Anda di halaman 1dari 2

1

SIDANG MEDIA
OLEH
YBHG. DATO SRI ISMAIL BIN AHMAD
KETUA PENGARAH PENGANGKUTAN JALAN MALAYSIA

PENGGUNAAN SISTEM PENGESAHAN BIOMETRIK UNTUK URUSAN
TUKAR MILIK KENDERAAN DAN PELAKSANAAN SISTEM TUKAR MILIK
KENDERAAN SECARA ONLINE

Tukar Milik bermaksud sesuatu proses pertukaran milikan kenderaan dari suatu
pemilik berdaftar kepada pemilik baharu. Proses ini dilaksanakan berdasarkan
peruntukan Seksyen 13, Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Selaras dengan pelaksanaan Program Transformasi Jabatan, melalui
pelaksanaan sistem mySIKAP, Jabatan telah melangkah ke hadapan dengan
memperkenalkan kaedah pengesahan identiti pemilik menggunakan sistem
biometrik dalam urusan pertukaran milikan kenderaan. Objektif utama
penggunaan kaedah biometrik ini adalah untuk menangani isu pemalsuan
dokumen pengesahan identiti, terutamanya melibatkan transaksi pertukaran
milikan kenderaan tanpa persetujuan atau di luar pengetahuan pemilik berdaftar
(pemilik asal). Selain dari itu, kaedah ini juga dapat menyelesaikan masalah
pemilik baharu yang enggan membuat proses pertukaran milikan kenderaan dan
menggunakan kenderaan tersebut di atas nama pemilik asal.
Melalui kaedah baharu ini pemilik berdaftar dan pemilik baharu perlu hadir ke
kaunter JPJ (termasuk kaunter perkhidmatan bergerak, Kaunter 1JPJ) untuk
membuat pengesahan biometrik bagi urusniaga pertukaran milikan kenderaan.
2

Walaubagaimanapun, bagi memberi kemudahan kepada pelanggan, mereka
tidak diwajibkan untuk hadir serentak di kaunter yang sama bagi membuat
pengesahan biometrik. Pemilik berdaftar dan pemilik baharu boleh hadir di
mana-mana kaunter JPJ yang berdekatan secara berasingan, dengan syarat
pengesahan biometrik tersebut dibuat dalam tempoh 7 hari di antara satu sama
lain.
Pelaksanaan peraturan ini telah pun dijalankan secara berperingkat mulai 1 April
2014 yang melibatkan pertukaran milikan kenderaan secara sukarela daripada
satu individu (orang perseorangan) kepada individu yang lain.
Fasa berikutnya yang akan bermula pada 1 Jun 2014 akan menguatkuasakan
sepenuhnya pengesahan identiti menggunakan sistem biometrik ini. Selain bagi
pemilik individu, ia juga akan dikuatkuasakan sepenuhnya terhadap pertukaran
milikan untuk kenderaan syarikat kepada syarikat, syarikat kepada individu serta
individu kepada syarikat.
Di bawah sistem mySIKAP juga, pertukaran milikan kenderaan boleh dilakukan
secara online melalui portal JPJ. Perkhidmatan ini akan sedia untuk digunakan
mulai 1 Jun 2014, melibatkan pertukaran milikan kenderaan secara sukarela bagi
pemilik berdaftar individu kepada pemilik baharu individu. Pelanggan yang
hendak menggunakan perkhidmatan tidak perlu membuat pengesahan identiti
menggunakan sistem biometrik semasa urusniaga dijalankan. Mereka hanya
perlu hadir ke mana-mana kaunter JPJ untuk mendapatkan ID Pengguna
mySIKAP dan membuat pengesahan biometrik untuk kali pertama sahaja.
Selepas itu, mereka boleh menggunakan saluran online pada bila-bila masa,
untuk pelbagai urusniaga JPJ, termasuk pertukaran milikan kenderaan.

--tamat--

Anda mungkin juga menyukai