Anda di halaman 1dari 3

Orang Politik!

Berbaloikah Ini Semua


Sunday, 22 March 2009

Malas rasanya hendak mengulas keserabutan politik negara kita. Saya yang berada jauh di
cerok Lampeter, Wales ini pun terasa betapa serabutnya kerenah politik dalam negara.
Kadang-kala rasa letih perasaan hendak membaca berita-berita negara kebelakangan ini.
Semuanya tentang kekeliruan politik.

Jika ada berita yang menyejuk jiwa seperti kisah kejayaan adik Nik Nur Madihah Nik Mohd
Kamal yang berjaya dalam pelajarannya sekalipun dari keluarga miskin, tidak pula menjadi
isu hangat untuk diperkatakan oleh masyarakat kita. Mungkin sekadar laporan media untuk
sehari dua. Tidak enak barangkali untuk dihidang bersama rakan sebagai jamuan telinga
seperti mana sedapnya mendengar cerita kekalutan politik.

Padahal pendidikan dan ilmu diperlukan secara langsung oleh setiap insan, sedangkan
politik rakus dan ‘gila kuasa’ hanya untuk mereka yang dimabukkan oleh syaitan. Sehingga
saya baca daripada satu sumber berita kononnya dijumpai ‘barangan bomoh’ yang
diletakkan di bawah meja Perdana Menteri. Pelik bunyinya kisah-kisah politik kebelakangan
ini. Apa yang patutnya rahsia, dikongsi semua. Ada yang patut dikongsi semua, menjadi
rahsia.

Maka tertanya sekelian rakyat: “tangan-tangan siapakah gerangan?”. Jika saya yang berada
di Lampeter United Kingdom ini iaitu satu kawasan yang dianggap ulu tetapi tenang,
menghijau, dengan udaranya yang segar dan masyarakatnya yang agak mesra, pun terasa
mual dan loya dengan berita-berita negara kita, apatahlagi perasaan rakyat yang prihatin
yang hidup dalam negara.

Atau mungkin rakyat negara kita sudah sampai kepada satu tahap menganggap kisah-kisah
kecurangan dan sensasi ahli politik adalah satu hiburan seperti mana kisah-kisah gossip
artis. Padahal ada beza antara dua kelompok tersebut. Gossip artis mungkin kesannya tidak
seburuk kecurangan ahli politik yang rasuah, salahguna kuasa, memecah belahkan
masyarakat hanya atas kepentingan, membazir masa rakyat dan menggadaikan masa depan
awam.

Membaca berita ahli politik; tikam menikam sesama sendiri, benci-membenci dalam
mengejar kuasa, curahan wang dan harta kerana pangkat semata, dedah mendedah keaiban
masing-masing dan berbagai lagi menjadikan dada kusut dan serabut. ‘Sembang-sembang’
mereka penuh dengan sumpah seranah dan permusuhan hanya kerana kuasa.

Kawan-kawan orang politik ramai yang munafik daripada yang jujur. Pujian untuk orang
politik banyak yang dusta daripada yang ikhlas. Bak kata ungkapan pantun dalam lagu:
Inikah dia lakonan hidup, di pentas dunia insan berpura. Tipu dan daya mencapai maksud,
budi dan harta merangkum noda.
Hairan kita dengan orang politik, apakah candu yang mereka telan sehingga mereka sanggup
berada di alam yang seperti itu. Apakah yang mereka kejar untuk memperolehinya sehingga
mereka sanggup meredah badai kesakitan jiwa dan perasaan yang sedemikian. Apakah
mereka mengejar kuasa tanpa bahagia? Atau kuasa bersama derita? Atau biar derita asal
berkuasa? Atau mereka sebenar tidak berjumpa dengan nikmat hidup bahagia? Atau
mereka bak apa yang Allah firman dalam al-Quran: (maksudnya)

“Oleh itu, janganlah engkau tertarik kepada harta benda dan anak pinak mereka, (kerana)
sesungguhnya Allah hanya mahu menyeksa mereka dengan itu semua dalam kehidupan
dunia” (Surah al-Taubah: ayat 55).

Sejarah seantero dunia meriwayatkan cerita-cerita politik itu penuh dengan riwayat
sengsara dan derita. Orang yang tamakkan kuasa sebenarnya mengidap sejenis penyakit gila
yang mungkin bertindak di luar dari kebiasaan insan yang normal. Dia mungkin berbohong,
khianat, rasuah, menzalimi insan lain, bahkan mungkin membunuh atas kegilaan yang luar
kawalan. Dia sanggup mengorbankan segala-galanya, hanya kerana kuasa.

Tetapi yang pasti jika diteliti, mereka ini hilang kewarasan, kebahagiaan dan ketenteraman
hidup. Jiwa mereka miskin. Bayang-bayang ketakutan atas dosa dan hilang kuasa memburu
mereka setiap waktu dan penjuru. Perasaan resah apabila bersendirian tanpa pengikut, atau
sendiri bermimpi ngeri bimbang hilang pengaruh. Demikianlah insan apabila Allah dan
bayangan hari akhirat itu hilang dari jiwa seseorang insan.

Para pejuang kebenaran kerana Allah juga mungkin derita dan diseksa. Mungkin juga diuji
dengan penderitaan fizikal dan tekanan perasaan sebagai insan. Namun, keimanan,
keikhlasan dan harapan mendapat ganjaran di sisi Allah sentiasa menjadikan derita itu kecil,
bahkan mungkin bertukar menjadi nikmat apabila apabila mengenang bahawa ujian dan
bala itu penyebab ganjaran dan pahala serta menghapuskan dosa.

Jiwa mereka besar kerana tempat pergantungan mereka sangat agung. Ini seperti yang
sering para pejuang sebutkan: “Jika aku dipenjara maka itu satu kerehatan. Jika dibuang
negeri maka itu satu perlancongan dan jika aku dibunuh maka itu bererti syahid. Para
pejuang kebenaran sentiasa damai kerana nampak ke mana jalan hendak dituju. Firman
Allah dalam Surah al-Nisa’: (maksudnya)

“Dan janganlah kamu lemah (hilang semangat) dalam memburu musuh (yang menceroboh)
itu; kerana kalau kamu menderita sakit maka sesungguhnya mereka pun menderita sakit
seperti penderitaan kamu; sedang kamu mengharapkan daripada Allah apa yang mereka
tidak harapkan dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”.

Ugutan, ancaman, penghinaan, kezaliman dan segala rupa kesakitan hidup dirasai oleh
orang politik dan bukan politik. Namun antara perbezaan mereka yang berkerja untuk
menegakkan kebenaran kerana Allah dan mereka yang berjuang untuk kepentingan
tembolok sendiri adalah ketenangan jiwa dan kehalusan perasaan yang penuh syahdu dan
lunak yang tidak dimiliki melainkan oleh golongan yang pertama.
Golongan pertama iaitu para pejuang kebenaran kerana Allah, tanpa mengira atas pentas
apa mereka berada; dakwah, politik, ekonomi, pendidikan atau apa sahaja, akan melalui
kesukaran perjuangan mereka dengan mendekatkan diri kepada Allah, mengharapkan
pahala dan keampunan serta tawakal yang penuh kepadaNya. Samada kemenangan atau
ketewasan; semuanya dihayati sebagai nikmat pengorbanan untuk insan kerana Tuhan.

Firman Allah Surah Ali ‘Imran 173: (maksudnya)

“Mereka yang apabila diberitahu oleh orang ramai (pembawa berita) kepada mereka:
“Bahawa manusia berkumpul untuk memerangi kamu, maka gerunlah kamu kepada
mereka”. (maka berita itu sebenarnya) menambahkan iman mereka lalu berkata: “Cukuplah
Allah untuk (menolong) kami, dan Dia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadanya
Segala urusan kami)”.

Sebab itu dalam sejarah kuasa politik sekalipun hebat, gagal untuk menundukkan pejuang
kebenaran yang ikhlas. Sekalipun tubuh dan harta para pejuang itu diseksa dan dirampas,
tetapi jiwa penguasa juga yang menderita. Namun sejarah terus mencatatkan kedua
kelompok itu sentiasa berterusan wujud sekalipun menghadapi berbagai rintangan.

Penegak kebenaran kerana Allah ada di setiap zaman menghadapi segala tribulasi
perjuangan kerana memburu keredhaan Allah dan syurga yang dijanjikan. Sementara
kelompok yang tamakkan kuasa juga wujud di setiap zaman disebabkan penyakit gila yang
meresap ke dalam jiwa mereka. Mereka terbayang pada kuasalah segala keindahan dan
keseronakan. Mereka lupa betapa ramai yang berkuasa itu telah hilang nikmat kebahagiaan
jiwa. Sabda Nabi s.a.w:

“Kamu semua begitu bercita-cita terhadap jawatan kepimpinanan, ianya akan menjadi
penyesalan pada hari kiamat. Ianya sesuatu yang nikmat pada permualaannya tapi
keburukan pada akhirnya” (Riwayat al-Bukhari).

Ya, politik bukan semuanya buruk. Berpolitik untuk menegakkan kebenaran serta berpolitik
dengan disiplin yang ditunjukkan oleh Allah dan RasulNya adalah tuntutan. Kita perlukan
orang politik yang melaksanakan tanggungjawab kepimpinan berdasarkan wahyu Tuhan.
Namun jika politik itu adalah kisah ketamakan dan kerakusan seperti yang sering kita
dengar, ia sebenarnya adalah kisah insan-insan yang hilang bahagia, berpenyakit jiwa dan
gila.

Maka ingin kita bertanya kepada mereka ini yang sengit bertarung saban hari: “Berbaloikah
semua itu?”

Anda mungkin juga menyukai