Anda di halaman 1dari 8

1

BAB 1





Konsep Asas Komputer









1.0 Pengenalan

Buta komputer pada masa kini adalah sama dengan buta huruf pada tahun
1960-an walaupun anda seorang pemegang ijazah dari institusi pengajian
tinggi. Penguasaan ilmu dalam bidang komputer atau teknologi maklumat
merupakan satu kemestiaan dalam zaman era kemajuan, pembangunan
dan pemodenan ini. Komputer juga secara umumnya dianggap sebagai
suatu lambang permodenan dan pembangunan sesebuah negara. Ini adalah
kerana komputer memainkan peranan yang amat penting dalam pelbagai
bidang kehidupan manusia seperti ekonomi, pentadbiran, kemanusian,
pendidikan dan sebagainya. Atas dasar tersebut, setiap individu sama ada
secara sedar mahupun tidak sedar pastinya akan berurusan dengan
teknologi komputer setiap hari dan sedikit sebanyak mereka harus
sekurang-kurangnya mengenali apakah komputer itu sebenarnya.
Komputer merupakan sejenis mesin serbaguna dan fleksibel yang
dibina dari sumber teknologi berasaskan elektronik dan kadangkala
Sistem Komputer dan Aplikasinya

2
elektro mekanikal. Komputer boleh diprogramkan bagi membantu
manusia menyelesaikan sesuatu masalah secara lebih spesifik dan teratur.
Program-program komputer (yang juga dipanggil perisian atau software)
yang setiap satunya berbeza dan mempunyai pelbagai pendekatan juga
membolehkan ianya digunakan dalam pelbagai bidang dan tujuan.
Komputer juga boleh dikatakan sebagai suatu alat elektronik atau mesin
yang digunakan bagi merakam dan memproses data mentah bagi
menghasilkan maklumat yang lebih bermanfaat yang diperlukan oleh
manusia.

1.1 Apa dia Komputer ?

Komputer secara amnya bolehlah dikatakan sebagai suatu mesin
elektronik yang telah diprogramkan oleh manusia bagi melaksanakan
tugas-tugas yang ditetapkan. Dua prinsip atau sifat komputer yang utama
ialah :

ia akan bertindakbalas kepada set arahan yang spesifik mengikut
kaedah atau turutan yang telah ditentukan.
ia mampu menjalankan senarai arahan yang pelbagai bentuk dan aras
secara lebih sistematik.



Rajah 1.1 : Rekabentuk fizikal sebuah komputer mikro masa kini

Secara umumnya, fungsi utama komputer ialah menggubah sesuatu
data kepada maklumat. Data merujuk kepada sesuatu yang tidak tersusun
atau tidak mempunyai organisasi yang teratur. Maklumat pula merujuk
kepada data yang telah digubah kepada yang lebih tersusun dan bermakna.
Maklumat biasanya lebih tepat, sempurna dan meyakinkan.

Konsep Asas Komputer

3
1.2 Konsep Literasi Komputer

Kenapa seseorang itu wajar mempelajari mengenai komputer ? Selain
daripada faktor ingin tahu (dan mungkin juga kerana ianya merupakan
salah satu matapelajaran wajib di kebanyakan sekolah dan juga institusi-
institusi pengajian tinggi), kita mungkin telah menyedari bahawa agak
sukar untuk seseorang itu untuk terus menjalani hidup seharian tanpa asas
pengetahuan mengenai komputer. Berikut dinyatakan tiga konsep utama
yang diperlukan bagi menjelaskan apa yang dimaksudkan dengan literasi
komputer :

Kesedaran
Kita menyedari akan kepentingan komputer, kepelbagaian penggunaannya
serta kepentingannya didalam masyarakat.

Pengetahuan
Kita memahami konsep bagaimana sistem sesebuah komputer
dibangunkan serta bagaimana ia berfungsi.

Interaksi
Kita mampu berinteraksi dengan komputer atau dalam erti kata lain,
mampu menggunakan komputer dalam melaksanakan aplikasi-aplikasi
tertentu.

Secara umumnya pula, literasi komputer boleh ditakrifkan sebagai
pengetahuan yang secukupnya yang perlu ada pada seseorang untuk
menggunakan aplikasi komputer dan hidup di dalam masyarakat yang
berorientasikan komputer masa kini.
Kekurangan asas pengetahuan tersebut
juga boleh menyebabkan seseorang dilanda
sindrom Phobia Komputer (computerphobia),
iaitu satu sindrom yang takut kepada komputer.

1.3 Bagaimana Komputer Beroperasi ?

Kebanyakan sistem komputer masa kini
beroperasi berdasarkan empat operasi asas
seperti yang berikut :



computerphobia

Sistem Komputer dan Aplikasinya

4
1.3.1 Masukan (Input)

Peranti masukan atau peranti input membolehkan seseorang untuk
berkomunikasi dengan sistem komputer. Peranti input juga digunakan bagi
membolehkan seseorang memasukkan data serta memberi arahan-arahan
kepada sesebuah sistem komputer. Papan kekunci (keyboard), Tetikus
(mouse) dan Kayuria (joystick) merupakan antara contoh peranti input
yang sering digunakan.

1.3.2 Pemprosesan (Processing)

Unit Pemprosesan Pusat atau CPU (Central Processing Unit) berperanan
untuk memproses arahan, melaksanakan pengiraan dan menguruskan
laluan informasi menerusi sistem komputer. Unit atau peranti
pemprosesan juga akan berkomunikasi dengan peranti input, output dan
storan bagi melaksanakan arahan-arahan berkaitan yang diperlukan.

1.3.3 Keluaran (Output)

Peranti output membolehkan sesebuah sistem komputer berkomunikasi
dengan penggunanya. Peranti ini memaparkan maklumat pada skrin
komputer, menghasilkan salinan bercetak atau menghasilkan bunyi-
bunyian. Skrin paparan (monitor), pencetak (printer) dan pembesar suara
(speaker) merupakan antara contoh peranti output yang utama.

1.3.4 Storan (Storage)

Peranti storan berperanan untuk menyimpan data atau maklumat.
Komputer menggunakan maklumat yang disimpan dari peranti ini untuk
melaksanakan arahan-arahan lain yang berkaitan. Cakera keras (Hard
disk), cakera liut (floppy disk) dan CD-ROM merupakan contoh peranti-
peranti storan yang utama.
Secara amnya, setiap proses ini boleh diringkaskan dalam bentuk
langkah kerja seperti yang berikut :

1 Data atau arahan dimasukkan melalui peranti masukan (papan
kekunci misalnya).
2 Data atau arahan tadi kemudiannya diproses oleh peranti
pemprosesan.
3 Data yang telah diproses kemudiannya dihantar kembali kepada
pengguna melalui peranti keluaran (skrin paparan misalnya).
Konsep Asas Komputer

5
4 Maklumat yang terhasil kemudiannya disimpan di dalam storan
sekunder (cakera keras misalnya).

Langkah kerja ini kemudiannya dapat diringkaskan dalam bentuk
rajah seperti yang berikut :



Rajah 1.2 : Bagaimana komputer beroperasi ?

1.4 Elemen-elemen di dalam Sistem Komputer

Terdapat enam elemen utama di dalam sesebuah sistem komputer :

Perkakasan (Hardware)
Bahagian fizikal komputer yang boleh disentuh dan dilihat. Contohnya :
skrin paparan, tetikus dan papan kekunci.

Sistem Komputer dan Aplikasinya

6
Perisian (Software)
Set arahan atau prosidur yang membantu perkakasan untuk beroperasi.
Contoh perisian antaranya ialah Microsoft Office, Netscape
Communicator dan sebagainya.

Data
Bahan atau sumber mentah yang akan diproses menjadi maklumat yang
berguna.

Manusia
Merangkumi pengguna biasa dan juga
pengguna professional.

Prosidur
Langkah-langkah yang harus diikuti bagi
melengkapkan satu kitaran tugas
komputer.

Komunikasi
Apabila sebuah sistem komputer
disediakan bagi membolehkan ianya
berkongsi data dan maklumat dengan
sistem komputer yang lain secara
elektronik, komunikasi menjadi elemen
yang keenam di dalam sesebuah sistem
komputer.



1.5 Sifat Semulajadi Komputer

Terdapat tiga sifat semulajadi yang ada pada sesebuah sistem komputer
yang menjadikan ianya semakin penting di dalam kehidupan manusia.
Sifat-sifat tersebut ialah :

Kepantasan
Komputer menawarkan pemprosesan maklumat yang pantas dan
bermakna. Kebanyakan urus niaga dan aktiviti manusia seharian
bergantung kepada kepantasan sistem komputer bagi memproses sesuatu
maklumat. Contohnya, urusniaga kewangan, panggilan telefon, tempahan
tiket perjalanan dan sebagainya.
Konsep Asas Komputer

7
Kebolehpercayaan
Komputer merupakan sejenis mesin yang boleh dipercayai. Walaupun
kadang kala berlakunya kesilapan atau computer error namun demikian,
biasanya kebanyakan kesilapan tersebut berpunca dari kesilapan manusia
itu sendiri (human error).

Kemampuan Storan
Sistem komputer berkemampuan untuk meyediakan ruang bagi
menyimpan sejumlah data yang besar. Ianya juga mampu dicapai dan
digunakan semula dengan cepat dan berkesan.

1.6 Perkakasan Komputer

Seperti yang telah dibincangkan sebelum ini, komputer merupakan sejenis
mesin yang boleh diprogramkan untuk memasukkan data (INPUT) yang
kemudiannya diproses (PROSES) menjadi maklumat yang berguna.
Maklumat yang telah siap diproses kemudiannya dikeluarkan (OUTPUT)
semula sama ada dalam bentuk paparan pada skrin, hasil cetakan dan
sebagainya untuk perhatian pengguna. Akhirnya, maklumat tersebut boleh
juga disimpan (STORAN) untuk kegunaan selanjutnya di masa hadapan.
Turutan proses ini juga dikenali sebagai kitaran IPOS (Input, Proses,
Output dan Storan). Walau bagaimanapun langkah pengoperasian tidak
semestinya perlu dilaksanakan mengikut urutan I-P-O-S. Program
komputer mungkin mengikutinya seboleh mungkin tetapi dalam keadaan
tertentu, sebarang urutan proses boleh dilaksanakan mengikut keperluan
semasa terutamanya semasa melakukan operasi yang besar.
Bagi setiap aktiviti yang dinyatakan tadi, perlaksanaannya
memerlukan kombinasi antara penggunaan perkakasan dan juga perisian.
Perkakasan komputer secara amnya boleh dikategorikan kepada 5
kumpulan yang utama iaitu :

Peranti Masukan (Input)
Peranti Pemprosesan
Peranti Keluaran (Output)
Peranti Storan
Peranti Komunikasi

Setiap kategori perkakasan tersebut mempunyai fungsi dan peranan
yang tersendiri. Setiap satunya saling bersandaran dan saling
melengkapkan antara satu sama lain bagi membentuk sebuah sistem
komputer yang lengkap dan sempurna.
Sistem Komputer dan Aplikasinya

8
1.7 Perisian Komputer

Komputer mampu melaksanakan kebanyakan tugas yang mampu
diimiginasikan oleh seseorang manusia. Namun demikian terdapatnya
kekangan-kekangan tertentu yang tidak dapat dielakkan. Setiap tugas
yang ingin dilakukan oleh sesebuah sistem komputer biasanya
dilaksanakan oleh aplikasi, program ataupun perisian komputer yang
tertentu. Misalnya bagi tujuan permainan, maka perisian berbentuk
permainan diperlukan. Begitu juga bagi tujuan meneroka kemudahan
internet maka perisian yang berkaitan dengan internet diperlukan.
Antara perisian komputer yang utama ialah :

Pemprosesan perkataan
Hamparan elektronik
Persembahan multimedia
Pangkalan data
Telekomunikasi
Grafik dan animasi
Pendidikan dan hiburan
Utiliti
dan banyak lagi.

Kesemuanya ini akan dibincangkan dengan lebih lanjut di dalam Bab 7
Perisian Komputer.



Buku
Sistem Komputer & Aplikasinya

Penulis
Baharuddin Aris, Mohamad Bilal Ali, Jamalludin Harun
& Zaidatun Tasir

Penerbit
Venton Publishing (M) Sdn. Bhd.

http://jz2000.iwarp.com/penerbitan

Anda mungkin juga menyukai