Anda di halaman 1dari 3

Sang Gagak Dengan Kendi

Tibalah pada suatu musim yang sangat kering, di mana semua haiwan sukar untuk mendapatkan air sebagai minuman. Seekor burung gagak terjumpa sebuah kendi yang berisi sedikit air. Kendi tersebut bermulut kecil dan tinggi. Burung gagak tidak dapat mencapai air tersebut. Dia berfikir mahu membaringkan kendi itu tetapi burung gagak khuatir air yang hanya tinggal sedikit akan tumpah. Burung gagak tetap berusaha dan berfikir. Tiba-tiba sebiji buah yang kecil terjatuh dari pokok di atas kendi itu terus masuk ke dalam kendi. Sang gagak mendapati air di dalam kendi itu semakin menaik. Sang gagak mendapat satu akal. Dia lalu mengambil batu-batu kecil berdekatan kendi, dan menjatuhkannya ke dalam kendi satu persatu. Setiap kali burung gagak itu memasukkan batu-batu kecil ke dalam kendi, permukaan air dalam kendipun beransur-ansur naik dan bertambah tinggi hingga akhirnya air tersebut dapat diminum oleh sang gagak. Pengajaran yang boleh kita dapati dalam cerita ini ialah kita perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan.

Kura-kura Dengan Monyet


Pada zaman dahulu, bersahabatlah seekor kura-kura dengan seekor monyet. Kura-kura suka bercucuk tanam sedang kawannya pula asyik merayau dari pokok ke pokok kerana mencari makanan. Setelah lama menunggu, buah pisang tanaman kura-kura masak dan berusahalah kurakura untuk memetiknya tetapi gagal. Lalu ia meminta tolong pada monyet. Apalagi, kesukaan sangatlah monyet mendapat makanan kegemarannya sehingga tidak menghiraukan kura-kura yang asyik menungggu di bawah pokok bersama kulit-kulit pisang yang dibuang oleh monyet. Hilang sabar menyebabkan kura-kura menanam-menanam duri-duri di bawah pokok pisang untuk mengajar kawannya yang mementingkan diri itu. Sebaik melompat turun dengan kekenyangan, kaki monyet tertusuk duri tajam dan mengaduh kesakitanlah ia. Dihempaskan kura-kura ke atas tanah, namun kura-kura tidak merasa sakit. Apabila kura-kura memberitahu bahawa dia hanya boleh mati kerana air, maka monyet pun memikul kura-kura ke tepi sungai lalu dicampakkan kura-kura ke dalam air. Hatinya begitu puas melihat badan kura-kura tenggelam. Beberapa ketika kemudian, kura-kura timbul semula di hadapannya lalu mengucapkan terima kasih kerana dihantar ke tempat kegemarannya, iaitu air. Pengajaran yang boleh kita dapati dalam cerita ini ialah setiap kejahatan yang kita lakukan pastinya akan mendapat balasan.

Sang Merak dengan Sang Gagak


Alkisah satu masa dahulu di dalam sebuah rimba yang permai terdapat dua ekor burung yang bersahabat baik iaitu Sang Gagak dan Sang Merak. Pada masa itu Sang Gagak dan Sang Merak tidak mempunyai warna pada bulu mereka apatah lagi corak yang menarik Disebutkan dalam kisah mereka, pada suatu hari sedang mereka bersiar-siar di rimba itu, mereka terjumpa dengan beberapa tong cat yang bermacam-macam warna. Lantas timbullah idea dalam diri Sang Gagak untuk menggunakan cat tersebut untuk mewarnakan dirinya yang tidak berwarna berserta sahabat baiknya. Hal tersebut dipersetujui oleh Sang Merak yang juga mahukan warna pada badannya. Dia mengemukakan cadangan untuk Sang Gagak melukis di badannya dulu sebelum dia pula mewarnakan badan Sang Gagak. Sang Gagak yang dikenali sebagai seekor binatang yang kreatif dan berbakat mula melukis corak dan mewarnakan badan sang Merak. Hasilnya Sang Merak kelihatan cantik dengan warna barunya. Sesudah itu tibalah giliran Sang Merak untuk mewarnakan badan Sang Gagak. Tetapi Sang Merak pula dikenali sebagai binatang yang tidak mempunyai bakat dan amat pemalas. Tanpa mahu memikir panjang, Sang Merak terus mengambil cat hitam dan dicampakkannya ke arah badan Sang Gagak. Hasilnya tubuh Sang Gagak berwarna hitam legam keseluruhannya. Sang Merak yang kaget dengan kejadian itu terus melarikan diri. Setelah beberapa ketika Sang Gagak sudah tidak sabar untuk melihat dirinya yang baru. Dia berjalan cepatcepat ke arah sungai berdekatan dan melihat dirinya pada riak air sungai tersebut. Alangkah terkejutnya sang Gagak apabila melihat dirinya yang berwarna hitam keseluruhannya dari atas hingga ke bawah. Dengan rasa marah yang teramat sangat Sang Gagak terus mencari Sang Merak yang sudah lari jauh ke dalam rimba itu. Begitulah ceritanya kenapa gagak membuat bunyi, "akk, akk" singkatan kepada "merak, merak". Ada yang mengatakan Sang Gagak terus mencari Sang Merak hingga ke hari ini. Dan Sang Merak terus menyembunyikan diri dari Sang Gagak walaupun dia selalu bermegahmegah dengan kecantikannya.

Anda mungkin juga menyukai