Anda di halaman 1dari 7

Bahasa asing dilihat sebagai bahasa yang tidak digunakan secara meluas atau

kerap oleh seseorang itu. Antara bahasa asing yang terkenal di negara ini
meliputi bahasa Inggeris, bahasa Jepun, bahasa Korea, dan bahasa Arab.
Penggunaan bahasa asing terutama bahasa Inggeris mula mendapat tempat
dalam kalangan pelajar dan pihak media massa turut mempromosikan
penggunaan bahasa ini. Sebenarnya, bahasa asing ada membawa banyak
manfaat kepada seseorang itu.

Sudah pasti kebaikan utama seseorang yang mahir dalam bahasa asing ialah
diri mereka lebih mudah untuk menguasai sesuatu ilmu tersebut. Banyak
bahan kajian terutama dalam bidang teknologi dan sains yang diterbitkan
dalam bahasa asing terutama bahasa Inggeris dan Jepun serta Jerman. Ilmu
yang ada dalam bahan bacaan ini hanya boleh dikutip oleh pembaca yang
mahir dalam bahasa asing tersebut. Jadi, mereka yang menguasai bahasa luar
boleh mempelajari pelbagai bidang ilmu yang amat penting itu.

Selain itu, penguasaan bahasa asing membolehkan manusia untuk berhubung
dengan masyarakat dunia luar pula. Komunikasi yang lancar dan baik boleh
dilaksanakan jika kedua-dua individu yang terlibat dalam perbualan itu
memahami satu bahasa terutama bahasa asing. Maksud dan isi tersirat yang
wujud dalam komunikasi itu akan dapat difahami dengan tepat jika individu
terbabit memahami bahasa asing secara mendalam. Jelaslah, penguasaan
bahasa asing memudahkan komunikasi dengan masyarakat luar berlaku
dalam suasana yang baik terutama dalam urusan perniagaan, politik dan
sosial pula.

Malah, individu yang sanggup mempelajari bahasa asing akan mendapati diri
mereka lebih senang memperoleh peluang pekerjaan terutama dalam era
globalisasi ini. Majikan zaman ini lebih meminati pekerja yang mampu
menguasai lebih banyak bahasa kerana mereka mudah untuk berurusan
dengan pengguna dan boleh dihantar bekerja di mana-mana cawangan
syarikat tersebut di seluruh dunia. Diri seseorang yang menguasai bahasa
asing ini juga boleh memohon pekerjaan di dalam dan di luar negara kerana
sedar bahasa bukanlah penghalang lagi. Sesungguhnya, pekerja yang mahir
dalam pelbagai bahasa akan mendapati diri mereka senang memperoleh
kerja.

Malahan, kemahiran dalam bahasa asing telah dilihat sebagai satu tuntutan
era globalisasi ini. Maknanya, mereka yang menguasai bahasa asing itu
dilihat sebagai unik, menarik, dan berkebolehan berbanding dengan individu
yang hanya tahu bertutur dalam bahasa ibunda mereka. Kemahiran sebegini
menjadikan diri mereka lebih sesuai untuk menghadapi pelbagai cabaran
yang timbul akibat perubahan dalam pemikiran dan cara manusia menjalani
kehidupan harian mereka itu. Maka, berbahasa asing itu dilihat sebagai satu
keperluan utama dalam menjalani kehidupan zaman moden ini.

Pada masa yang sama, individu yang boleh bertutur dalam bahasa asing akan
mudah menyesuaikan diri mereka dalam sebarang suasana, situasi dan
tempat. Mereka tidak akan berasa janggal apabila berada dalam majlis yang
menggunakan bahasa asing tersebut. Pemahaman tentang sesuatu perkara
juga akan menjadi lebih mudah kerana mereka boleh menjelaskan maksud
bahasa asing itu ke dalam bahasa ibunda dengan lebih tepat. Lantaran itu,
penguasaan bahasa luar ini menjadikan manusia itu lebih mudah untuk
menyesuaikan dirinya dalam sebarang situasi dan tempat.

Kesimpulannya, semua manfaat yang dihuraikan tadi memang boleh
diperoleh apabila seseorang itu menguasai banyak bahasa asing. Kita harus
sedar bahawa sikap mempelajari bahasa asing ini bukanlah sesuatu yang
negatif tetapi satu perkara yang bijak untuk diamalkan pula. Remaja yang
berpandangan jauh akan mula memahirkan diri mereka dalam beberapa
bahasa asing sebelum terlewat. Bak kata pepatah, tepuk dada tanya selera
yang menjelaskan bahawa sikap mempelajari bahasa asing ini banyak
ditentukan oleh sikap seseorang itu sendiri.

Posted by Noor Azman Mahat at 9:14 PM No comments: Links to this post
Tuesday, July 16, 2013
Karangan SPM 2013...Cara
mengawal penulisan blog yang
negatif kepada negara dan
bangsa?

Penulisan blog sudah menjadi satu gaya hidup masyarakat kita.
Kadangkala penulisan mereka itu menimbulkan pelbagai
masalah kepada masyarakat pula terutama apabila bahan
penulisan mereka itu berunsur fitnah.

Huraikan cadangan anda untuk menyekat timbulnya masalah
sebegini dalam penulisan blog.

Penulis blog dikatakan sebagai individu yang menulis dalam
halaman blog yang tersiar melalui internet. Antara penulisan ini
menyentuh aspek hobi, peribadi dan tidak kurang juga berunsurkan
isu semasa yang dihasilkan oleh masyarakat biasa. Akhbar ada
membuat komentar mengenai penulisan blog ini terutama apabila
ada penulis blog yang menulis bahan yang tidak benar. Jadi,
pelbagai idea telah diketengahkan untuk mengatasi masalah
penulisan blog yang dilihat sebagai tidak bertanggungjawab ini.

Salah satu langkah awal menangkis masalah penulisan blog ini ialah
pihak berkuasa boleh membuat pendaftaran rasmi untuk sesiapa
sahaja yang mempunyai blog. Pendaftaran ini melibatkan nama dan
alamat sebenar penulis serta maklumat tambahan yang pihak
berkuasa beranggapan penting. Kewujudan informasi penulis blog
ini memudahkan pihak berkuasa untuk memantau setiap bahan
penulisan itu lalu mengambil tindakan segera dengan menahan
penulis yang tidak bertanggungjawab. Maka, masalah penulisan
blog yang tidak beretika dapat diatasi jika pihak berkuasa membuat
proses pendaftaran penulis dengan segera.

Selain itu, satu seminar khas mengenai penulisan blog boleh
dijalankan oleh pihak berkuasa terutama di bawah kendalian
Kementerian Penerangan. Dalam seminar ini, pihak berkuasa boleh
menerangkan proses perundangan yang meliputi internet dan juga
hak penulisa serta penulisan yang beretika kepada peseta yang
menghadirinya. Penyertaan penulis blog dalam seminar sebegini
memberikan mereka maklumat yang tepat mengenai blog dan impak
yang boleh dihasilkan oleh bahan penulisan mereka terhadap
kehidupan masyarakat kita. Sesungguhnya, aktiviti seminar ini
mudah tetapi efektif kerana mampu memberi kesedaran tentang erti
penulisan blog yang sebenarnya.

Malah, masalah penulisan blog yang tidak beretika ini juga boleh
diatasi melalui pengenalan akta penulisan blog yang relevan.
Maknanya kerajaan mewartakan satu akta yang khas untuk
mengawal penulisan blog yang bertujuan jahat atau tidak
berdasarkan bukti yang sahih. Pengenalan akta sebegini menjadikan
penulis-penulis blog lebih berhati-hati dengan setiap bahan yang
hendak mereka tulis untuk bacaan umum itu. Jelaslah, penulis blog
akan lebih berhati-hati apabila mereka menyedari bahawa penulisan
mereka boleh dihukum dengan hukuman yang lebih berat jika
mereka tidak berhati-hati.

Pada masa yang sama, pihak berkuasa hendaklah mengawal
kemunculan pusat-pusat internet yang tumbuh bak cendawan
selepas hujan itu. Banyak pusat internet ini telah digunakan sebagai
tempat penulis yang tidak beretika ini untuk menghantar bahan
penulisan mereka itu kerana menyedari mereka boleh membuka
pelbagai akaun blog yang sukar untuk dikesan di pusat ini. Tindakan
proaktif kerajaan mengawasi pusat internet akan menjadikan penulis
blog tidak berani lagi untuk menyiarkan bahan mereka menerusi
pusat sebegini. Sesungguhnya, pusat internet yang dipantau dengan
rapi akan mengekang sebarang penyebaran bahan penulisan blog
yang tidak bermoral ini.


Kesimpulannya, masalah penulisan blog yang tidak
bertanggungjawab ini boleh diatasi melalui semua langkah yang
diutarakan tadi. Semua pihak hendaklah memberikan kerjasama
yang sewajarnya agar blog tidak menjadi bahan untuk menjatuhkan
imej orang lain dengan begitu mudah pula. Kegagalan untuk
bekerjasama boleh menyebabkan lebih banyak impak buruk akibat
penulisan blog ini akan memusnahkan komuniti di negara ini yang
berbilang kaum. Bak kata orang tua-tua, "kerana mullet badan
binasa" mengingatkan kita bahawa dalam era moden ini bukan kata-
kata sahaja yang harus dijaga tetapi hasil penulisan seseorang turut
memberikan impak yang serupa.
Posted by Noor Azman Mahat at 10:29 AM No comments: Links to this post
Monday, June 24, 2013
Karangan SPM 2013...Langkah
kekalkan bangunan bersejarah
di Malaysia?

Negara kita mempunyai banyak bangunan bersejarah yang
makin pupus dihimpit arus pembangunan.

Cadangkan langkah-langkah untuk mengekalkan bangunan
tersebut.

Bangunan bersejarah bolehlah ditakrifkan sebagai bangunan lama
yang digunakan dalam urusan kerajaan atau agensi kerajaan. Banyak
bangunan bersejarah ini berfungsi sebagai bangunan pentadbiran,
mahkamah, balai polis dan penjara. Ada bangunan ini yang berusia
ratusan tahun yang pasti ada nilai sejarah terutama buat generasi
muda. Lantaran itu, usaha-usaha perlu dilakukan untuk
mengekalkan bangunan sebegini daripada hilang ditelan zaman.

Kerajaan boleh menjadikan bangunan itu sebagai satu daya tarikan
pelancong. Sebagai contoh bangunan A Famosa, Penjara Pudu dan
sebagainya boleh dipelihara untuk menarik kehadiran pelancong
melihatnya. Tindakan ini menjadikan usaha pemuliharaan bangunan
itu berjalan dengan baik kerana bangunan itu akan diselenggarakan
atau diubahsuai demi tatapan pelancong asing. Jelaslah, tindakan
menjadikan bangunan itu sebagai tarikan pelancong akan menjamin
kewujudannya.

Selain itu, bangunan bersejarah ini juga boleh diubah menjadi
bangunan muzium yang memaparkan sejarah tertentu. Contohnya,
bangunan Balai Polis Bukit Kepong boleh dipulihara untuk
memaparkan semangat perjuangan polis dan peristiwa tragis yang
berlaku di kawasan itu suatu masa dahulu. Bukan sahaja bangunan
lama ini akan terus wujud tetapi masyarakat muda akan dapat
menghargai erti pengorbanan yang dilakukan oleh anggota polis
demi kemerdekaan negara kita.

Malahan, bangunan yang lama ini sesuai juga dijadikan pusat beli-
belah atau perniagaan. Secara am bangunan bersejarah ini masih
selamat dan unik untuk digunakan dalam ekonomi masyarakat kita.
Kewujudan bangunan ini memberikan satu kelebihan kepada
peniaga untuk menjalankan perniagaan mereka dalam suasana yang
jauh berbeza lalu menarik kehadiran pelanggan yang banyak pula.
Maka, bangunan lama boleh juga digunakan untuk menjana
ekonomi negara ini.

Tambahan pula, bangunan bersejarah ini boleh ditukar untuk
menjadi bangunan pentabdiran. Sebagai contoh Bangunan Sultan
Abdul Samad telah ditukar menjadi bangunan mahkamah suatu
masa dahulu. Penggunaan bangunan lama sebagai pusat pentadbiran
bukan sahaja mengurangkan kos pembinaan bangunan baru tetapi
juga boleh menimbulkan rasa bangga dan patriotisme dalam diri
seseorang yang berurusan di pejabat kerajaan itu. Jelaslah, bangunan
bersejarah boleh menjadi bangunan pentadbiran pula jika diuruskan
dengan baik.

Malahan, bangunan lama itu juga boleh ditukar menjadi rumah
kebajikan seperti anak-anak yatim, orang tua dan sebagainya.
Bangunan lama ini biasanya tidak memerlukan kos penyelenggaraan
yang tinggi lalu sesuai untuk badan-badan kebajikan
menggunakannya untuk mengurangkan kos perbelanjaan mereka
pula. Pada masa yang sama, nasib golongan yang kurang bernasib
baik ini terus terjaga kerana mampu berteduh di bangunan yang
sudah lama usianya itu. Sesungguhnya, bangunan lama ini sesuai
digunakan sebagai bangunan kebajikan.

Konklusinya, bangunana lama wajar dikekalkan kerana bangunan
sebegini masih mampu memberikan manfaat kepada masyarakat.
Kita hanya perlu membuat pengubahsuaian tertentu bersama-sama
penyelenggaraan yang mantap untuk memastikan bangunan itu
selamat digunakan. Amalan memusnahkan bangunan lama harus
dikikis kerana sikap ini seolah-olah memperlekehkan warisan
sejarah negara kita yang penuh warna-warni itu.

Anda mungkin juga menyukai