Anda di halaman 1dari 15

BISIKAN KASIH CIKGU

NAZURA BINTI MOHD NASIR






1

Kringggg !!! Jeritan loceng seawal 7.30 pagi membawa semua murid-murid
Sekolah Rendah Taman Bukit Indah masuk ke dalam kelas untuk memulakan sesi
pengajaran dan pembelajaran. Kelas Tahun 6 Juara menjadi haluan langkah Cikgu
Munirah pagi itu. Sebagaimana biasa, dia pasti akan membawa sebatang rotan
buluh ke kelas itu. Bukan dengan tujuan menghukum anak-anak kecil itu dengan
rotannya, tapi cukup sekadar memberi rasa gentar di hati anak-anak kecil itu.
Menurut pengamatannya, lebih baik melentur buluh dari rebungnya. Jika besar tidak
terdidik jiwanya, pasti hukuman apa jua tidak memberi nilai gerun di hati mereka.

Langkah Cikgu Munirah terhenti sebaik saja tiba di muka pintu kelas tahun 3
Juara. Matanya bulat menatap sekujur tubuh yang berbaring di atas meja guru
sambil memeluk robot permainan sebesar separuh tubuh anak kecil itu.

Aaron! Jerkah Cikgu Munirah. Pantas anak kecil itu duduk memandang
Cikgu Munirah yang masih berdiri di muka pintu. Apa kamu buat di atas meja
cikgu? Soalnya Cikgu Munirah lagi apabila anak kecil itu tidak memberi respon
gentar terhadap jerkahannya.

Baring cikgu, jawab Aaron tenang tanpa ada sebarang riak rasa bersalah di
wajahnya. Cikgu Munirah menggelengkan kepalanya beberapa kali sambil berjalan
masuk menghampiri Aaron yang masih tidak lagi turun dari mejanya.

Meja bukan tempat baring, Aaron. Meja tempat menulis. Tempat belajar.
Tempat makan. Faham? Ujar Cikgu Munirah memandang tepat ke dalam mata
anak kecil itu. Mata bulat Aaron terkebil-kebil memandang Cikgu Munirah.
2

Jadi, Aaron boleh makan sekarang ya, cikgu? Soal Aaron sambil memeluk
robotnya erat. Cikgu Munirah menggelengkan kepalanya beberapa kali sambil
melepaskan keluhan panjang. Dia tidak tahu dengan bahasa yang bagaimana harus
dia gunakan untuk memberi faham terhadap anak kecil ini. Sejak awal tahun Aaron
masuk ke sekolah itu, lalu belajar di dalam kelasnya dia sering buntu untuk
berinteraksi dengan anak itu.

Aaron tidak mudah dikawal sebagaimana anak-anak yang lain. Sikapnya
yang suka bersendiri dan kerap mengganggu rakan lain benar-benar mengundang
masalah padanya. Anak kecil ini sering hilang fokus ketika dia sedang mengajar.
Tambah merunsingkannya adalah Aaron sering keluar pergi ke kelas yang lain.

Kamu duduk di tempat kamu, Aaron. Kawan-kawan semua mahu belajar,
ujar Cikgu Munirah perlahan. Aaron menggelengkan kepalanya beberapa kali lalu
memandang kawan-kawannya yang sudah elok duduk di tempat mereka.

Aaron mahu duduk di sini, ujar Aaron sambil menunjuk ke arah kerusi cikgu.
Sekali lagi Cikgu Munirah melepaskan keluhan panjang. Mahu tidak mahu dia
mengizinkan Aaron duduk di tempatnya. Dia tidak punya pilihan. Jika ditegah, Aaron
pasti akan berlari keluar dari kelas mengikut kehendaknya. Bukan tidak pernah di
denda. Namun, sikapnya tetap begitu. Lebih merunsingkan adalah Aaron begitu
berani memberontak dan melawan guru yang memarahinya.

Dia tidak mahu membuang lebih banyak masa melayan kerenah Aaron. Dia
perlu memberi perhatian pada pengajarannya terhadap kanak-kanak yang lain.
3

Namun, tanggungjawabnya terhadap anak kecil hiperaktif itu perlu juga dilangsaikan
dengan penuh tanggungjawab. Setelah memberi penerangan yang agak rigit kepada
kanak-kanak yang lain, Cikgu Munirah kembali kepada Aaron. Dia sedaya yang
boleh memujuk anak kecil itu mengeluarkan buku dan membuat tugasan diberi.

Tambah menghairankan Cikgu Munirah adalah, meskipun Aaron tidak
mengendahkan pengajarannya di dalam kelas, namun Aaron berjaya menyelesaikan
segala tugasan di beri hanya dengan beberapa pertanyaan ringkas. Aaron dapat
membuat tugasan lebih baik dan lebih cepat berbanding teman-teman yang lain.
Cikgu Munirah tersenyum sambil menggelengkan kepalanya beberapa kali melihat
Aaron yang tekun dengan tugasannya lalu melangkah memantau hasil kerja murid-
muridnya yang lain.

****************

Hari ini sekali lagi Cikgu Munirah di panggil oleh Cikgu Azman ke bengkel
Kemahiran Hidup. Sepanjang langkah Cikgu Munirah ke bengkel tersebut, dia tahu
dan cukup yakin, pasti Aaron membuat onar lagi di bengkel Kemahiran Hidup Cikgu
Azman. Hatinya menyumpah anak kecil itu semahunya. Seringkali dia tertanya-
tanya, bagaimana anak pasangan ahli perniagaan itu boleh jadi senakal itu. Anak
kecil itu tidak lincah bicaranya namun cukup menguji sabar pada tingkahnya.

Maafkan saya, Cikgu Munirah. Murid kelas cikgu ini sekali lagi menyelongkar
perkakasan di dalam bengkel ini, ujar Cikgu Azman penuh tertib. Aaron hanya
4

tenang mendengar pertuduhan ke atasnya lantas membiarkan saja pandangan
penuh amarah oleh Cikgu Munirah terhadapnya.
Apa kamu buat di sini, Aaron?! Jerkah Cikgu Munirah yang mula hilang
sabar. Aaron mahu buat kerja ini. Bila Aaron pindahkan semua barang ini di robot,
pasti robot ini akan dapat bergerak, ujar Aaron tenang sambil menunjukkan separuh
hasil kerjanya. Cikgu Munirah tergamam memandang separuh hasil kerja muridnya
itu. Bagaimana Aaron boleh terfikir untuk memindahkan semua komponen
pendawaian di dalam kereta kawalan jauhnya itu ke dalam robot kesayangan anak
kecil itu?
Sudah! Cikgu tidak mahu dengar apa pun alasan kamu. Pulang ke kelas,
tegas Cikgu Munirah memandang Aaron yang masih khusyuk dengan kerjanya.
Aaron! Jerkah Cikgu Munirah apabila Aaron langsung tidak mengendahkannya.
Tiba-tiba Aaron mencampakkan pemutar skru di tangannya.
Cikgu ini bising saja! Tengking Aaron lalu menyambar robotnya lalu
melangkah meninggalkan Cikgu Munirah. Cikgu Munirah tergamam dengan tingkah
Aaron sebentar tadi. Sungguh dia tidak menyangka muridnya itu jadi naik berang
begitu.

****************

Perlahan-lahan Cikgu Munirah memperlahankan keretanya dalam hujan lebat sebaik
saja memandang susuk tubuh kecil yang sedang berjalan meredah hujan lebat itu.
Sebaik saja melintasi susuk tubuh kecil itu, Cikgu Munirah memberhentikan
keretanya di bahu jalan. Dia menarik nafas dalam-dalam memandang susuk tubuh
kecil itu penuh cermat. Dia yakin dengan pandangan matanya. Itu Aaron. Muridnya
5

yang telah begitu berani menengkingnya tadi. Pantas Cikgu Munirah mencapai
payung di bahagian belakang lalu keluar dari kereta.

Aaron, panggil Cikgu Munirah sambil melangkah menghampiri Aaron yang
masih berjalan meredah hujan lebat itu. Sebaik saja melihat Cikgu Munirah
menghampirinya, langkah Aaron terhenti. Kenapa berjalan dalam hujan lebat
begini? Bahaya, soal Cikgu Munirah. Aaron senyap seketika. Dia meraup wajahnya
yang di basahi hujan lebat.

Saya mahu pulang, ujar Aaron tenang seolah-olah tidak ada apa yang
berlaku antara mereka tadi. Saya hantar awak pulang. Mari, tawar Cikgu Munirah.
Biar pun muridnya itu bukanlah seagama bukan juga sama etnik dengannya.
Namun, atas rasa belas sesama manusia, apa lagi kasih seorang guru terhadap
murid, dia tidak tegar melihat muridnya begitu.

Tidak perlu. Kereta cikgu akan kotor nanti, ujar Aaron lalu mula melangkah
mahu meninggalkan Cikgu Munirah. Saya hantar awak. Mari, balas Cikgu Munirah
berkeras dengan tawarannya. Kali ini Aaron mengalah lalu masuk ke dalam perut
kereta. Dia juga sudah tidak tahan menanggung kesejukan di dalam hujan lebat itu.
Sepanjang perjalanan, mereka tidak banyak bercakap. Hanya sesekali Cikgu
Munirah akan bertanya arah jalan ke rumah Aaron. Beberapa minit saja mereka tiba
di perkarangan rumah Aaron.


6

Terima kasih, cikgu, ujar Aaron lalu keluar dari kereta. Buat seketika, Cikgu
Munirah memerhati dengan penuh cermat setiap inci rumah anak muridnya itu.
Aaron seharusnya lahir sebagai kanak-kanak yang cukup bagus kerana membesar
di dalam suasana cukup lengkap di sana sini.

Namun, belum jua sempat Cikgu Munirah beredar, kedengaran jeritan
amarah dari dalam banglo itu. Mata Cikgu Munirah melilau ke sana ke mari mencari
arah datangnya pekikan amarah sehebat itu. Tidak lama kemudian, kedengaran
suara tangisan dengan jeritan jangan di dalam Bahasa Kantonis. Dia cukup jelas
dengan suara anak kecil itu. Itulah suara muridnya yang selalu membawa masalah
besar padanya di sekolah. Tidak lama kemudian, seorang anak kecil keluar dari
rumah lalu menangis di dalam hujan lebat di perkarangan rumah. Perlahan-lahan
anak kecil itu berjalan lalu keluar dari pintu pagar kecil.

Pantas Cikgu Munirah keluar dari kereta lalu menarik anak kecil yang sedang
menangis itu masuk ke dalam kereta. Biar siapa pun Aaron sebelum ini, muridnya itu
tetap sebahagian dari tanggungjawabnya. Atas dasar kemusiaan yang cukup tebal
di dalam jiwanya, dia tidak boleh membiarkan muridnya itu keluar tanpa haluan
begitu.

Cikgu Munirah segera beredar dari perkarangan rumah itu sebelum ada yang
melihatnya. Tangisan Aaron kian reda. Namun, terdapat kesan luka di dahi dan tepi
bibir anak kecil itu.
Cikgu tidak tahu mahu bawa kamu ke mana Aaron, ujar Cikgu Munirah
apabila dia mula buntu ke mana harus dia mambawa Aaron. Mustahil baginya mahu
7

membawa Aaron pulang ke rumahnya. Cikgu tinggalkan saja saya di bawah
jambatan hujung sana. Saya memang selalu tidur di sana jika papa pulang ke
rumah, ujar Aaron. Cikgu Munirah sedikit tersentak dengan bicara Aaron. Saat itu
juga dia teringatkan teman kuliahnya dahulu Alvin Aliff, guru fizik berketurunan
Tionghoa dan muallaf.

Cikgu tahu mana mahu bawa kamu. Kamu ikut saja, ya, ujar Cikgu Munirah
lalu meneruskan perjalannya ke tujuan yang pasti

****************

Alhamdulillah. Hanya itu yang dapat Cikgu Munirah lafazkan apabila Cikgu Alvin Aliff
sudi menerima kehadiran Aaron. Cikgu Alvin juga turut bersimpati akan apa yang
menimpa Aaron setelah diceritakan sepenuhnya oleh Cikgu Munirah dan Aaron
sendiri.

Hal ini tidak boleh dibiar begitu saja, Mun. Kita mesti bertindak
menyelamatkan Aaron. Jika kita tidak bertindak apa-apa, hal ini pasti akan terus
berulang, ujar Cikgu Alvin sebaik saja Aaron selesai mandi dan bertukar pakaian.
Cikgu Munirah menghela nafas panjang. Dia kurang pasti akan hal yang paling perlu
untuk dilakukan.

Kau jangan risau. Aku akan bantu kau. Buat masa ini biar Aaron tinggal
bersama aku. Aku tahu bagaimana mahu menjaganya, ujar Cikgu Alvin yakin. Cikgu
8

Munirah menarik nafas lega. Sekurang-kurangnya masalahnya yang paling besar
sudah selesai.

Baiklah, kalau begitu aku pulang dahulu. Esok aku akan ambil dia untuk ke
sekolah, ujar Cikgu Munirah. Cikgu Alvin menganggukkan kepalanya setuju.
Perlahan-lahan Cikgu Munirah menghampiri Aaron di penjuru ruang veranda
bersama robotnya itu.

Cikgu pulang dahulu. Kamu jangan nakal di sini, ya, ujar Cikgu Munirah
yang melutut di hadapan Aaron bersama senyuman. Aaron membalas pandangan
gurunya itu lalu menganggukkan kepalanya. Cikgu Munirah tersenyum dengan
jaminan Aaron itu. Namun, ada yang luar biasa dengan pandangan Aaron itu. Tidak
tajam seperti selalunya. Pandangan muridnya itu cukup redup kali ini.

Setelah mengucapkan terima kasih dan meninggalkan beberapa pesanan
pada Cikgu Alvin, Cikgu Munirah mula beredar untuk pulang memandangkan hari
sudah begitu hampir dengan waktu maghrib ketika itu. Namun, belum sempat Cikgu
Munirah melangkah masuk ke dalam kereta satu suara keras memanggilnya.

Cikgu! Pantas Cikgu Munirah berpaling memandang suara memanggilnya.
Seorang lelaki berbangsa Tionghua bertubuh sasa menghampirinya dengan wajah
yang sangat bengis. Karakter yang ditampilkan oleh lelaki itu sudah cukup
menggerunkan Cikgu Munirah yang masih tergamam.

9

Mana anak saya? Mana Aaron?! Soal lelaki itu cukup kasar. Pantas Cikgu
Munirah memandang ke dalam rumah Cikgu Alvin. Lidahnya kelu untuk menjawab
pertanyaan tersebut. Pasti lelaki ini adalah En.Robert Tan, ayah kepada Aaron.
Mana anak saya?! Tengking En.Robert Tan lagi lalu menolak Cikgu Munirah
hingga dia terdorong ke belakang. Saat itu Aaron berlari dari dalam lalu
mendapatkannya.

Balik! Tengking En.Robert Tan di dalam bahasa Kantonis. Aaron hanya
menggelengkan kepalanya tanda tidak setuju dengan arahan itu sambil
menyembunyikan separuh tubuhnya di belakang Cikgu Alvin yang baru menyertai
mereka apabila dilihat keadaan mula tidak terkawal.

Encik jangan mencari masalah di sini. Saya harap encik boleh balik ke rumah
sekarang atau saya akan laporkan kepada polis, tegas Cikgu Aliff yang masih
tenang memandang En.Robert Tan. Saya mahu bawa Aaron balik! Tengking
En.Robert Tan kembali.

Saya tak akan beri awak bawa Aaron balik. Saya tak akan izin Aaron jadi
mangsa perbuatan keji awak! Tengking Cikgu Munirah sambil memegang lengan
Aaron. Saat itu dia seakan mempunyai keberanian luar biasa untuk melawan lelaki
di hadapannya itu. Hilang rasa gerun dan bimbangnya. Apa yang pasti, dia tidak
mungkin akan melepaskan anak kecil itu untuk dijadikan tempat melepaskan
amarah. Cukup banyak kesan lebam dan luka di tubuh Aaron. Semua itu sudah jelas
membuktikan kerakusan seorang ayah terhadap anak yang tidak bersalah.
10

Tiba-tiba satu tamparan singgah di pipi Cikgu Munirah. Saat itu juga terasa
kepalanya berpusing dan pandangannya gelap lalu jatuh di sisi Aaron. Masing-
masing mula panik.

You kill her! Jerit Aaron lalu membaling robot kesayangannya ke arah
ayahnya. En. Robert Tan terus saja beredar dari tempat kejadian. Sungguh dia tidak
menduga tindakannya mendatangkan kecederaan kepada guru muda itu.

****************

Pandangan Cikgu Munirah kabur seketika. Rasa sakit di kepalanya masih ketara.
Menurut doktor, dia perlu menjalani ujian imbasan di bahagian kepala bagi
memastikan tiada sebarang implikasi yang lebih serius berikutan kejadian tersebut.
Dia memandang ke kiri dan kanan. Wajah Aaron dan Cikgu Alvin menyapa
pandangannya.

Cikgu, ujar Aaron mendekati Cikgu Munirah. Dahi Cikgu Munirah berkerut.
Mengapakah suara Aaron menjadi begitu jauh dari pendengaran sebelah kirinya?
Cikgu sudah sedar, ujar Aaron. Ada riak gembira di wajahnya. Cikgu Munirah cuba
mengukir senyuman buat Aaron.

Maafkan Aaron, cikgu. Aaron telah buat cikgu sakit begini, ujar anak kecil itu
penuh kesal. Kata-kata itu cukup menyentuh hati Cikgu Munirah. Hampir setahun dia
mengajar muridnya itu, tidak pernah sekali Aaron menutur kata selembut dan setulus
11

itu. Aaron benci papa! Ungkapnya bersama linangan air mata. Perlahan-lahan
Cikgu Alvin di sisi Aaron menarik Aaron ke dalam pelukannya.

Jangan benci papa. Itu tetap papa Aaron, pujuk Cikgu Munirah lembut.
Tangisan Aaron kian hebat. Dia memeluk Cikgu Alvin seakan melapaskan bahang di
hatinya. Papa pukul Aaron. Papa pukul mama. Papa pukul cikgu. Lebih baik papa
mati! Tangis Aaron semahunya. Air mata Cikgu Munirah mula berlinang. Sebak hati
dan jiwanya melihat tangisan anak kecil itu.

Jangan. Tidak baik begitu, Aaron. Dengar cikgu cakap, sayang. Jangan
dendam dengan papa. Jangan benci papa. Benci dengan perbuatan dia saja. Aaron
jangan buat begitu, ya? Aaron kena minta pada Tuhan supaya papa berubah.
Boleh? ujar Cikgu Munirah sambil menyeka air matanya. Aaron menganggukkan
kepalanya lalu meleraikan pelukan Cikgu Alvin padanya.

Bagaimana mahu minta pada Tuhan? Papa dengan mama kata kami tidak
perlukan Tuhan, soal Aaron. Cikgu Munirah dan Cikgu Alvin terdiam. Mereka saling
berpandangan namun masing-masing cukup mengerti dengan apa yang bermain di
benak antara satu sama lain.

Nanti cikgu ajarkan Aaron, ujar Cikgu Alvin dengan senyuman sambil
mencubit pipi gebu Aaron. Aaron tersenyum sambil menganggukkan kepalanya.
Kalau Tuhan boleh tolong, Aaron mahu minta papa sayang Aaron seperti Cikgu
Alvin. Mama sayangkan Aaron seperti cikgu, ujar Aaron memandang Cikgu
Munirah. Hati Cikgu Munirah dipanah rasa hiba. Air matanya mula bergenang di
12

kolam mata. Dia hanya mampu tersenyum dan menganggukkan kepalanya dengan
harapan anak kecil itu.

****************

Hanya ungkapan alhamdulillah saja yang mampu dituturkan oleh Cikgu Munirah saat
En. Robert Tan dikenakan hukuman atas penderaannya terhadap anak tunggalnya
itu. Semoga hukuman itu mampu mengubah sikap rakus En.Robert Tan selama ini.
Namun, apa yang cukup dikesalkan adalah Pn.Mandy Tan, mama kepada Alvin
menolak untuk terus menjaga Aaron. Masih terbayang di mata Cikgu Munirah akan
tangisan Aaron saat mama dan papanya bercerai dan Pn. Mandy Tan memutuskan
untuk ke Australia tanpa membawa Aaron bersama.

Sejak kejadian itu, Aaron diambil menjadi anak angkat oleh Cikgu Alvin dan
tinggal bersama Cikgu Alvin. Bagi Cikgu Munirah, banyak perubahan yang berlaku
pada Aaron selepas kejadian itu. Aaron bukan lagi murid nakal yang merayau ke
sana dan ke mari. Aaron bukan lagi murid biadap yang bila-bila masa akan
menengking guru semahunya. Aaron bukan lagi murid jahat yang sering memukul
dan mengganggu teman lain. Aaron benar-benar berubah di bawah jagaan Cikgu
Alvin dengan penuh kasih sayang.

Aaron sudah pandai minta pada Tuhan, cikgu, ujar Aaron memandang
Cikgu Munirah dengan senyuman. Cikgu Munirah tersenyum senang dengan
pengakuan Aaron. Jadi, apa yang Aaron minta pada Tuhan? soal Cikgu Munirah.
13

Aaron minta pada Tuhan, supaya papa akan sayang Aaron nanti, ujar anak kecil itu
penuh tulus. Cikgu Munirah tersenyum sambil menganggukkan kepalanya senang.

Hari ini baru dia tahu masalah yang menimpa keluarga Aaron. Tekanan
En.Robert Tan akan sikap curang isterinya itu telah membawa kepada kes
penderaan terhadap anak kecil di hadapannya itu. Buat masa ini, En.Robert Tan
masih di tahan di penjara untuk beberapa tempoh sehingga kes di sebut semula.

Nanti kita datang melawat papa. Aaron mahu? soal Cikgu Munirah. Aaron
menganggukkan kepalanya setuju. Tapi, papa tidak suka Aaron, cikgu, ujar Aaron.
Cikgu Munirah menggelengkan kepalanya beberapa kali. Papa sayangkan Aaron.
Percayalah cakap cikgu, ya, ujar Cikgu Munirah bersama senyuman yang tidak
pernah lekang dari wajahnya. Aaron menganggukkan kepalanya setuju. Hiba hati
Cikgu Munirah melihat anak kecil yang jelas ketandusan kasih dan sayang ibu dan
ayahnya.

Alhamdulillah, ujar Cikgu Alvin sebaik saja tiba kepada mereka. Riak
gembira di wajah Cikgu Alvin memberitahu mereka bahawa ada berita gembira yang
bakal mereka terima. Pasti ada hal yang menyenangkan, duga Cikgu Munirah.
Cikgu Alvin tergelak lalu mencium pipi gebu Alvin.

Sudah tentu. Aku baru saja menerima surat dari pihak pertandingan
Anugerah Tangan Emas peringkat Asia Tenggara. Surat itu menyatakan projek
robotik Aaron berjaya dipertandingkan di pusingan akhir di Vietnam nanti, ujar Cikgu
Alvin. Cikgu Munirah tergamam dengan berita yang baharu saja di terima.
14

Alhamdulillah, ungkapnya penuh syukur. Tahniah, Aaron! ujar Cikgu Munirah
memandang Aaron. Terima kasih, cikgu. Terima kasih, papa, ujar Aaron lalu
memeluk Cikgu Alvin di sisinya. Begitulah panggilan yang begitu mesra buat Cikgu
Alvin. Bagi Aaron, Cikgu Alvin adalah insan terbaik untuk digelar papa. Hanya pada
Cikgu Munirah saja dia masih kaku untuk memanggil mama. Namun, jauh di sudut
hatiya Cikgu Munirah adalah mama baginya.

Syukur, Ya Allah, bisik hati Cikgu Munirah. Dia benar-benar tidak
menyangka, minat Aaron yang dahulunya begitu membebankannya di sekolah, kini
berjaya membawa anak kecil itu menempah nama ke peringkat yang
membanggakan walaupun dalam umur semuda itu. Semua ini adalah atas
kerjasama dan bantuan Cikgu Alvin yang banyak membantu Aaron dalam
membangunkan projek robotik itu. Semoga Aaron akan terus bangun dari derita
lalunya. Semoga Aaron akan terus berlari mencipta nama di persada dunia. Demi
sebuah kehidupan, semoga Aaron dikurniakan jalan yang terbaik di Bumi Allah ini.

TAMAT



2806 Patah Perkataan

Anda mungkin juga menyukai