Anda di halaman 1dari 3

Maulid: Antara Sejarah Dan Amalan

Sunday, 08 March 2009

Para sarjana sejarahwan Islam berbeza pendapat tentang tarikh sebenar kelahiran Nabi
s.a.w. Hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim hanya menyebut bahawa
baginda lahir pada hari Isnin tanpa menyebut haribulannya. Sesiapa yang membaca karya-
karya sejarah Islam yang besar seperti al-Bidayah wa al-Nihayah oleh al-Imam Ibn Kathir
(meninggal 774H) akan melihat berbagai pendapat tentang haribulan dan bulan kelahiran
baginda s.a.w.

Bagi yang berpendapat baginda lahir pada Bulan Rabi’ul Awwal, mereka berbeza pendapat
pula dalam menentukan haribulannya. Ada yang menentukan pada 8 haribulan, ada yang
pada 9 haribulan, ada pula pada 12 haribulan seperti yang menjadi anggapan ramai, ada
juga pada 17 haribulan dan seumpamanya. Di samping di sana ada pula sarjana Islam yang
menyatakan baginda lahir pada Bulan Ramadan dengan hujah-hujah mereka yang tersendiri.

Apa pun yang penting, sejarahwan Timur atau Barat, Utara atau Selatan tidak pernah
berbelah pendapat tentang lahirnya seorang insan bernama Muhammad bin ‘Abdillah yang
diikrarkan oleh umat Islam sebagai rasul terakhir yang diutuskan Allah. Hal ini berbeza
dengan Jesus yang berada dalam gambaran Barat. Setengah ahli kajian mereka
mempertikaikan tentang kelahiran Jesus itu sendiri.

Kelahiran Nabi s.a.w adalah peristiwa yang amat penting kerana ia peristiwa yang
memulakan episod baru bagi kehidupan manusia sejagat. Penentuan haribulan atau bulan
secara tepat bukanlah faktor utama. Tidak dapat menentukan tarikh lahir yang pasti, bukan
bererti seseorang itu tidak wujud. Entah berapa ramai para nabi, tokoh, individu yang gagal
dikesan tarikh kelahiran mereka, tetapi mereka wujud dan telah mewarnai sejarah.

Kegagalan sarjana untuk mengetahui hari dan bulan sebenar kelahiran Nabi s.a.w antaranya
berpunca daripada tindakan para sahabah Nabi s.a.w yang tidak merayakan tarikh tersebut.
Walaupun dalam sejarah Islam, merekalah generasi yang paling mencintai Nabi s.a.w namun
mereka tidak membuat perayaan khas hari kelahiran baginda disebabkan kerana mereka
tidak melihat baginda melakukan hal yang demikian.

Bahkan Ibn Kathir menceritakan bagaimana Saidina ‘Umar apabila dicadangkan permulaan
tahun Islam dikira pada tahun kelahiran Nabi s.a.w, beliau menolaknya. Sebaliknya khalifah
agung itu memilih tahun hijrah baginda sebagai permulaan kiraan. Bukan kelahiran tidak
penting, tetapi hijrah adalah permulaan kejayaan dan sejarah perjuangan. Perkara yang
paling utama buat seorang rasul ialah baginda diikuti, bukan sekadar dirayakan. Saban tahun
orang Kristian Barat merayakan kelahiran Jesus, namun apakah kehidupan mereka sama
seperti yang diajar oleh Jesus?

Hari berganti dan bertukar. Dunia Islam beralun dengan berbagai krisis politik yang akhirnya
mencetuskan mazhab. Antaranya Mazhab Syiah yang asalnya merupakan mazhab politik,
bertukar menjadi mazhab agama dengan segala macam aliran di dalamnya. Islam
sepatutnya mencorakkan politik telah bertukar menjadi ‘politik mencorakkan Islam’. Lalu
kefahaman agama dibina di atas blok-blok politik, bukan reka fikir politik itu diwarnakan
oleh Islam. Maka perebutan kuasa berlaku atas agenda politik yang dimasukkan unsur Islam
ke dalamnya. Maka berselerakanlah umat Islam akibat agenda politik berbagai aliran.

Di Mesir, Syiah Fatimiyyah pernah menguasai tampok kuasa. Berbagai agenda agama
dilaksanakan dalam kerangka pemikiran mazhab politik yang bertukar menjadi agama.
Berbagai perayaan agama dibuat dengan tujuan untuk mencapai matlamat politik yang
tersendiri.

Dalam Fatawa al-Azhar diakui bahawa ahli sejarahwan Islam tidak mengetahui sesiapa pun
yang memulakan perayaan Maulid Nabi s.a.w melainkan Kerajaan Syi’ah Fatimiyyah di Mesir
yang mengadakannya secara besar-besaran. Mereka turut meraikan hari kelahiran tokoh-
tokoh Ahlil Bait dan kelahiran Nabi Isa a.s. Kemudian pada tahun 488H dihentikan oleh
Khalifah mereka al-Musta’la billah. Kemudian dihidupkan kembali oleh sesetengah kerajaan
dan negeri. Demikianlah sejarahnya.

Ya, saya fikir, perasaan bersyukur mengenangkan sejarah kelahiran Nabi s.a.w dengan
semangat untuk mengikuti baginda adalah wajar. Di samping kita perlu sedar fakta-fakta
yang disebutkan tadi. Jika Bulan Rabi’ul Awwal ini dikatakan bulan kelahiran Nabi s.a.w,
maka tidak salah untuk kita berceramah menceritakan sejarah perjuangan dan prinsip-
prinsip Islam yang dibawa oleh baginda. Sama ada pada bulan ini atau selain. Sama seperti
apabila kita melintas suatu tempat bersejarah, kita mengenang sejarah tersebut. Cuma
janganlah kita ini menjadi manusia bermusim yang hanya mengenang rasul dan ajaran
baginda pada hari-hari tertentu, tetapi kita seakan sudah tidak mengingati baginda selepas
itu.

Di samping itu, hendaklah kita sedar, jika kita mengikuti Nabi s.a.w, maka pastikan kita tidak
menokok tambah ajaran baginda apa yang baginda tidak izinkan. Baginda bersabda:

“Sesiapa yang membuat perkara baru dalam urusan kami ini (Islam) apa yang bukan
daripadanya maka ia tertolak” (Riwayat Muslim).

Oleh kerana baginda tidak pernah menunjukkan kita ibadah khas sempena kelahiran
baginda samada solat khas, atau puasa khas atau bacaan khas, maka kita tidak boleh
mengadakannya. Jalan yang patut diikuti dalam masalah ini adalah jalan para sahabah
baginda s.a.w. Sabda baginda s.a.w:

“..Sesungguhnya Bani Israil berpecah kepada 72 puak, dan umatku akan berpecah kepada 73
puak. Kesemua mereka dalam neraka kecuali satu puak”. Mereka bertanya: “Apakah puak
itu wahai RasululLah?” Jawab baginda: “Apa yang aku dan para sahabahku berada di
atasnya”. (Riwayat al-Tirmizi dinilai sahih oleh al-Diya al-Maqdisi).

Perlu diingat, antara keistimewanya sejarah Nabi s.a.w kerana ia dapat dikenal pasti antara
yang tulen dan tokok tambah. Ini berbeza dengan sejarah pengasas-pengasas agama dalam
dunia ini yang hampir keseluruhan sejarah mereka dibina atas sangkaan atau perkhabaran
yang tidak pasti. Ilmu hadis yang menapis sanad dan matan telah memelihara fakta sejarah
nabi kita Muhammad s.a.w. Hanya sejarah yang pasti sahaja yang menjadi ikutan kita, bukan
yang direka.

Kata al-Sayyid Sulaiman al-Nadwi:

“Sesungguhnya sirah yang berhak diikuti oleh manusia sebagai contoh yang baik dan teladan
yang tinggi disyaratkan terlebih dahulu mestilah bersifat tarikhiyyah (sejarah). Adapun sirah
yang tertegak diatas dongengan dan cerita-cerita khurafat yang tidak disokong oleh riwayat-
riwayat yang dipercayai kesahihannya, adalah menjadi tabiat insan tidak akan terpengaruh
dengan apa yag diceritakan kepadanya tentang sirah peribadi yang direka sedangkan
sejarah tidak pernah mengenalinya” (Sulaiman al-Nadwi, al-Risalah al-Muhammadiyyah,
m.s. 41, Saudi: al-Dar al-Sa`udiyyah).

Buku Maulid al-Barzanji yang banyak dibaca dalam masyarakat kita ketika majlis kenduri-
kendara atau selainnya mempunyai sumbangan yang tersendiri. Banyak sirah yang sahih
dicatatkan oleh penulis karya tersebut iaitu Ja’far bin Hasan bin `Abd al-Karim al-Barzanji
(meninggal 1187H). Namun satu hakikat yang diboleh dinafikan dari segi ilmu hadis bahawa
terdapat fakta-fakta yang tidak sahih dalam buku al-Barzanji tersebut. Antaranya, beliau
menyebut:

“Telah hadirlah pada malam kelahiran baginda (Nabi s.a.w.) Asiah (isteri Fir`aun yang
beriman) dan Maryam (ibu Nabi Isa a.s.) dalam kumpulan wanita dari syurga)”.

Tiada satu riwayat yang sahih daripada Nabi s.a.w yang mengakui peristiwa seperti ini.
Sehingga seorang pengkaji sejarah Muhammad Muhammad Hasan Syurrab menyebut:

“Wajib kita berhati-hati ketika memetik dari buku-buku sirah terutamanya buku-buku sirah
yang terkemudian. Para rawinya (periwayat) banyak menokok tambah cerita dan sirah
Rasulullah. Mereka mengaitkan kepada baginda mu’jizat dan perkara-perkara luar biasa
sejak kelahiran sehingga kepada kewafatan baginda dengan perkara yang tidak ada sanad
yang boleh dipegang. Seakan-akan para rawi ini melihat tujuan penambahan perkara-
perkara luar biasa ini untuk memberikan kepada Rasul a.s. mu’jizat-mu’jizat yang tidak ada
pada para nabi sebelum baginda (Muhammad Muhammad Hasan Syurrab, Fi Usul Tarikh al-
`Arab al-Islami, m.s. 84, Damsyik, Dar al-Qalam).

Kita semua bersyukur dan bergembira dengan kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. Namun kita
wajib pastikan cara kita ikut dan faham mengenai baginda. Saban tahun banyak pihak yang
meraikan maulid, apakah umat Islam bertambah dekat dengan baginda?

Anda mungkin juga menyukai