Anda di halaman 1dari 3

Apa Yang Mereka Perjuangkan Itu?

Sunday, 30 August 2009

oleh: Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin

Pilihanraya Permatang Pasir telah pun selesai. Saya pulang ke Malaysia betul-betul pada hari
penamaan calon. Pusat penamaan calon iaitu IKBN, Mengkuang Bukit Mertajam pula betul-betul
berhampiran rumah saya, sekalipun kawasan saya tidak termasuk dalam DUN berkenaan.

Ramai yang tidak tahu bahawa saya mempunyai dewan pengajian untuk orang awam iaitu Dewan
Pengajian al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah yang bersebelahan rumah saya. Dewan ini sering
menganjurkan berbagai aktiviti ilmiah yang bersifat ‘terbuka’ dari sudut pemikiran fekah dan
‘kepartian’.

Para jamaahnya cuba diserasikan dengan prinsip-prinsip ilmu yang merentasi sebarang sempadan
kepartian dan mazhab fekah. Oleh kerana kawasan bangunan dewan ini luas, ramai yang datang dari
luar Pulau Pinang yang tidak tahu tentang dewan ini melintasi di hadapannya atau cuba
menggunakan kemudahannya.

Sebahagian yang tahu saya sudah pun berada di Malaysia datang dan mengunjungi saya di rumah.
Maka, sepanjang tempoh berkempen ramailah juga tetamu saya yang terdiri dari kalangan tokoh
kedua-dua parti yang bertanding.

Seperti biasa, saya memberikan pandangan saya yang tersendiri mengenai cara politik kedua-dua
parti tersebut. Ada juga di kalangan tokoh-tokoh yang datang itu menegaskan tentang keperluan
untuk saya menjadi aktivis parti mereka. Mereka mengemukakan alasan dan hujah, saya berdiam
sahaja. Saya belum berfikir sehingga ke situ. Namun beberapa kesimpulan pemikiran politik dapat
saya rumuskan.

Tanda Aras

Dalam Islam kita diajar agar mencontohi yang baik, bahkan yang terbaik. Jika kita ingin mencapai
sesuatu kualiti yang baik, maka kita mestilah mengambil bench-mark atau penanda aras yang
terpilih. Justeru itu kita disuruh mencontohi para nabi dan pengikut mereka yang terbukti benar-
benar berjaya mempertahankan prinsip kebenaran.

Ini seperti firman Allah: (maksudnya)

“Sesungguhnya adalah bagi kamu pada (Nabi) Ibrahim (a.s) dan pengikut-pengikutnya - contoh
ikutan yang baik..”(Surah Mumtahanah, ayat 4).

Firman Allah juga: (maksudnya)


Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada Rasulullah itu contoh ikutan yang baik bagi sesiapa yang
sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) Hari Akhirat, serta dia pula mengingati
Allah banyak-banyak” (Surah al-Ahzab, ayat 21).

Nabi Muhammad itu sendiri pun diperintah oleh Allah s.w.t agar menuruti langkah dan teladan para
nabi sebelum baginda. Firman Allah:

“Mereka (nabi-nabi) tersebut adalah orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah, maka
turutlah olehmu (Wahai Muhammad) akan petunjuk mereka..” (Surah al-An’am, ayat 90).

Demikianlah banyak ayat-ayat al-Quran yang Allah arahkan agar kita mencontohi teladan yang baik
sebagai penanda aras dalam perjalanan hidup kita. Malang sekali, ‘orang parti’ apabila kita
mengkritik tindakan parti mereka, mereka akan menjawab ‘parti lawan lebih teruk’, atau ‘parti
lawan buat tak apa, kenapa kami tak boleh?!’, ‘kenapa bantah kami, parti lawan pun buat perkara
yang sama?!’ atau apa sahaja jawapan yang menunjukkan penanda aras tindakan mereka adalah
diukur dengan parti lawan mereka.

Pada masa yang sama mereka kata parti lawan mereka buruk dan mendakwa mereka lebih baik dari
parti musuh mereka, tapi pengukur tindakan mereka tidak lebih dari parti yang mereka tentang.
Mereka sebenarnya bukan mencari yang terbaik, tetapi mereka ingin menjustifikasikan tindakan
politik mereka.

Jika itulah tahap pemikiran orang politik kita, sehingga bila pun kita tidak akan dapat membuat
perubahan yang terbaik dalam masyarakat kita. Barangkali jika kita mengkritik mereka mengambil
rasuah, mereka akan jawab: “pemimpin parti lawan kami ambil lagi banyak, pasal apa kritik kami?!”.

Mereka menghalalkan tindakan mereka kerana parti lain pun buat. Jika begitu, kita tidak perlu buat
pilihanraya untuk sebarang pemilihan kerena tahap ukuran atau penanda aras mereka itu sama!

Mungkin ada yang berkata; kita guna kaedah ‘memilih mudarat yang paling ringan’ seperti yang
diajar dalam qawa ‘id fiqhiyyah (kaedah-kaedah fekah). Kaedah ini mengajar bahawa apabila
bertentangan antara dua mudarat atau bahaya, seseorang muslim diperintahkan agar memilih yang
paling kurang bahaya atau mudarat antara keduanya.

Kaedah ini digunakan apabila tiada lagi di hadapan seseorang pilihan yang lain. Namun jika di sana
ada jalan keluar dari bahaya atau mudarat tersebut, maka kita hendaklah mendapatkannya. Pihak
yang layak untuk melaksanakan kaedah ini ialah para pengundi apabila mereka mendapati kesemua
parti-parti ini adalah bahaya dan mudarat, mereka terpaksa memilih yang paling ringan mudaratnya.

Soalannya, apakah parti-parti ini hanya mampu menjadi ‘yang paling ringan mudarat’, bukan yang
mampu membawa sesuatu yang baik atau terbaik?! Juga, apakah parti-parti politik ini kesemuanya
merupakan bahaya dan mudarat yang kita tiada pilihan, atau mampu mencari jalan keluar?! Atau,
apakah sekadar itu sahaja tahap kualiti dan pemikiran kita..

Kualiti Perjuangan

Saya suka apabila ada pihak yang membezakan kualiti pengikut atau penyokong. Saya bukan tokoh
politik, tetapi sering berjumpa berbagai pihak dan individu samada di tempat awam, tertutup atau
melalui surat dan email yang menyebut: “saudara, saya penyokong anda”, atau “saya peminat
anda”, atau “saya berikan sokongan penuh perjuangan anda”.
Jika saya sempat bersembang dengan mereka saya pasti akan bertanya: “apa yang anda sokong?”,
“apa yang anda minat?”. Alhamdulillah, ramai yang menjawab: “saya pembaca setia tulisan anda”,
atau “saya selalu mengikuti ucapan anda dalam berbagai media”, atau “saya sering menghadiri
kuliah anda”.

Namun jika ada yang menjawab “saja, seronok-seronok” atau “kawan saya sokong anda, saya pun
join kelab mereka”, atau “sekadar trend terkini” tentulah sesuatu yang mendukacitakan dan tidak
memberi apa-apa makna kepada segala usaha dan penat lelah.

Saya dapati ramai orang politik cuai hakikat ini. Sesetengah parti politik, para pengikut mereka
benar-benar tiada kualiti. Mereka tidak mendokong cita-cita perjuangan, atau tiada faham apa yang
diperjuangkan, tetapi sekadar berseronok suka dengan ‘keramaian’ dan ‘faedah sampingan’ yang
diperolehi.

Mereka tidak tahu idealisme perjuangan, atau jika tahu pun mereka tidak menghayatinya atau
terasa sebahagian dari perjuangan mereka. Inilah yang kita lihat pada ramai anak-anak muda,
bahkan yang tua juga yang bersorak-sorai dalam musim pilihanraya.

Ada parti yang benar-benar lesu cita-cita perjuangannya. Hilang arah dan matlamat perjuangan.
Hidup atas isu atau sekadar hendak mempertahankan kerusi atau kuasa yang ada. Para pengikut
bawahan mereka, hanya sekadar untuk mendapatkan upah menggantung poster, atau wang poket,
atau ‘makan percuma’.

Politik sekadar untuk bersosial, bukan kerana ada perjuangan yang hendak digalas, maka hancurlah
politik kita dan masa depan negara. Hal ini berlaku disebabkan banyak perkara, antaranya;
perjuangan parti itu sendiri hilang arah, atau cita-cita perjuangannya tidak berpijak di alam nyata,
atau perjuangannya tidak dapat diterima pengikut atau contoh teladan buruk kepimpinan parti yang
menyebabkan segala idealismanya ditelan isu-isu peribadi.

Menetapkan halatuju perjuangan yang jelas dalam diri individu atau organisasi merupakan rukun
utama dalam meneruskan perjalanan hidup. Sebab itulah, sebahagian sarjana ada yang menyatakan
Islam itu adalah jawapan yang tepat kepada tiga soalan utama yang sentiasa muncul dalam akal
pemikiran manusia sepanjang zaman; iaitu dari mana manusia wujud? Kenapa manusia diwujudkan?
Ke mana akhirnya kesudahan kewujudan manusia?.

Islam menjawab persoalan-persoalan ini secara tepat. Jika sesiapa dapat memahami atau
memberikan jawapan yang tepat kepada persoalan-persoalan ini, bererti dia memahami hakikat
Islam. Dengan memahami hakikat ini, maka umat Islam dahulu yang gemilang berjuang. Kejelasan
matlamat dan halatuju hidup terbentang di hadapan mata mereka.

Maka jika hal ini dikiaskan kepada perjuangan apa sahaja, jika perjuangan itu dapat memberikan
jawapan serta memahamkan pengikut mereka ‘bagaimanakah perjuangan mereka itu boleh muncul?
Untuk apa mereka berjuang? Dan ke manakah kesudahannya perjuangan tersebut?, maka kita akan
dapati kelangsungan perjuangan berkenaan.

Jika tidak, ia adalah slogan khayalan yang tiada hakikat baginya. Sekalipun, jika ia kelihatan gah dan
besar, ia hanyalah singa atau raksasa kertas yang boleh dimusnahkan oleh sebatang mancis api. Jika
jawapan itu benar-benar wujud sekalipun kecil ia mampu bergerak dan membawa dirinya sendiri.

Anda mungkin juga menyukai