Anda di halaman 1dari 9

PERANAN DAN CABARAN GURU PENDIDIKAN KHAS

Pendidikan merupakan satu wadah utama untuk pembangunan sesebuah negara.


Pendidikan yang baik ialah pendidikan untuk semua dan merangkumi segala aspek
yang diperlukan oleh setiap murid mengikut perbezaan murid. Ia selaras dengan
Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu Pendidikan adalah usaha berterusan ke arah
memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk
mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan
jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi
melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia,
bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi
sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara. Oleh itu,
pendidikan yang khusus dan bersesuaian dengan keperluan dan kebolehan kanak-kanak
yang pelbagai juga perlu disediakan.

Di Malaysia, pendidikan khas telah mendapat perhatian semua pihak apabila Akta
Pendidikan 1996 menyatakan, program pendidikan khas di sekolah kerajaan dan
bantuan kerajaan layak diikuti oleh murid dengan keperluan khas yang boleh dididik,
iaitu;
Jika dia mampu menguruskan diri sendiri tanpa bergantung kepada bantuan orang
lain dan disahkan oleh suatu panel yang terdiri daripada pengamal perubatan, pegawai
daripada Kementerian Pendidikan dan pegawai daripada Jabatan Kebajikan
Masyarakat, sebagai berupaya mengikut program pendidikan kebangsaan.

Sehubungan dengan itu, pendidikan khas di Malaysia pada masa kini adalah di
bawah tanggungjawab empat kementerian iaitu Kementerian Kesihatan, Kementerian
Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Pelajaran Malaysia,
Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Sumber Manusia. Kementerian
Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bertanggungjawab menyediakan
perkhidmatan kepada kanak-kanak yang cacat fizikal, terencat akal sederhana dan teruk
serta kanak-kanak spastik atau terencat. Manakala Kementerian Kesihatan pula
bertanggungjawab menyaring dan mengenalpasti kanak-kanak yang dilahirkan dalam
keadaan berisiko. (Jamila K.A Mohamed, 2006)

Jamila K.A Mohamed (2006) menyatakan bahawa pendidikan khas adalah
pengajaran yang direka bentuk bagi memenuhi keperluan pendidikan murid dengan
keperluan khas. Pendidikan ini dirancang secara teratur serta dinilai keberkesanannya
secara teliti bagi membantu murid dengan keperluan khas mencapai tahap berdikari
tinggi dan kejayaan hidup yang memuaskan.

Berdasarkan Akta Pendidikan 1996 di bawah Peraturan-peraturan Pendidikan
Khas (1997), program pendidikan khas bererti suatu program yang disediakan di
sekolah khas bagi murid-murid yang mempunyai kecacatan penglihatan ataupun
kecacatan pendengaran. Selain itu, program pendidikan khas juga diertikan sebagai
suatu program percantuman di sekolah biasa bagi murid-murid yang mempunyai
kecacatan penglihatan ataupun kecacatan pendengaran atau mempunyai masalah
pembelajaran dan program pendidikan inklusif bagi murid-murid dengan keperluan
khas yang dapat menghadiri di dalam kelas biasa bersama-sama dengan murid-murid
biasa. (Jamila K.A Mohamed, 2006).

Program Pendidikan Khas di Malaysia terdiri daripada tiga kategori yang utama
iaitu Program Pendidikan Khas Bermasalah Pendengaran, Program Pendidikan Khas
Bermasalah Penglihatan dan Program Pendidikan Khas Integrasi. Ketiga- tiga program
ini disediakan dari peringkat prasekolah sehinggalah sekolah menengah. Disamping itu,
pendidikan teknik dan vokasional juga disediakan untuk ketiga-tiga kategori ini,
khususnya bagi masalah pendengaran. Malah pelajar masalah pendengaran yang
berkelayakan dapat meneruskan pengajian mereka di politeknik yang menjalankan
program pendidikan secara inklusif.

Secara umumnya, masyarakat melabelkan orang yang memerlukan keperluan
khas sebagai orang cacat,kurang upaya dan ketidaksempurnaan. Menurut Noriati
A.Rashid et al. (2011), kumpulan berkeperluan khas merujuk kepada kanak-kanak
istimewa (luar biasa atau tercabar dari segi intelek, jasmani, sosial atau emosi).
Kumpulan ini dianggap sebagai istimewa kerana ibu bapa dan guru menumpukan
perhatian yang lebih berbanding murid-murid normal. Antaranya murid yang
menghadapi penyakit autisme, sindrom down, masalah pembelajaran disleksia, lewat
perkembangan cerebral palsy, kecacatan pendengaran dan penglihatan, pintar cerdas,
kecelaruan tingkah laku dan lain-lain lagi. Berdasarkan Akta Pendidikan 1996 di bawah
Peraturan-peraturan Pendidikan Khas (1997), murid-murid dengan keperluan khas
bermaksud murid-murid yang mempunyai kecacatan samaada penglihatan,
pendengaran ataupun masalah pembelajaran. (Jamila K.A Mohamed, 2006)

2.0 PERKEMBANGAN

2.1 PERANAN GURU PENDIDIKAN KHAS

Mengikut Kamus Dewan (Edisi Ke-4), guru adalah orang yang mengajar,
pendidik, pengajar dan juga pengasuh. Oleh sebab itu, peranan dan tanggungjawab
seorang guru sangat memberi impak yang besar dan mendalam dalam diri setiap murid.
Menurut Tokoh Guru Peringkat Negeri Kedah, Abdul Rahim Mohd Said (Utusan
Online, 2008), beliau menyatakan bahawa setiap guru perlu memberi keutamaan
kepada pelajar dan ibu bapa mereka sera tahu apa keperluan pelajar bagi menjadi
seorang guru yang baik. Ia sejajar dengan Falsafah Pendidikan Guru iaitu Guru yang
berpekerti mulia, berpandangan progresif dan saintifik, bersedia menjunjung aspirasi
negara serta menyanjung warisan kebudayaan negara, menjamin pembangunan
individu dan memelihara suatu masyarakat yang bersatu padu, demokratik, progresif
dan berdisiplin.

Profesion guru merupakan suatu pekerjaan yang amat mulia di sisi Allah S.W.T.
dan banyak hadis Rasulullah S.A.W yang menyarankan umat manusia untuk menjadi
pendidik atau penuntut ilmu yang menabur bakti mengajar orang lain apatah lagi
menjadi guru pendidikan khas yang telah berbakti mengajar murid-murid istimewa
yang memerlukan kesabaran yang sangat tinggi.

Peranan guru sangat besar apabila mereka dianggap sebagai pengajar kerana tugas
utama guru di dalam bilik darjah adalah menyampaikan ilmu pengetahuan berdasarkan
sukatan pelajaran serta mendidik murid-murid supaya menjadi insan yang bermoral
tinggi. Untuk mencapai objektif ini, guru sebagai pengajar hendaklah merancangkan
aktiviti pengajaran yang sesuai, alat bantu mengajar untuk meningkatkan keberkesanan
pengajaran dan pembelajaran, melaksanakan rancangan mengajar yang telah
disediakan dan membuat penilaian atas segala aktiviti pengajaran dan pembelajaran
yang telah dijalankan. Melalui maklum balas yang diperoleh daripada penilaian, guru
dapat menambahbaikkan proses pengajaran dan pembelajaran. Kaedah pembelajaran
yang baharu mengikut masalah perlu diwujudkan apabila penambahbaikkan
diperlukan. Oleh sebab itu, guru haruslah menggunakan pendekatan yang kreatif dan
kritis untuk menarik minat murid dalam pengajaran dan pembelajaran. Cikgu Donny
Chin (Utusan Online, 2011), menyatakan bahawa mendidik pelajar kelas pendidikan
khas bukan sahaja memerlukan kesabaran tetapi perlu pendekatan kreatif dan kritis
dalam pembelajaran kerana setiap pelajar pendidikan khas di dalam sesebuah kelas
memerlukan kaedah pengajaran tersendiri.

Guru juga dianggap sebagai pengurus apabila mereka diperlukan untuk
mengurus rutin bilik darjah, mengurus murid supaya menjalankan tugas seperti
menjaga kebersihan kelas, menjaga disiplin pelajar dan sebagainya. Kecekapan guru
menjalankan tugas sebagai pengurus akan mewujudkan suasana sosioemosi yang sihat,
disiplin kelas yang mantap dan keadaan bilik darjah yang kondusif dan sesuai untuk
meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, guru pendidikan
khas juga bertanggungjawab untuk menyimpan rekod-rekod peribadi murid mereka.
Rekod peribadi mereka sangatlah penting kepada individu lain untuk mendapatkan
maklumat dan sebaginya. Guru juga perlulah sentiasa mengemaskini rekod peribadi
murid-murid ini supaya perkembangan terbaru mereka dapat diperbaharui.

Kaunselor juga seringkali dikaitkan dengan guru pendidikan khas. ia berlaku
apabila mereka seringkali mempunyai anggapan positif terhadap pelajar mereka.
Mereka tidak pernah menganggap pelajar mereka mempunyai masalah yang tidak boleh
diselesaikan. Justeru itu, mereka sentiasa menerima pelajar mereka tanpa syarat. Guru
Pendidikan Khas juga dianggap kaunselor apabila murid-murid mengalami masalah
sosioemosi seperti rasa takut, kecewa, bosan dan sebagainya serta masalah
pembelajaran hendaklah dibimbing supaya murid dapat membina keyakinan diri.
Sebagai contoh Cikgu Alizah Abdul Malek, Guru Penolong Kanan Pendidikan Khas,
Sekolah Menengah Kebangsaan Kolombong telah mengatakan bahawa beliau bukan
sahaja mengajar di sekolah malah pernah diminta oleh ibu bapa pelajar supaya
menelefon dan mengejutkan anak mereka yang enggan ke sekolah (Utusan Online,
2011). Ini membuktikan bahawa peranan guru pendidikan khas sebagai kaunselor yang
sentiasa menyelesaikan masalah murid walaupun masalah berlaku di luar sekolah. Lain
pula dengan Cikgu Norfadzilah Abu Samad dari Sekolah Menengah Danau Kota apabila
terdapat pelajar istimewa yang dirasakan berpotensi, dia akan membawa mereka pulang
ke rumah selepas sekolah dan mengajar cara-cara pengurusan diri. (Kosmo, 2008).

2.2 CIRI-CIRI GURU PENDIDIKAN KHAS

Guru adalah orang yang penting dalam riwayat hidup setiap individu
sehinggakan ada pendapat yang mengatakan, Saya suka subjek itu kerana saya sukakan
cara guru itu mengajarnya. Apabila kanak-kanak itu mula bersekolah sehinggalah
mereka meningkat dewasa, mereka sentiasa berhadapan dengan guru serta interaksi
juga sering berlaku. Guru mengajar, membimbing, menegur, memuji, memujuk dan
memarahi pelajar-pelajarnya adalah situasi yang sentiasa berlaku semasa pengajaran
dijalankan. Dalam situasi ini terdapat pelbagai kualiti yang berbeza. Mengikut Atan
Long (1992) dalam buku Mengurus Tingkah Laku Pelajar , terdapat beberapa ciri
menjadi guru yang baik iaitu emosi dan mental yang stabil dan sihat, dipercayai, sering
memberi kerjasama, kesihatan yang baik, kecerdasan otak dan tingkahlaku yang sopan
dan menyenangkan. Kesantunan dan kepedulian adalah ciri-ciri guru yang baik malah
ia adalah perkara-perkara yang terkandung di bawah etika guru. Mengikut Kamus
Dewan Edisi Ke-4, etika ialah prinsip moral (atau akhlak) atau nilai-nilai akhlak yang
menjadi pegangan seseorang individu atau sesuatu kumpulan. Oleh sebab itu, dapat
disimpulkan bahawa etika guru ialah prinsip moral atau akhlak yang menjadi pegangan
seorang guru.

Jika dikaitkan dengan kesantunan guru atau etiket, ia terbahagi kepada tiga iaitu
kesantunan berpakaian, kesantunan tingkahlaku dan kesantunan berbahasa.
Kesantunan merupakan aturan perilaku yang ditetapkan dan disepakati bersama oleh
suatu kelompok masyarakat tertentu sehingga kesantunan tersebut sekaligus menjadi
prasyarat yang disepakati oleh perilaku sosial. (Syed Ismail dan Ahmad Subki, 2010).
Oleh yang demikian, kesantunan guru perlu dipamerkan untuk membentuk kesantunan
di kalangan murid. Kepedulian guru juga adalah salah satu daripada ciri guru yang baik.
Pendekatan kepedulian merupakan kesanggupan seseorang untuk berkorban demi
orang lain. Kepedulian atau dalam istilah yang lain ialah ambil peduli, mengambil
berat dan menyayangi, yang melibatkan responsif sensitif terhadap orang lain
berdasarkan sikap keterbukaan dan perhatian terhadap pengalaman mereka. Oleh yang
demikian, kepedulian bolehlah didefinisikan sebagai perasaan ambil berat terhadap
orang lain. (Syed Ismail dan Ahmad Subki, 2010).

Salah satu ciri guru pendidikan khas yang baik ialah mempunyai sifat sabar yang
tinggi. Kesabaran ini diperlukan ketika menghadapi karenah murid-murid ini. Hal ini
kerana murid berkeperluan khas ini sangat unik dan mempunyai pelbagai karenah dan
perangai tersendiri seperti tidak sabar, memberontak, cepat menangis dan mengamuk.
Untuk menghadapi situasi ini, seorang guru haruslah sentiasa berupaya mendengar
dengan tekun, mengawal perasaan, serta menghargai murid. Jika kesabaran tidak dapat
dipraktikkan, maka guru ini akan mengalami situasi yang sangat sukar dalam
mengendalikan murid-murid dan kemungkinan guru-guru ini juga akan mengalami
kemurungan. Memetik kata-kata Cikgu Lee Fong Lan dari Sekolah Menengah Danau
Kota dalam Kosmo terbitan 2008, beliau menyatakan bahawa beliau pernah ditendang
dan diludah oleh kanak-kanak autisme tetapi dengan kesabarannya mendidik akhirnya
kanak-kanak tersebut semakin mendengar kata dan berkelakuan baik. Pendapat ini
disokong oleh Cikgu Alizah bahawa guru pendidikan khas memerlukan kesabaran yang
tinggi dan dengan kesabaran itu menjadikan proefesion guru sebagai unik dan menarik.

Selain itu, guru pendidikan khas juga haruslah bertanggungjawab untuk
mendidik murid-murid berkeperluan khas. Sudah diketahui umum bahawa bukan
semua murid-murid berkeperluan khas ini mampu membaca, menulis seperti rakannya
yang lain tetapi menjadi satu kebanggaan kepada gurunya apabila murid mereka
mampu berdikari dan mengurus keperluan diri sendiri. Ia merupakan kejayaan terbesar
yang dan hadiah yang tidak ternilai untuk seorang guru walaupun setelah masa yang
lama untuk dididik. Justeru itu, guru seharusnya bertanggungjawab menggunakan
pelbagai pendekatan untuk menarik minat murid dalam pembelajaran. Seperti yang
dikatakan oleh Cikgu Donny Chin (Utusan Online, 2011), bahawa pengajaran yang
dilakukan kepada murid pendidikan khas perlu pendekatan kreatif dan kritis serta
mempunyai kaedah pengajaran tersendiri.

Jika guru disiplin perlukan sifat yang tegas, guru pendidikan khas pula perlukan
sifat pandai memujuk murid. Sifat ini diperlukan untuk menangani pelajar yang agrasif.
Murid seperti ini tidak boleh dimarahi kerana mereka akan menjadi lebih agresif.
Disinilah pentingnya sifat memujuk dan tahap kesabaran yang tinggi. Layanan yang
diberikan kepada pelajar ini perlulah dengan penuh berhemah. Sebagai contoh, Cikgu
Alizah Abdul Malek telah mengalami situasi murid telah memanjat pokok dan pujukan
diperlukan untuk murid tersebut turun dengan selamat. (Utusan Online, 2011)

Komunikasi antara guru dengan murid dan ibu bapa adalah sangat penting
dalam mewujudkan perhubungan yang baik. Ciri positif komunikasi tersebut ialah guru
boleh berinteraksi dengan baik. Dengan interaksi yang berlaku akan mewujudkan
pelbagai perasaan yang positif seperti kepercayaan, empati dalam diri, penerimaan
murid dan sebagainya. Dengan interaksi dua hala ini ibu bapa senang untuk
mengadakan perbincangan dan meluahkan pandangan serta idea. Petikan daripada
Khutbah Jakim juga menyatakan bahawa hubungan baik antara ibu bapa dengan pihak
guru penting supaya usaha mengasuh dan mendidik anak berjalan dengan lancar dan
sempurna. Ibu bapa dan masyarakat perlu menjalin hubungan erat dan berterusan
dengan pihak sekolah supaya permasalahan diselesaikan secara muhibah. (Berita
Harian, 2011)

Untuk mengatasi segala masalah yang berkaitan, guru haruslah mempunyai ilmu
yang cukup dan kecerdasan minda dalam menyelesaikan masalah. Ilmu menjadi
sesuatu yang penting untuk guru-guru ini mengenalpasti murid-murid mereka dengan
baik dan mencari jalan penyelesaian yang baik dan sesuai untuk setiap murid. Ilmu
bukan sahaja melalui pembacaan tetapi guru-guru ini boleh menghadiri kursus,
menyambung pengajian dan bertanyakan pakar adalah salah satu daripada ilmu yang
diperolehi. Dengan ilmu yang ada, guru-guru dapat menggunakan kecerdasan minda
mereka dalam menghadapi muird-murid ini.

2.3 CABARAN GURU PENDIDIKAN KHAS

Menjadi guru pendidikan khas adalah sesuatu yang amat berbeza dan mencabar
berbanding menjadi guru biasa.(Utusan Online, 2011). Kata-kata tersebut adalah
petikan daripada seorang guru pendidikan khas yang sebelum ini adalah guru biasa.
Menurut Cikgu Alizah Bt Abdul Malek, kehidupan sebagai seorang guru pendidikan
khas sangat mencabar kerana pelbagai karenah murid yang berbeza terpaksa mereka
hadapi. Pendapat ini telah disokong oleh seorang lagi guru pendidikan khas iaitu Cikgu
Norfadzilah Abu Samad dari Sekolah Menengah Danau Kota bahawa menjadi guru
pendidkan khas sangat mencabar. (Kosmo, 2008)

Cabaran yang paling besar yang perlu dihadapi ialah murid-murid sendiri.
murid-murid ini akan melakukan pelbagai aksi ataupun sikap untuk menunjukkan
sikap memberontak, marah, sedih dan sebagainya. Terdapat juga murid yang membuat
perangai disebabkan inginkan perhatian. Ia telah dialami oleh Cikgu Norfadzilah Abu
Samad dari Sekolah Menengah Danau Kota yang telah digigit dan dipukul kerana tidak
memberikan perhatian kepada seorang pelajar. Disebabkan kerenah yang pelbagai, guru
perlu menggunakan segala kepakaran mereka samaada memujuk, menyelesaikan
masalah dan sebagainya.

Seterusnya ialah cabaran daripada ibu bapa apabila meletakkan harapan yang
tinggi terhadap guru untuk mengubah anak mereka. Apabila wujud kesedaran ibu bapa
terhadap masalah pembelajaran anak-anak mereka, mereka akan menghantar anak
mereka ke sekolah. Mereka akan mula mengharapkan perubahan terhadap anak mereka
sedangkan guru hanya mendidik semasa murid di sekolah sahaja. Tetapi dengan rasa
tanggungjawab dan ikhlas dalam menjalankan tugas, guru pendidikan khas merasakan
mereka mampu membawa perubahan kepada anak-anak istimewa ini. Seorang ibu iaitu
Dayang Kianhing, telah mengatakan bahawa anaknya telah berlaku perubahan yang
memberangsangkan apabila sudah boleh menghafal surah al-Fatihah dan bersolat serta
sudah berminat ke sekolah. Ia adalah perkembangan yang memberangsangkan kerana
anaknya sebelum ini mengalami masalah hiperaktif dan masalah pertuturan. (Utusan
Online, 2011)

3.0 IMPLIKASI
Implikasi cabaran yang dihadapi oleh guru akan meningkatkan lagi tahap
profesional guru tersebut. Tahap ini dapat ditingkatkan apabila guru mula mengutip
pengalaman semasa pengajaran dan pembelajaran berlaku. Apabila pelbagai
pengalaman telah dilalui, maka pelbagai perubahan yang baru akan dapat dibuat seiring
dengan perubahan murid dan masa. Selaian itu, tahap profesioanalisme dapat
ditingkatkan apabila guru mula memikirkan cara untuk mendapatkan ilmu sama ada
menyambung pengajaran, menghadiri kursus, membaca dan sebagainya. Kemahiran-
kemahiran baru juga akan dapat dikumpul melalui aktiviti yang dijalankan.

Selain itu, penyampaian pengajaran guru akan menjadi sesuatu yang menarik
dan pelbagai. Penyampaian yang menarik sangat diperlukan supaya murid tidak merasa
bosan sekaligus tidak ingin hadir ke sekolah. Untuk menjadikan pengajaran sesuatu
yang menarik, guru mestilah menyediakan perancangan pengajaran terlebih dahulu
sebelum menyampaikannya. Bukan sahaja perancangan pengajaran malah bahan bantu
mengajar juga akan disediakan bagi menjadikan sesuatu pengajaran dan pembelajaran
akan berkesan dan menarik.

Etika guru akan terjaga dengan baik apabila menjadi guru pendidikan khas.
Disebabkan guru memerlukan sikap sabar, penyayang, jujur serta bertanggungjawab
maka, keperibadian guru akan meningkatkan ke tahap yang lebih baik. Selain daripada
itu, percakapan yang lembut dan sifat memujuk mampu menjadikan seorang guru
pendidikan khas sebagai guru yang baik dan menjaga tingkahlaku.

Walaubagaimanapun anak-anak murid yang diterima, hubungan guru dengan
ibu bapa akan terjaga dengan baik. Ini adalah kerana interaksi dua hala yang dijalinkan
mampu membina hubungan yang mesra. Dapat dilihat bahawa guru dan ibu bapa akan
sentiasa berhubungan antara satu sama lain untuk mendapatkan maklumat dan juga
membuat perbincangan tentang sesuatu perkara.

Pembentukan tingkahlaku positif dari aspek fizikal, mental, emosi dan sosial
dapat dipupuk. Apabila nilai-nilai murni sering diterapkan dalam diri murid, maka
mereka akan mengaplikasikannya dengan orang persekitaran. Murid juga akan belajar
melalui tingkahlaku dan cara guru mengajar dan mendidik mereka. Ini disebabkan oleh
salah satu dari pembelajaran murid adalah melalui pemerhatian dan peniruan.

4.0 CADANGAN

Cadangan pertama untuk guru menghadapi murid-murid ini ialah guru
seharusnya memperkasa emosi dalam membentuk sikap pelajar. (Abdul Ghani
Abdullah & Abd. Rahman Abd. Aziz, 2009). Kamus Dewan edisi ke-4 mentakrifkan
emosi sebagai perasaan pada jiwa yang kuat seperti sedih dan marah. Oleh itu, emosi
adalah ciri jiwa manusia yang mempamerkan perasaan yang berpunca daripada
psikologi, tingkahlaku dan naluri manusia. Guru haruslah mempunyai kesedaran
kendiri yang tinggi untuk menangani ketidakstabilan emosi yang berpunca daripada
tekanan dengan positif. Tanpa kesedaran kendiri, individu itu tidak mampu untuk
membina makna hasil tindakan dan reaksinya pada persekitaran. Disebabkan itu, guru
memerlukan dorongan diri ataupun motivasi yang tinggi dalam kawalan kecenderungan
emosi yang dapat memandu ataupun memudahkan pencapaian matlamat dan kejayaan
orang lain.

Guru juga boleh menggunakan satu pendekatan untuk membentuk tingkahlaku
murid supaya senang untuk dikawal semasa pengajaran dan pembelajaran. Sebagai
contoh aktiviti bercerita dalam membentuk tingkahlaku murid. Cerita boleh dijadikan
sebagai satu terapi untuk intervensi kaunseling kanak-kanak. Terapi bercerita ialah seni
mempengaruhi orang lain dengan bercerita berkenaan dilema persendirian mereka.
Terapi ini juga merupakan media komunikasi antara ahli terapi dengan klien. (Lee Keok
Cheong et al., 2012). Melalui aktiviti bercerita ini guru boleh menggunakan contoh
teladan untuk memberi pengajaran kepada murid. Akan terdapat murid yang akan
mengikut tingkahlaku yang diceritakan oleh guru. Cerita yang dipilih oleh guru juga
hendaklah bersesuaian dengan perkembangan murid.

Melahirkan guru mesra OKU juga salah satu dari cara untuk membentuk guru
pendidikan khas yang baik dan prihatin serta mesra terhadap murid. Ia haruslah
diberikan latihan semasa guru-guru ini berada dalam latihan perguruan. Ia bukan
merujuk kepada guru pendidikan khas sahaja tetapi juga guru-guru biasa supaya
mereka dapat mengesan ketidaksempurnaan anak didik mereka. Dengan itu, guru-guru
bolehlah membawa masalah ini kepada pakar. Program ini juga disokong oleh pihak
TWINTECH International University College of Technology (TWINTECH) apabila
mereka menawarkan pelbagai program bagi membantu kerajaan melahirkan guru
prihatin dan mesra orang kelainan upaya (OKU). Universti tersebut mengambil
tindakan seperti penguasaan Bahasa Isyarat Malaysia wajib bagi graduan, melahirkan
guru pendidikan khas berkepakaran autisme dan sebagainya. ( Mymetro, 2012)

5.0 RUMUSAN

Pada pandangan saya, tugas guru pendidikan khas sangat mencabar kepada
sesiapa yang menyandangnya. Tugas itu terlalu berat untuk dipikul untuk guru yang
masih belum menguasai tahap kesabaran dan keikhlasan yang tinggi. Pengalaman ini
telah dikongsi dengan seluruh rakyat Malaysia melalui penerbitan Kosmo, 2008 dan
Utusan Online, 2011. Cikgu Alizah Abdul Malek (Utusan Online,2011) menyimpulkan
bahawa guru pendidikan khas mempunyai 1001 macam cerita. Cerita yang mereka
sempat berkongsi adalah berkaitan ragam murid-murid dan juga harapan ibu bapa.

Selain daripada guru, ibu bapa juga menganggap anak istimewa sebagai cabaran
yang besar. Berikutan kenyataan tersebut, ibu kanak-kanak autisme menyatakan
bahawa sebelum mendapat pendidikan di Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia,
(NASOM) anaknya mudah naik angin dan marah apabila keinginan dirinya tidak
dipenuhi. Percakapannya tidak difahami apabila hanya mengeluarkan bunyi seperti
em...em...sahaja. (Berita Harian, 2012). Jika dilihat kenyataan ibu kanak-kanak
tersebut, beliau hanya menghadapi seorang sahaja kanak-kanak istimewa tetapi guru
pendidikan khas menghadapi murid lebih daripada seorang serta mempunyai
kepelbagaian masalah.

Walaupun pelbagai cabaran yang telah mereka hadapi tetapi dengan kejayaan
murid-murid mereka walaupun hanya sekadar mengurus diri sendiri adalah kejayaan
terbesar dan tidak ternilai oleh mereka. Dengan berkat kesabaran mereka dalam
mendidik, murid-murid ini telah berjaya mencapai matlamat yang telah ditetapkan oleh
guru tersebut. Namun terdapat juga murid berkeperluan khas yang telah berjaya
dengan cemerlang dan mendapat pendidkan sehingga peringkat tinggi. Dua orang
pelajar cacat penglihatan Sekolah Menengah Pendidikan Khas Setapak (SMPKS), Kuala
Lumpur iaitu Tang Kah Hung dan Ahmad Shahide Ruslan telah mendapat 10 A untuk
SP 2010. (Berita Harian, 2010) Ini menunjukkan terdapat juga murid berkeperluan
khas yang berjaya sehingga ke peringkat tinggi.

Oleh yang demikian, jangan dipandang murid berkeperluan khas hanya
memberikan beban yang besar kepada orang sekeliling mereka tetapi pandanglah
mereka sebagai anugerah yang terindah. Saya memetik kata-kata Rosmah Mansur yang
juga Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri (BAKTI), iaitu
hanya dengan mendampingi mereka, barulah ia dapat membuka hati dan minda kita
supaya lebih menghayati keperluan mereka dan seterusnya memperjuangkan nasib
golongan OKU.(Berita Harian, 2011)

Sebagai kesimpulan, menjadi seorang guru pendidikan khas bukan sekadar
menjadi guru biasa tetapi sebagai guru yang baik kerana tahap kebergantungan murid
kepada guru adalah melebihi murid-murid yang normal. Namun, sebagai seorang guru,
keikhlasan dalam mendidik menjadikan mereka seorang yang berfikiran positif,
bersikap menerima dan sebagainya. Walaupun banyak cabaran yang ditempuhi tetapi
didiklah mereka kerana mereka berpeluang untuk meningkatkan kualiti hidup dan
mengurangkan kebergantungan kepada keluarga, masyarakat dan negara.

Anda mungkin juga menyukai