Anda di halaman 1dari 3

Bohong seorang ibu

Memang sukar untuk orang lain percaya,tapi itulah yang berlaku. Ibu saya memang seorang
pembohong!! Sepanjang ingatan saya sekurang-kurangnya 8 kali ibu membohongi saya . Saya perlu
catatkan segala pembohongan itu untuk dijadikan renungan anda sekalian. Cerita ini bermula ketika
saya masih kecil. Saya lahir sebagai seorang anak lelaki dalam sebuah keluarga miskin. Makan minum
serba kekurangan. Kami sering kelaparan. Adakalanya, selama beberapa hari kami terpaksa makan
berlaukkan ikan masin dikongsi satu keluarga. Sebagai anak yang masih kecil, saya sering saja merungut.
Saya menangis mahukan nasi dan lauk yang banyak. Tapi ibu cepat memujuk. Ketika makan, ibu sering
membahagikan bahagian nasinya untuk saya. Sambil memindahkan nasi ke mangkuk saya, ibu berkata : '
' Makanlah nak ibu tak lapar. ' – PEMBOHONGAN IBU YANG PERTAMA.

Ketika saya mulai besar ibu yang gigih sering meluangkan watu senggangnya untuk pergi memancing di
tali air berhampiran rumah. Ibu berharap dari ikan hasil pancingan itu dapat memberikan sedikit
makanan untuk membesarkan kami adik-beradik. Pulang dari memancing, ibu memasak gulai ikan yang
segar dan mengundang selera. Sewaktu saya memakan gulai ikan itu ibu duduk disamping kami dan
memakan sisa daging ikan yang masih menempel di tulang daripada bekas sisa ikan yang saya makan
tadi. Saya sedih melihat ibu seperti itu.. Hati saya tersentuh lalu dengan menggunakan sudu saya
memberikan ikan itu kepada ibu. Tetapi ibu dengan cepat menolaknya. Ibu berkata : ' Makanlah nak, ibu
tak suka makan ikan. ' – PEMBOHONGAN IBU YANG KEDUA.

Di usia awal remaja, saya masuk sekolah menengah. Ibu pergi ke kedai dengan membawa sejumlah
penyapu lidi dan kuih-muih untuk menyara persekolahan saya,abang dan kakak. Suatu dinihari lebih
kurang pukul 1.30 pagi saya terjaga dari tidur. Saya melihat ibu membuat kuih dengan beremankan
sebuah pelita di hadapannya. Beberapa kali saya melihat kepala ibu terhangguk kerana mengantuk. Saya
berkata : ' Ibu, tidurlah, esok pagi ibu kena pergi kebun pula. ' Ibu tersenyum dan berkata : ' Cepatlah
tidur nak, ibu belum mengantuk lagi. ' – PEMBOHONGAN IBU YANG KETIGA.

Di hujung musim persekolahan, ibu meminta cuti kerja supaya dapat menemani saya pergi ke sekolah
untuk menduduki peperiksaan penting. Ketika hari sudah siang, terik panas matahari mulai menyinari,
ibu terus sabar menunggu saya di luar dewan. Ibu seringkali saja tersenyum dan mulutnya terkumat-
kamit berdoa kepada Illahi agar saya lulus ujian peperiksaan ini dengan cemerlang. Ketika loceng
berbunyi menandakan ujian sudah selesai, ibu dengan segera menyambut saya dan menuangkan kopi
yang sudah disiapkan dalam botol yang dibawanya. Kopi yang kental itu tidak dapat dibandingkan
dengan kasih sayang ibu yang jauh lebih kental. Melihat tubuh ibu yang dibasahi peluh, saya segera
memberikan cawan saya itu kepada ibu dan menyuruhnya minum. Tapi ibu cepat-cepat menolaknya dan
berkata : ' Minumlah nak, ibu tak haus!! ' – PEMBOHONGAN IBU YANG KEEMPAT.

Setelah pemergian ayah kerana sakit, iaitu selepas saya baru beberapa bulan dilahirkan, ibulah yang
mengambil tugas sebagai ayah kepada kami sekeluarga. Ibu bekerja mengambil upah di kebun,
membuat penyapu lidi dan menjual kuih-muih agar kami tidak kelaparan. Tapi apalah sangat kudrat
seorang ibu. Kehidupan keluarga kami semakin susah dan susah. Melihat keadaan keluarga yang
semakin parah, seorang pakcik yang baik hati dan tinggal berjiran dengan kami, datang untuk membantu
ibu. Anehnya, ibu menolak bantuan itu. Jiran-jiran sering kali menasihati ibu supaya menikah lagi agar
ada seorang lelaki yang akan menjaga dan mencarikan wang untuk kami sekeluarga. Tetapi ibu yang
keras hatinya tidak mengendahkan nasihat mereka. Ibu berkata : ' Saya tidak perlukan cinta dan saya
tidak perlukan lelaki. ' – PEMBOHONGAN IBU YANG KELIMA.

Setelah kakak dan abang habis belajar dan mula bekerja, ibu sudah pun tua. Kakak dan abang menyuruh
ibu supaya berehat sahaja di rumah. Tidak payahlah lagi bersusah payah dan bersengkang mata untuk
mencari duit. Tetapi ibu tidak mahu. Ibu rela pergi ke pasar setiap pagi menjual sedikit sayur untuk
memenuhi keperluan hidupnya. Kakak dan abang yang bekerja jauh di kota besar sering mengirimkan
wang untuk membantu memenuhi keperluan ibu, pun begitu ibu tetap berkeras tidak mahu menerima
wang tersebut. Malahan ibu mengirim balik wang itu dan ibu berkata : ' Jangan susah-susah, ibu ada
duit. ' – PEMBOHONGAN IBU YANG KEENAM. Setelah tamat pengajian di universiti, saya melanjutkan
lagi pelajaran ke peringkat sarjana di luar Negara. Pengajian saya di sana dibiayai sepenuhnya oleh
sebuah syarikat besar. Sarjana itu saya sudahi dengan cemerlang,kemudian saya pun bekerja dengan
syarikat yang telah membiayai pengajian saya juga di luar negara. Dengan gaji yang agak lumayan, saya
berhajat membawa ibu untuk menikmati penghujung hidupnya di luar negara. Pada pandangan saya, ibu
sudah puas bersusah payah untuk kami. Hampir seluruh hidupnya habis dengan penderitaan, eloklah
kalau hari-hari tuanya ini ibu habiskan dengan keceriaan dan keindahan pula. Tetapi ibu yang baik hati,
menolak ajakan saya. Ibu tidak mahu menyusahkan anaknya ini dengan berkata ; ' Tak payahlah, ibu tak
biasa tinggal di negara orang. ' – PEMBOHONGAN IBU YANG KETUJUH.
Beberapa tahun berlalu, ibu semakin tua.. Suatu malam saya menerima berita ibu diserang penyakit
kanser. Ibu mesti dibedah secepat mungkin. Saya yang ketika itu berada jauh diseberang samudera terus
segera pulang untuk menjenguk ibunda tercinta. Saya melihat ibu terbaring lemah di katil hospital
setelah menjalani pembedahan. Ibu yang kelihatan sangat tua, menatap wajah saya dengan penuh
kerinduan. Ibu menghadiahkan saya sebuah senyuman biarpun agak kaku kerana terpaksa menahan
sakit yang menjalari setiap inci tubuhnya.. Saya dapat melihat dengan jelas betapa seksanya penyakit itu
telah memamah tubuh ibu sehingga ibu menjadi terlalu lemah dan kurus. Saya menatap wajah ibu
sambil berlinangan air mata . Saya cium tangan ibu kemudian saya kecup pula pipi dan dahinya. Di saat
itu hati saya terlalu pedih, sakit sekali melihat ibu dalam keadaan seperti ini. Tetapi ibu tetap tersenyum
dan berkata : ' Jangan menangis nak, ibu tak sakit. ' – PEMBOHONGAN IBU YANG KELAPAN.
Setelah mengucapkan pembohongan yang kelapan itu, ibunda tercinta menutup matanya untuk kali
terakhir kali. Anda bertuah kerana masih mempunyai ibu dan ayah. Anda boleh memeluk dan
menciumnya. Kalau ibu anda jauh dari mata, anda boleh menelefonnya sekarang, dan berkata, 'Ibu,saya
sayangkan ibu.' Tapi tidak saya. Sehingga kini saya diburu rasa bersalah yang amat sangat kerana
biarpun saya mengasihi ibu lebih dari segala-galanya, tapi tidak pernah sekalipun saya membisikkan
kata-kata itu ke telinga ibu, sampailah saat ibu menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Anda mungkin juga menyukai