Yang dihormati, wakil Pejabat Pendidikan Daerah Batang Padang, En. Zailani Yang berbahagia, YDP PIBG dan ahli - ahli PIBG PK Pentadbiran, Pn. Mahesvari, PK Hal Ehwal Murid, Pn. Kumutha , PK Kokurikulum, PN. Licheme, Dan guru-guru Salam mercu pada Hari Guru.
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara Jika hari ini seorang ulama yang mulia Jika hari ini seorang peguam menang bicara Jika hari ini seorang penulis terkemuka Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa; Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
"Sesungguhnya tanggal 16 Mei amat penting dan sangat bermakna kerana kita semua mempunyai guru yang telah banyak berjasa kepada kita. Inilah waktu terbaik untuk kita luahkan setinggi-tinggi rasa terima kasih, penghargaan dan penghormatan terhadap mereka yang telah banyak berbudi kepada agama, bangsa dan juga negara.
Pepatah Melayu ada berkata, Guru ibarat lilin yang membakar diri untuk menerangi orang lain, menunjukkan pengorbanan seorang guru yang bersusah payah memberi didikan yang sempurna kepada kita semua. Tanpa guru, takkan ada insan-insan hari ini yang berpangkat menteri, berjawatan besar, bergelar jutawan, doktor, peguam, jutawan internet, angkasawan dan sebagainya.
Tema hari guru pada tahun ini , Guru Pencetus Kreativiti, Penjana Inovasi jika dilihat secara halus, maka nampak dengan jelas bahawa tugas guru semakin mencabar kerana zaman dan keadaan telah berubah maka guru sebagai pencetus kreativiti dan penjana inovasi di sekolah masing - masing, untuk mencapai impian wawasan 2020 sebagai sebuah Negara maju akan akan tercapai jika guru - guru dapat mengubah diri mereka seiring dengan perubahan dalam pelbagai sektor di seluruh dunia.
Guru jugalah yang menjadi sumber inspirasi anak watan bagi memacu aspirasi negara ke arah Wawasan 2020. Di samping itu, guru juga menjadi wadah penyemai perpaduan. Guru- guru bertanggungjawab menanam sifat perpaduan dalam jiwa generasi muda kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Guru yang diibaratkan lilin membakar dirinya untuk menerangi orang lain mendepani pelbagai onak dan cabaran terutamanya dalam melayani kerenah anak- anak muridnya. Meniti hari ke hari, cabaran guru makin sukar. Namun, di sebalik semua cabaran tersebut, para guru juga sering dihargai. Sebagai bukti, Hari Guru yang kita sambut pada hari yang mulia ini. Hari Guru ini disambut sebagai suatu simbolik penghargaan masyarakat 1 Malaysia kepada guru-guru.
Sebelum saya menutup tirai, saya ingin mengucapkan SELAMAT HARI GURU kepada semua guru SJK T TAPAH. Segala pengorbanan cikgu akan sentiasa disemat dan dihargai selagi hayat dikandung badan.