Anda di halaman 1dari 4

Jiwa Kehambaan Melayu Menghalang Pembaharuan- Dr.

Asri

Disiarkan pada May 03, 2009 dalam kategori Dakwah


<http://drmaza.com/home/?cat=4> |
Dalam semangat sesetengah pihak untuk menegakkan `kedaulatan
melayu' maka berbagai-bagai slogan kemelayuan dikeluarkan. Ada yang
kata kita berbangga menjadi melayu sebab kitalah kaum asal di Nusantara
ini. Ada yang kata kita berbangga menjadi melayu kerana sejarah
kesultanan dan kepahlawanan melayu. Apatah lagi ketika dunia hanya
tinggal beberapa belas raja, sembilan daripadanya dimiliki oleh orang
melayu.

Ada yang kata orang melayu itu istimewa disebabkan adat dan budaya.
Berbagai-bagai lagi yang disebutkan dalam menuntut kemuliaan dan
ketinggian kaum. Namun bagi saya, kemuliaan orang melayu yang sebenar
dan kekal adalah kerana mereka menganut Islam. Mereka tidak kekal mulia
dengan adat atau kesultanan atau budaya atau apa saja, mereka akan kekal
mulia kerana akidah Islam dan jika mereka berpegang kuat dengan Islam.

Hari ini budaya dan bahasa melayu sudah banyak yang dilupa, sejarah
kesultanan atau kepahlawanan melayu pun banyak perkara yang wajar
dinilai semula. Adapun Islam, ia agama Allah yang sejagat, bukan hanya
khusus di alam melayu atau hanya untuk orang melayu. Keberkatan dan
kemuliaan akan dikurniakan kepada sesiapa yang berpegang dengannya
sekalipun tanpa sejarah bangsa dan raja.

Firman Allah:

Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan sesuatu


menimpa mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. (mereka itu)
orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa. Untuk
mereka kegembiraan dalam kehidupan dunia dan akhirat; tidak ada sebarang
perubahan pada kalimat-kalimat Allah (janji-janjiNya), yang demikian
itulah kejayaan yang besar. Dan janganlah engkau (Wahai Muhammad)
didukacitakan oleh kata-kata mereka (yang menentang); kerana
sesungguhnya segala kemuliaan bagi Allah; Dia lah Yang Maha Mendengar,
lagi Yang Maha mengetahui. (Surah Yunus: 62-65).

Jikalah kepahlawanan melayu hendak dijadikan teladan, saya fikir banyak


perkara yang perlu ditapis. Hang Tuah yang kononnya hidup pada zaman
kegemilangan Kesultanan Melaka tentu tidak relevan lagi di zaman kita
untuk dianggap wira dan teladan. Wataknya itu mungkin sesuai untuk
masyarakat yang berpegang kepada feudalisme yang taat patuh kepada
golongan bangsawan secara membuta tuli.

Hal yang sama berlaku juga dalam sejarah bangsa-bangsa feudalistik yang
lain. Cerita tindakan Hang Tuah membawa lari Tun Teja dari Pahang untuk
memenuhi `selera' Sultan Melaka ketika itu, bukanlah tindakan
yang terpuji. Ia salah dari segi nilai kesopanan, apatah lagi jika
dinilai di sudut ajaran Islam.

Namun, masyarakat melayu ketika itu barangkali dapat menerimanya


disebabkan kehendak `sultan' atau `raja' dalam
masyarakat melayu itu mengatasi segala-galanya. Bahkan sultan atau raja
bagi mereka mengatasi undang-undang dan peraturan. Dalam sejarah, bahasa
dan adat yang digunakan oleh orang melayu di hadapan sultan atau raja
menggambarkan sikap berlebih-lebihan dalam memuja raja serta menghina
atau `menghambakan' rakyat.

Ia sudah pasti tidak serasi dengan ruh ajaran Islam yang membebaskan
manusia dari perhambaan sesama manusia atau makhluk, kepada mengabdikan
diri hanya kepada Allah. Dalam sejarah atau `lagenda' kesultanan
melayu juga, bukan sedikit tindakan sultan atau raja melayu yang amat
menyanggahi keadilan, tidak masuk akal, sekaligus bercanggah dengan
Islam.

Orang melayu dalam banyak keadaan mendiamkan diri dan berkata: "Kita
rakyat, baginda raja". Falsafah raja adalah `jelmaan tuhan'
yang dianuti oleh sesetengah agama, walaupun tidak disebut dalam
masyarakat melayu, namun ia menjelma dalam penghayatan. Sehingga
perkataan `daulat raja' difahami sesetengah masyarakat bahawa
tuhan menurunkan bencana kepada sesiapa yang tidak menghormati raja.

Bahkan adat-istiadat istana itu sendiri seperti cara `mengadap atau


menyembah duli' bukan berasal dari ajaran Islam. Walaupun Islam
masuk ke dalam istana dan masyarakat melayu, tetapi berhubung dengan
adat keistanaan, banyak yang belum berjya diislamisasikan.

Tidak dinafikan golongan agama, ada yang berjaya mempengaruhi dan


menasihati sesetengah raja melayu. Terdapat juga sultan-sultan melayu
yang berpegang dengan Islam dan disanjungi kebaikan dan keadilan mereka.
Namun, dalam banyak keadaan jiwa feudalistik melayu menghalang atau
melambatkan proses mengislamisasikan pemikiran melayu berhubung dengan
raja. Anasir itu ada yang berlarutan sehinggalah ke zaman moden ini.

Tokoh-tokoh politik berbangsa melayu samada pro-islam atau apa saja,


bagaimana `sakan' pun mereka mengkritik kerajaan; dari segi
belanjawan, pembaziran, tindak-tanduk, pembahagian projek, kepatuhan
kepada undang-undang dan agama dan berbagai hal yang lain, apakah mereka
sanggup bertanya hal yang sama jika dikaitkan dengan `istana'.
Jawapan sudah pasti tidak atau amat sedikit, walaupun memang banyak
bisikan dalam senyap. Sehingga saya berjumpa sesetengah orang yang
mengharamkan `yoga' atas alasan kerana ada unsur agama lain
antaranya merapatkan kedua belah tangan seperti `menyembah
berhala'. Saya bertanya: "tidakkah perbuatan yang sama dilakukan
dalam istiadat melayu mengadap raja?". Dia menjawab: "oh itu
lain, saya tidak mahu masuk campur".

Tulisan ini bukan menghina sejarah istana atau raja. Apa yang hendak
saya tegaskan adalah kemuliaan kita apabila kita berpegang dengan Islam.
Tiada masalah dengan istana atau kesultanan melayu. Saya hanya menyebut
latar masyarakat kita. Institusi ini boleh dikekalkan seperti mana
United Kingdom masih mengenalkan Queen mereka.

Namun, proses pembaharuan minda berkaitan istana masih diperlukan.


Apatah lagi istana dianggap memayungi Islam. Banyak institusi-institusi
Islam di bawah istana. Tiada penguasa yang tidak boleh dinilai dan
ditegur untuk kebaikan diri mereka dan rakyat jelata. Sepertimana
kerajaan ditegur dan dikritik, demikian juga raja dan sultan. Jika ia
hal peribadi, ditegur secara tertutup dan peribadi. Jika ia hak atau isu
awam, orang awam dan rakyat berhak menuntutnya.

Saya menyebut hal demi kebaikan institusi kesultanan itu sendiri, agar
berkesinambungannya secara mulia dan dihormati rakyat. Dalam rekod
melayu moden, orang melayu telah banyak mempertahankan institusi
kesultanan mereka, walaupun tidak banyak keadaan yang menunjukkan
sebaliknya. Adapun saya, tidaklah bersetuju dengan kata-kata Hang Jebat:
"raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah". Saya tidak
bersetuju dengan perkataan `sembah' yang disebut oleh Hang
Jebat, sebab saya tidak menyembah raja. Saya kata: "raja adil raja
ditaati, raja zalim raja dibantahi atau dinasihati".

Tiada beza antara rakyat dan raja atau menteri atau bangsawan mana
sekalipun di hadapan keadilan dan hak. Islam tidak pernah mengajar jiwa
feudalistik yang meletakkan bagi bangsawan hukuman yang berbeza dengan
rakyat. Rasulullah s.a.w menyebut:

"Sesungguhnya binasa orang yang terdahulu daripada kamu kerana


mereka itu apabila seorang bangsawan dalam kalangan mereka mencuri, dia
dibiarkan. Apabila seorang yang lemah dalam kalangan mereka mencuri,
dilaksanakan hukum ke atasnya. Demi Allah! Jika Fatimah anak Muhammad
(puteri Rasulullah) itu mencuri, nescaya ku potong tangannya"
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Saya seorang muslim, saya juga seorang melayu. Saya tidak nafikan orang
melayu dan kesultanan kita ada keistimewaan yang tersendiri. Namun, saya
percaya jika kita berbicara soal sejarah bangsa, setiap bangsa ada
sejarah mereka. Jika soal budaya dan adat, setiap bangsa memilikinya.
Jika soal bahasa dan sastera, setiap bangsa ada latar mereka.

Namun jika kita berbicara rahmat Allah yang menunjukkan Islam kepada
orang melayu, ia adalah sesuatu yang istimewa. Ia membolehkan melayu itu
bergabung dengan sejarah hidayah dan alam yang merentasi segala rupa
bangsa dan budaya. Ia menjadikan kita bersaudara dengan berbagai bangsa
di dunia atas kalimah Allah dan menjadikan kita merasai sejarah
kegemilangan Islam sebahagian dari sejarah kita bersama. Cuma yang
tinggal, sejauh manakah kita berjaya melayari bahtera keagungan Islam
pada zaman yang mencabar ini?

Zaman sudah berubah. Minda dan cara fikir generasi baru juga sudah
berbeza. Sejarah juga akan berubah. Sesiapa yang enggan berubah, mungkin
dia diubah.

Anda mungkin juga menyukai