Anda di halaman 1dari 5

ARKIB : 06/04/2014

Bot Air 10
Oleh Abang Median Abang Said
Bot Air 10 milik ayah hilang !
Hanya kata-kata itulah yang sering berpeleseran dalam mindanya.
Masih belum ada khabar ?"
Hanya soalan yang itu yang menjajahi mulut dan artikulasi fonetik lidah.
Kami hanya terus menanti."
Hanya itu sahaja harapan yang ada. Tiada lain.
Setiap pagi, tengah hari dan setiap petang Apis memasang pukat harapan di pinggir pantai.
Tiada senja yang indah buatnya biarpun dengan warna jingga yang berserakan di langit
ditompoki awan yang membentuk pelbagai bentuk. Senja tetap memeluknya dalam kesepian
hingga menerobos ke jendela rumahnya yang terbuka luas. Namun yang pasti, senja itu tetap
hanya menghantar sinar harapan yang belum bertukar menjadi cahaya kegembiraan. Setiap
petang, Apis akan berdiri, berpeluk tubuh, mengeluh - seperti menanti senja ditelan gelap
kesedihan mengenangkan harapan yang belum kesampaian. Sudah tiga minggu Apis
menanti ayahnya pulang. Sudah tiga minggu dia dan Tira hanya diulit kerinduan.
Bot Air 10 milik ayahnya yang digunakannya ke laut untuk menangkap ikan tidak pulang-
pulang dalam situasi badai menggulung tinggi pada musim tengkujuh. Lebih melonglaikan
sendi tubuh tatkala mendengar pelbagai cerita. Cerita-cerita itu pula hanya bersifat andaian
tanpa dapat dibuktikan. Hanya kedut dan kerut kebimbangan yang menghiasi wajah.
Apis sedar, laut adalah padang permainan ayahnya sejak kecil. Ayahnya seperti berlari di
lautan. Ibarat ayahnya hanya mengutip hasil tangkapan seperti mengutip batu di jalanan.
Tidak ada yang susah dalam rutin permainan itu. Ayahnya sudah mengendalikan bot
nelayan itu sejak usia belasan tahun lagi. Dia kenal seluk-beluk di lautan - di mana
selekohnya, di mana gunung ombak yang bergulung, jalan, simpang dan semuanya. Asin laut
sudah menjadi udara dalam nafasnya. Asin laut sudah bersebati dengan peluh yang
sememangnya masin.
Tapi bukan musim tengkujuh yang merisaukan Apis, biarpun kemungkinan cuaca turut
dilambung ombak resah dalam segara minda. Keadaan cuaca akan memungkinkan
segalanya tapi Apis lebih risaukan dua orang pekerja yang menemani ayahnya menangkap
ikan di laut. Ayahnya tidak lagi berkongsi bot dengan Pak Cik Aibah. Ayahnya telah membeli
beberapa buah bot lain untuk disewa. Dia hanya menggunakan Bot Air 10. Setiap bot
diberikan nama yang tersendiri. Memang rezeki ayahnya agak murah sejak kebelakangan
ini. Harga hasil tangkapan juga agak memuaskan sejak mereka tidak lagi menggunakan
peraih atau orang tengah untuk memasarkan hasil tangkapan. Keuntungan pastinya akan
bertambah. Ayahnya jugalah yang menggerakkan usaha untuk menubuhkan koperasi
nelayan di kampung itu. Hasil tangkapan akan dibuat keropok yang akan diusahakan oleh
golongan wanita.
Sememangnya hatinya dicolok rasa kurang senang tatkala ayahnya didatangi dua orang
pemuda yang bukan berasal dari kampung tersebut. Kelancaran berbahasa tempatan mereka
juga menerbitkan syak wasangka. Sorot mata dengan mulut yang sedikit herot begitu
meresahkan Apis.
Jangan hanya melihat seseorang itu dari luar. Apa yang tersimpan di dalam hati, kita
tidak mampu untuk meneka. Hanya Tuhan sahaja yang mengetahui."
Kata-kata bujukan ayahnya tidak mampu menepis sejengkal pun prasangka yang mengusik.
Apabila dikenang-kenang kata-kata itu, kebimbangan Apis memang berasas.
Bermacam-macam cerita yang Apis dengar hingga mengocak kolam ketenangan jiwanya
hingga menjadi laut yang bergelora. Semua cerita itu berbaur. Cerita itu menjadi tali yang
berselirat. Semuanya berkecamuk.
Ada beberapa orang nelayan yang melihat bot ayahnya belayar jauh daripada biasa. Bot itu
laju membelah laut. Pecah cerita itu di warung Wak Dollah. Ayahnya memang jarang
mengemudi botnya sejauh itu. Sungguh, tidak pernah begitu. Timbul andaian bahawa
ayahnya ingin mencari lebih banyak tangkapan terutama untuk menampung upah pekerja
baru. Argh! Lagi-lagi andaian hitam juga yang berarak di langit hatinya menyembunyikan
gunung harapan.
Kemusykilan kian menyesak dalam dadanya tatkala ayahnya tidak pernah memberitahunya
bahawa dia ingin menangkap ikan hingga ke kawasan laut dalam. Lagi pun, bot ayahnya
tidak mempunyai kelengkapan yang canggih. Kelengkapan botnya biasa-biasa sahaja.
Setelah tiga hari ayahnya tak balik-balik, memang hati Apis terasa hendak pecah. Tenggelam
segala kepositifan yang cuba diapungkan dalam fikiran. Yang tinggal hanya awan hitam yang
berarak dalam jiwa.
Dia tidak tunggu lama. Dia terus laporkan perkara itu dengan penghulu. Lepas itu, dia
laporkan pula perkara itu kepada pihak polis. Hatinya memang kuat menebak - ada sesuatu
yang tidak baik berlaku pada ayahnya. Adiknya, Tira yang berusia empat tahun, asyik
bertanyakan ayahnya. Semenjak kematian ibu dua tahun yang lalu, Tira memang sangat
manja dengan ayahnya. Hari-hari dia bertanya. Naik muak dan berserabut Apis untuk
mencari pelbagai alasan dan jawapan.
Abang kata ayah pergi tak lama. Setiap hari abang kata, hari ini ayah balik. Dah
berminggu-minggu tapi ayah tak balik-balik." Tira berleter seperti orang yang sudah dewasa
biar pun dengan pelat pertuturan kanak-kanak.
Apis sudah tidak mahu menaburkan janji kosong. Dia hanya diam sahaja tatkala Tira mula
ramah bertanya.
Beberapa buah bot penduduk kampung telah dikerah untuk mencari bot ayahnya. Usaha
mencari itu agak sukar dengan keadaan laut yang bergelora dan keadaan langit yang
berjerubu. Mereka mencarinya sampai ke kawasan pulau-pulau kecil. Tapi usaha mereka
seperti mencari butiran garam di lautan. Hanya rasa asinnya diyakini tetapi butiran
kemungkinan ada di mana-mana. Akhirnya mereka hanya membawa kerut wajah yang
membawa riak hampa. Apis tidak mahu bertanya kerana mengetahui jawapannya.
Hari demi hari, pelbagai cerita berita yang disogokkan kepada Apis. Terasa sakit tekaknya
menelan pahit cerita berita itu - lebih pahit daripada sayur peria kerana dia tidak pernah
merasai hempedu.
Ada yang menyatakan kemungkinan ayahnya diculik oleh lanun. Tapi jika berlaku sebarang
penculikan, tentu ada ugutan dan wang tebusan yang diminta. Ada juga yang menyatakan
bahawa keluarga ibunya suatu ketika dahulu juga daripada puak-puak yang berkenaan.
Mereka memberontak di negara asal mereka hingga menjadi gelandangan di laut dan pulau-
pulau kecil. Pasukan polis dan penyelamat juga telah lama berkampung di kawasan pantai.
Beberapa bot yang dilengkapi dengan radar juga telah dikerah untuk mencari bot ayahnya,
tetapi keputusannya tetap sama - mereka gagal menemui sebarang petunjuk. Skuad
menyelam juga telah dikerah menyelam mengikut zon. Walaupun ada rasa letih dan putus
asa pada wajah mereka tetapi Apis tidak akan berasa letih dan berputus asa menanti kelibat
ayahnya muncul semula di pantai itu.

Yang lebih merentapkan jiwa Apis tatkala ada nelayan yang bercerita bahawa mereka
terdengar bunyi tembakan pada hari ayahnya hilang. Apis ada mendengar tentang
kekejaman lanun-lanun di situ. Mereka menjadikan pulau-pulau kecil sebagai kubu mereka
untuk menyembunyikan diri. Sungguh. Lagak mereka seperti orang tempatan dengan kulit
mereka yang juga sawo matang. Golongan ini tidak takut membunuh malah tidak segan-silu
memenggalkan kepala musuh mereka. Darah adalah bahasa sengketa yang sudah sebati
dalam diri. Ada kegerunan yang menyelit dan menyusup tatkala mendengar cerita itu. Puak-
puak ini dikatakan mempunyai ilmu kebal yang tidak lut senjata.
Mungkinkah ayahnya turut menjadi mangsa ? Mungkinkah tersembunyi dendam ?
Kemungkinan itu tidak akan Apis biarkan tersimpan dalam balang rasa. Apis akan curah
segala kemungkinan negatif yang bersisa. Dia tidak dapat bayangkan jika kemungkinan itu
menjadi kenyataan yang akan mendera-parahkan perasaan terutama perasaan Tira yang
belum memahami apa-apa. Tira yang sentiasa bertanya itu-ini tentang ayah. Sungguh, Apis
kehabisan aksara untuk disusun menjadi kata-kata yang membentuk alasan. Ya, alasan yang
goyah.
Apa lagi yang mampu menghentikan degup rasa tatkala mendengar berita cerita yang
mengejutkan. Terasa luruh jantung. Setelah sembilan hari ayahnya hilang di lautan, Apis
didatangi beberapa pegawai penyiasat. Mereka menunjukkan dua keping gambar yang
memang dikenali oleh Apis. Wajah yang entah mengapa sering mengganggu lenanya
semenjak ayahnya menyepikan diri di laut.
Ayah !
Bukankah sudah Apis luahkan !
Ayah !
Memang Apis yakin mereka bukan orang baik-baik !
Ayah !
Kita mesti simpan sedikit rasa curiga !
Apa lagi yang mampu dilakukan. Hanya bahasa kesedihan yang berbicara. Dua orang
pemuda itu bukan rakyat tempatan. Sudah berbulan-bulan mereka bergerak dari kampung
ke kampung untuk mencari mangsa. Ayahnya antara individu malang. Entah apa yang
mereka mahukan daripada ayahnya. Mungkin wang. Tapi setelah ayahnya berkeras, mereka
turut melakukan kekerasan kepada ayahnya. Aduh, mengapa kemungkinan itu yang
meronda-ronda dalam mindanya. Hush ! Andaian itu perlu dihalau jauh untuk mengekalkan
keoptimisan.
Jiwa Apis menggelegak hingga berasak-asak dan berontak di lebuh raya jiwa tatkala dia juga
didatangi oleh pegawai insurans. Pelbagai soalan dikemukakan - kiri, kanan, atas, bawah
hingga hampir Apis berteriak apabila mereka mengemukakan kemungkinan kehilangan
ayah dirancang untuk memperoleh wang insurans nyawa ayah sebanyak dua ratus ribu
ringgit. Aduh, bolehkah keresahan jiwa dan nyawa diperjudikan untuk senilai wang?
Macam-macam. Empat hari lepas, Apis masih ingat tatkala dia didatangi oleh seorang
bomoh yang menawarkan khidmat untuk mencari ayahnya. Benar. Pada mula, dia tidak
menjangka lelaki itu seorang bomoh. Penampilan lelaki itu seperti ahli korporat dengan
kemeja bertali leher, siap lagi memakai blazer. Tapi dengar cerita, bomoh itu memang
terkenal terutama dalam kalangan orang politik. Dia telah menyelesaikan banyak kes mistik
yang berprofil tinggi.
Tapi Apis tolak secara baik pelawaan bomoh tersebut. Bukan Apis tidak ingin merungkaikan
tali kekusutan yang berselirat dalam batok kepala, tetapi dia masih percaya dengan
kekuasaan Allah. Dia tidak mahu terlontar dan terbelengu dalam amalan khurafat. Kalaulah
ayahnya benar sudah dijemput kembali ke alam jauh, Apis tidak mahu ayahnya bersedih
dengan perbuatannya yang menyekutukan Allah. Dia akan mempertahankan nasihat
ayahnya sejak dia masih kecil lagi.
Apis gerakkan kariah kampung untuk mengadakan solat hajat di surau. Dia keluarkan
sedikit simpanan wang ayahnya untuk membuat majlis doa selamat dan tolak bala. Tiga
malam berturut-turut majlis itu dibuat di surau kampung antara waktu Maghrib dan Isyak.
Tiga malam berturut-turut juga Apis beristikharah sendirian di rumah untuk memanggil
petunjuk Ilahi agar bersatu dalam mimpi dan intuisi diri. Pada malam yang terakhir itulah
dia menyatakan hajatnya kepada penghulu dan Tok Imam untuk mencari sendiri ayahnya.
Saya percaya dengan ketentuan takdir. Saya tidak pernah ragu dengan qada dan qadar
Allah. Cuma saya hanya mencari jasadnya biar hanya sepotong kaki untuk dikebumikan.
Tapi saya masih mengharapkan ayah masih hidup.
Tok Imam dan Tok Penghulu hanya berpandangan sesama sendiri.
Apis masih muda lagi. Masih tunggu keputusan SPM. Apis juga tak pernah turun ke laut
sendirian. Hanya sekali-sekala ikut ayah Apis dulu. Tentu bahaya jika Apis pergi sendirian.
Nanti Tok suruh seseorang temankan Apis."
Apis menekur lantai - mencari kata-kata di sebalik papan lantai yang renggang.
Tidak perlu Tok. Apis anak nelayan. Apis perlu kenal gelora dan cabarannya. Lagi pun,
jika benarlah ayah tidak akan kembali Apis memang perlu berdikari untuk mencari
rezeki. Apis berjanji dengan ayah untuk menjadi pilot biarlah apis menjadi pilot bot
terlebih dahulu."
Sengaja Apis berlelucon - menghalau segala resah dan ketegangan. Dia resah. Tok Penghulu
dan Tok Imam juga pasti turut bimbang.
Pagi itu, Apis membelah ombak kecil untuk mencari ayahnya. Tira ditinggalkan di rumah
Tok Imam. Sengaja dia pergi sendirian. Dia hanya mahu berbicara dengan jiwanya sendiri.
Dia mahu mencari ayahnya dengan kelapangan jiwa. Biar dia berfikir dengan putih mata
hati.
Masih selamatkah ayah ? Botnya sampai di sebuah pulau kecil setelah beberapa lama enjit
bot mengaum ganas. Ngauman itu tidak akan menakutkan keperkasaan ombak.
Situasi di pulau itu agak aneh. Sunyi. Apis tidak pernah sampai ke situ. Tatkala dia
mencelupkan tangannya di permukaan air, seolah-olah ada percampuran air sejuk dan
panas. Mungkin kawasan itu juga merupakan sempadan antara air tawar dan air masin. Ada
bayangan yang membumbun di udara yang entah apa. Ada gerak angin yang membisikkan
pesan tapi tidak jelas. Tapi angin yang berhembus itu meresap ke hati hingga mengalunkan
rasa sedih.
Apis berhenti sebentar di pulau itu. Dia bersembahyang Zohor di tepi pantai - di bawah
sebatang pokok. Selepas itu dia bersembahyang hajat. Matanya diluyut rasa kantuk. Rasa
tidak tertahan mata. Dia memisat-misatkan kelopak mata. Antara jaga dan lena. Dia sendiri
tidak pasti. Pada waktu itulah, dia melihat bayangan ayahnya sedang tersenyum. Melambai
ke arahnya dari tengah laut. Ada bisikan yang dilontar. Ayahnyakah yang berbicara atau
suara hatinya sendiri ?
Allah timbulkan pelbagai persoalan yang kekadang tidak mampu ditafsir. Tak ditemui
jawapan. Kepada Allah kita kembali dan berserah."
Selepas itu bayangan ayahnya lenyap berkepul seperti menjadi awan.
Sungguh, ada air mata yang jatuh. Malam itu, Apis mengerjakan sembahyang jenayah ghaib
biarpun dia meyakini ayahnya masih hidup kalau tidak pun hidup dalam hatinya dan
Tira.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sastera/20140406/sa_01/Bot-Air-
10#ixzz2yGDCMkrJ
Utusan Melayu (M) Bhd


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sastera/20140406/sa_01/Bot-Air-10#ixzz2yGD5Jhh9
Utusan Melayu (M) Bhd
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sastera/20140406/sa_01/Bot-Air-10#ixzz2yGCZArFu
Utusan Melayu (M) Bhd

Anda mungkin juga menyukai