Anda di halaman 1dari 2

TENTANG SYIAH DI PERLAK Ada orang bertanya benarkah Perlak di Aceh itu dahulu kerajaan Syiah?

Saya rasa harus menulis agak panjang lebar untuk menjawab. Saya rasa dakwaan Perlak dulu Syiah adalah kurang tepat kerana dibuat dari sudut pemahaman apa itu Syiah menurut orang sekarang. Untuk lebih tepat kita harus menanggapi keadaan zaman. Adapun sejarah menyebut Perlak mula diIslamkan apabila rombongan Nakhoda Khalifah dan 100 orang pendakwah datang dari Timur Tengah 173 Hijrah (saya kira bersamaan 790 Masihi bukan 800 atau 804 Masihi seperti disebut ramai orang). Seorang ahli rombongan, Ali bin Muhammad mengahwini adik kepada Merah Syahir Nuwi dan anak dari hasil perkahwinan ini menaiki takhta Perlak sebagai Sultan Sayid Maulana Abdul Aziz Shah 840M.

Ketika itu di manakah Sunni-Syiah seperti kita ketahui sekarang? Untuk itu kita harus tahu dahulu apakah yang dikatakan Sunni. Definisi Sunni atau Ahlus Sunnah Wal Jamaah yang kita kenali hari ini merujuk pada 4 Mazhab Hanafi, Maliki, Shafie dan Hanbali, masing-masing dipelopori Imam Abu Hanifa (hidup 699-767 Masihi), Imam Malik bin Annas (711-795M), Imam Shafie (767-820M) dan Imam Ahmad Hanbal (780-855M). Oleh kerana definisi Sunni itu sendiri cuma mengiktiraf 4 mazhab ini maka ia harus dianggap muktamad cuma setelah satu waktu berlalu, setelah semua imam ini tidak ada lagi iaitu selepas yang paling muda, Ahmad Hanbal wafat 855. Kenapa saya sebut begitu? Kerana ia memerlukan waktu sebelum dapat dikenal-pasti inilah 4 Mazhab muktabar muktamad yang harus diterima sebagai pegangan Ahlul Sunnah Wal Jamaah. Pada tahun-tahun kehidupan imam-imam ini kita dapat melihat bahawa Imam Shafie lahir pada tahun Imam Hanifa wafat, Imam Hanbal pula dilahirkan 13 tahun kemudian. Jadi mana kita tahu beberapa tahun selepas Imam Hanbal wafat akan muncul seorang lagi imam yang cukup berwibawa untuk mendirikan mazhab di bawah nama Ahlul Sunnah Wal Jamaah? Perkara ini cuma kita dapat tahu, dapat pastikan bahawa tidak ada lagi imam selepas mereka yang dikira layak mendirikan mazhab selepas beberapa lama. Saya rasa masuk tahun 900 Masihi gitu baru pasti lalu baru boleh ditetapkan Sunni itu terdiri dari 4 Mazhab. Adapun Syiah yang kita kenali hari ini pula adalah lain dari 4 Mazhab ini. Maka definisi Syiah yang diterima-pakai sebagai lain dari 4 Mazhab muktabar Sunni itu harus juga muncul tahun 900 Masihi ke atas. Atau paling awal pun selepas hilangnya Imam ke-12 dalam Syiah Isnath Asyairiah Imam 12 iaitu Imam Hassan al-Askari (hidup 874-878M). Ketika itu apa yang berlaku di Perlak? Sultan kedua dari Dinasti Maulana Abdul Aziz, Sultan Sayid Maulana Abdul Rahim Syah sedang memerintah 864-888. Apakah 2 raja terawal ini Syiah? Apakah Nakhoda Khalifah yang datang ke Perlak 790 Syiah? Kalau betul pun Syiah ia bukanlah seperti kita kenali sekarang. Syiah yang dimaksudkan berasal dari penyokong Saidina Ali ketika berlaku konflik dengan Muawiyah. Syiah itu sebenarnya bermaksud penyokong, maka mereka dipanggil Syiatul Ali. Selepas konflik itu cucu Rasulullah SAW iaitu Saidina Hassan, anak Saidina Ali pernah menjadi khalifah seluruh umat Islam. Syiatul Ali pun menyokong Hassan pula. Tapi Muawiyah menentang lalu selepas lama berperang, Saidina Hassan yang inginkan perdamaian antara umat Islam menyerahkan takhta kekhalifahan kepada Muawiyah.

Sejak itu kedudukan khalifah dipegang oleh kaum keluarga Muawiyah lalu dipanggil pemerintahan Bani Umaiyah. Sambil itu mereka yang menyokong Hassan juga adindanya Hussin tetap bertegas kepimpinan umat Islam harus berada di tangan Ahlul Bait, anak cucu Nabi Muhammad SAW. Menyedari bahawa Ahlul Bait masih dihormati orang ramai, anak cucu Bani Umaiyah yang risau takut hilang kuasa pun meminggirkan Ahlul Bait. Dalam keadaan inilah Syiah awal terbentuk dan mendapat nama. Syiah awal ini cuma menyatakan kepimpinan harus dipegang Ahlul Bait, tidaklah mereka mahu menyerang umat Islam lain, kalau bermusuh pun cuma pada keluarga Bani Umaiyah yang menindas mereka. Apabila naik Bani Abbasiyah sekitar 750 Masihi ternyata kelompok berketurunan Saidina Abbas ini juga risau akan pengaruh Ahlul Bait lalu meminggirkan mereka. Gerakan Syiah terus mewar-warkan kelebihan Ahlul Bait tetapi sekali lagi harus ditekankan tidaklah bermusuhan dengan Sunni apalagi Sunni yang kita kenali sekarang cuma mendapat definisi paling awal pun selepas Imam Hanbal mangkat 855M. Sambil itu ada yang terlebih-lebih memuji Ahlul Bait walhal keadaan mereka sudah lari dari tujuan asal, itulah yang menjadi Syiah yang kita kenali buruk sekarang. Malangnya hal Sunni-Syiah ini dilaga-lagakan musuh dan digunakan untuk menafikan kepimpinan Ahlul Bait. Sesungguhnya untuk akhir zaman ini tidak ada kepimpinan yang dapat betul-betul membela umat Islam kecuali dari Ahlul Bait. Lalu musuh menSyiahkan semua penyokong Ahlul Bait mengikut definisi Syiah sekarang yang pernah disebut Imam Shafie sebagai Syiah ghulat atau sesat, terlebih-lebih mengagungkan Saidina Ali dan keturunannya sehingga Ahlul Bait pula mendapat nama buruk. Dalam konteks itulah keIslaman awal di Perlak nampaknya cuba diburukkan sebagai bersifat Syiah. Cukup.

Anda mungkin juga menyukai