Anda di halaman 1dari 2

REFLEKSI MENGHADIRI BENGKEL PENGAJARAN PENDIDIKAN KHAS

Pada 30 September 2013 yang lalu, unit Major Pendidikan Jasmani semester 6 telah menghadiri sebuah bengkel yang dikendalikan oleh Sekolah kebangsaan Pendidikan Khas Seremban. Tujuan menghadiri bengkel tersebut adalah dengan bertujuan bagi memenuhi keperluan kursus Bina Insan Guru (BIG) fasa 6 iaitu bagi kursus WAJ 3116 di mana kami perlu menghadiri sebuah bengkel yang dianjurkan oleh mana-mana persatuan atau badan organisasi. Bengkel yang diadakan selama satu hari itu adalah berkaitan dengan Pendidikan Jasmani Suaian bagi murid-murid berkeperluan khas. Kami didedahkan dengan pelbagai info dan maklumat berkaitan dengan PJ Suaian antaranya pengurusan sekolah, Kokurikulum dan kurikulum, serta kaedah pengajaran dan pembelajaran bagi murid-murid bekeperluan khas ini. Banyak maklumat yang didedahkan mengenai konsep PJ suaian dan segala pengetahuan yang diterima merupakan satu pengalaman baru memandangkan ini kali pertama kami didedahkan dengan murid-murid bekeperluan khas. Dari aspek Pendidikan Jasmani pula, kami didedahkan dengan kaedah mengajar serta peralatan khas yang digunakan oleh para guru dalam mengajar murid-murid yang pelbagai keistimewaan. Selama ini saya mengaggap bahawa PJ suaian ini merupakan satu aktiviti PJ yang diajar kepada murid-murid istimewa ini semata-mata namun ianya adalah lebih kepada satu terapi fizikal yang boleh mengurangkan tekanan dan atau masalah yang dihadapi. Justeru, guru haruslah mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang tinggi dalam mengendalikan murid-murid istimewa ini serta menyesuaikan peralatan dengan aktiviti fizikal yang dijalankan. Perkara-perkara seperti inilah yang didedahkan kepada kami di dalam bengkel tersebut sebagai pendedahan awal. Mana tahu mungkin suatu hari akan dipostingkan di sekolah Pendidikan Khas dan sekurang-kurangnya saya telah didedahkan serba sedikit mengenainya.

Selain daripada mendengar maklumat yang disampaikan di dalam bengkel tersebut, kami juga telah dibawa ke sekitar kawasan sekolah untuk melihat keadaan atau suasana pembelajaran berlangsung. kami telah di bawa dari satu kelas ke satu kelas dan terdapat beberapa kelas yang kami sempat masuk dan melihat sendiri bagaimana murid-murid yang cacat penglihatan belajar. Saya melihat sendiri sumber-sumber pembelajarannya dan membayangkan bagaimana keadaan mereka yang tidak punya penglihatan pastinya dunia mereka gelap tanpa cahaya. Namun di sebalik rasa simpati itu secara tidak langsung bertukar menjadi kagum apabila melihat sendiri murid yang cacat penglihatan 100% boleh membaca dan menaip menggunakan mesin Braille. Dia boleh membaca setiap perkataan yang tertulis dengan merasa menggunakan jari setiap titik yang ditaip menggunakan mesin Braille. Saya sangat kagum kerana saya sendiri tidak boleh membaca apa yang tertulis oleh mesin Braille tersebut. Hanya dia sahaja yang boleh membaca perkataan itu. Tidak dinafikan walaupun mereka ini buta penglihatannya namun mereka ini punya keistimewaan yang mungkin tidak ada pada orang normal seperti kami. Terdapat murid yang boleh menyanyi dan menukar lirik lagu secara spontan, ada yang boleh bermain alat muzik dan ada juga yang ingatannya sangat kuat dan boleh menghafal dalam masa yang singkat. Mereka ini sangat istimewa kerana walaupun tidak punya penglihatan yang sempurna namun dianugerahkan dengan bakat yang lain. Melihat kanak-kanak ini memberi saya seribu kesedaran di mana kita perlu menghargai setiap kurniaan Tuhan dan menghargai apa yang telah diciptakan kepada makhluknya tanpa berasa kecewa sedikit pun kerana mereka tidak meminta dilahirkan sedemikian rupa.

Disediakan oleh, Nur Hamizah binti Mohd Kasmani

Anda mungkin juga menyukai