Anda di halaman 1dari 1

Enakmen terbaru Fatwa Kedah anti-demokratik Islamic Renaissance Front

April 19, 2012

Islamic Renaissance Front (IRF) membaca laporan tentang fatwa terbaru yang diwartakan Kedah dengan gusar. Menurut berita The Star, fatwa yang digubal oleh Dewan Undangan Negeri Kedah pada hari Selasa itu akan memastikan bahawa suatu fatwa yang diputuskan oleh mufti dan jawatankuasa fatwa tidak boleh dicabar, dirayu, disemak, dinafi atau dipersoalkan dalam mana -mana mahkamah sivil atau syariah. Larangan untuk mencabar semua fatwa yang diwartakan Kedah ini secara praktikal memberikan mufti dan jawatankuasa fatwa hak mutlak dalam perkara mengenai agama suatu pelanggaran yang jelas terhadap prinsip demokrasi. Apa yang diputuskan pada hari Selasa, dengan makna lain, tidak lain dari suatu eksploitasi terhadap proses demokratik yang membawa pada undang-undang autokratik. Ia juga menganggap bahawa gerombolan yang terlibat dalam jawatankuasa fatwa adalah masum. Keputusan ini juga bertentangan dengan apa yang sepatutnya difahami dari fatwa. Suatu fatwa tidak sewajarnya dikerahkan terhadap mana-mana institusi. Ia tidak lebih dari pandangan hukum oleh seorang mufti. Ia tidak mempunyai nilai wahyu yang terkait dengannya. Malah Imam Malik sendiri, salah satu dari autoriti tertinggi dalam tradisi sunni setelah para Sahabat Rasulullah (saw), menegah fatwanya dalam alMuwatta untuk diwartakan sebagai undangundang negara pada masa itu. Tambahan lagi, pandangan dan fatwa tersebut harus mengambil kira perubahan zaman dan suasana, di mana enakmen terbaru disebabkan ia menghalang sebarang semakan terhadap fatwa telah menafikannya. Fatwa dalam hal-hal sains dan perubatan, contohnya, perlu merujuk pandangan pakar dalam bidang tersebut, juga dikenali sebagai ulama al-waqi atau pakar dalam kenyataan konteks dan bukan sekadar ulama an-nusus atau pakar teks. Tambah lagi, keputusan ini juga bercanggah dengan Adab al-Ikhtilaf (adab berbeza pendapat) yang telah sekian lama menjadi mercu tanda yang menzahirkan dinamisme dan kekayaan tradisi intelektual Islam. Prinsip ijtihad yang dipertahankan Islam menuntut supaya kebebasan nurani dan perbedaan pandangan juga dipelihara dalam proses ini. Dalam menghadapi pilihanraya akan datang, PAS telah berulang kali meyakinkan rakyat Malaysia bahawa mereka mendukung cita-cita negara berkebajikan. Dengan perkembangan ini nampak jelas bahawa dalam barisan kepimpinan parti masih terdapat gerombolan yang mengusung faham negara Islam otokratik. Para pendukung Pakatan Rakyat sering melihat gabungan ini sebagai fron yang bersatu menentang fascisme BN yang telah mencengkam politik Malaysia sekian lama. Seandainya enakmen Kedah menjadi sebagaimana diusulkan, ia hanya mencadangkan kenyataan bahawa pakatan ini masih mengusung kefahaman fascismenya dalam kes ini fascisme Islam suatu indikasi yang jelas bahawa perubahan yang sebenar mungkin perlukan masa yang lebih lama dari yang dibayangkan.
*Pernyataan ini ditulis oleh Dr Ahmad Farouk Musa, Ahmad Fuad Rahmat, Edry Faizal Eddy Yusof dan Muhammad Nazreen Jaafar dari Islamic Renaissance Front.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis atau penerbit. Malaysian Insider tidak mendukung pandangan ini kecuali dinyatakan.

Anda mungkin juga menyukai