Anda di halaman 1dari 3

Bahaya Demokrasi Tanpa Prinsip Wahyu

Sunday, 26 April 2009

Demokrasi itu hampir menjadi agama kepada sesetengah pihak. Bahkan ada pihak yang
meletakkan demokrasi lebih tinggi daripada prinsip-prinsip yang ada dalam agamanya.
Sehingga jika kita menyebut bahawa tindakannya itu bercanggah dengan prinsip agama, dia
akan menyatakan “saya kena patuh kepada kehendak demokrasi”.

Walaupun sebenarnya demokrasi dalam banyak keadaan mempunyai tafsiran yang


berbagai, tetapi jika semuanya itu dirumuskan ia merujuk kepada kepatuhan pemerintah
kepada kuasa atau suara majoriti rakyat. Di samping demokrasi juga menyebut tentang
menghormati hak-hak minoriti.

‘Kerajaan rakyat, untuk rakyat dan kepada rakyat’, demikian antara slogan-slogan demokrasi
yang dianggap indah. Tanpa sebarang syak demokrasi adalah sistem pemerintahan yang
terbaik dibandingkan pemerintah autokrasi yang menjadikan kuasa berada di tangan
seorang individu tanpa memperdulikan perasaan dan kehendak rakyat.

Di negara-negara yang dicengkami oleh pemerintahan ‘kuku besi’, demokrasi menjadi


igauan rakyatnya. Mereka memuja demokrasi sebagaimana seseorang memuja agama.
Bahkan mereka sanggup dipenjara atau mati kerananya. Walaupun dalam ajaran demokrasi
tiada bab syurga atau neraka selepas kematian, tetapi kehendak insani terhadap kebebasan
rakyat dan keadilan yang kelihatan selaras dengan slogan yang dikibarkan oleh bendera
demokrasi membawa manusia sanggup berkorban kerananya.

Betapa ramai para pejuang demokrasi yang terkorban tanpa sempat melihat ‘suara majoriti’
menguasai negaranya. Betapa ramai yang mati dalam tahanan tanpa sempat melihat
‘kerajaan rakyat’ yang diidamkannya. Namun, tanpa berbekalkan nas-nas tentang ‘jihad dan
syahid’, mereka sanggup dan rela. Sebabnya, keadilan itu selaras dengan naluri insani yang
dibekalkan oleh Tuhan dalam fitrah insan. Demokrasi kelihatan menempatkan fitrah ini
dalam sistemnya.

Namun dalam Dunia Islam sepatutnya tidak perlu mengagungkan demokrasi. Umat Islam
telah dibekalkan oleh Islam dengan sistem syura yang adil dan berteraskan prinsip yang
diredhai Allah. Malangnya para pemerintah Dunia Islam meminggirkan ‘Sistem Syura’
sehingga umat Islam jahil mengenainya, dalam masa yang sama slogan demokrasi yang
dilaungkan Barat berkumandang di dunia. Melaluinya, Barat cuba menyebarkan pengaruh
politik. Maka slogan demokrasi pun bergema di Dunia Islam sebagai satu impian rakyat.

Apatah lagi para pemerintah Dunia Islam ramai yang zalim dan kejam, maka bertambah
suburlah kerinduan rakyat di Dunia Islam kepada kebebasan bersuara, hak dan keadilan, lalu
dipinjam slogan yang Barat gunakan iaitu demokrasi. Lebih daripada itu, Barat berjaya
membuktikan secara realitinya bagaimana kekebasan bersuara dan penghormatan kepada
suara ramai dihayati dalam negara mereka.
Maka Barat seakan menjadi ‘Kiblat Politik’ dalam mengecapi hak dan kebebasan. Akhirnya
Barat itu dianggap teladan dalam segala perkara yang negatif dan positif; sehingga kepada
soalan yang berkaitan agama dan budaya. Ini semua berlaku dek kedurjanaan para
pemerintah umat Islam itu sendiri yang merampas kebebasan rakyat sehingga mereka
hilang panduan.

Ada yang menyebut bahawa ‘syura dan demokrasi’ namanya sahaja yang berbeza, tetapi
maksudnya sama. Saya tidak mahu berbalah tentang istilah, kerana setiap orang berhak
mempunyai kefahamannya yang tersendiri terhadap istilah yang dia pakai. Apa yang penting
apakah prinsip yang dipegang, bukan jenama yang dipakai.

Prinsip-prinsip syura tulen berteraskan nas-nas wahyu, sementara prinsip-prinsip demokrasi


berdasarkan pemikiran manusia. Walaupun mungkin banyak perkara secara umumnya
demokrasi tidak bercanggah dengan Islam kerana asas pemerintahan dalam Islam itu sendiri
adalah keadilan untuk rakyat berpandukan syariat Islami. Namun ada perbezaan antara
demokrasi dan prinsip syura dalam Islam.

Dalam sistem syura Islam; suara ramai dihormati, demikian hak individu rakyat juga
dipelihara. Dalam masa yang sama Islam mempunyai prinsip-prinsip yang perlu dipatuhi
iaitu syariat Islam yang diturunkan Allah untuk kebaikan manusia. Jika suara ramai itu
bercanggah dengan syariat Allah, sistem syura akan berpegang kepada syariat dan tidak
akan menghalalkan yang haram atas nama ‘suara ramai’. Misalnya, jika kehendak rakyat
‘menghalalkan arak atau judi, atau zina, atau homoseksual maka kerajaan yang berteraskan
demokrasi perlu menghormatinya.

Sementara dalam sistem syura, pemerintah berpegang kepada wahyu; maka kehendak
ramai yang bercanggah dengan wahyu tidak dapat diterima. Bahkan menjadi tanggungjawab
pemerintah mendidik rakyat dengan ajaran Allah agar mereka terbimbing dan dapat
membezakan antara yang baik dan yang buruk. Suara ramai memang dihormati tetapi ia
bukan semestinya sentiasa betul. Jika suara ramai ingin menghalal yang salah, kita tidak
bersetuju dengannya.

Firman Allah: (maksudnya) :

Dan jika engkau menurut kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan
menyesatkanmu dari jalan Allah; tiadalah yang mereka turut melainkan sangkaan semata-
mata, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta. Sesungguhnya Tuhanmu, Dia lah Yang lebih
mengetahui siapa yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah Yang lebih mengetahui akan orang-
orang yang mendapat petunjuk.(surah al-An’am:116-117)

Di peti undi pilihanraya, undi seorang ilmuwan besar yang sarat dengan analisa dan kajian
tiada beza nilainya dengan undi seorang yang tiada pelajaran dan mengundi secara suka-
suka tanpa fikir. Jika masyarakat dipenuhi oleh majoriti mereka yang mahu perkara-perkara
negatif, demokrasi terpaksa menerima sedangkan sistem syura tidak. Bahkan
tanggungjawab pemerintah ketika itu melaksanakan apa yang Allah sebut: (maksudnya):
“Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi
nescaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat
kebaikan serta melarang dari melakukan kemunkaran. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah
kesudahan segala urusan.” (Surah al-Hajj: 41).

Pemerintahan berjiwa ‘syura islami’ akan menerapkan hubungan perasaan dengan Allah
yang memberikan amanah kuasa pemerintahan kepadanya untuk memerintah dengan adil.
Pegangan pemerintah adalah Islam dan keadilannya untuk rakyat. Bukan pemerintah
berpegang kepada rakyat dan cuba memberi keputusan kepada agama. Politik demokrasi
jika tidak dikawal akan menempatkan suara ramai menggantikan wahyu.

Siang malam yang diimpikan oleh pemerintah adalah undi rakyat bagi memungkin mereka
terus berkuasa kerana kuasa dilihat sebagai amanah rakyat semata, bukan amanah Allah.
Demikian pihak pembangkang yang partinya beriman penuh kepada prinsip demokrasi akan
melakukan apa sahaja demi mendapat sokongan rakyat. Akhirnya lahirlah politik wang,
jatuh-menjatuh demi mendapatkan undi, menggadaikan prinsip perjuangan kerana undi dan
berbagai lagi. Sehingga yang berslogan Islam pun, menukar pegangan demi pengundi atau
berdiam diri terhadap kemunkaran pengundinya.

Di Malaysia, kita akan melihat satu demi satu prinsip-prinsip Islam terpinggir dalam kegilaan
mendapatkan sokongan rakyat atau memenangi peti. Pihak yang memakai jenama ‘Islam’
juga akan mendiamkan diri, jika dilihat membela prinsip-prinsip itu merugikan undi mereka.
Itulah buruknya demokrasi yang berteraskan suara rakyat, tanpa berpaksikan wahyu.

Saya tidak bertujuan mencadangkan agar ditukarkan nama demokrasi kepada syura. Apa
yang ingin saya sebut, sebagai seorang muslim apa pun sistem yang diguna namanya, atau
terpaksa kita berinteraksi dengannya, kita hendaklah sentiasa berpaksikan wahyu. Perlu ada
acuan prinsip kita yang tersendiri. Jika pun tidak mampu menukar, nama demokrasi itu
mungkin boleh dipakai, tetapi prinsip seorang muslim hendaklah sistem syura yang
berasaskan tanggungjawab pemerintah di hadapan Allah.

Jika tidak, demokrasi akan mengorbankan prinsip Islam dan menjadikan pemerintah dan
pembangkang hilang idealisma tenggelam dalam kehendak ramai yang pada hari
dipengaruhi berbagai-bagai kehendak globalisasi. Hingga pemerintah dan pembangkang itu
akhirnya mengikut kehendak rakyat bukan mendidik dan membimbing rakyat. Maka
rosaklah negara.

Anda mungkin juga menyukai