Anda di halaman 1dari 3

Sejambak kasih, sekalung budi saya nobatkan kepada Tuan Pengerusi Majlis, Barisan panel hakim penjunjung kesaksamaan,

penjaga masa yang komited dengan masanya, rakan pemidato yang berpaksikan kejayaan dan seterusnya sidang intelektual sekalian.Assalamualaikum dan salam sejahtera. Meredah belukar memasang jerat, Pulangnya lewat di hujung petang, Jikalau kita berjimat cermat, Rezeki secupak terasa segantang...

Arena hari ini , saya akan menyampaikan sebuah pidato yang bertajuk 'Berjimat Cermat Amalan Mulia'. Terlebih dahulu, izinkan saya merungkaikan pengertian tajuk pidato saya agar kita dapat memahami sepenuhnya pidato yang akan saya utarakan . Mengikut Kamus Dewan Edisi Empat, Berjimat-cermat ditakrifkan sebagai berhemat, berhati-hati dalam perbelanjaan wang atau penggunaan sesuatu.Manakala amalan mulia merupakan nilai-nilai murni dalam amalan kita.Justeru, saya simpulkan tajuk pidato saya bahawa berjimat cermat merupakan satu amalan mulia yang menjadi tunjang ke arah pembentukan sahsiah diri, Di sini, utuhnya saya berdiri saya akan menghuraikan secara terperinci aspek-aspek amalan berjimat cermat yang dapat kita jadikan sebagai sandaran amalan mulia dalam kehidupan kita seharian.

Hadirin yang dihormati, Fokus yang pertama, berjimat cermat dalam aspek kewangan. Pada zaman modenisasi ini, kehidupan seharian menjadi semakin maju dan memerlukan penggunaan kos hidup yang tinggi.Kita bukan sahaja perlu bersedia secara mental dan fizikal malah aspek kewangan juga tidak boleh dipinggirkan. Amalan menabung merupakan salah satu cara kita berjimat-cermat untuk kepentingan

masa hadapan. .Sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit dansehari selembar benang lama-lama menjadi kain Baru-baru ini,bantuan yang kita perolehi dalam Bantuan Rakyat 1 Malaysia( BR1M) daripada pihak kerajaan hendaklah kita manfaatkan sepenuhnya serta berjimat-cermat dalam penggunaannya dalam menghadapi kelangsungan hidup masa kini.

Hadirin yang dihormati, Fokus yang kedua, berjimat cermat dalam aspek penggunaan material ataupun kebendaan. Selain wang, kita juga berhadapan dengan cabaran penggunaan elektrik dan air dengan lebih berhemah .Mana mungkin kita mampu membayar bil-bil air dan elektrik setiap bulan sekiranya ianya melebihi 20% daripada pendapatan kita. Oleh itu, kita seharusnya bersederhana dalam menggunakan kemudahan yang ada disekeliling kita. Pihak kerajaan juga komited dengan meneruskan insentif rebat bagi bil elektrik di bawah RM20 sebagai batu loncatan kepada isi rumah untuk berjimat cermat dalam penggunaan tenaga elektrik. Tutup dan keluarkan plag peralatan elektrik apabila tidak digunakan kerana ianya akan menggunakan hampir 20% tenaga apabila dalam mod rehat dan tidak dimatikan. Manakala ibu-ibu di rumah di galakkkan menjimatkan air dengan mencuci sayur-sayuran, buah-buahan atau makanan di dalam sinki yang berisi air dan elakkan air mengalir kerana ianya menambahkan bil air pada hujung bulan. Di situlah jelas dengan berjimat cermat dapat membentuk peribadi mulia bagi setiap isi rumah.

Hadirin yang dihormati, Fokus yang ketiga, berjimat cermat dalam aspek pengurusan masa. Tokoh-tokoh negara selalu melaungkan kata-kata hikmah Masa itu emas; Al waktu huazzahab; The time is. gold; Wong kim se tai. Jelas di sini menunjukkan kepentingan masa dalam kehidupan seharian. Walaupun hidup seribu tahun, Kalau tak sembahyang tiada gunanya. Lirik lagu ini mengambarkan betapa ruginya kita yang mengabaikan masa yang diberikan. Oleh itu, kita perlulah bijak menguruskan masa dengan aktiviti yang bermanfaat kerana siapa tahu ajal maut di tangan tuhan. Terdapat tujuh hari dalam satu minggu, dan empat minggu dalam satu bulan, terdapat 12 bulan dalam satu tahun, dan terdapat 360 tahun dalam satu abad. Kita dianugerahkan dalam satu jam terdapat 60 minit, dan 1 minit terdapat 3600 detik. Oleh itu, sama-samalah kita menguruskan masa dengan cermat kerana ianya sebahagian daripada amalan mulia.

Konklusinya di sini, marilah kita sama-sama melakukan anjakan mentaliti ke arah kesepaduan dan kesederhanaan dengan berjimat cermat menguruskan sumber yang ada disekeliling kita. Ini penting, disamping memupuk nilai mulia dalam diri , kita juga dapat memelihara kelangsungan alam yang menjadi nadi kehidupan kita hingga ke hari ini.Sekian wabillahi taufik wal hidayah assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Anda mungkin juga menyukai