Anda di halaman 1dari 3

NAMA: JONATHAN JUANIS PENGUCAPAN AWAM: CERAMAH TEMA: GLOBALISASI PENDIDIKAN_PEMUPUKAN MINDA KELAS PERTAMA Terima kasih saya

ucapkan kepada pengerusi majlis, Yang berusaha, Puan Salmah binti Abdullah, Pengarah Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Gaya Yang berusaha, Encik Subramaniam a/l Mutusamy Timbalan Pengarah IPGM Kampus Gaya, Encik Ladius Emor, Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP), ketuaketua jabatan, ketua-ketua unit, pensyarah-pensyarah dan guru-guru pelatih sekalian. Terlebih dahulu saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada Jabatan Pengajian Melayu, IPGM Kampus Gaya kerana sudi mengundang saya menyampaikan ceramah mengenai isu yang bertemakan Globalisasi Pendidikan tetapi saya tumpukan kepada isu hangat dalam dunia masa kini iaitu pemupukan minda kelas pertama yang menjadi teras kedua Misi Nasional dalam Rancangan Malaysia kesembilan. Selamat sejahtera dan salam satu Malaysia. Hadirin sekalian, Dalam bidang pendidikan, konsep globasasi ini bertujuan untuk memupuk minda kelas pertama iaitu ciri-ciri modal insan yang mampu memenuhi keperluan pembangunan individu, keluarga, masyarakat, negara dan dunia. Ciri-ciri tersebut merangkumi aspek penguasaan ilmu yang tinggi, sikap proaktif, kekayaan moraliti, budaya menyumbang untuk kepentingan bersama dan pembangunan yang bersifat holistik. Minda seperti ini adalah wajib dimiliki oleh seorang insan yang bergelar manusia dan sangat berguna untuk menangkis kekangan-kekangan dalam hidup. Proses untuk memupuk minda kelas pertama ini haruslah bermula dari keluarga iaitu, pembentukan keperibadian anak-anak khususnya minda mereka oleh ibu bapa. Ia kemudiannya disambung mengikut kronologi melalui pembelajaran peringkat awal iaitu prasekolah, sekolah rendah, sekolah menengah dan disempurnakan oleh institut-institut pengajian tinggi. Tindakan yang diambil untuk menyempurnakan misi ini bukannya mudah kerana jika tersilap langkah, bukan insan yang berminda kelas pertama yang dihasilkan tetapi mereka yang berminda kelas

ketiga iaitu mereka yang

tidak mempunyai tujuan hidup, malas bekerja, suka

berlengah, membuang masa, tidak berhemat, tidak bersemangat, leka dan sebagainya. Manusia seperti inilah yang selalunya mendorong kepada kehancuran sesuatu tamadun manusia. Namun begitu, jika insan itu dididik tentang perkara yang baik dari kecil lagi sehinggalah mereka meningkat dewasa, tidak mustahil individu itu akan menjadi pemimpin yang berwibawa dan berwawasan kelak. Tugas ini pula terletak di bahu insan yang bergelar guru. Di sekolah, seorang guru itu hendaklah mahir dalam teknologi pendidikan, khususnya penggunaan komputer dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P). Ini kerana penggunaan komputer dalam pendidikan boleh membawa banyak kebaikan kepada sistem pendidikan di negara kita. Kemahiran guru dalam bidang teknologi ini sangat diperlukan lebih-lebih lagi apabila tertubuhnya sekolah bestari yang mengumpulkan pelajar-pelajar yang cerdik dan berpengetahuan. Berbeza dengan pelajar-pelajar dalam sekolah awam, pelajar-pelajar dalam sekolah bestari ini mempunyai pengetahuan dan ilmu yang lebih mendalam serta kemahiran dalam menggunakan alatan yang berteknologi tinggi. Kebolehan mereka miliki itu memerlukan guru yang dapat membimbing dan mengasah lagi bakat yang ada dalam diri mereka dan juga untuk mengelakkan para pelajar menggunakan kemahiran mereka itu ke jalan yang tidak baik. Kemahiran dalam menggunakan komputer juga membawa reformasi serta perkembangan baru dalam pelbagai bidang pendidikan, khasnya dalam teknologi pendidikan, teori pendidikan, teori pengajaranpembelajaran, pengurusan sekolah, sistem pentadbiran pendidikan serta kemahiran dan latihan guru. Hadirin sekalian,

Langkah seterusnya ialah guru hendaklah berusaha untuk mewujudkan hubungan yang baik dengan pendidik dari negara lain terutamanya negara yang memiliki taraf pendidikan yang lebih maju seperti Amerika Syarikat, Britain, Jepun, China dan negara-negara maju yang lain melalui internet atau e-mail serta meghadiri konferens dan seminar pendidikan yang disertai oleh pendidik dari negara-negara maju ini atau menyertai rombongan pendidikan yang dianjurkan oleh Kementerian Pelajaran atau Persatuan Guru. Aktiviti seperti ini boleh melahirkan guru yang berpengetahuan luas seterusnya membolehkan mereka mendidik generasi muda dalam negara ini menjadi lebih berilmu pengetahuan, berketrampilan dan berakhlak mulia. Generasi yang dihasilkan ini bukan sahaja berupaya berkhidmat dan memberi sumbangan kepada negara, tetapi juga berupaya menyemai jasa kepada kemajuan, keamanan dan kestabilan negara. Selain itu, guru hendaklah berpengetahuan, fleksibel dan mudah menyesuaikan diri dalam reformasi, inovasi, dan perubahan dalam pendidikan . Ini bermakna, guru mesti menguasai kemahiran belajar yang betul untuk melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran, demi menyesuaikan diri dalam peranan dan tugas baru dari semasa ke semasa, serta dalam persekitaran sosial. Ciri fleksibel dan mudah menyesuaikan diri dalam persekitaran sosial ini merupakan kualiti seorang guru iaitu mempunyai inovasi dalam perhubungan sosial,berpekerti mulia, mudah suai, berdaya kepimpinan, mempunyai kesedaran terhadap persekitaran serta mengamalkan sikap toleransi. Kualiti yang ada ini bukan sahaja menjadikan mereka cepat menyesuaikan diri dalam sesuatu keadaan persekitaran malah menjadikan mereka belajar sesuatu benda itu dengan lebih cepat dan efisien. Secara keseluruhannya, minda kelas pertama ini bukanlah sesuatu perkara yang sukar untuk diperoleh oleh seseorang insan. Setiap manusia itu boleh memilikinya jika mereka ada usaha untuk mencapainya. Namun begitu, kejayaan itu tidak datang bergolek tetapi selalunya memerlukan pengorbanan untuk

mencapainya. Oleh itu, marilah kita bersama-sama memantapkan diri dengan ilmu di dada dan kesediaan diri untuk mempersiapakan diri kita kearah minda kelas pertama. Sekian dan terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai