Anda di halaman 1dari 14

Pendahuluan

Penulisan atau penghasilan penulisan adalah satu kemahiran penting dalam penguasaan bahasa.
Sesuatu penulisan atau wacana tatabahasa didirikan oleh pelbagai ciri kebahasaan meliputi
perkataan, rangkai kata atau frasa dan ayat. Oleh itu, dalam pengajaran penulisan, guru dapat
melihat dan menilai sejauh mana kebolehan murid mengaplikasi dan menggunakan kemahiran
bahasa yang telah dipelajari mengikut tahap pencapaian dan keintelektualan pelajar.

Pengajaran tatabahasa wacana dalam penulisan secara umum meliputi pengaplikasian aspek-
aspek bahasa-aspek bahasa yang lain seperti tatabahasa, fonetik, fonologi dan semantik. Dalam
pengajaran penulisan di sekolah-sekolah, sama ada di peringkat sekolah rendah mahupun sekolah
menengah, murid sebenarnya dilatih untuk mengungkapkan gagasan dan buah fikiran dengan
tepat dan jelas tentang segala perkara, sama ada yang berbentuk akademik ataupun kegiatan-
kegiatan harian serta pengalaman dalam pelbagai jenis penulisan.

KONSEP PENGAJARAN TATABAHASA WACANA DALAM KEMAHIRAN
PENULISAN SEKOLAH RENDAH

Terdapat dua jenis pengajaran tatabahasa wacana yang diuji, iaitu pengajaran penulisan
berformat dan tidak berformat.

a. Konsep Wacana Berformat

Konsep wacana berformat ialah penulisan berkesinambungan yang mengandung format-format
tertentu untuk menggariskan penampilan wacana tatabahasa secara kohesif dan koheren
(Kamaruddin Husin, 1988). Penulisan tersebut adalah seperti berikut:

i. Surat kiriman tidak rasmi;
ii. Surat kiriman rasmi;
iii. Dialog;
iv. Syarahan;
v. Ucapan;
vi. Laporan;
vii. Berita;
viii. Catatan harian;
ix. Perbahasan.

Penulisan wacana berformat mesti ditulis mengikut cara tertentu. Penulisan berformat yang
ditulis tidak mengikut format yang ditetapkan, boleh menjejaskan konsep wacana.
Pengaplikasian wacana berformat dalam pengajaran penulisan sekolah rendah membabitkan
kehendak atau peraturan penulisan, proses penulisan dan rangka kasar pencerakinan idea supaya
wujud kesinambungan.

a. Peraturan wacana berformat:

i. Penulisan mestilah lengkap dan sempurna serta mempunyai sekurang-kurangnya
tiga isi minimum yang dikembangkan dengan huraian dan contoh atau bukti yang
kukuh dan relevan dengan isu-isu semasa yang dikemukakan dan bertepatan
dengan tajuk yang dipilih.

ii. Murid perlu matang menghuraikan isi pokok yang diberi.

iii. Murid perlu menghubungkaitkan pertalian idea semasa mengolah isi agar terlihat
kesinambungan idea antara ayat.

iv. Murid juga perlu menggunakan penanda wacana dengan betul.

v. Murid juga harus menggunakan bahasa yang baik dan lancar agar tidak
menampakkan ketergantungan idea.

vi. Pemerengganan dalam penulisan hendaklah seimbang. Pemerengganan yang
dicadangkan antara lima hingga tujuh perenggan dan menggunakan tanda baca
yang betul dan tepat.
vii. Tiada kesalahan ejaan atau hanya terdapat satu atau dua kesalahan bahasa sahaja.

viii. Murid harus menggunakan kepelbagaian ragam ayat dan penggunaan struktur
ayat yang betul.

ix. Gariskan perkara-perkara penting dan tentukan format yang dikehendaki jika
penulisan berkehendakkan format.

x. Hasilkan peta minda atau membuat rangka penulisan sebelum menulis agar dapat
membimbing pelajar/memberi contoh dalam menyusun isi/idea.

b. Proses menulis pula adalah seperti berikut:

i. Pilihlah tajuk yang benar-benar difahami, sesuai dengan pengetahuan,
pemahaman dan keupayaan mengolah dan mengembangkan isinya. Pengetahuan
tentang tajuk yang dipilih adalah dari segi:

Bentuk atau format penulisan.

Isi-isi

Laras bahasa

ii. Daripada penguasaan perkara-perkara tersebut, barulah dapat membuat pemilihan
yang terbaik dan sekali gus mampu menghasilkan penulisan yang sempurna.

iii. Walau bagaimanapun, jika mempunyai pengetahuan tentang tajuk atau soalan
yang diberi, tetapi tidak tahu kehendaknya, ini juga bukanlah satu pilihan yang
baik dan tepat kerana ini akan memerangkap diri sendiri.

iv. Begitu juga jika memiliki pengetahuan dan faham dengan kehendak soalan atau
tajuk, tetapi tidak yakin akan kemampuan untuk menghurai atau
mengembangkannya, maka itu juga bukan satu pilihan yang tepat.

v. Oleh sebab itu, pilihlah tajuk atau soalan yang benar-benar difahami dan yakin
boleh menguasainya.

vi. Untuk menguasai kemahiran tentang format karangan dan laras bahasanya, perlu
memahami perbezaan format dan laras bahasa bagi penulisan yang pelbagai
jenisnya dan perlulah rajin membuat latihan pelbagai jenis penulisan.


vii. Untuk mengetahui dan mengolah isi-isi tentang sesuatu tajuk penulisan, murid
perlu banyak membaca bahan bacaan, seperti buku ilmu pengetahuan, majalah,
surat khabar dan sebagainya.

viii. Catatlah fakta daripada bahan bacaan yang dibaca, kemudian simpan dengan baik.
Dengan cara ini, murid boleh membuat rujukan pada bila-bila masa.

c. Susunan penulisan berformat ialah:

i. Rangka ialah garis kasar bagi membentuk penulisan yang lengkap. Rangka penulisan
berfungsi sebagai panduan untuk murid menulis. Rangka penulisan membantu murid :

Memastikan bahawa perkara-perkara yang dikemukakan tidak lari/terpesong
daripada tajuk atau soalan.

Menyusun isi-isi/fakta mengikut susunan yang betul.

Menghasilkan perenggan yang cemerlang.

Menganggarkan bilangan patah perkataan dalam setiap isi yang dihuraikan/diolah.
Memastikan had karangan ditulis mengikut arahan melebihi jumlah patah
perkataan dikehendaki.

Mengelakkan pengulangan fakta.

ii. Rangka penulisan itu mestilah ringkas. Sebaik-baiknya ditulis dalam bentuk isi-isi
penting untuk menjimatkan masa.

iii. Secara umumnya, rangka sesuatu penulisan mestilah terdiri daripada:

Pendahuluan
Isi-isi penting
Penutup

iv. Pembinaan perenggan pula perlu disesuaikan dengan perkara-perkara berikut:

Satu perenggan mestilah mengandungi sekurang-kurangnya satu isi yang
lengkap dengan huraian dan contoh untuk mengukuhkan isi.

Huraian yang dimaksudkan ini ialah keterangan atau penjelasan berupa
maklumat tambahan, ulasan dan sokongan tentang isi-isi tersebut.

Struktur perenggan yang baik ialah memulakan perenggan dengan
menyatakan isi pokok, diikuti oleh huraian lanjut serta contoh yang dapat
memperkukuh isi penting.

Walau bagaimanapun, binaan perenggan tidak semestinya tetap. Anda boleh
juga memulakan perenggan itu dengan isi pokok.

Setiap isi dalam setiap perenggan mestilah mempunyai pertalian. Gunakan
penanda wacana yang sesuai untuk mewujudkan kesinambungan isi.
Panjang setiap perenggan perlu seimbang. Sebaik-baiknya panjang
pendahuluan dan penutup harus seimbang dengan isi.

v. Proses penyemakan adalah seperti berikut:

Proses akhir selepas menulis ialah menyemak atau menyunting. Perkara ini perlu
dilakukan untuk memastikan segala aspek dalam penulisan dipatuhi.

Aspek yang perlu disemak atau disunting ialah kesalahan bahasa, jumlah
perkataan, pemerengganan.

Ketika menyemak, pastikan tidak ada isi penting yang tertinggal.

Seandainya terdapat isi-isi penting yang tidak disertai contoh atau contoh yang
disertakan itu agak lemah, tambahlah contoh yang lebih tepat.

Aspek bahasa yang perlu disemak ialah ejaan, tanda baca dan tatabahasa.

Jika ada kata-kata yang kurang jelas tulisannya, maka kemaskanlah tulisan kata-
kata tersebut.

Penulisan yang disunting dengan baik akan memudahkan pembaca membaca dan
mengesan isi; oleh yang demikian, penulisan akan menjadi mantap.

Rangka penulisan meliputi contoh tentang pendahuluan, isi-isi dan penutup.








b. Konsep wacana tak berformat

Konsep wacana tak berformat dalam bahasa Melayu berfokus kepada pengujian kefahaman
mengenai topik penulisan, pengujian kebolehan, kemahiran dan keupayaan untuk menarik minat
pembaca, pengujian fikiran, pendapat dan idea-idea dan pengujian tentang pengukuran
pembacaan.

Sebelum membuat sesuatu penulisan, pelajar hendaklah memilih dan memahami tajuk atau
kehendak sesuatu soalan. Selepas itu kita fikirkanlah pula tentang:

a. Pengenalan;
b. Isi-isi; dan
c. Penutup.

Setiap penulisan wacana tak berformat juga mestilah mempunyai pembukaan atau pengenalan.
Dalam pengenalan, hendaklah diperkenalkan sesuatu perkara atau tajuk yang mungkin pembaca
tidak tahu atau faham. Pelajar hendaklah mampu menarik perhatian pembaca supaya ingin
membaca sesuatu penulisan itu. Pengenalan dibuat secara ringkas dan am sahaja, memadai tiga
atau empat ayat. Pembukaan penulisan yang menarik akan meninggalkan kesan yang positif dan
mendalam kepada pembaca. Oleh itu, pastikanlah terlebih dahulu pembukaan penulisan
hendaklah bersih daripada kesalahan tatabahasa atau ejaan.

Isi hendaklah mengikut kehendak sesuatu topik. Penulisan perlu mempunyai sekurang-
kurangnya empat isi. Isi yang lebih tidak menjadi masalah, tetapi mungkin menyebabkan
kekurangan masa. Isi hendaklah disusun dengan teratur dan berkait antara satu dengan lain. Isi-
isi itu dipecahkan dalam perenggan-perenggan. Isi yang utama didahulukan. Setiap isi perlu
dikembang atau dihuraikan dan ada contoh atau bukti. Sebaik-baiknya satu isi bagi satu
perenggan kecuali jika isi pendek-pendek dan berkait rapat. Tiap-tiap perenggan tidak
semestinya sama panjang. Mungkin sesuatu perenggan itu lebih panjang daripada perenggan
yang lain. Hal ini demikian kerana sesuatu isi utama yang ingin ditekankan oleh murid-murid
biasanya lebih panjang daripada perenggan yang lain.
Jika pengenalan dapat mempengaruhi atau menarik minat pembaca untuk mengikuti penulisan
tersebut, maka penutupnya juga hendaklah memberikan sesuatu kepuasan kepada pembaca.
Penutuplah yang menjadi kesimpulan atau rumusan atau akhiran sesuatu penulisan. Dalam
penutup digambarkan juga pendapat dengan ringkas tentang sesuatu perbincangan atau tajuk.
Elakkan menamatkan penulisan secara mengejut atau tergantung. Oleh itu, penutup juga penting
dalam tiap-tiap penulisan.

Wacana tak berformat dalam tatabahasa bahasa Melayu dimaksudkan sebagai penulisan yang
bebas daripada sebarang ikatan penggunaan format. Walau bagaimanapun, penulisan jenis ini
banyak berfokus kepada pencorakan idea dan kesinambungan yang kreatif.

Ciri-ciri wacana tak berformat berkisar kepada penggunaan kaedah, penyusunan, proses semasa
penulisan dan penyemakan.

Penyusunan rangka penulisan:

a. Pilih mana-mana kaedah yang mudah untuk memperoleh isi.
b. Senaraikan semua isi penting secara ringkas.
c. Susun isi mengikut urutan kepentingannya.
d. Masukkan huraian serta contoh yang sesuai bagi setiap isi yang akan dihuraikan.
e. Isi penting jangan diulang-ulang.

Semasa penulisan:

a. Semasa menulis, mulakan dengan pendahuluan terlebih dahulu dalam satu perenggan.
b. Setiap isi yang dihurai perlu ditulis dalam satu perenggan berserta dengan contoh.

Bahagian-bahagian penulisan yang ideal:

a. Perenggan pendahuluan
b. Perenggan isi pertama
c. Perenggan isi kedua
d. Perenggan isi ketiga
e. Perenggan isi keempat
f. Perenggan penutup

Penyemakan:

a. Setelah selesai menulis, murid perlu menyemak untuk memastikan sama ada terdapat tulisan
yang kurang jelas, kesalahan ejaan, tanda baca, penggunaan imbuhan, struktur ayat yang salah
dan aspek tatabahasa yang lain.

b. Baca berulang kali untuk memastikan ketepatan penulisan.

Murid digalakkan menulis ayat yang pendek , ringkas, tepat dan padat berbanding ayat yang
panjang. Hal ini demikian kerana ayat yang panjang biasanya terdedah kepada kesalahan
tatabahasa.

Biasakan diri untuk mengolah ayat daripada isi yang telah disenaraikan. Aplikasi dalam
pengajaran penulisan wacana tak berformat di sekolah rendah kebiasaannya menjurus kepada
konteks panduan dan kerangka.

Contoh Panduan Penulisan Perbincangan / Pendapat:
a. Penulisan jenis ini tidak mempunyai format khusus.
b. Lazimnya, penulisan jenis ini menghendaki murid membincangkan sesuatu topik yang
diberikan dengan berdasarkan pengalaman.
c. Bagi menulis karangan jenis ini, murid perlu mempunyai kemahiran berhujah dan pengetahuan
yang luas tentang topik yang dibincangkan.
d. Hujah yang diberi mestilah logik untuk menunjukkan kematangan dan kebijaksanaan dalam
menghuraikan contoh berdasarkan isi.
e. Murid perlu mempunyai sikap yang rasional untuk membuat pertimbangan dan menghuraikan
isu-isu yang sensitif.
Bagi sesuatu topik, murid perlu bergantung kepada kehendak penulisan.
a. Sesuatu topik selalunya menghendaki murid:
i. mengemukakan hujah daripada satu pihak sahaja; atau
ii. mengemukakan hujah daripada dua pihak.
b. Contoh topik yang memerlukan murid mengemukakan hujah daripada satu pihak ialah:
Bincangkan keburukan kedatangan pekerja asing ke negara ini.
c. Contoh topik yang memerlukan murid mengemukakan hujah daripada kedua-dua pihak ialah:
Bincangkan kebaikan dan keburukan kehadiran pekerja asing ke negara ini.
d. Gunakan bahasa yang mudah, tepat, padat dan ringkas. Elakkan daripada menggunakan
bahasa yang berbunga-bunga dan terlalu panjang.
e. Penulisan mesti mengikut kebiasaan format penulisan sebenar, iaitu terdapatnya pendahuluan,
isi dan penutup, iaitu:
i. Pendahuluan - Membayangkan perkara yang ingin dibincangkan selanjutnya.
ii. Isi - Mengandungi hujah, ulasan dan pendapat tentang isu yang dikemukakan. Sertakan contoh
yang sesuai.
iii. Penutup - Kesimpulan tentang isu yang dibincangkan.




Konsep pengajaran ini bergantung kepada:

a) Pecahan markah bagi aspek isi penulisan. Contoh adalah seperti jadual 1 di bawah :

ISI MARKAH
Pendahuluan 1
Isi Pertama 2
Isi kedua 2
Isi Ketiga 2
Isi Keempat 2
Penutup 1
Markah 10

b) Pecahan markah bagi aspek biasa. Contohnya adalah seperti jadual 2 di bawah:

BAHASA MARKAH
i) Perbendaharaan Kata 3
ii) Struktur Ayat 3
iii) Penggunaan Imbuhan 3
iv) Tanda Baca 3
v) Ejaan 3
JUMLAH 15

i. Murid boleh mendapat markah yang baik bagi aspek ini sekiranya penulisan
murid mempunyai pengenalan, isi (melebihi tiga isi) dan penutup.
ii. Murid juga akan memperoleh markah yang baik bagi aspek bahasa jika penulisan
mengandungi aspek wacana yang mantap, selain tidak melakukan sebarang
kesalahan.
iii. Jika ada kesalahan dalam penggunaan imbuhan, tanda baca dan ejaan, setengah
markah akan ditolak. Bagi perbendaharaan kata dan struktur ayat, markah akan
diberi mengikut budi bicara dengan berdasarkan keseluruhan penulisan.
iv. Sekiranya penulisan tidak mengikut format yang ditetapkan, sebanyak 3 markah
boleh ditolak daripada petikan keseluruhan.
v. Bagi penulisan yang terpesong pula, 5 markah sahaja diberi.












STRATEGI PENGAJARAN KEMAHIRAN WACANA DALAM PENULISAN
SEKOLAH RENDAH

Strategi pengajaran kemahiran wacana dalam penulisan sekolah rendah berhubung dengan
tatacara pengajaran yang diasimilasikan dalam usaha untuk meningkatkan kemahiran wacana
dalam penulisan.

Strategi Pengajaran

Beberapa perkara perlu diberikan perhatian oleh murid dalam usaha menghasilkan penulisan
yang baik, iaitu sebelum, semasa dan selepas penulisan (Kamarudin Hj. Husin, 1988), iaitu
seperti berikut:

i. Sebelum Penulisan

a. Murid-murid hendaklah memahami kehendak soalan dan format penulisan (jika
karangan berformat).
b. Gariskan kata kunci dalam soalan yang diberi.
c. Catat isi atau kerangka penulisan. Mesti ada pendahuluan, isi dan penutup. Terdapat
pelbagai cara untuk mencatat isi. Antaranya adalah dengan menggunakan konsep peta
minda dan penomboran.

ii. Semasa Penulisan

a. Menulis berdasarkan isi / kerangka penulisan. Patuhi format (jika berkaitan).
b. Tulis pendahuluan secara ringkas. Memadai dengan satu atau dua ayat.
c. Setiap isi hendaklah dinyatakan dan diikuti penjelasan atau keterangan lanjut serta
contohnya.
d. Penutup juga hendaklah ringkas yang menunjukkan rumusan atau kesimpulan wacana.


iii. Selepas Penulisan

a. Baca semula hasil penulisan yang telah siap dan pada masa yang sama semak pelbagai
perkara, iaitu:

Format
Isi / Huraian
Imbuhan
Struktur Ayat
Ejaan
Tanda Baca
Perbendaharaan Kata

b. Baiki kesalahan atau membuat penambahan bagi beberapa kekurangan.

Kelemahan Murid dalam Penulisan

Dalam pengajaran, guru wajar berhati-hati dengan beberapa kelemahan murid dalam penulisan.
Berdasarkan komen pemeriksa kertas, ramai murid didapati lemah dalam aspek wacana:

i. Isi

Murid tidak mengemukakan isi yang menepati tajuk atau kehendak soalan.
Isi yang dikemukakan tidak mencukupi (iaitu kurang daripada empat).
Penulisan panjang, tetapi isi yang dikemukakan berulang.
Murid tidak menghuraikan isi yang dikemukakan.
Tidak memberikan contoh untuk menguatkan isi yang dikemukakan.
Tidak mempunyai kesinambungan antara satu isi dengan satu isi yang lain.
Tidak menggunakan penanda wacana yang sesuai untuk menunjukkan kesinambungan
isi atau ayat.
Tidak menggunakan kosa kata yang sesuai.
Struktur ayat tidak kemas, selain terdapat kesalahan ejaan.

Panduan bagi Penghasilan Wacana Penulisan Cemerlang

Banyakkan membaca bahan bacaan tambahan berfaedah seperti akhbar, majalah dan
buku cerita yang bersesuaian untuk meneliti kesinambungan isi-isi.
Sentiasa merujuk kepada kamus untuk mengetahui erti perkataan atau kosa kata baharu
bagi penulisan.
Baca dan semak semula penulisan yang telah ditanda oleh guru.
Teliti pengajaran guru berdasarkan pengolahan wacana yang tepat dan kemas.
Elakkan tanda Tanya dalam wacana.

Anda mungkin juga menyukai