Anda di halaman 1dari 14

Analisis Keperluan Kurikulum Pendidikan Vokasional Pelajar Bermasalah Pembelajaran (LD) di Malaysia Zainudin Mohd. Isa (PhD.

) e-mail: zainudin@usm.my Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan Universiti Sains Malaysia Norani Salleh (PhD.) e-mail: norani@ukm.my Ramlee Mustapha (PhD.) e-mail: ramleemustapha@ukm.my Hanafi Mohd Yassin e-mail: mhmy6365@yahoo.com Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia

Abstrak Tujuan kajian ini adalah melakukan analisis keperluan terhadap kurikulum pendidikan vokasional pelajar bermasalah pembelajaran (MP) di peringkat sekolah menengah di Malaysia. Analisis keperluan ini antaranya bertujuan untuk menentukan sejauhmana kesesuaian kurikulum vokasional sedia ada terhadap keperluan pelajar MP; mengenalpasti bidang-bidang kemahiran yang diperlukan oleh pelajar MP; mengenalpasti corak dan pasaran kerjaya yang diperlukan di masa depan. Kajian ini menggunakan kaedah kuantitatif dan kualitatif yang dijalankan menggunakan soal selidik dan temu bual terhadap 111 orang responden yang terdiri daripada guru yang mengajar di program pendidikan khas, ibubapa pelajar MP, wakil NGO, majikan bekas pelajar MP, pentadbir pendidikan dan pakar dalam pendidikan vokasional bagi mendapatkan maklum balas tentang asas keperluan untuk mewujudkan kurikulum vokasional bagi pelajar MP serta cadangan berkaitan bentuk, perlaksanaan dan penilaian kurikulum tersebut. Dapatan kajian mendapati: (1) pelajar MP kurang memiliki kemahiran bekerja mungkin kerana kurikulum sedia ada didapati bersifat terlalu umum dan lebih menekankan aspek akademik yang tidak sesuai dengan keperluan pelajar MP; (2) Terdapat beberapa bidang kemahiran kerjaya yang dikenalpasti sesuai diajar kepada pelajar MP; (3) pelajar MP di masa hadapan memerlukan kemahiran vokasional yang berteknologi tinggi sesuai dengan kehendak semasa; (4) penawaran kerja di masa hadapan untuk pelajar MP adalah berasaskan kemahiran berbanding kelayakan akademik. Kata kunci : pendidikan vokasional, pelajar bermasalah pembelajaran, sekolah menengah.

PENDAHULUAN Kepentingan pendidikan vokasional kepada pelajar MP tidak dinafikan dalam membantu mereka yang mengatasi masalah-masalah di tempat kerja selepas

tamat persekolahan. Malah didapati tempoh bekerja seseorang individu MP dalam sesuatu pekerjaan adalah lebih lama berbanding dengan individu yang tidak mempunyai latihan vokasional. Ini kerana latihan vokasional yang diterima di sekolah dapat menyediakan pelajar MP dengan kemahiran berguna dalam menyelesaikan masalah sewaktu bekerja (Ramlee et al. 2007). Bagaimanapun, program latihan vokasional yang disediakan kepada pelajar MP perlulah terlebih berkesan terutama dalam aspek kurikulum dan kemudahan asasnya. Ini kerana kurikulum vokasional pelajar MP di peringkat menengah seharusnya relevan dengan keperluan pasaran kerja semasa serta bersesuaian daripada segi keupayaan fizikal dan mental pelajar itu sendiri (Siti Zakiah 1999; Dayang 1997; Norani 1996). Selain itu, kurikulum vokasional pelajar MP perlu menekankan dalam aspek pemilihan bidang kemahiran yang bersesuaian dengan keperluan individu. Selain itu juga, kurikulum pendidikan vokasional pelajar MP seharusnya tidak bersifat akademik dan tidak terlalu mencabar keupayaan intelek pelajar serta memberi penekanan dari aspek pembinaan sikap positif pelajar terhadap kurikulum dalam usaha menyerap isi kandungan yang ada seterusnya dapat menguasai kemahiran tersebut (Siti 1999). Ini kerana sikap kurang minat pelajar terhadap sesuatu pekerjaan selama ini timbul lantaran daripada kegagalan mereka untuk mengadaptasikan kebolehan dan kemahiran yang diperolehi di sekolah (White 1992). Selain itu, kurikulum vokasional pelajar MP juga seharusnya menekankan ke arah mendedahkan pelajar dengan kemahiran untuk bersosialisasi; kaunseling kerjaya; meningkatkan keyakinan diri/kendiri; hidup berdikari; latihan vokasional; menyesuaikan diri dengan pekerjaan, kemahiran membaca dan mengeja; kemahiran mengorganisasi dan mentadbir kewangan; penerapan bidang keusahawanan serta kemahiran mengawal diri yang merupakan kunci kejayaan dalam sesuatu bidang kerjaya (Sitlington 1998; Gerber, Gisburg & Reiff 1992; Bristow 1990).

Bagaimanapun kajian-kajian yang dijalankan mendapati kurikulum semasa pendidikan pelajar MP peringkat menengah di Malaysia mempunyai banyak kelemahan kerana tidak menjurus ke arah menyediakan pelajar dengan kemahiran vokasional (Ramlee & Norani 2007; Juairiyah 2000; Rohaineza 1996). Pendidikan bagi golongan bermasalah pembelajaran (MP) masih lagi rendah dan tidak lagi relevan dengan pasaran kerja semasa. (Ramlee at al. 2007; Juairiyah 2000; Norani et al. 1998; Rohaeniza 1996) Keadaan tersebut menyebabkan ramai golongan MP tidak dapat diserapkan ke dalam pasaran kerja. Lantaran tahap pengangguran semasa dalam golongan MP yang masih tinggi mendorong agar sistem pendidikan bagi golongan tersebut dikaji semula (Kementerian Sumber Manusia 2006; Norani et al. 2005). Malah dalam menghadapi senario persaingan dalam pasaran kerja yang semakin mencabar, pelajar MP seharusnya dilatih dengan kemahiran vokasional yang bersesuaian dengan kehendak dan keperluan semasa. Namun, kurikulum sedia ada pelajar MP di Malaysia lebih cenderung kepada pendidikan yang bercorak akademik dan sebaliknya aspek vokasional hanya merupakan aspek kecil sahaja yang

diselitkan dalam mata pelajar kemahiran hidup (Juairiyah 2000; Sironmani 1996; Rohaineza 1996). Justru, Kajian-kajian lepas mencadangkan agar perlu digubal satu kurikulum khusus yang dapat melatih pelajar MP dalam aspek vokasional di Malaysia memandangkan penekanan dalam bidang akademik semata-mata tidak berupaya untuk memastikan pelajar tersebut dapat berkerja selepas keluar sekolah kelak (Ramlee & Norani 2007; Mohd Mydin 2001; Juairiah 2000; Evers 1995). Selain itu, skop dan jenis kursus perlu diperbanyakkan bagi membolehkan pelajar MP membuat pilihan kerjaya secara lebih terbuka dan sesuai dengan kemampuan serta minat mereka (Juairiyah 1996; Bristow & James 1990; Wehman et al. 1985). Selain itu, kajian lepas juga mendapati bahawa kurikulum pelajar MP dalam aspek pemilihan bidang kemahiran perlu dibuat tidak berdasarkan minat dan kebolehan semata-mata malah perlu seiring dengan permintaan tenaga kerja semasa. Ini bertujuan untuk memastikan bahawa bidang-bidang kemahiran yang ditawarkan kepada pelajar merupakan bidangbidang kemahiran yang dapat menjamin kerjaya pelajar kelak. Fenomena yang berlaku kini ialah bilamana bidang vokasional yang didedahkan kepada pelajar kadangkala tidak dapat memenuhi keperluan mereka daripada segi minat dan kebolehan intelek serta tidak memenuhi kehendak penawaran guna tenaga (Kementerian Pendidikan Malaysia 1999; Patton et. al 1997). Kajian oleh Norani et al. (2005) menunjukkan kelemahan kurikulum vokasional pelajar MP disebabkan oleh beberapa faktor iaitu kekurangan alatan dan kemudahan; mata pelajaran vokasional tidak tawarkan di sekolah; kurang penekanan ke atas program vokasional pelajar khas; program vokasional tidak dilaksanakan sepenuhnya dan pelajar hanya belajar kemahiran asas sahaja; kurang tenaga pengajar untuk mengajar vokasional serta hanya menekankan kepada teori sahaja. Kajian lepas mencadangkan agar kurikulum vokasional pelajar MP juga seharusnya memberi fokus dalam pemilihan bidang kemahiran hidup di samping penekanan aspek latihan di tempat kerja (on the job training) sebagai cara memberi lebih peluang kepada pelajar untuk bersaing mendapatkan pekerjaan yang boleh menjamin masa depan mereka kelak (McConkey 1998; Walls et al. 1997; Clark et al. 1994; Edgar 1992). Ini kerana salah satu faktor yang menjadi punca pelajar MP gagal memperolehi kerjaya yang bersesuaian adalah disebabkan ketiadaan kemahiran yang bersesuaian dengan keperluan sesuatu kerjaya serta pengalaman yang cetek dalam aspek latihan amali di sekolah. Keadaan ini menyebabkan mereka hanya mampu mendapatkan pekerjaan yang bersifat warisan bagi golongan tersebut sahaja bila meninggalkan sekolah biarpun sesetengah mereka mempunyai kebolehan-kebolehan tertentu yang luar biasa (Kamariah 1998; Salomoni & Paige 1984).

Kajian lepas juga mencadangkan agar kurikulum vokasional pelajar MP seharusnya memberi penumpuan secara mendalam berkaitan sesuatu kemahiran kerana pendedahan secara umum serta bersifat akademik didapati kurang bersesuaian bagi tujuan memahirkan pelajar di samping tidak memenuhi keperluan dari segi keupayaan intelek, minat dan cita rasa pelajar. Keadaan ini menyebabkan tahap kecekapan, mutu dan kemampuan yang mereka perolehi tidak dapat memberi keyakinan kepada majikan untuk menerima mereka bekerja (Siti Zakiah 1999; Dayang 1997; Norani 1996). Kajian lepas juga mendapati kurikulum vokasional pelajar MP harus menekankan bidang komunikasi dan pengurusan kerana kajian menunjukkan bahawa bekas pelajar bermasalah pembelajaran memiliki tahap kemahiran komunikasi dan motivasi yang rendah yang menyebabkan mereka sukar mendapat pekerjaan. Keadaan ini berpunca daripada kegagalan mereka untuk berkomunikasi dalam masyarakat di samping ketidakupayaan melakukan tugas dengan berkesan seperti orang normal (Ramlee et al. 2007; McConkey 2001; Dayang 1997; Smith 1995; White 1992). Selain itu, keperluan kurikulum vokasional perlu melibatkan penyediaan kemudahan asas bagi menentukan keberkesanan perlaksanaan kurikulum vokasional tersebut. Kajian lepas mendapati kewujudan kemudahan asas yang meliputi bengkel, bilik masakan serta bilik-bilik tertentu peralatan serta bahan bantu mengajar yang sesuai dapat memastikan proses pengajaran dan pembelajaran agar dapat berjalan dengan sempurna. Ini kerana proses perubahan akan hanya memberikan hasil sekiranya disertai dengan peningkatan pembekalan bahan pengajaran dan pembelajaran yang cekap di samping peningkatan dalam pengetahuan dan teknik penilaian pembelajaran yang memudahkan. Oleh yang demikian keperluan kemudahan asas perlu dipenuhi terlebih dahulu bagi memastikan keberkesanan sesuatu kurikulum yang dirancang (Shafiee 2002; Zainudin 1999; Kementerian Pendidikan Malaysia 1990; Howson & Malone 1984). Bagi tujuan pembinaan kurikulum vokasional yang dicadangkan tersebut, satu analisis keperluan dilakukan bagi menilai keperluan kurikulum berkenaan.

METODOLOGI KAJIAN Reka bentuk kajian ini terbahagi kepada dua pendekatan iaitu pendekatan kuantitatif yang merupakan pendekatan utama dan pendekatan kualitatif sebagai penyokong kepada sumber data utama. Fokus kajian ini ialah untuk menjalankan analisis keperluan bagi menentukan asas yang diperlukan dalam pembinaan kurikulum vokasional pelajar bermasalah pembelajaran (MP) di peringkat menengah. Kajian ini berbentuk tinjauan yang dilaksanakan melalui teknik pengumpulan data menggunakan instrumen soal selidik dan temu bual bersemuka. Penggunaan kedua-dua instrumen berkenaan adalah bertujuan untuk meningkatkan kebolehpercayaan data melalui proses yang dikenali sebagai triangulasi (triangulation).

DAPATAN DAN PERBINCANGAN Kesesuaian Kurikulum Vokasional Sedia Ada Pelajar MP A) Kemahiran Pelajar MP

Berasaskan kajian perbandingan yang diperolehi, wujud kelemahan dari segi kesesuaian kurikulum sedia ada adalah disebabkan kegagalannya untuk memberikan kemahiran kepada pelajar MP. Ini terbukti bilamana dapatan kajian menunjukkan: (1) Aspek kemahiran bekerja Tahap penguasaan pelajar MP kemahiran vokasional sedia ada adalah rendah jika dibandingkan dengan keperluan sepatutnya. Ini berdasarkan dapatan yang menunjukkan bahawa pelajar MP yang keluar sekolah didapati tiada kemahiran untuk bekerja. Berasaskan dapatan tersebut, faktor ketidakmahiran pelajar MP dilihat sebagai punca yang menyebabkan kegagalan mereka diserapkan dalam sektor pekerjaan. Cadangan/Sepatutnya: Selain itu, pelajar MP disarankan dilatih terlebih dahulu di sekolah sebelum dihantar menjalani latihan di tempat kerja sebenar bagi memastikan mereka benar-benar bersedia untuk berhadapan dengan situasi di tempat kerja. Dapatan kajian tersebut disokong oleh kajian yang dijalankan oleh Lowery, Molloy dan Glennon (2006) serta Zigmon (1990) berkaitan kemahiran vokasional yang diperlukan di masa hadapan. Gerber (2003) berpendapat kemahiran sosial seperti berkomunikasi, menerima pendapat (reciprocating), menyokong pendapat orang lain dan mengambil tanggungjawab. Pelajar MP yang tidak diberi fokus kepada kemahiran sosial adalah berisiko gagal dalam pekerjaan. Selain itu pelajar MP perlu diajar dengan etika kerja yang tinggi seperti masuk kerja menepati masa dan menunjukkan kesungguhan terhadap kerja. Zigmon (1990) menggariskan tiga kemahiran utama yang diperlukan oleh pelajar MP tapi amat sedikit diterima oleh mereka yang dianggap sebagai kemahiran asas (basic skills) iaitu: Kawalan tingkahlaku (behavior control) Menghormati guru Kemahiran belajar meliputi kemahiran mengambil ujian (test taking)

2. Kemahiran komunikasi Selain itu, dapatan kajian juga mendapati faktor yang menjadikan pelajar MP gagal untuk diserapkan ke dalam sektor pekerjaan adalah kerana pelajar MP didapati mempunyai tahap kemahiran komunikasi yang rendah berbanding dengan tahap yang sepatutnya dikuasai bagi tujuan pekerjaan. Keadaan ini dilihat sebagai penghalang untuk mereka kekal

dalam pekerjaan yang diceburi. . Masalah ini berkait rapat dengan kemahiran sosial pelajar berkenaan dimana sebahagian pelajar MP mempunyai bentuk komunikasi sehala yang menjadi penghalang dalam proses interaksi dengan orang lain. Cadangan/sepatutnya: Pelajar MP sepatutnya dilatih dengan kemahiran komunikasi yang merupakan sebagai pelengkap kepada kemahiran vokasional yang dikuasai pelajar. kurikulum vokasional pelajar perlu memasukkan komponen kemahiran komunikasi dan sosial dengan rakan sekerja ke dalam setiap bidang kemahiran yang diajarkan kepada pelajar kerana kemahiran komunikasi seperti kemahiran untuk mengikut arahan merupakan komponen yang amat penting dalam bekerja. Selain itu, kebolehan melaksanakan tugasan yang diarahkan serta berkemampuan memahami arahan seperti pekerja lain merupakan kriteria utama dalam penentuan penerimaan bekerja seseorang oleh majikan. Bagi tujuan tersebut, kurikulum vokasional pelajar MP perlu melibatkan latihan yang khusus dalam meningkatkan tahap kemahiran komunikasi dalam kalangan pelajar MP di sekolah.

B)

Kesesuaian Kurikulum Sedia Ada Pelajar MP Kurikulum sedia ada menunjukkan ketidaksuaiannya dengan keperluan individu pelajar MP: Kurikulum sedia ada pelajar MP adalah terlalu akademik dan tidak sesuai bagi pelajar MP yang jelas menghadapi kesukaran terutama dalam bidang-bidang yang memerlukan kemahiran 3M. Kurikulum sedia ada tidak memberi penekanan terhadap bidang kemahiran sebagai mana yang diperlukan oleh pelajar MP untuk bekerja. Berasaskan dapatan kajian, kurikulum pelajar MP seharusnya lebih menekankan aspek kemahiran kepada pelajar berbanding bidang akademik. Kurikulum sedia ada pelajar MP bersifat terlalu umum dan tidak spesifik. Perbandingan tersebut jelas menunjukkan bahawa kurikulum sedia ada tidak sesuai dengan keperluan pelajar MP. Kurikulum sedia ada tidak sesuai kepada pelajar MP disebabkan kurikulum sedia merupakan kurikulum yang dibina untuk pelajar normal yang direndahkan tahapnya. Kurikulum sedia ada tidak praktikal bagi pelajar MP kerana kurikulum sedia ada tidak mengambilkira kemampuan dan minat pelajar. Ini kerana kurikulum sedia ada didapati tidak memberi banyak peluang kepada pelajar MP untuk memilih kemahiran yang sesuai dengan

minat dan kemampuan mereka lantaran kurikulum sedia ada hanya menawarkan sedikit sahaja bidang kemahiran. Tahap kemahiran yang terkandung dalam kurikulum sedia ada adalah terlalu asas. Kurikulum tersebut merupakan kurikulum pelajar normal yang hanya direndahkan tahapnya bagi disesuaikan dengan pelajar MP. Kurikulum tersebut tidak menyediakan peluang kepada pelajar MP untuk menjalani latihan di tempat kerja sebenar. Keadaan ini menyebabkan pelajar tidak mempunyai pengalaman terus yang menimbulkan kesulitan bila keluar bekerja kelak. Kurikulum sedia ada tidak sesuai kepada pelajar MP disebabkan kemahiran yang diajarkan pelajar MP tidak selaras dengan kehendak penawaran kerja semasa.

C) Kurikulum Tidak Menjurus ke Arah Menyediakan Pelajar untuk Bekerja. Kurikulum sedia pelajar MP didapati tidak menjurus ke arah menyediakan pelajar untuk bekerja disebabkan: Kurikulum sedia ada didapati tidak dapat menyediakan pelajar dengan kemahiran yang diperlukan untuk bekerja. Ini berpunca daripada kelemahan kurikulum sedia ada yang lebih menumpukan kepada bidang akademik berbanding dengan aspek kemahiran vokasional sebagaimana yang diperlukan oleh pelajar MP. Kurikulum sedia ada, pelajar MP yang tamat persekolahan didapati sukar mendapat pekerjaan disebabkan mereka tidak mempunyai kemahiran yang bersesuaian dengan pekerjaan yang ditawarkan. Kemahiran yang diperoleh oleh sesetengah pelajar MP tidak mencukupi bagi membolehkan mereka bekerja. Ketiadaan kemahiran untuk bekerja secara sendiri juga dilihat sebagai salah satu penyumbang kepada keengganan majikan menerima pelajar MP bekerja merupakan penyebab kepada kegagalan pelajar MP mendapat pekerjaan. Ini kerana penerimaan mereka bekerja memerlukan pemantauan berterusan daripada majikan terhadap kerja-kerja yang diberikan yang menjadi masalah kepada pihak majikan. Kelemahan kurikulum sedia ada untuk pelajar MP juga dikenalpasti kerana ia tidak menyediakan ruang yang mencukupi bagi pelajar MP memperolehi kemahiran. Pelajar MP tidak diajar dengan kemahiran yang mencukupi bagi membolehkan mereka bekerja. Tambahan, pula kemahiran yang diajar melalui kurikulum sedia ada terlalu sedikit jika dilihat dalam konteks keperluan pelajar MP yang pelbagai. Kemahiran tersebut tidak cukup melengkapkan pelajar untuk bekerja selepas menamatkan persekolahan. D) Kemudahan Asas yang diperlukan Kurikulum Pelajar MP

Berdasarkan dapatan kajian, kemudahan asas yang diperlukan dalam melaksanakan kurikulum vokasional yang meliputi peralatan dan mesin; kemudahan bengkel dan makmal juga tidak mencukupi bagi tujuan perlaksanaan kurikulum vokasional berkenaan. Tempat latihan amali sedia ada secara dalaman dan di tempat kerja sebenar masih tidak mencukupi. Oleh yang demikian, pelajar MP tidak berpeluang untuk mempraktikan segala kemahiran yang dipelajari di bilik darjah. Justru, responden mengharapkan agar kemudahan untuk pelajar melakukan amali secara terus (hands on) dapat disediakan.

Sepatutnya: Ini penting sejajar dengan saranan yang telah dikemukakan oleh pengkajipengkaji lepas yang mahukan kemudahan asas disediakan bagi tujuan perlaksanaan kurikulum (Norani et al. 2005; Weintraub 2005; Madaus et.al 2002; Juairiah 2000; Ting 1999; Siti 1999). Beberapa langkah kemudahan akomodasi disediakan termasuk: - Sediakan matlamat yang disasarkan dan diutamakan - Guna pengurusan masa - Gunakan masa di luar tugas bagi menyiapkan kerja - Lakukan percambahan minda (brainstorming) dan penyelesaian masalah -- (problem solving) bersama rakan - Persekitaran kerja yang senyap - Guna alat pembetul bacaan (proofreaders) untuk mengedit bahan bertulis.

Kemahiran yang diperlukan oleh Pelajar MP untuk Bekerja di Masa Hadapan Terdapat sebanyak sebelas (11) bidang kemahiran yang dikenalpasti oleh subjek kajian perlu diberi keutamaan untuk diajarkan kepada pelajar MP. Bidang kemahiran tersebut meliputi pertukangan; kraftangan; pertanian; jahitan; mendobi; automotif; pembersihan; perhotelan; kemahiran fotostat; keusahawanan; dan perawatan kecantikan: Kemahiran pertanian meliputi kemahiran berkebun dan landskap Kemahiran pertukangan yang meliputi kemahiran pertukangan kayu, kerja paip dan pembinaan bangunan. Kemahiran fotostat dan menjilid Kemahiran pembersihan kenderaan dan bangunan Kemahiran perhotelan yang meliputi kemahiran mengemas bilik dan penyediaan makanan. Kemahiran mendobi pakaian Kemahiran automotif yang meliputi kemahiran membaikpulih enjin dan mengecat kenderaan

Kemahiran jahitan yang meliputi kemahiran menjahit pakaian dan kemahiran menjahit langsir Kemahiran kraftangan Kemahiran keusahawanan Kemahiran dandanan rambut

Secara umumnya dapatan kajian yang diperolehi bertepatan dengan saranan yang dikemukakan oleh Tan dan Richardson (2006), Norani et al. (2005), Gerber (2003), McConkey (2001), Dayang (1997), Abell & Kaiser (1997), Smith (1995) dan White (1992) berkaitan bidang-bidang kemahiran yang sesuai ditawarkan kepada pelajar MP. Bagaimanap pelajar MP perlu diajar kemahiran kefungsian (functional skills) yang dapat digunakan kehidupan seharian. Kemahiran kefungsian tidak terhad kepada akademik sahaja (wang, mengira, membaca label dan sebagainya) malah meliputi kemahiran sosial, kemahiran kefungsian masyarakat dan kemahiran hidup harian. (Abell dan Kaiser 1997): Kemahiran bersosial (social skill) perlu diajarkan kepada pelajar MP kerana ia dapat menyediakan keadaan berkerja yang lebih baik kerana seseorang akan dapat bekerja dengan baik sekiranya mereka gembira. Bagi tujuan tersebut Black dan Rojewski (1998) telah mengenalpasti tiga komponen penting kemahiran sosial seperti sensitiviti, insight dan cara berkomunikasi. (De la Garza et al. 1997) Kemahiran akademik seperti membaca, menulis, komputer dan matematik penting untuk kerjaya. Selain itu, Gerber (2003) turut menyatakan adalah penting bagi pelajar MP diajarkan dengan kemahiran-kemahiran yang dapat mempastikan pelajar bekerja kelak. pula melaporkan bahawa ramai pelajar MP berkerja dalam sektor perniagaan, penjagaan kesihatan dan teknologi. Kemahiran kefungsian akademik turut memberi penekanan bagi membolehkan pelajar berkemampuan mengatasi masalah dalam kerjaya mereka yang mana meliputi:Kemahiran menulis; memproses maklumat; kefahaman bacaan; pengurusan masa; dan kemahiran membuat kesimpulan (organizational skills) (Madaus et al. (2002) Kemahiran pra-vokasional pengurusan masa (time management), mengikut arahan orang atasan. Kemahiran bergaul dengan orang dewasa seperti rakan setugas dan majikan Dilatih menerima persekitaran kerja yang pelbagai dan mencabar. Kemahiran urus diri. Pelajar MP diberi kefahaman terhadap kategori ketidakupayaan mereka sebenar. Seterusnya pelajar MP harus cuba menyesuaikan diri dengan tempat kerja serta pelajar MP memperkembangkan kefahaman mereka terhadap kekekuatan dan kelemahan diri terutama berkaitan proses psikologikal asas seperti ingatan, mengingat (memory), pemerosesan (processing) dan susun atur (organization). Pelajar MP perlu mengetahui bagaimana untuk menggguna kelebihan diri selain mengatasi kelemahan yang ada melalui

strategi tertentu antaranya strategi akamodasi (accommodations) yang bersesuaian seperti mesin kira (calculator), pemeriksa ejaan (spell checkers). Akhir sekali pelajar MP harus diajar untuk menerima ketidakupayaan diri dengan seadanya (Gerber 2003)

Corak Kemahiran yang diperlukan dalam Kerjaya Pelajar MP di Masa Hadapan Kemahiran berteknologi tinggi. seiring dengan perkembangan teknologi semasa. Kebanyakan kerja memerlukan kepada penguasaan kemahiran teknologi dalam pengendalian kerja seperti perkakasan dan mesin serta sistem maklumat. Corak kerjaya di masa hadapan adalah kerjaya yang bersumberkan tenaga manusia yang berkemahiran tinggi seiring dengan keperluan perkembangan semasa. Ini bertujuan memastikan pelajar MP tidak ketinggalan arus perkembangan serta dapat bersaing dalam pasaran kerja semasa. Oleh yang demikian pelajar MP perlu dibekalkan dengan kemahiran sedemikian bagi membolehkan mereka mendapat kerjaya yang bersesuaian apabila tamat persekolahan kelak. Pelajar MP mempunyai kemampuan untuk menguasai kemahiran yang berteknologi tinggi sekiranya mereka diberi peluang mempelajarinya dan diajar dengan sempurna. Sekain itu bidang-bidang kemahiran yang disediakan haruslah sesuai dengan keperluan individu pelajar berkenaan. Dapatan ini selari dengan pendapat Madaus et.al 2002 tentang kepentingan teknologi dalam kerjaya di masa hadapan bagi golongan MP. Madaus et.al (2002) berpendapat bahawa teknologi merupakan sesuatu penting bagi memudahkan dan membantu kebanyakan pelajar MP mengakomodasikan diri mereka dengan kerjaya. Antaranya meliputi penggunaa komputer, mesin kira (calculator), alat pemeriksa ejaan automatik (automatic spell checking), program teks ke suara (text-tospeech) akomodasi tersebut dapat mengatasi segala kesukaran yang dihadapi oleh pelajar MP dalam berkerja.

Corak Penawaran Kerja Pelajar MP di Masa Hadapan Corak kerjaya di masa hadapan adalah bertumpu kepada bidang-bidang kerjaya yang memerlukan kemahiran. Banyak peluang kerjaya yang berasaskan kemahiran akan diwujudkan bagi menampung keperluan pembangunan negara akan datang. Pasaran kerja di masa hadapan bercorak lebih terbuka. Justeru, faktor kemahiran seseorang menjadi penentu dalam kriteria penerimaan pekerja oleh majikan. Ini bermakna hanya orang yang berkemahiran sahaja yang berpotensi mendapat peluang bekerja di masa hadapan. Pihak majikan di masa hadapan lebih mengutamakan pekerja yang berkemahiran dalam menawarkan kerja. Majikan di masa hadapan lebih mengutamakan calon-

calon pekerja yang mempunyai kemahiran berbanding kelayakan akademik semata-mata. Subjek kajian berpendapat majikan memerlukan pekerja yang mahir dan tahu bagaimanakah untuk melakukan sesuatu kerja yang diberikan dengan sempurna. bayaran upah dan gaji di masa hadapan adalah berasaskan kemahiran yang dimiliki oleh seseorang pekerja dan bukan berasaskan kelayakan akademik. Ini bermakna semakin mahir seseorang itu semakin tinggilah gajinya berbanding orang lain yang lebih rendah kemahirannya. Dapatan kajian ini menyokong dapatan kajian yang telah dijalankan oleh Richardson dan Tan (2006) berkaitan ramalan kerjaya di masa hadapan.

Cadangan Beberapa cadangan dikemukakan kepada pihak-pihak yang berkenaan sebagai langkah untuk mengatasi masalah yang timbul menerusi dapatan kajian ini antaranya: 1. Kementerian Pelajaran Malaysia perlu menggubal semula kurikulum vokasional bagi pelajar MP. 2. Kerajaan perlu mempertingkatkan aspek kemudahan infrastruktur yang diperlukan meliputi kemudahan asas dan sumber tenaga pengajar di sekolah bagi memastikan perlaksanaan kurikulum dapat berjalan dan berkesan 3. Aspek kemahiran guru perlu dipertingkatkan melalui sistem penapisan di peringkat kemasukan guru dan menerusi latihan dalam perkhidmatan Ini bertujuan memastikan pelajar memperolehi bimbingan kepakaran daripada guru-guru yang mahir dalam bidang 4. Sistem persijilan khusus perlu diwujudkan bagi membolehkan kemahiran yang diperolehi oleh mendapat pengiktirapan yang standard daripada aensi akreditasi. 5. Kementerian Pelajaran Malaysia perlu membina hubungan terus dengan pihak majikan bagi melatih dan menyerapkan pelajar yang telah dilatih ke dalam sektor pekerjaan 6. Pihak-pihak luar perlu lebih proaktif khasnya majikan agar sentiasa lebih terbuka dalam aspek pemilihan pekerja bagi membolehkan pelajar MP dapat sama peluang bekerja 7. Program latihan sambil bekerja patut diperkenalkan bagi membolehkan pelajar mendapat peluang menimba pengalaman bekerja secara terus 8. Penilaian terhadap keberkesanan kurikulum vokasional MP perlu kerap dijalankan bagi mempastikan masalah-masalah dalam aspek perlaksanaan dapat dikenalpasti dan diatasi 9. Kemudahan sedia ada perlu ditingkatkan meliputi penggunaan peralatan latihan yang berteknologi tinggi 10. Pihak ibubapa juga perlu memberikan sokongan yang kuat kepada pihak sekolah bagi memastikan perlaksanan kurikulum vokasional MP dapat dilaksanakan secara berkesan.

RUJUKAN Asia Community Service. 2006. Isu-isu orang dewasa kurang upaya intelek. http://www.asiacommunityservice.org/Executive Summary malay.pdf. (16 Februari 2007) Black, R.S & Rojewski, J.W 1998. The role of social awareness in the employment success of adolescent with mild mental retardation. Education and Training in Mental Retardation and Developmental Disabilities. 33. 144-161 Bristow. C. & James. C.A. 1990. Entrepreneurship education. The way forward for Vocational education. Illinois School Journal. 70 : 19-26. Evers. R.B. 1996. The positive force of vocational transition outcomes for youth with Learning disabilities . Journal of Learning Disabilities 29: 69-78 Gerber, D.J. 2003. Persons with learning disabilities in workplace: what we know so far in the American with disabilities Act era. Learning Disabilities research and Practice. 18(2). 132-136 Hamilton S.F. 1986. Excellence and the transition from school to work. Phi Delta Kappan Journal: 64(4), 239-242. Juairiah Johari 1996. Kajian perancangan dan perlaksanaan khidmat sokongan bagi kelas bermasalah pembelajaran di sebuah sekolah rendah di negeri Selangor Darul Ehsan. Latihan Ilmiah Sarjana Muda Pendidikan Khas. UKM Kamariah Yusof. 1989. Cara-cara untuk meningkatkan taraf hidup orang-orang cacat pendengaran. Latihan Ilmiah. Maktab Perguruan Ilmu Khas. Kementerian Sumber Manusia. 2007. Statistik kurang upaya. penempatan kerjaya orang

Kementerian Pendidikan Malaysia.1999. Kurikulum pendidikan khas program bermasalah pembelajaran (peringkat menengah). Kuala Lumpur: KPM. Madaus, J.W. Foley, T.E. McGuire, J.M. & Tuban, L.M. 2002. Employment self disclosure of secondary graduates with learning disabilities. Journal of Learning Disabilities, 35 (4), 364McConkey, R. 1988. Education for life. British Journal of Special Education, 25,2.

55-59 McConkey, R. 2001. Employment aspirations of people with learning disabilities attending day centers. Journal of Learning Disabilities.Vol 5(4): 309-318 Norani Salleh 1996. Sejauh mana mata pelajaran kemahiran hidup dan latihan vokasional untuk pelajar berkeperluan khas di Malaysia. Prosiding Negara Abad Ke 21 Fakulti Pendidikan. UKM. Norani, Sallleh, Khalid Abdullah, Nor Aishah Buang 1998. Job opportunities for special needs population in Malaysia. Projek IRPA. Bangi: Fakulti Pendidikan UKM Norani Mohd Salleh, Ramlee Mustapha & Abd. Razak Habib. 2005. Technical, vocational and IT provision and competencies of secondary and primary school student with special need in Malaysia. Projek IRPA. Bangi: Fakulti Pendidikan UKM. Ramlee Mustapha & Norani Mohd Salleh. 2007. Self-fulfilling prophecy and digital divide revisited: vocational and IT competencies of special needs population in Malaysia. Jurnal Kerja Sosial 6(1), 33-65. Ramlee Mustapha, Norani Mohd Salleh & Manisah Mohd Ali. 2004. Beyond didactics: The need for legislation to upgrade vocational special needs education and training in Malaysia. Prosiding Seminar Kebangsaan Pendidikan Khas. Bangi: Fakulti Pendidikan, UKM. Siti Zakiah Muhamad Ghazali. 1999. Pendidikan vokasional: bidang pertanian (kemahiran berkebun) untuk pelajar-pelajar pendidikan khas bermasalah pembelajaran. Latihan Ilmiah Sarjana Muda Pendidikan UKM Sironmani Kanasamy. 1996. Kajian aspirasi pekerjaan pelajar cacat pendengaran. Latihan Ilmiah Sarjana Muda Pendidikan Khas. UKM Ting Yee Khing. 1999. Perlaksanaan latihan vokasional dalam membantu pelajar-pelajar Bermasalah pembelajaran hidup berdikari. Latihan Ilmiah Sarjana Muda Pendidikan UKM Weintraub, F. 2005. The evolution of LD and future challenges. Learning Disabilities Quaterfly, 97- 99

White. J.W. 1992. The post school adjustment of person with learning disabilities: Current status and future projections. Journal of learning Disabilities.25(7): 448-455.

Anda mungkin juga menyukai