Anda di halaman 1dari 8

ESEI 1 Penduduk di Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum.

Perbezaan dari aspek budaya, adat resam, struktur masyarakat, kelas sosial, kepercayaan, bahasa dan juga jantina mewujudkan kepelbagaian sosiobudaya di negara kita. Namun, dengan adanya pemahaman tentang budaya lain, masyarakat dapat menyemai dan mengamalkan perasaan hormat, toleransi dan bekerjasama antara satu kaum dengan kaum yang lain. Menurut Noriati A.Rashid et al ( 2011), dalam menjelaskan konsep kepelbagaian sosiobudaya, ketidakfahaman tentang identiti bangsa akan menimbulkan sikap prejudis, streotaip dan etnosentrik yang akhirnya akan menimbulkan diskriminasi sosial. Oleh itu, dengan adanya interaksi sosial tanpa perasaan negatif, pemahaman terhadap identiti sesuatu kelompok dapat dibentuk.

Di samping itu juga, perbezaan dalam adat resam dan kepercayaan yang diamalkan oleh sesebuah kaum akan mewujudkan variasi yang pelbagai. Kesedaran kepelbagaian sosiobudaya ini sedikit sebanyak memberi keunikan terhadap budaya tersebut. Pada masa yang sama, kepelbagaian sosiobudaya dalam sistem masyarakat majmuk di negara kita ini akan memberikan kesan langsung kepada perkembangan sistem pendidikan secara umumnya dan kepada suasana pembelajaran secara khasnya. Dalam konteks pendidikan di Malaysia, kepelbagaian sosiobudaya secara tidak lansung memberi impak yang besar kepada murid, guru, sekolah dan kurikulum tersirat.

Perbezaan latar belakang murid menghasilkan latar belakang budaya dan pembawakan yang berbeza. Ini kerana, murid terdiri daripada pelbagai latar belakang kaum dan etnik, bahasa dan loghat, struktur dan kelas sosial, agama dan kepercayaan, adat resam dan adab serta gender di samping persekitaran tempat tinggal yang pelbagai. Murid yang tinggal dan belajar dalam lingkungan satu etnik biasanya akan mengamalkan budaya, cara fikir dan pandangan dunia yang sama serta kurang mendapat pendedahan akan budaya kaum lain. Keadaan ini

seterusnya berkemungkinan akan menyukarkan murid tersebut untuk menyesuaikan diri dengan kelompok yang berbeza kelak. Penyelidik-penyelidik di Britain sudah mendapati kanak-kanak yang menghadiri sekolah di mana para pelajar terdiri daripada kanak-kanak yang terutamanya dari satu kaum sahaja, lebih mungkin bertembung dengan masalah berkawan dengan dan memahami orang daripada keturunan dan kaum yang lain. Manakala, berbeza pula dengan murid yang belajar di sekolah dan persekitaran yang disertai oleh pelbagai kaum dan etnik akan terdedah kepada amalan, adat resam, pandangan kaum etnik yang berbeza. Menyedari akan hal ini, murid seharusnya dididik untuk sentiasa menghormati budaya yang diamalkan oleh kaum lain dan menerima rakan yang berlainan budaya secara terbuka agar tidak mencetuskan perbalahan antara kaum.

Implikasi seterusnya terhadap murid ialah dari aspek kelas sosial. Kelas sosial ini dapat dibahagikan kepada rendah, sederhana dan juga tinggi. Kelas sosial bergantung kepada taraf pendidikan dan juga taraf ekonomi keluarga. Murid yang berstatus kelas sosial tinggi dan sederhana sudah semestinya akan mempunyai peluang untuk mendapat pembelajaran sehingga peringkat yang lebih tinggi. Mereka juga mampu untuk mengikuti kelas-kelas tuisyen serta membeli keperluan buku dan bahan rujukan yang mencukupi. Jika ingin dibandingkan dengan murid yang berkelas sosial rendah, mereka tidak berpeluang untuk mendapat kemudahan tersebut. Contohnya, murid yang datangnya daripada golongan sosioekonomi rendah, tidak berpeluang untuk menghadiri kelas bimbingan berbayar dan hanya mendapat pendidikan di sekolah sahaja. Walaubagaimanapun, keadaan akan menjadi semakin mendukacitakan sekiranya ibubapa mereka juga tidak mampu untuk menanggung yuran persekolahan tersebut.

Selain itu, dari segi petempatan pula, situasi yang sama berlaku kepada murid yang tinggal luar bandar dan pedalaman. Kesedaran tentang pendidikan dalam kalangan murid luar bandar masih lagi kurang jika dibandingkan murid yang berada

di bandar dan pinggir bandar. Ini berkemungkinan besar didorong oleh faktor aspirasi ibu bapa, jenis pekerjaan dan juga pandangan terhadap pendidikan. Sebagai contoh, ibu bapa yang bekerjaya sudah semestinya akan mengimpikan anak-anak mengikuti jejak langkah mereka. Keadaan ini secara tidak lansung akan memberi pendedahan kepada murid untuk bersaing bagi mencapai matlamat mereka. Jika dibandingkan dengan murid yang berada diluar bandar, pengetahuan ibu bapa tentang pendidikan adakalanya agak terbatas. Tambahan pula, murid juga kurang didedahkan dengan pembelajaran berasaskan teknologi maklumat dan bahan pengajaran dan pembelajaran biasanya kurang mencukupi. Kesannya, hasil pembelajaran yang diterima tidaklah banyak dan sehebat murid di kawasan bandar.

Seterusnya

ialah

implikasi

kepelbagaian

sosiobudaya

kepada

guru.

Penerimaaan dan layanan yang adil bagi semua murid sememangnya perlu diamalkan oleh setiap guru. Guru seharusnya mengelakkan melayani murid sebagai satu kelompok individu, kelompok kelas sosial atau kelopok mengikut kaum etnik. Guru juga tidak boleh sewenangnya membuat generalisasi dan pelabelan menggunakan latar belakang murid. Sebagai contoh, guru menganggap semua murid 5 Alfa mempunyai pengetahuan sedia ada yang sama bagi topik pengukuran.kerana semasa berada di Tahun Empat mereka telah mempelajari topik berkenaan. Anggapan ini pada dasarnya tidak boleh diterima pakai memandangkan tidak semua murid mempunyai daya tahap ingatan yang sama. Berkemungkinan ada sesetengah murid yang masih tidak dapat menguasai topik tersebut semasa berada di Tahun Empat. Generalisasi yang dibuat ini seterusnya akan memberi kesan terhadap tahap pencapaian murid.

Kajian Sharifah dan rakan-rakan ( 1995 ) yang meneliti buku rekod disiplin enam buah sekolah di Wilayah Persekutuan mendapati bahawa pelbagai salah laku antara tahun 1990 hingga Jun 1994 ialah salah laku mengancam, memukul dan mencederakan pelajar (522 kes), berjudi (165 kes), mencuri (135 kes) , merosakkan

harta benda sekolah (63kes), menggunakan kata-kata dan perbuatan lucah(49 kes), peras ugut (42 kes) dan sebagainya. Maka timbulnya persoalan mengapakah sekolah berjaya mendidik sesetengah golongan pelajar tetapi tidak berjaya mendidik pelajar yang lain. Keadaan ini berlaku kerana yang lemah dari segi pencapaian akademiknya berada di Tingkatan 4 terpinggir dan dilabelkan pelajar yang berisiko. Hakikat ini harus diterima oleh pihak sekolah sebagai impak daripada perlabelan kepada murid.

Dalam pada itu, guru juga perlu merancang strategi pengajaran dan pembelajaran yang sesuai di dalam bilik darjah. Ini kerana, pembelajaran yang berkesan bagi sekumplan murid tidak semestinya turut berkesan bagi sesetengah murid yang lain. Seharusnya, guru perlu mengamalkan budaya pengajaran mengikut kemampuan murid. Sebagai contoh pembelajaran koperatif. Melalui pelaksanaan strategi pengajaran tersebut, murid secara tidak lansung dapat berinteraksi dan bersama-sama berganding bahu bagi mencapai objektif kumpulan yang sama. Dengan ini, mereka akan lebih bertanggungjawab dalam memastikan setiap ahli kumpulan dapat memahami sesuatu topik yang telah dibincangkan. Tambahan pula, murid juga boleh berkongsi idea dan pengetahuan yang berbeza. Secara tidak lansung, ia dapat mendidik murid untuk lebih terbuka dalam menerima pandangan dan pendapat orang lain.

Di samping itu juga, perbezaan kelas sosial yang wujud perlu ditangani supaya tidak ada murid yang berasa mereka dipinggirkan oleh guru dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Keadaan ini menjamin semua murid akan berpeluang mengambil bahagian dalam setiap aktiviti yang dijalankan oleh guru dalam kelas. Kebijaksanaan guru mengendalikan kelas sosial akan mewujudkan pergaulan bebas dan tidak berkelompok dalam sesuatu masyarakat. Keadaan ini secara tidak lansung dapat menghakis sikap prejudis guru dalam menangani kepelbagaian sosiobudaya murid, khususnya ketika mengendalikan aktiviti dalam pengajaran dan pembelajaran. Kesedaran tentang kepelbagaian budaya yang

dibawa oleh pelajar juga dapat membantu guru menyediakan persekitaran pembelajaran yang baik dan berkesan. Guru harus berusaha untuk menolong murid memahami dan membentuk nilai, sikap serta tingkah laku yang sesuai. Guru perlu melayan keperluan murid ke arah memperkembang potensi mereka secara optimum. Guru juga mesti menolong murid membentuk konsep kendiri positif supaya mereka dapat mengikuti pembelajaran dengan perasaan yang seronok.

Selain itu, guru juga perlu bijak dalam membuat pemilihan bahan sumber di dalam bilik darjah. Penggunaan bahan sumber perlulah sesuai dengan pengetahuan dan budaya murid-murid. Motivasi murid bertambah meningkat dan pembelajaran seterusnya akan berkesan sekiranya guru menggunakan contoh yang berkaitan dengan pengalaman murid. Sebagai contoh, dalam pengajaran subjek Kajian Tempatan di sekolah rendah, sekiranya di dalam kelas tersebut terdiri daripada murid dominan iaitu Melayu, dan juga etnik minoriti Cina dan India, guru tidak seharusnya memperlekehkan pendapat dan pandangan suara minoriti tersebut. Guru juga seharusnya berhati-hati dalam menggunakan istilah agar tidak menyentuh sebarang unsur-unsur sensitiviti mana-mana kaum. Dengan ini, ia bukan sahaja dapat membentuk nilai kerjasama di dalam kelas malahan dapat mengelakkan streotaip negatif dalam kalangan mereka.

Selain itu, kepelbagaian sosiobudaya juga memberi impak kepada sekolah.. Pada peringkat rendah terdapat Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT). Pada peringkat Menengah pula, terdapat Sekolah Berasrama Penuh, Sekolah Menengah Teknik, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama, Sekolah Model Khas dan Sekolah Menengah Kebangsaan Harian. Komposisi kaum dan etnik warga sekolah menggambarkan kepelbagaian sosiobudaya dalam masyarakat. Ini kerana, budaya mikro yang menjadi amalan keluarga dan kaum etnik akan akan dibawa masuk ke sekolah dan mempengaruhi sosiobudaya sekolah. Sebagai contoh, murid yang bersekolah di

SJKC dikatakan mempunyai prestasi yang lebih cemerlang berbanding murid yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan. Apa yang dapat disimpulkan di sini ialah jenis sekolah yang mempunyai fokus yang berbeza akan mengamalkan budaya yang berbeza dan seterusnya mewujudkan sosiobudaya yang tersendiri.

Di samping itu, lokaliti sekolah juga memberi kesan terhadap sosiobudaya. Sekolah yang terletak di kawasan luar bandar ataupun pedalaman, majoritinya terdiri daripada kaum ernik dan budaya yang sama. Dengan ini, mereka lebih dipengaruhi oleh aspek sosiobudaya setempat yang terbatas. Sebagai contoh, kita kerap kali diwar-warkan bahawa sekolah luar bandar sering menghadapi masalah kekurangan guru, kekurangan murid dan juga kemudahan yang disediakan tidak mencukupi. Kesannya pencapaian murid menjadi rendah. Keadaan ini berbeza dengan murid yang bersekolah di kawasan bandar. Kepelbagaian sosiobudaya bukan sahaja memberi kemudahan malah pada masa yang sama telah mewujudkan sekolah yang terdiri daripada pelbagai bangsa. Ini kerana, Kementerian Pelajaran telah berusaha untuk mengatasi masalah kepelbagaian budaya ini melalui aktiviti yang dijalankan di sekolah. Program Integrasi untuk Perpaduan (RIMUP) adalah salah satu daripada usaha Kementerian Pelajaran untuk memupuk perpaduan dalam kalangan murid tanpa mengira kaum.

Seterusnya ialah implikasi kepelbagaian sosiobudaya terhadap kurikulum tersirat. Kurikulum terancang dapat dibahagikan kepada dua aspek iaitu kurikulum formal dan juga kurikulum pengajaran. Kurikulum formal ialah kurikulum yang didokumentasikan pada setiap peringkat persekolahan, contohnya KSSR dan KBSR. Manakala kurikulum pangajaran ialah proses pelaksanaan kurikulum formal di dalam bilik darjah (Noriati A.Rashid, Boon Poon Ying et al, (2011). Melihat kepada kepelbagaian sosiobudaya yang terdapat di negara Malaysia, kurikulum tersirat begitu penting dalam melaksanakan peranannya dalam membentuk bangsa yang bersatu dan saling menerima perbezaan budaya antara kaum. Ciri-ciri

kurikulum tersirat yang menyeluruh telah membantu para guru untuk merancang aktiviti yang pelbagai yang mana mengambil kira aspek kepercayaan, bahasa, bangsa, kelas sosial dan adat resam murid-murid berkenaan. Antara ciri-ciri kurikulum tersebut ialah merangkumi semua pengalaman pembelajaran yang diperolehi oleh pelajar di mana mereka belajar secara tidak langsung misalnya daya intelek guru, tingkahlaku dan akhlak guru.

Selain itu, kurikulum tersirat juga merangkumi nilai-nilai yang dibentuk bersama oleh pelaksana kurikulum itu sendiri iaitu antara pelajar dan guru, jenis atau pengkategoriannya adalah berbeza-beza mengikut jenis institusi, tahap pembelajaran dan juga matlamat kurikulum itu sendiri dan ia boleh menjadi objektif pembelajaran tetapi hasilan pembelajarannya adalah bersifat relatif dan agak sukar diukur secara kuantitatif. Walaupun kadangkala kurikulum tersirat terdapat sarna ada pada matlamat atau objektif satu-satu kurikulum itu tetapi ianya tidak tertulis dalam kandungan kurikulum berkenaan mahu pun dalam penilaian. Kewujudannya adalah berbeza-beza bergantung kepada lokasi, persekitaran dan latar belakang pelaksana kurikulum.

Melalui kurikulum tersirat, Kementerian berusaha membentuk bangsa yang bersatu dan saling menerima perbezaan budaya antara kaum. Pihak sekolah berusaha mengaplikasikan penerapan nilai budaya masyarakat dengan melaksanakan aktiviti sampingan khususnya aktiviti Kokurikulum, kurikulum tersirat diaplikasikan melalui aktiviti berpersatuan, kegiatan panitia dan aktiviti Kokurikulum. Sebagai contoh, dengan mengadakan pertandingan permainan tradisional ataupun karnival permainan tradisional juga boleh menyatukan murid pelbagai kaum. Dengan cara ini murid-murid dapat mengenali permainan tradisional kaum masingmasing dan secara tidak langsung hubungan antara kaum dapat dieratkan.

Di samping itu, kurikulum tersirat juga harus menggalakkan interaksi dalam kelas sosial. Aktiviti yang dijalankan mestilah melibatkan interaksi antara kelas sosial murid dan tidak perlu ada bias atau sikap prejudis terhadap mana-mana kelompok sesuatu budaya. Penerapan terhadap nilai-nilai murni juga boleh dilaksanakan melalui pembentukan kurikulum. Dalam masa yang sama, pelaksanaan aktiviti bahasa dalam kurikulum tersirat juga perlu dirancang dengan teliti agar ianya dapat mewujudkan pengajaran yang berkesan. Oleh yang demikian, jelas dilihat bahawa kurikulum tersirat memang begitu penting dalam menghasilkan suasana pembelajaran yang mengambil kira pelbagai aspek kepelbagaian sosiobudaya dan ini secara tidak langsung memberikan implikasi kepada murid tanpa mengira kaum.

Kesimpulannya, kepelbagaian sosiobudaya banyak memberi impak terhadap sistem pendidikan di Malaysia sama ada kepada murid, guru, sekolah dan juga kurikulum tersirat. Kesedaran terhadap kepelbagaian sosiobudaya sangat penting supaya berlakunya kesaksamaan dalam peluang pendidikan. Jelasnya, apa yang dapat dilihat ialah kepelbagaian sosiobudaya ini memberi pendedahan kepada murid pelbagai kaum untuk lebih bertolak ansur dan memahami antara satu lain untuk membentuk komuniti yang lebih besar dan sentiasa bersatu padu. Maka wajarlah jika semua pihak mengambil cakna terhadap implikasi bagi kepelbagaian sosiobudaya ini.

Anda mungkin juga menyukai