Anda di halaman 1dari 4

Menghidupkan Sunnah Di Bulan Syaban Oleh Abu Numair Nawawi B. Subandi http://an-nawawi.blogspot.

com BULAN SYABAN hampir menutup tirainya manakala Ramadhan pula bakal menjelang. Namun ada sebahagian dari kita kurang memanfaatkan keutamaan bulan Syaban ini sebaiknya. Bulan Syaban adalah bulan diangkatnya amal-amal perbuatan ke sisi Allah. Dan bulan Syaban juga adalah bulan yang padanya Rasulullah Shallallahu alaihi wa Sallam memperbanyakkan ibadah puasa sunnah berbanding bulan-bulan selainnya. Usamah B. Zaid pernah bertanya kepada Rasulullah, Wahai Rasulullah, aku tidak pernah melihat engkau berpuasa pada suatu bulan sebagaimana engkau berpuasa pada bulan Syaban? Rasulullah menjawab: Syaban adalah bulan yang terletak di antara Rejab dan Ramadhan yang sering dilupakan oleh manusia. Ia adalah bulan yang di dalamnya amal-amal perbuatan akan diangkat ke sisi Tuhan semesta alam. Maka aku lebih suka apabila amalku diangkat dalam keadaan aku sedang berpuasa. (Hadis Riwayat Ahmad, 85/36, no. 21753. An-Nasaai, 8/59, no. 2317. Dinilai hasan oleh al-Albani dan Syuaib alArnauth) Aisyah radhiyallahu anha juga pernah mengkhabarkan dengan katanya: Aku tidak pernah mengetahui Rasulullah Shallallahu alaihi wa Sallam berpuasa sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadhan, dan aku tidak pernah mengetahui beliau lebih banyak berpuasa sunnah selain dari bulan Syaban. (Hadis Riwayat al-Bukhari, 7/78, no. 1833) Di antara hikmah dan faedah lain memperbanyakkan puasa di bulan Syaban adalah sebagai salah satu bentuk persiapan memasuki Ramadhan. Iaitu bulan yang padanya umat Islam akan menunaikan keawajiban berpuasa selama sebulan penuh. Semoga dengan membiasakan diri berpuasa sunnah di bulan Syaban mampu menjadikan tubuh-badan merasa ringan untuk berpuasa penuh di bulan Ramadhan, insyaAllah. Puasa Penuh Di Bulan Syaban Aisyah radhiyallahu anha memberitahu Abu Salamah:

Nabi Shallallahu alaihi wa Sallam tidak pernah berpuasa pada suatu bulan yang lebih banyak dari bulan Syaban. Beliau berpuasa pada bulan Syaban seluruhnya. (Hadis Riwayat al -Bukhari, 7/79, no. 1834) Para ulama berbeza pendapat dalam memahami hadis ini. Sebahagian daripada mereka menyatakan kadangkala Rasulullah berpuasa penuh, dan adakalanya Rasulullah berpuasa pada sebahagian besar dari keseluruhan bulan Syaban. Manakala sebahagian lagi berpendapat menyatakan bahawa Rasulullah Shallallahu alaihi wa Sallam hanya berpuasa sebahagian besar dari bulan Syaban dan tidak pernah berpuasa untuk keseluruhan bulan Syaban. Dari perbezaan pendapat yang timbul ini, al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani rahimahullah (Wafat: 852H) menguatkan pendapat yang menyatakan bahawa Rasulullah hanya berpuasa pada sebahagian besar dari keseluruhan bulan Syaban dan bukan keseluruhan dari bulan Syaban. Beliau menukilkan perkataan Imam Ibnul Mubarak: Menurut konteks bahasa Arab, apabila seseorang berpuasa pada sebahagian besar dari sesuatu bulan maka boleh dikatakan dia berpuasa sebulan penuh. Dikatakan si fulan solat sepanjang malam padahal ada kemungkinan dia masih makan malam serta sibuk dengan urusan lain. (Fathul Bari Syarah Shahih al-Bukhari, 4/214) Ini dikuatkan lagi dengan hadis-hadis yang lain sebagaimana disebutkan di atas daripada Aisyah, Aku tidak pernah mengetahui Rasulullah Shallallahu alaihi wa Sallam berpuasa sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadhan. (Hadis Riwayat al-Bukhari, 7/78, no. 1833) Juga berdasarkan kefahaman yang dapat diambil daripada sabda Rasulullah Shallallahu alaihi wa Sallam ini: Jangan sekali-kali salah seorang di antara kamu mendahului puasa Ramadhan dengan puasa sehari atau dua hari sebelumnya melainkan bagi orang yang sudah biasa berpuasa pada hari tersebut, maka bolehlah dia berpuasa pada hari tersebut. (Hadis Riwayat al-Bukhari, 6/489, no. 1781) Maka dari apa yang dapat difahami di sini kita disunnahkan supaya memperbanyakkan puasa sunnah di dalam bulan Syaban berbanding bulan-bulan selainnya. Dan tidak dianjurkan berpuasa sebulan penuh sebagaimana pendapat yang lebih tepat. Ini adalah sebagai salah satu rangka mengikuti dan menghidupkan sunnah-sunnah Rasulullah Shallallahu alaihi wa Sallam. Mereka yang bersungguh-sungguh dalam mengikuti dan menghidupkan sunnah-sunnah Rasulullah Shallallahu alaihi wa Sallam maka dia termasuk ke dalam golongan yang mencintai Allah Subhanahu wa Taala dengan sebenar-benarnya. Adapun amalan lain tertentu di bulan Syaban seperti amalan kenduri majlis tahlil yang dilakukan oleh sebahagian kecil masyarakat Islam di negara kita hari ini, wallahu alam tidak ditemui satu pun dalil yang

menganjurkannya. Bahkan amalan kenduri tahlilan itu sendiri termasuk amalan yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah Shallallahu alaihi wa Sallam. Yang lebih tepat hendaklah ia ditinggalkan dan cukuplah dengan kembali menghidupkan sunnah-sunnah yang telah jelas sahih dalil-dalilnya dan anjurannya. Nisfu Syaban Sebahagian umat Islam apabila masuknya bulan Syaban mereka akan fokus menanti datangnya malam nisfu Syaban. Mereka juga akan mengkhususkan malam tersebut dengan beberapa jenis amalan tertentu seperti solat sunnah yang khusus dan bacaan ayat-ayat al-Quran tertentu. Sebahagian yang lain pula menganggap malam tersebut sebagai malam ditentukan rezeki dan ajal bagi seseorang. Wallahu alam, di sebalik semua itu wujudkah dalil-dalil yang mendukung keistimewaan malam tersebut secara khusus? Apa sebenarnya keistimewaan malam tersebut? Apa pula kata para ulama berkaitan dengannya? Imam al-Qurthubi rahimahullah (Wafat: 671H) menyebutkan dalam Tafsirnya: Berkenaan dengan malam nisfu Syaban, padanya tidak terdapat satu hadis pun yang dapat dijadikan sebagai sandaran, sama ada tentang keutamaannya atau tentang pembatalan ajal seseorang. (Tafsir al Qurthubi, 16/128) Pernyataan al-Qurthubi ini turut didukung antaranya oleh al-Hafiz Ibnu Rejab al-Hanbali dan Imam Abu Syamah. Walau bagaimanapun di sana terdapat sebuah hadis (yang datang dengan beberapa lafaz) yang diperselisihkan status kesahihannya tentang keutamaan malam nisfu Syaban. Ia sebagaimana hadis berikut: Sesungguhnya Allah memerhatikan para hamba-Nya pada malam nisfu Syaban (pertengahan Syaban) lalu Dia mengampuninya kecuali orang-orang musyrik atau orang yang suka bermusuhan. Manakala pada sebahagian lafaz menyebutkan, Sesungguhnya Allah turun pada malam nisfu Syaban Sebahagian ulama hadis mensahihkannya, manakala sebahagian lain pula mengingkari kesahihannya. Hadis ini diriwayatkan dari jalur sanad beberapa sahabat, iaitu Muadz B. Jabal, Abu Tsalabah alHutsaini, Abdullah B. Umar, Abu Musa al-Aysari, Abu Hurairah, Abu Bakar ash-Shiddiq, Auf B. Malik, dan Aisyah radhiyallahu anhum ajmain. Direkodkan antaranya oleh Ibnu Majah, Ib nu Abi Syaibah, Abdurrazzaq, ath-Thabrani, al-Bazzar, dan al-Mundziri.

Secara umum antara ulama yang mensahihkannya adalah Ibnu Hibban, Ibnu Hajar al-Haitsami, dan alAlbani. Manakala antara yang menjelaskan kedhaifannya adalah Imam al-Mubarakfuri dalam Tuhfatul Ahwadzi bi Syarah Jami at-Tirmidzi. Seandainya sahih sekalipun hadis ini, maka ia hanya menunjukkan keutamaan malam nisfu syaban secara umum. Sebagaimana kata Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah, Dalam hal ini, pendapat yang dipegang oleh majoriti atau sebahagian besar ulama sama ada dari kalangan sahabat kami ataupun dari selainnya, mereka menyatakan bahawa malam nisfu Syaban adalah malam yang memiliki keutamaan. (Iqtidha ash-Shirathal Mustaqim, 1/302) Walau bagaimanapun, hadis tersebut sedikitpun tidak menunjukkan adanya anjuran untuk mengkhususkan malam tersebut dengan amalan-amalan tertentu sama ada dengan berpuasa, bersolat, berdoa, mengkhatamkan al-Quran, membaca ayat-ayat al-Quran tertentu, atau sebarang bentuk ibadah lainnya. Malah turunnya Allah Tabaraka wa Taala ke langit dunia sebenarnya berlaku di setiap malam. Tidak hanya pada malam nisfu Syaban. Ini sebagaimana hadis dalam dua kitab Shahih (al -Bukhari dan Muslim). Oleh itu, sesiapa yang mahu menyatakan adanya amalan khusus tertentu pada malam nisfu Syaban hendaklah dia mengemukakan dalil yang sahih. Antara ulama yang menegaskan bahawa tiadanya amalan khusus tertentu pada malam nisfu Syaban sama ada dengan solat, puasa, bacaan al -Quran atau yang sewaktu dengannya adalah Ulama tabiin Ahta B. Rabah (Wafat: 114H) dan Zaid B. Aslam (Wafat: 136H), Imam an-Nawawi, Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah, Imam as-Suyuthi, Imam az-Zabidi, alMubarakfuri, dan Syaikh Abdul Aziz B. Bazz. Untuk penjelasan dengan lebih terperinci dalam bab ini, penulis mencadangkan supaya para pembaca meneliti sebuah kitab hasil thesis milik Syaikh Abdullah B. Abdul Aziz at-Tuwaijiri berjudul al-Bida alHauliyyah (Bidah-bidah Sepanjang Tahun), dan buku ini telah pun diterjemahkan. Oleh itu, hendaklah kita menghidupkan amalan-amalan yang telah jelas anjurannya berdasarkan dalildalil yang sahih. Sebaliknya hendaklah kita meninggalkan amalan-amalan yang tidak memiliki dasarnya sedikitpun. Secara umumnya, meninggalkan amalan (ibadah) yang tidak diamalkan dan tidak pula dianjurkan oleh Rasulullah Shallallahu alaihi wa Sallam itu sendiri adalah termasuk salah satu sunnah, manakala menghidupkannya adalah bidah. Wallahu alam.

Anda mungkin juga menyukai