Anda di halaman 1dari 4

Bismillah Sejambak mawar,seharum kasturi buat peneraju majlis,barisan panel hakim yang sentiasa berasimilasi dengan kebenaran,saudara penjaga

masa yang cakna akan randiknya,warga pendidik yang bermisi,warga intelektual penerus wawasan negara seterusnya,hadirin hadirat yang dikasihi. Pelajar pewaris kepimpinan berkualiti, literal dan paradigmatik pidato saya pada hari ini membawa makna yang bukan sedikit, tuan tuan yang saya kasihi, sebelum hujah mencorak wajah sebelum kata mengatur langkah eloklah kita telusuri makna kata tajuk pidato kita, Hadirin sekalian, Pelajar pada asasnya adalah mereka yang secara amnya adalah remaja yang berada dibangku sekolah hinggalah puncak menara gading, namun pada hari ini subjektifnya, pelajar adalah sesiapa sahaja yang berusaha untuk mencari ilmu dan sebagai pemangkin kepada dunia berdaya saing dalam mencari sesuatu kerjaya tanpa mengira usia, Pewaris pula, menurut dbp, adalah mereka yang menerima pusaka atau tinggalan daripada generasi sebelumnya, kepimpinan pula berkait rapat dengan keupayaan seseorang untuk memimpin dan menjadi tauladan kepada orang lain. Dan kualiti merujuk kepada Pelan Integriti Nasional (PIN), adalah integriti unggul yang wujud secara keseluruhan dalam diri seseorang individu atau organisasi dan ia berkait rapat dengan etika yang merupakan himpunan nilai dan moral yang menjadi piawai bagi tingkah laku individu, organisasi dan profesion. Tuntasnya, pelajar pewaris kepimpinan berkualiti,bertunjang satu hasrat dan pesanan kepada setiap lapis masyrakat untuk membuka mata dan menyedari hakikat bahawa Negara tidak akan selama-lama bertunjangkan seorang pemimpin yang hebat, kita tidak akan selama-lama boleh merasa selamat melainkan pemimpin itu, dan keamanan itu diwarisi dan dihayati oleh golongan yang bergelar pelajar. Hadirin yang saya kasihi, 3 wadah bicara saya untaikan untuk bersama kita hayati, pertama, siapakah pelajar yang mewarisi, kedua, di mana titik permulaannya dan ketiga di mana akhir. Kita telusuri wadah yang pertama, siapakah pelajar yang mewarisi, Hadirin sekalian, Dalam usaha menyediakan tenaga kerja yang berkualiti untuk mencapai kecemerlangan negara yang berterusan, Perdana Menteri Malaysia kelima telah membangkitkan mengenai Konsep Modal Insan dalam pembentangan Rancangan Malaysia KE 9 (RMK 9). Hasrat kerajaan adalah

tinggi dalam melahirkan generasi pelapis yang berkualiti dalam menerajui negara ke arah kemajuan yang bakal dicapai terutamanya dalam menghadapi Wawasan 2020. Apabila harapan kerajaan ini difokuskan kepada generasi pelapis, sudah tentu mereka ini adalah golongan yang sedang berada di universiti dan sekolah pada masa sekarang. Merekalah yang bakal menerajui negara dalam segenap lapangan. Merekalah yang akan jadi pemimpin, pengurus, penggerak pembangunan negara seterusnya merekalah yang akan menjadi golongan yang akan berusaha memajukan negara di samping menikmati apa juga kejayaan yang telah diusahakan oleh generasi terdahulu. Persoalan timbul difikiran, mampukah, bolehkah? Siapa yang bakal menjawabnya? Semua tertanya-tanya.. Setelah lebih separuh abad Malaysia mengatur langkah meninggalkan zaman penjajahan rakus British, hari ini Malaysia kian membangun pesat. Malaysia juga mencatatkan kegemilangan apabila diangkat oleh dunia sebanagi Negara membangun paling maju. Nah, ini semua merupakan hasil Keringat dan perjuangan pemimpin-pemimpin terdahulu. Namun adakah kehebatan kepimpinan ini akan terus diwarisis oleh generasi hari ini Kita lihat,dengan usaha yang mampan Lopez Disequira menjumpai tanjung harapan. Malahan dengan usaha juga kita menjadi siapa sahaja kita pada hari ini, Justeru, gagasan modal insan idea telah mencipta pemimpin yang disegani, memperkenal personaliti unggul dari gerakan glokal, lambang kerajaan tidak pernah sugul tidak pernah gagal dalam menitikberatkan integriti buat anak warisan. Semua itu, kempen budi bahasa dan nilai-nilai murni dicanang integrasi nasional dijulang, semuanya demi matlamat mewujudkan masyarakat yang mempunyai nilai dan moral yang teguh,tidak cukup dengan itu perilaku perkhidmatan diperkenalkan, badan pencegahan rasuah dinaiktarafkan daripada keluarga sektor awam dan sektor korperat yang terang dan menyeluruh kerana kita yakin dan percaya yang melakukan rasuah bukan pesawah atau penoreh getah tetapi mereka yang ada segulung ijazah. Sama sama kita fikirkan. Hadirin sekalian, wadah kedua, di mana permulaannya, Antara lapan elemen penting dalam Gagasan 1 Malaysia ialah sistem pendidikan. Maknanya, bagi mewujudkan bangsa Malaysia yang unggul sistem pendidikan Malaysia perlu membuat satu reformasi yang bijak bagi melahirkan golongan pelajar yang benar-benar berkualiti dan mempunyai tahap mentality kelas pertama. Tatkala membicara isu pelajar maka hal ini perlulah merujuk kepada semua kelompok pelajar daripada pelajar pra sekolah sehinggalah ke pelajar IPT.Persediaan pelajar-pelajar ini untuk menngantikan pucuk kepimpinan lama kian berkembang baik. Tidak dinafikan bahawa ramai pelajar kita mempunyai nilai kepimpinan yang hebat, namun adalah tidak wajar untuk kita sekadar berputih mata melihat golongan majoriti pelajar yang terus kehilangan dan hanyut dengan pelbagai godaan dan

sentiment Barat yang negative dan merosakkan. Lantas, langkah bijak perlu diatur segera sebelum nasi menjadi bubur. Pelbagai inisiatif telah diatur di Institut Pendidikan Tinggi Awam dan juga Swasta di Malaysia untuk menggalakkan nilai kepimpinan dalam institusi pendidikan di Malaysia. Bermulanya dengan tertubuhnya Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang mengamalkan sistem demokrasi dalam pemilihan pemimpin mereka. Hal ini telah mendidik golongan pelajar agar bersifat lebih rasional dan bijak dalam memilih pemimpin mereka. Lebih membanggakan lagi, melalui sistem di MRSM, pendedahan berbentuk demokrasi ini sudah diajar bermula di tingkatan satu lagi. Hal ini telahpun mengangkat sistem pendidikan MRSM sebagai sistem pendidikan bertaraf antarabangsa. Bertitik tolak dari situ, hari ini semakin banyak sekolah di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia yang mengaplikasikan sistem sebegini rupa. Hal ini merupakan satu bentuk reformasi yang baik bagi bersama-sama kita melahirkan generasi yang berkualiti. Selain itu, slot pidato di bawah akta AUKU 1971 juga telah dibenarkan semula di manamana IPT. Slot ini dirancang untuk menggalakkan pemikiran yang matang, kritis dan kritikal dalam kalangan pelajar. Hal ini bertujuan untuk melahirkan golongan yang bijak dan mempunyai tahap pemikiran yang di luar kotak dan berintelektual tinggi. Selain itu, terdapat juga persatuan-persatuan pelajar yang ditubuhkan bertujuan mengemukakan ideologi, pemikiran dan luahan rasa golongan pelajar terhadap segala dasar-dasar kerajaan. Misalnya, Gabungan Pelajar Semenanjung Malaysia (GPSM) yang sentiasa duduk semeja bersama-sama pemimpin negara membincangkan isu-isu yang berteraskan institusi pendidikan dan hal pelajar. Hal ini merupakan satu indikator, yang baik dan memberangsangkan dalam kalangan pelajar dari sudut nilai kepimpinan. Wadah kita yang ketiga, Setelah sebegitu rupa usaha yang dijalankan untuk melahirkan gologan yang mampu mewarisi adakah kita akan membiarkan ia tumbang sekali lagi, kita tidak i boleh lagi hanya sekadar menutup mata, memekakkan telinga untuk tidak melihat golongan pelajar yang terkeluar daripada norma kehidupan pelajar yang sebenar. Hari ini masyarakat Malaysia digemparkan dengan lambakan kes yang dilakukan oleh pelajar. Menurut laporan bekas Ketua Polis Negara, Datuk Musa Hassan yang berautoritatifkan dewan masyarakat edisi Disember 2009, 52.3% kes jenayah di Malaysia disumbangkan oleh golongan remaja yang mana 87% daripadanya masih lagi belajar dan menuntut di institut pendidikan. Hal ini sangat membimbangkan para pemimpin kita yang tidak putus-putus berusaha mencari jalan yang terbaik bagi menyelesaikan masalah ini.

Kes buli, rokok, dadah dan sumbang mahram bagaikan tiada penghujungnya. Golongan pelajar ini semakin menjadi-jadi dengan pelbagai aktiviti yang kotor dan menjijikkan. Dek kerana terpengaruh dengan ledakan media, ramai pelajar Malaysia yang kian lalai dan alpa dengan tugas hakiki mereka sebagai pelajar. Kurang minat terhadap pembelajaran dan mudah terpengaruh dengan atmosfera negatif merupakan antara punca yang mendalangi permasalahan pelajar hari ini. Hari demi hari, masyarakat Malaysia terus terperanjat dan terkedu mendengar berita-berita daripada media massa yang terus melaporkan perbutan jenayah dalam kalangan pelajar. Seharusnya, golongan pelajar ini perlulah dibesarkan dengan kehidupan yang bermoral dan penuh dengan nilai-nilai murni. Pelbagai cara telah diperkenalkan oleh pihak sekolah untuk membanteras kes-kes pelajar melalui hukuman sebatan dan sesi kaunseling. Namun, masalah demi masalah ini tidak juga berakhir. Bagaikan mencangkul angin, itulah yang dirasai oleh pihak sekolah apabila usaha-usaha mereka langsung tidak membuahkan hasil. Pada penghujung bicara, jelas tertera, tatkala kita jadikan integriti sebagai budaya dan pegangan, maka impaknya bangsa yang dulu tertiarap dimamah, kini kembali tegak bermaruah. Sebagai rakyat Malaysia suka untuk saya ingatkan , Pada hari ini, impian kita adalah untuk menjelmakan bangsa yang cemerlang, gemilang dan terbilang bukan bangsa yang kecundang, pincang dan terbuang . Ingat, jangan biar ayam direban disambar helang, jangan biarkan padi di tangan menjadi lalang, mari bangkit dan sama-sama berjuang ke arah negaraku yang semakin gemilang.

Anda mungkin juga menyukai