.4% responden menyatakan bahawa pelajar sering memberi alasan tidak munasabah jika tidak membawa pakaian sukan. Dari aspek tangungjawab guru dalam memastikan pelajar memakai pakaian sukan semasa Pendidikan Jasmani, 94.5% responden menyatakan bahawa pelajar sering digalakkan untuk memakai pakaian sukan manakala 88.9% responden menyatakan pelajar diwajibkan untuk memakai pakaian sukan. Kira-kira 42.0% responden tidak bersetuju bahawa guru tidak mementingkan pemakaian pakaian sukan, 37.0% kurang bersetuju dan 21.0% bersetuju. Selain itu, majoriti responden (66.6%) juga menyatakan bahawa guru mengambil tindakan tatatertib atau mendenda pelajar yang tidak memakai pakaian sukan. Dapatan kajian juga mendapati bahawa 75.6% responden bersetuju bahawa pertukaran pakaian sebelum dan selepas sesi Pendidikan Jasmani banyak merugikan masa pembelajaran. Sehubungan itu, 67.1% responden bersetuju bahawa pelajar patut dibenarkan hadir ke sekolah dengan pakaian sukan pada hari pembelajaran yang melibatkan Pendidikan Jasmani. Namun, majoriti responden (69.7%) juga bersetuju pelajar perlu menukar pakaian sukan kepada pakaian seragam sekolah selepas kelas Pendidikan Jasmani. Bagi mengatasi masalah pelajar tidak memakai pakaian sukan semasa Pendidikan Jasmani, 99.4% responden berpendapat pihak sekolah perlu menyediakan kemudahan bilik persalinan bagi memudahkan pelajar menukar pakaian. Responden turut bersetuju bahawa bilik persalinan tersebut perlu dilengkapi dengan kemudahan rak bagi menyimpan barangan persendirian pelajar. Kira-kira 97.4% responden bersetuju bahawa penyediaan bilik persalinan dan kemudahan rak simpanan barangan persendirian dapat mengurangkan risiko kehilangan barangan peribadi pelajar. Berdasarkan maklumbalas soalan terbuka, sebilangan guru menyatakan bahawa pelajar tidak menukar pakaian sukan kerana kekangan masa pengajaran Pendidikan Jasmani. Terdapat sebilangan guru juga menyatakan bahawa pelajar kurang berminat menyertai kelas Pendidikan Jasmani kerana matapelajaran ini bukan merupakan matapelajaran yang perlu diduduki pada peperiksaan utama.

PERBINCANGAN Berdasarkan dapatan kajian, sikap malas pelajar dan pengaruh rakan kelas bukan antara faktor utama mengapa pelajar tidak memakai pakaian sukan semasa Pendidikan Jasmani kerana perseprsi pelajar dan guru berkenaan kedua-dua perkara tersebut adalah saling bertentangan. Kajian juga mendapati bahawa keperluan pelajar membawa pakaian sukan ke sekolah adalah tidak membebankan memandangkan majoriti pelajar berpendapat sedemikian dan pelajar menyedari bahawa pemakaian pakaian sukan merupakan satu kewajipan ketika Pendidikan Jasmani. Selain itu, kajian mendapati majoriti guru sentiasa berusaha memastikan pelajar memakai pakaian sukan semasa Pendidikan Jasmani dijalankan. Langkah-langkah seperti teguran serta tindakan tatatertib turut diambil terhadap pelajar yang tidak membawa pakaian sukan. Bagi mengatasi dan/atau menggalakkan pelajar memakai pakaian sukan semasa Pendidikan Jasmani, pelajar dan guru bersependapat bahawa pelajar patut dibenarkan hadir ke sekolah dengan pakaian sukan pada hari pembelajaran yang melibatkan Pendidikan Jasmani. Namun, majoriti responden guru tidak bersetuju jika pelajar tidak perlu menukar pakaian sukan kepada pakaian seragam sekolah selepas sesi Pendidikan Jasmani tamat sekalipun kira-kira 75% guru bersetuju bahawa pertukaran pakaian sebelum dan selepas sesi Pendidikan Jasmani banyak merugikan masa pembelajaran. Di samping itu, majoriti responden dari pelajar dan guru menyatakan bahawa pihak sekolah perlu menyediakan bilik persalinan yang dilengkapi dengan rak untuk menyimpan barangan persendirian. Penyediaan kemudahan ini sekaligus boleh memanfaatkan pelajar khususnya menjamin keselamatan barangan peribadi pelajar termasuk pakaian seragam sekolah ketika kelas Pendidikan Jasmani dijalankan. Kekangan masa juga merupakan salah satu faktor yang menyumbang kepada masalah pemakaian pakaian sukan. Dalam seminggu, waktu pembelajaran yang diperuntukkan bagi matapelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan adalah 2 masa. Bagi sekolah yang menetapkan jadual pembelajaran bagi Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan secara berasingan masa, ketetapan ini secara tidak langsung menyebabkan pelajar hanya dapat terlibat dalam aktiviti fizikal untuk satu masa sahaja seminggu. Umumnya, satu masa pembelajaran biasanya adalah di antara 35 minit hingga 40 minit. Sekalipun pada pengetahuan penyelidik tiada kajian tentang jumlah masa pergerakan pelajar dari kelas ke padang untuk Pendidikan Jasmani dan sebaliknya dijalankan, secara realitinya, pergerakan pelajar dari kelas ke padang termasuk dengan penukaran pakaian sukan adalah kira-kira 10 minit. Jika kelas Pendidikan Jasmani perlu ditamatkan 10 minit lebih awal bagi memberi masa kepada pelajar untuk menukar pakaian dan kembali ke kelas, maka jangkamasa pelaksanaan Pendidikan Jasmani adalah di antara 15 minit hingga 20 minit sahaja. Maka, penyelidik berpendapat adalah wajar pihak sekolah menetapkan matapelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan dijalankan secara dua masa berturut-turut bagi memberi masa yang memadai bagi pergerakan pelajar dan penukaran pakaian sukan.

RUJUKAN Anspaugh, D.J. dan Ezell, G. (1995). Teaching todays health. 4 th ed. Massachusetts: Allyn & Bacon Jenny (1961). Dalam Wee Eng Hoe (2009). Pendidikan jasmani dan pendidikan kesihatan . Edisi kedua. Shah Alam. Karisma Publications Sdn. Bhd. Oberteutter, D. (1970). Physical education, a textbook of principles for professional students . 4th ed. New York: Harper & Row. Pangrazi, R.P. dan Dauer, V.P. (1992). Dynamic physical education for elementary school children. 10th ed. N.Y: Macmillan. Vasudevan T. Arasoo (1988). Asas pendidikan jasmani: peringkat menengah dan tinggi. Cetakan ketiga. Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Anda mungkin juga menyukai