Anda di halaman 1dari 12

Fenomena gerakan tawhib (mewahabikan orang)

Label: Isu-isu ASWJ


Penulis mulakan tulisan ini dengan firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 10 :

Dalam hati mereka (golongan yang munafik itu) terdapat penyakit (syak
dan hasad dengki), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada
mereka; dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi
sakitnya, dengan sebab mereka berdusta (dan mendustakan kebenaran).

Penulis berlindung dengan Allah SWT daripada sebarang perasaan hasad
dengki, niat buruk dan perancangan jahat daripada mana-mana orang
yang "berpenyakit hati", semoga Allah memberi hidayah dan petunjuk-
Nya kepada penulis dan mengampunkan dosa orang yang "berpenyakit
hati".


Penulis sebenarnya amat yakin, antara punca segala kekeliruan,
kekecohan, penyelewengan, pendustaan dan pembohongan adalah
bermula daripada "penyakit hati". Seseorang tidak akan bertindak
mengata, menuduh semberono, menempelak, memperlekeh,
menjatuhkan maruah orang dan lain-lain jika hatinya benar-benar ikhlas,
suci dan murni. Hanya hati yang rosak dan punah sahaja yang akan
melakukan itu semua. Apatah lagi jika hati yang rosak itu datang
daripada seorang bergelar 'ustaz', 'ahli tariqat', 'syeikh mursyid' dan
pelbagai lagi gelaran keagamaan yg pastinya akan melambangkan
kethiqahannya (kebolehpercayaannya) di kalangan para pengikut fanatik.


Dalam banyak-banyak fenomena, "gerakan tawhib" adalah salah satu
fenomena yang jelas menunjukkan betapa implikasi hati yang rosak itu
bertindak. Bak kata pepatah, 'membujur lalu melintang patah', golongan
ini tanpa menghiraukan sesiapapun, apapun keadaan dan situasi yg
sebenar, faktanya, kesahihannya..hanya jika boleh dikaitkan dengan
Wahhabi maka dicoplah orang yang dituduhnya itu Wahhabi walaupun
mungkin orang yang dituduh langsung tidak tahu menahu apa itu
Wahhabi, bahkan mungkin orang itu juga sebenarnya adalah penentang
Wahhabi!


Pada asasnya, gerakan tawhib bukanlah suatu fenomena yang pelik jika
dilakukan oleh penganut Syiah. Ini kerana, golongan Syiah memang bijak
mengkambinghitamkan fahaman Wahhabi untuk meloloskan diri mereka
masuk bersama-sama golongan Ahli Sunnah Wal-Jamaah (Asya'irah-
Maturidiyyah). Mereka mendakwa hanya Wahhabi lah yang menolak
Syiah, selain daripada Wahhabi mereka tidak akan menolak Syiah, malah
akan rapat dan boleh berkawan serta menerima Syiah sebagai mazhab
kelima. Adapun yang menolak Syiah itu semata-mata adalah Wahhabi.
Walaupun pada zahirnya mereka itu adalah penganut dan pendukung
mazhab ASWJ Asya'irah Syafi'iyyah, namun hakikatnya di sisi Syiah
mereka itu tetap Wahhabi penyamar yang merosakkan perpaduan umat
Islam.



Bagi penulis, ini adalah taktik biasa Syiah untuk mengelirukan orang awam kalangan penganut Sunni.
Sebagai contoh, dalam kes terbaru di Melaka, antara buku yang dirampas oleh Jabatan Agama Islam
Melaka dalam serbuan tersebut adalah sebuah buku tanpa penulis dan penerbit berjudul "Benarkah
Salafi-Wahabi Pemusnah Islam dan Pembunuh Umatnya".


Apa yang menarik adalah kerakusan dan kegelojohan puak Syiah Malaysia melabelkan ramai tokoh
ilmuan dan para asatizah sebagai Wahabi secara membuta tuli termasuk Pengerusi Fatwa Kebangsaan,
Tan Sri Prof. Emeritus Dr. Abdul Shukor Husin, Ketua Pengarah Jakim, Tn Hj Othman Mustapha, Dr.
Zahazan Muhammad, Dr. Abdul Basit Abd Rahman, Prof. Zakaria Stapa, Prof. Dato' Dr. Mahmood Zuhdi,
penulis sendiri dan lain-lain. Dalam memorandum Syiah kepada YDP Agong lebih mengejutkan apabila
al-Fadhil Us. Uthman El-Muhammady yang amat tegas dalam mendepani Wahhabi turut dilabel oleh
Syiah jadian sebagai Wahhabi nawasib.

Sebaliknya ustaz-ustaz yang turut sama membantai Wahhabi dan agak
lunak terhadap Syiah tidak dimasukkan pula dalam senarai yang dikutuk
Syiah, tetapi tulisan-tulisan mereka dijadikan hujjah sokongan terhadap
kebenaran Syiah dan kebatilan Wahhabi. Nama-namanya tidak perlu
disebutkan di sini kerana mereka itu memang pun terkenal di kalangan
pengikutnya.


Itu kisah gerakan tawhib di kalangan Syiah, apa yang menjadi ralat,
adalah kegelojohan mentawhib di kalangan ustaz-ustaz Sunni sendiri.
Sehinggakan jika tiada bukti pun maka bukti palsu pun sanggup
direkayasa, dicetak dan dijual kepada umum! Apa yang penting orang
yang dituduh itu berjaya ditawhibkan, maka jadilah ustaz itu Wahhabi
yang 'najis' di kalangan orang awam yang tidak tahu apa-apa.


Fitnah buku "Siapa sebenarnya Wahhabiy"


Penulis sebenarnya, tidak pernah terbayang akan menjadi mangsa tawhib. Masakan logik kerana
penulis sendiri beraqidah Asya'irah dan bermazhab Syafi'i. Mempelajari Syarh Jauharat al-Tawhid
karangan al-Laqqani dan kitab-kitab Syafi'iyyah secara talaqqi. Pernah mengajar kitab fiqh Syafi'i,
Fathul Mu'in, Kifayatul Akhyar, Sifat Dua Puluh dengan syarh kitab Usuluddin al-Islami dll.
Bagaimanapun dengan dasar yang terbuka dan bersifat muqaranah ketika pengajian di peringkat
BA di Jordan, maka penulis diajar untuk menilai setiap aliran yang lain secara ilmu, adil dan
beradab. Bermakna apa jua hikmah yg boleh diambil dari aliran lain, maka tiada sebab untuk
ianya tidak dimanfaatkan, tetapi hendaklah disesuaikan dengan waqi' dan keadaan setempat, lebih
penting hendaklah meraikan aliran arus perdana sedia ada.


Isu buku Muhammad bin Abdul Wahhab


Antara punca tuduhan Wahhabi dikenakan kepada penulis, berpunca daripada satu risalah kecil
karangan penulis berjudul Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab (SMAW) ketika menjadi Imam 1
di Masjid Jamik Sultan Abdul Aziz Petaling Jaya. Risalah itu ditulis atas permintaan para jemaah
masjid yang ingin mengetahui apakah itu Wahhabi dan asal usulnya. Apa yang cuba penulis
sampaikan adalah pandangan yang adil dan sederhana terhadap tokoh yang dikaitkan dengan
terasasnya gerakan Wahhabi. Ini langsung tidak bermakna penulis bersetuju dengan uslub dakwah
Wahhabiyah yang wujud di negara kita pada hari ini. Kerana itu, banyak dalam kuliah-kuliah,
penulis membetulkan tuduhan-tuduhan keras pengikut Wahhabi seperti bidah tahlil, tidak
sampainya bacaan al-Quran kepada si mati, wirid selepas solat dan lain-lain. Bagi penulis,
mengambil sudut positif yang wujud pada dakwah dan pemikiran SMAW tidak bermakna penulis
menerima semua pendekatan yang dibawa oleh beliau.


Perkara ini, dapat dilihat sebagaimana pendekatan yang diambil oleh
ramai para ulama Asyairah mutaakhirin yang memilih tidak
berkonfrontasi dengan sejarah dan sumbangan SMAW yang pada
hakikatnya telah pun pergi menemui Penciptanya. Sesungguhnya Dia
Maha Mengetahui dan Maha Menghakimi atas setiap perbuatan hamba-
hamba-Nya. Oleh itu, tidak hairan kita melihat bagaimana para ulama
tersebut mengambil sudut positif atas sumbangan yang telah diberikan
oleh SMAW.


Antara ulama tersebut adalah Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi yang banyak menyentuh tentang jasa
dan sumbangan SMAW di dalam kitab-kitab dan tulisan-tulisannya. Contohnya, al-Qaradawi
menyebut SMAW (dengan gelaran al-Imam) sebagai antara tokoh muslih yang mengutamakan
penyucian aqidah dari perkara khurafat dan syirik di dalam kitabnya Fi Fiqh al-Awlawiyyat.

Manakala Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili pula pernah mengarang buku
berjudul Taaththur al-Daawaat al-Islahiyyah al-Islamiyyah bi Dawah al-
Syaikh Muhammad bin Abd al-Wahhab. Buku ini menyebut tentang
sumbangan dan pengaruh dakwah SMAW terhadap gerakan-gerakan
pengislahan Islam.


Begitu juga beberapa ulama al-Azhar yang terkenal seperti bekas Syeikh
al-Azhar al-marhum Jaad al-Haq Ali Jaad al-Haq dan al-marhum Syeikh
Muhammad al-Ghazali. Antaranya Syeikh Jaad al-Haq Ali Jaad al-Haq
menyebut dalam kitabnya Bayaan linnaas:


" " ""
1111 " 1071 "
1071 " 1070 ... "
...
Bahawa muncul pada kurun ke 18 miladi, satu gerakan islah di
Semenanjung Tanah Arab dikenali sebagai Wahhabiyah sempena nama
pengasasnya Muhammad bin Abdul Wahhab yang dilahirkan di Uyaynah,
Najd pada tahun 1116/1704 yang wafat pada bulan Syawal 1206/1792
seperti yang disebutkan dalam sesetengah rujukandakwah ini (beliau)
adalah berdasarkan penyucian agama daripada kekotoran aqidah dan
akhlak.


Syeikh Muhammad al-Ghazali pula menyebut dalam kitabnya al-Dawah
al-Islamiyyah tastaqbil qarnaha al-khamis asyar berkenaan dakwah
SMAW:

"


. .
... "
Walaupun kita kecewa dengan orang-orang Arab atas kegagalan mereka
berkhidmat bagi kebudayaan Islam yang sahih pada ketika kurun-kurun
kejatuhan pemerintahan Turki, tetapi kita mengingati bahawa satu-
satunya gerakan yang membangunkan orang Arab untuk pengislahan
aqidah dan ibadah serta memadamkan apa yang dicemari oleh
penyelewengankami maksudkan ialah gerakan islah yang dijalankan
oleh Muhammad bin Abdul Wahhab di Semenanjung Tanah Arab.


Selain itu kita juga boleh melihat sanjungan tinggi yang diberikan oleh
Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah, salah seorang ulama Syam terhadap
SMAW. Lebih mengagumkan pujian terhadap SMAW diberikan ketika
beliau menulis kitab yang mengkritik beberapa tokoh aliran Wahhabi iaitu
Syeikh Nasiruddin al-Albani dan beberapa lagi. Beliau menyebut dalam
kitabnya Kalimaat fi Kasyf Abathil wa Iftiraaaat berkenaan SMAW :



Adapun SMAW rahimahullah taala, beliau adalah imam dakwah tanpa
ragu, beliau berdakwah menyeru kepada Allah taala, beliau bangkit
berdakwah dengan perbuatan, ucapan, ilmu dan tintanya


Bagaimanapun, dalam banyak-banyak pendirian ulama Asyairah
terhadap SMAW, pandangan Muhaddith al-Haramayn Syeikh Muhammad
Alawi al-Maliki di dalam kitabnya Mafahim Yajib an Tusahhah paling
memberi kesan yang mendalam terhadap pendekatan penulis kepada
golongan Wahhabi. Kita dapat lihat bagaimana pendekatan yang penuh
hikmah dan bijaksana digunakan oleh beliau dalam berhadapan dengan
ketaksuban dan kefanatikan golongan Wahhabi terhadap aliran mereka.
Beliau menggunakan pendekatan dengan membersihkan segala tuduhan
yang dipalitkan kepada SMAW seperti tuduhan SMAW menolak mazhab,
mengkafirkan umat Islam, menolak tawassul dan pelbagai lagi yang
dikaitkan dengan SMAW dan menjadi ikutan kepada pengikut Wahhabiyah
(inilah yang penulis bentangkan dalam risalah kecil tersebut). Melalui
pembersihan terhadap peribadi, dakwah dan pemikiran SMAW, Syeikh
Muhammad Alawi mengajak supaya pengikut aliran Wahhabi berpatah
balik dan mengambil pendekatan yang sebenar sebagaimana yang
dianjurkan oleh pengasas gerakan mereka, SMAW. Malah antara
ungkapan beliau yang memuji dan menunjukkan tazkiyah beliau terhadap
SMAW adalah tulisannya :

:


Dan ini dia imam tauhid dan ketua golongan muwahhidin yang
mengungkapkan ucapannya yang benar dengan hikmahnya yang
bijaksana yang dengannya tersebar dakwahnya antara manusia dan
termasyhur gerakannya di kalangan golongan agama dan awam.

Ringkasnya, setelah disenaraikan beberapa tokoh ulama besar Asyairah
di atas dan pandangan positif mereka terhadap pengasas gerakan
Wahhabi, dapat disimpulkan bahawa; Menyebut dan menyanjung
sumbangan seseorang yang berbeza aliran atau mazhab bukan bermakna
kita menganut aliran atau mazhab mereka. Adakalanya para ulama ingin
menunjukkan sikap tasamuh (toleransi), hormat menghormati dan
sangka baik mereka terhadap tokoh-tokoh yang telah meninggal
dunia.Adakalanya juga ia sebagai suatu pendekatan yang
berhikmah dalam menyedarkan pengikut aliran tersebut daripada
kefanatikan dan ketaksuban yang pada hakikatnya menyalahi
pendekatan yang dibawa oleh pengasas aliran mereka sendiri.

Oleh itu, jika dengan pendekatan para ulama Asyairah ini memuji dan
menyanjung seorang tokoh yang berbeza aliran, maka dianggap mereka
adalah penganut atau bias aliran tersebut, maka silalah kepada mereka
yang dangkal pemikirannya untuk menuduh Syeikh al-Qaradawi, Syeikh
Wahbah al-Zuhaili, Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah, Syeikh Muhammad
al-Ghazali, Syeikh Muhammad Alawi al-Maliki dan ramai lagi seperti
Syeikh 'Athiyyah Saqr (mantan Ketua Lajnah Fatwa al-Azhar), Syeikh
Salim Muhammad Salim (Setiausaha Lajnah Fatwa al-Azhar) dll sebagai
Wahhabi atau bias Wahhabi. Apa lagi terhadap penulis yang teramat daif
ini

Sementara itu, Panel Kajian Aqidah Jakim sendiri, sekurangnya-
kurangnyatelah membentangkan isu Wahhabi sebanyak tiga kali iaitu
pada mesyuarat Panel Kajian Aqidah kali ke-14 pada 21 Mac 2000,
mesyuarat Panel Kajian Aqidah kali ke-20 bertarikh 29 April 2002 dan
mesyuarat Panel Kajian Aqidah kali ke-23 bertarikh 13 Mac
2003. Kesemua mesyuarat telah memutuskan bahawa aqidah yang
dibawa oleh Muhammad bin Abdul Wahab tidak bersalahan dengan aqidah
Ahli Sunnah Wal-Jamaah tetapi pengikut Wahhabi membesarkan perkara
bidah dan khilafiah.


Selain itu, ia juga telah dibincangkan oleh Muzakarah Jawatankuasa
Fatwa Kebangsaan iaitu pada kali ke-12 (1985), kali ke-14 (1985), kali
ke-16 (1986), kali ke-40 (1996), kali ke-42 (1997) dan kali ke-44 (1998).
Kesemua keputusan adalah menyekat penularan fahaman Wahhabiyyah
atas alasan isu-isu khilafiyyah fiqhiyyah yang dibangkitkan boleh
menggugat perpaduan umat Islam di Malaysia. Bagaimanapun keputusan
tersebut tidak memutuskan Wahhabiyyah sebagai ajaran sesat.

Semua keputusan ini dibuat sebelum penulis mula bertugas di Jakim pada
tahun 2005. Bermakna sebarang dakwaan yang mengatakan penulis
bertanggungjawab sehingga menyebabkan Wahhabi tidak difatwakan
sesat adalah satu pendustaan oleh orang yang menuduh. Kepada Allah
jualah penulis serahkan urusan penuduh-penuduh itu.


Penulis sendiri sebenarnya, dalam banyak tulisan, cuba menegur dan
menasihati rakan-rakan Salafi agar sentiasa menjaga adab dan disiplin
ilmu dalam membahaskan masalah agama. Antara tulisan-tulisan penulis
yang mengkritik tokoh dan gerakan Wahhabi seperti isu
tawassul , kritikan Asya'irah terhadap Salafi , pesanan buat pendukung
salafi , isu mengintip , kritik mufti perlis , risalah Bahaya Anti Mazhab ,isu
Maulidur Rasul , isu bid'ah dan lain-lain.


Tetapi penulis amat faham, gerakan tawhib memang tidak mengira
sasarannya, sesiapa sahaja yang dianggap musuh, tetap saja akan
diwahabikan.

Demi tawhib sanggup bercakap bohong

Dalam buku "Siapa sebenarnya Wahhabiy" juga mendakwa penulis
'menyusup masuk' ke taklimat MKN berkenaan isu Wahhabi dan dikhuatiri
membongkar maklumat sulit berkenaan. Bagi penulis ini adalah tuduhan
yang paling menjijikkan daripada seorang bergelar ustaz. Malah penulis
yakin, si penuduh yang mengarang buku ini sedia maklum bahawa dia
telah menipu dan berbohong kepada para pengikutnya. Tanpa apa-apa
bukti, tiba-tiba membuat kenyataan palsu kononnya penulis menyusup
masuk ke taklimat tersebut sedangkan penulis diminitkan oleh Pengarah
Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Jakim di atas surat jemputan
MKN supaya menjadi wakil rasmi Jakim ke taklimat tersebut. Adakah
pergi sebagai wakil rasmi dianggap sebagai menyusup masuk? Kedua,
penulis dituduh membocorkan maklumat sulit tersebut kepada pihak
media tanpa mengemukakan sebarang bukti. Penulis juga yakin penuduh
tahu bahawa dirinya telah berdusta. Jika penuduh bercakap benar, sila
laporkan tuduhan tersebut kepada polis supaya siasatan dapat dilakukan.

Oleh sebab itu, dalam blog ini juga penulis telah bersumpah atas nama
Allah, bahawa Allah menjadi saksi akan tuduhan pengarang buku ini
adalah dusta, palsu dan berniat jahat untuk menjatuhkan integriti penulis
sebagai pegawai kerajaan.

Kepada pengarang buku "Siapakah Sebenarnya Wahhabiy", penulis
ingatkan beliau dengan hadith-hadith Rasulullah SAW berikut :

Rasulullah SAW bersabda :


Cukuplah seseorang dikatakan berdusta, jika ia menceritakan setiap
yang dia dengar (tanpa saringan)". (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dan hadith Rasulullah SAW :


Tanda-tanda munafik itu ada tiga: jika bicara berdusta, jika berjanji menyelisihi janjinya, dan jika diberi
amanah mengkhianati. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Isu Jurnal Penyelidikan Islam

Penulis sebenarnya telah bawakan gambaran yang adil terhadap fahaman
Wahhabiyah sesuai dengan keputusan Panel Kajian Aqidah Jakim yang
mengatakan Wahhabiyah masih termasuk di kalangan Ahli Sunnah Wal-
Jamaah (ASWJ), tetapi isu-isu furu yang dibangkitkan perlu ditangani.
Kerana itu, dalam tulisan jurnal tersebut, penulis cuba bentangkan pro
dan kontra aliran Wahhabiyah. Bagaimanapun orang yang tidak
berpegang pada keputusan Jakim mengenai Wahhabiyah sememangnya
pada awal-awal lagi akan menolak tulisan ini kerana bagi mereka
Wahhabiyah adalah sesat lagi menyesatkan dan terkeluar daripada ASWJ,
malah sebahagiannya mengatakan terkeluar daripada Islam kerana
mereka adalah golongan mujassimah.


Dalam satu artikel lain tentang Wahhabi, penulis sendiri pernah menyebut
dengan jelas bahawa "Adapun doktrin yang melampau di dalam aqidah sehingga
menjisimkan Allah SWT dengan perkataan-perkataan yang jelas seperti golongan
Karramiyyah atau mencaci dan menghina pegangan kepada mazhab adalah dilarang dan
terkeluar daripada prinsip Ahli Sunnah Wal-Jamaah". Perkataan penulis ini kemudiannya
dinukilkan oleh ramai orang termasuk kalangan mereka yg mewahabikan penulis sendiri.

Untuk mengetahui pendirian lanjut penulis tentang soal tajsim dan
mujassimah, sila dengar rakaman kuliah berikut. Klik di sini .

Isu al-Ahbasy

Berkenaan isu al-Ahbasy, pengarang buku mendakwa kononnya penulis
telah menuduh dan menjaja ke sana ke mari bahawa Syeikh Abdullah al-
Harari dan jemaahnya sebagai sesat. Seingat penulis, ketika kali pertama
kertas kajian tentang al-Ahbasy dibentangkan dalam mesyuarat Panel
Kajian Aqidah Jakim (PKA) kali ke-36 pada 15 November 2007, penulis
sendiri telah menulis dalam kesimpulan kertas itu bahawa kumpulan al-
Ahbasy dan yang sealiran dengannya adalah termasuk ke dalam golongan
ASWJ kerana mereka beraliran Asyairah dalam aqidah dan bermazhab
Syafii dalam fiqh. Apa yang ditolak adalah dasar beragama yang ekstrim
sehingga mengkafirkan golongan yang tidak sependapat.

Isu Ahbasy sekali lagi dibentangkan dalam mesyuarat PKA kali ke-41
pada 8-10 Disember 2010 setelah satu kajian dibuat oleh penulis dan
duaorang ahli PKA di Lubnan. Hasil kajian memutuskan bahawa,
metodologi dakwah Syeikh Abdullah al-Harari dan Jamiyyah al-Masyari
al-Khairiyyah al-Islamiyyah serta yang sealiran dengannya
berkemungkinan hanya sesuai dengan waqi setempat di Lubnan tetapi ia
tidak sesuai untuk digunapakai di negara ini.

Walaupun dalam kajian tersebut, penulis dan ahli PKA telah mendengar
kritikan yang sangat negatif terhadap Syeikh Abdullah al-Harari dan
jemaah al-Ahbasy ketika menemuramah Prof. Dr. Muhammad Said
Ramadhan al-Buthi, bagaimanapun kritikan itu diabaikan kerana ingin
berlaku adil kepada al-marhum Syeikh Abdullah dan pengikutnya. Jika
penulis berniat jahat terhadap jemaah al-Ahbasy, mungkin boleh sahaja
penulis sebarkan rakaman video temuramah bersama al-Buti itu yang
sememangnya amat keras terhadap al-Harari dan jemaahnya. Malah
penulis boleh sifatkan kritikan al-Buti terhadap al-Ahbasy jauh lebih keras
berbanding kritikannya terhadap Wahhabiyah.

Oleh itu, tuduhan pengarang bahawa penulis menjaja ke sana ke mari
kononnya jemaah al-Ahbasy adalah sesat hanyalah rekayasa
beliausendiri untuk mengambarkan seolah-olah penulis seorang Wahhabi
tegar yang gemar menuduh orang secara membuta tuli.


Hentikan gerakan tawhib (mewahabikan orang)


Penulis melihat kebelakangan ini, wujud kecenderungan yang melampau untuk mewahabikan orang itu
dan orang ini. Apakah sebenarnya faedah daripada gerakan ini? Jika itu dikatakan dakwah ASWJ, ia
sudah tentu batil kerana tujuan dakwah ASWJ adalah untuk mendekatkan diri seorang da'i kepada
mad'u-nya, bukan menjauhkan atau menjatuhkan maruah orang lain dengan tuduhan-tuduhan dan
label-label tertentu. Gerakan ini seolah-olah ingin mengatakan sesiapa sahaja yang mempunyai apa-apa
kaitan (dalam apa jua bentuk) dengan ulama kerajaan Saudi, universiti di Saudi, tokoh-tokoh Salafi
seperti Muhammad b. Abdul Wahhab, Ibn Kathir, Ibn Qayyim, Ibn Taimiyyah dll maka dijangkiti virus
Wahhabi, bahaya dan boleh membawa kepada keganasan.

Bagi penulis, ini bukan pendekatan yang digunakan oleh para ulama Sunni yang soleh dan ikhlas dalam
berdakwah. Kita boleh lihat bagaimana institusi Sunni (Asya'irah-Maturidiyyah) terkemuka dunia,
Universiti al-Azhar dan seluruh para ulamanya menangani isu Salafiyyah/Wahhabiyyah dengan penuh
hikmah dan bijaksana bukan secara membuta tuli, tuduh menuduh, fitnah memfitnah seperti sikap
sesetengah pendakwah sunni di negara ini. Pengajaran ketika penulis berkursus di Masyiyakhah al-Azhar
sangat bermanfaat dan menginsafkan dalam hal ini.


Soalnya, jika kegelojohan mentawhibkan orang ini terus berleluasa, siapa yang untung? Ye, bukan Ahli
Sunnah yg untung sebaliknya tentulah golongan seperti Syiah dan ajaran sesat lain yg untung. Ingat!
Bagi puak Syiah, lagi ramai ustaz-ustaz yang berjaya diwahabikan, makin berjayalah gerakan mereka...

Wallahu a'lam.

Anda mungkin juga menyukai