Anda di halaman 1dari 5

Yang menjadi sebab mengapa kita harus menjauhkan Ujub ialah kerena ada dua perkara;

Pertama; Ujub itu menyebabkan terhalangnya taufiq dan menghalang ia ta'yid daripada Allah
Taala. Bila tiada taufiq dan pemeliharaan dari Allah Taala, maka tentu akan cepatlah dan
mudahlah seseorang itu mendapat kecelakaan.
Firman Allah Taala yang menjelaskan punca kekalahan tentera Islam dalam peperangan Hunain;
"Dan pada hari perang Hunain kerena kamu 'Ajib sebab ramai kamu, maka tiada terkaya
daripada kamu akan sesuatu"
Sabda Rasulullah SAW;
Tiga perkara yang membinasakan manusia
(Pertama) Kikir yang diikuti
(dan Kedua) Hawa nafsu yang diikuti yakni mengikut perbuatan yang disukai oleh
nafsunya
(dan Ketiga) 'Ajib seorang akan dirinya.
Asysya'bi berkata;
"Ada seorang bila ia berjalan dinaungi oleh awam. Maka ketika berjalan ada orang
berkata; "Saya akan berjalan di belakang orang itu di bawah naungannya. Tiba-tiba
datang "Ujub pada orang yang bernauangan dengan awam itu dan berkata; "Orang
semacam itu akan berjalan di bawah naunganku!!!". Maka berjalanlah
keduanya, kemudian ketika berpisah jalan, mendadak naungan itu ikut pada orang yang
dihina itu".
Kedua; Ujub itu akan merosakkan amal sholeh. Menghancurkan semua ganjaran
pahala, malah memadamkan cahaya mata hati. Oleh kerana itulah, Nabi Isa a.s pernah
bersabda;
Wahai hawarij-hawarij; sangat banyak lampu yang padam oleh angin, ramai ahli ibadah
yang rosak oleh Ujub.
Di kalangan orang awam, penyakit ujub ini tidaklah digeruni sangat oleh mereka. Ini adalah
kerena mereka tidak pernah punya cahaya untuk bermusyahadah dengan Allah Taala.
Berbeza dengan golongan Salikin, 'Ujub pada mereka adalah seumpama penyamun dan
perompak dalam perjalanan mereka. Mereka amat berhati-hati sekali berhadapan dengan
musuhnya yang licik ini. "Ujub boleh muncul dan menjelma secara tiba-tiba sahaja, tidak kira
di mana daerahnya, dan dalam berbagai-bagai rupa dan bentuknya.
Pada pandangan Ahli Makrifat pula, bala disakiti tubuh badan atau dikeji oleh manusia itu
terlebih baik daripada memandangkan diri yang banyak berbuat amal('Ujub).
Tidak hairanlah Abdullah bin Mas'uud r.a. pernah berkata;
"Keselamatan dalam dua macam; Taqwa dan niat. Dan binasa itu juga dalam dua
macam iaitu putus harapan dan 'Ujub"
Sayyidina Omar Al-Khattab pula menanggapi pula sebagai sesuatu yang menjadi terhalangnya
syarat-syarat kesempurnaan ibadat sebagaimana berikut;
"Sesungguhnya kesempurnaan taubatmu, bila engkau ingat selalu pada dosamu; dan
kesempurnaan amalmu harus menghindarkan 'Ujub; dn kesempurnaan Syukur ialah
menyedari kekurangan-kekuranganmu".
Bukan setakat, parasit yang merosakkan ibadat , hama yang menghancurkan pahala, musuh
yang licik dan tersembunyi, yang memadamkan cahaya mata hati, yang membinasakan, yang
membalakan seorang hamba, malah seorang Aulia Allah Sheikh Abdul Malik Muhummad(Tok
Pulau Manis) pernah mengisyaratkan bahawa Ujub itu boleh menjeremuskan seorang yang suka
dengan nikmat ibadatnya kepada lembah Kufur Nikmat. sebagaimana berikut;
Suka dengan taat daripada sekira-kira zhohirnya(taat) daripada hamba dengan
ikhtiarnya dan iradat(kehendak)nya dan haul(keupayaan)nya dan
kuat(kekuatan)nya. Maka inilah suka yang dicela; yang ditegahkan daripadanya
"Kufur Al-Nikmat". Inilah setengah daripada 'Ajib yang membinasakan pada
amal.
Sayyiditina A'isyah r.a ketika ditanya oleh seorang; "Bilakah saya mengetahui bahawa diriku
telah berbuat baik?" Jawabnya; Bila kamu merasa belum baik. Lalu ditanya lagi; Bilakah saya
mengetahui bahawa aku jahat(busuk/keliru). J awabnya; J ika kamu merasa bahawa kamu
sudah baik"
Umar bin Abdul Aziz jika khutbah lalu kuatir Ujub, ia hentikan khutbahnya dan bila menulis
lalu takut Ujub, ia koyak-koyakkan tulisannya sambil membaca; "Allahumma inni a'udzu bika
min syarri nafsi" (Ya Allah, aku berlindung kepadaMu dari kejahatan diriku).
Cukuplah sebagai menyatakan bahawa Ujub ini satu perkara yang besar. Yang amat berbahaya.
Sesuatu yang tidak boleh dipandang lekeh dan remeh, terutamanya pada mereka yang ingin
berjalan kepada Allah. Jika yang dimaksudkan dalam beribadat akan faedah-faedahnya,
sedangkan sifat-sifat Ujub boleh menyebabkan tidak diberi faedah,
sehingga tidak berhasil baginya kebaikan sebaliknya keburukan yang diperolehi
malah menghapuskan terus kebaikan dan melemparkannya ke lembah Kufur
Nikmat,
maka sudah sewajarnyalah kita harus berhati-hati menjaga hati dan diri daripada terlibat
dengan penyakit yang rosak lagi merosakkan ini. Allah jua yang memberikan Taufiq dan
PemeliharaanNya.
Ketahuilah olehmu, bahawasanya Ujub itu ialah menganggap agung atas amal sholeh, ilmu
yang diperbuat oleh dirinya sendiri. Contohnya dengan mengatakan "Akulah yang paling
sholeh, tidak ada orang lain yang melebihi kesholehanku". Menurut perkiraan si hamba
bahawa yang menjadi sebab berhasilnya kemuliaan amal sholeh itu ialah dengan sebab adanya
suatu perkara, bukan dengan pengantaraan Allah, atau dengan sebab manusia itu sendiri.
Dengan kerana inilah terkadang Ujub itu berbentuk segi tiga. Ketiga-tiga lengkap iaitu dirinya
sendiri, makhluk dan barang.
Terkadang Ujub ini dalam rupa dua segi. Ini berupa apabila tersuntik perasaan dan pendapatnya
bahawa amal sholehnya disebabkan oleh dirinya dan harta-bendanya. Contohnya;
Kalau aku tidak punya wang, tentu tidak akan dapat naik Haji
Kalau aku tidak berusaha lebih, tentu tidak akan berjaya sepertimama sekarang.
Kalau aku tidak mengajar mereka, tentu mereka semua masih jahil lagi.
Kadang-kala Ujub itu tinggal iaitu dengan dirinya sendiri. Tidak melibatkan makhluk dan
benda-benda lain. Contohnya;
Alangkah mulianya aku
Betapa rajinnya aku
Alangkah hebatnya aku
Kata Imam Ghazali r.a;
Hakikat 'Ujub itu ialah Takabur yakni membesarkan diri yang hasil di dalam batin dengan sebab
disangka akan dirinya itu bersifat dengan sifat kesempurnaan daripada Ilmu atau daripada
amal. Maka jikalau terdapat ketakutan atas hilangnya ilmu atau amal, tidaklah ia dinamakan
Ujub. Demikian juga jikalau suka ia akan sifat kesempurnaan dengan memandang keadaan
nikmat itu daripada Allah Taala, maka itupun tidak dinamakan Ujub. Tetapi sekiranya
dibangsakan kesempurnaan itu kepada dirinya dengan tidak bimbang akan hilangnya
kesempurnaan itu dan tidak menilik akan limpah nikmat daripada Allah, maka ini dinamakan Ujub.
Inilah penjelasan Imam Ghazali sebagaimana yang terdapat dalam Kitab Mukhtasar Ihya
Ulumuddin. Adapun yang terdapat dalam Arba'in Fi Usuluddin ialah sebagaimana berikut;
Adapun hakikat Ujub ialah melihat akan kebesaran dirinya dan sifatnya yang nyata daripada
beberapa nikmat Allah Taala seperti amal atau ilmu atau lain-lainnya dan tetap hati itu suka
kepada nikmat itu serta lupa ia akan idhofah nikmat itu kepada Allah yang memberi nikmat itu di
samping sentosa ia daripada hilang nikmat itu daripadanya.
Di sini timbul pertanyaan. Bagaimana bisa terjadi kekeliruan atas hamba Allah yang makrifat
sampai lupa dan tidak tahu bahawa Allahlah yang memberi Taufiq kepadanya berbuat amal
sholeh, Yang Mengagungkan QadarNya dan memperbanyak pahalanya atas kurnia Tuhan???
Dalam hal ini, dalam Kitab Minhajul 'Abidin, Imam Ghazali ada menjelaskan bahawa dalam
perkara 'Ujub ini, manusia itu terbahagi kepada tiga golongan;
Golongan Pertama. Ada yang ujub selama-lamanya, sekalipun dia ingat akan adanya krunia
Tuhan, tetapi dia tetap saja ujub. Inilah golongan Mu'tazilah dan Qadariyah. Mereka tidak
memandang kepada Allah, sebab menurut pendapat mereka itu, bahawa kelakuan-kelakuannya
adalah perbuatannya sendiri, bukan dari Allah, bukan dari Allah. Ini merupakan Aqidahnya
sehingga sentiasa Ujub selama-lamanya. Mereka ingkar akan adanya pertolongan dan Taufiq
dari Allah yang khusus dan juga adanya LathifNya Allah. Hal ini disebabkan adanya syubhat
yang menguasai mereka.
Dalam hal ini aku(suluk) berkata; apa bezanya mereka yang mengaku dan mendakwa
beri'tiqadkan Ahli Sunnah Wal-Jamaah, tetapi dalam masa yang sama mengeluarkan kenyataan-
kenyataan yang lebih kurang sama dengan golongan Muktazilah dan Qadariyah ini.
Kita yang merancang, kita yang melaksanakan sehingga kini kita yakin kita boleh
berdiri sama tegak dengan mereka yang telah maju. Yakinlah pada diri kita
sendiri dan yakinlah pada kebolehan kita. Sememangnya kita boleh. Kemajuan
diri dan negara adalah bergantung dengan keyakinan kepada slogan "Kita boleh".
Jikalah aku tidak mengadakan program itu dan itu, maka adakah kamu semua
akan dapat menikmati semua kemudahan yang dinikmati sekarang ini? Dari itu
percayalah kepada aku dan golongan yang menyokongku kerana hanya mereka
yang boleh membawa anda menuju ke gerbang kejayaan.
Nampak manis tetapi penuh dengan suntikan hama ujub dan tipu muslihat untuk kepentingan diri
dan dunia mereka. Yang bodoh dan tolol akan percaya kepada mereka. Sama-sama
menyuburkan menggemukkan sifat Ujub ini dalam diri mereka. Waspadalah kepada pembawa-
pembawa virus ujub dan riya ini yang berpunca dari sifat Takabur ini.
Golongan Kedua. Golongan kedua ini adalah golongan yang ingat adanya kurnia dari
Allah. Semua perilakunya walau bagaimanapun tidak terluput dari memandang kurnia
Allah. Golongan inilah golongan yang lurus. Tidak pernah ujub sedikitpun atas amal-
amalnya. Hal ini kerana adanya kewaspadaan hati/batin yang diberikan oleh Allah, dan
dikhususkan dengan pemeliharaan tersebut dari Allah Taala.
Golongan Ketiga. Golongan yang campuraduk. Kadang-kadang ujub dan kadang tidak, iaitu
umumnya Ahli Sunnah Wal Jama'ah. Terkadang ingat akan kurnia Tuhan, tetapi terkadang
lupa. Rasa "AKU"nya terkadang muncul secara mendadak. Hal ini kerana kelemahan dalam
ijtihad dan kewaspadaan mereka.
Sememangnya sebagai seorang manusia yang lemah, sifat lupa dan ingat silih
berganti. Penyakit ini bukan boleh diubati semata-mata dengan ibadat yang banyak, bukan
dengan kebajikan yang banyak, kerana ianya sesuatu hal yang bersangkutan dengan tempat tilik
hati. Jika hati sentiasa sahaja menilik diri dan amal, maka bagaimana bisa terselamat daripada
mengakui dan merasai bahawa kita yang beramal dan diri yang mengerjakannya.
Pada suatu masa Nabi Daud a.s. keluar ke pesisir untuk beribadat dan ketika telah genap
setahun, ia berdoa; "Ya Rabbi, Ya Tuhanku, telah bongkok punggungku dan lemah mataku
dan kering air mataku, tetapi aku belum juga mengetahui bagaimana nasibku"
Maka Allah menyuruh katak untuk menjawab doa Nabi Daud itu. Lalu katak berkata;
"Hai Nabi utusan Allah, apakah anda mengungkap dan mengingat-ingatkan pada Tuhan
ibadatmu yang setahun. Demi Allah yang mengutusmu menjadi Nabi, saya di hutan ini
selama tiga puluh tahun (atau enam puluh tahun) bertasbih, bertahmid kepada
Tuhan, sedang persendiaanku tetap gementar kerana takut kepada Tuhanku".
Maka menangislah Nabi Daud mendengar kata-kata katak yang menyedarkannya.
Itu yang berlaku pada seorang Nabi lagi Rasul. Walaupun ianya sebagai jalan dan cara
bimbingan Allah untuk mentarbiyahkan Rasul dan Nabinya, namun iktibar dan pengajarannya
adalah untuk umat dan hamba-hamba Allah yang mahu berfikir. Yang nyatanya, hama Ujub
yang cukup bahaya ini, bisa menjangkiti sesiapa sahaja tanpa mengenal taraf dan
kedudukan, maka sewajarlah bagi kita yang serba kekuangan ini mengambil usaha yang
bersungguh-sungguh untuk menjauhkan penyakit ini. Lupakan dulu seketika tilikan hati untuk
mengira-ngira amal ibadat yang penuh dengan aib itu. Lupakan dahulu perbuatan menghitung-
hitung kebajikan yang bercampuraduk dengan nafsu syahwat itu. Pendek kata lupakan dulu
ketaatanmu baru dikerjakan beberapa tahun lalu untuk membuat sedikit koreksi. Adakah hama
atau parasit 'Ujub ini dalam diriku?
Untuk itu, marilah sama-sama kita jelujuri pula perbahasan mengenai Pokok-pokok Penyakit
Ujub ini.di samping mengenal kepelbagaian wajah dan bentuknya.
Bersambung.....Insya Allah
Allahu A'lam

Anda mungkin juga menyukai