Anda di halaman 1dari 9

KEBERKESANAN PENDEKATAN KONSTRUKTIVISME BAGI

MENINGKATKAN PRESTASI SERTA MINAT PEMBELAJARAN MURID BAGI


TOPIK PENAMBAHAN PECAHAN

BAB 1: PENDAHUULUAN

1.1 Pengenalan
Kajian yang akan dijalankan adalah untuk menentukan keberkesanan P&P (P&P)
dengan pendekatan konstruktivisme bagi meningkatkan prestasi serta minat pembelajaran
murid dalam Matematik bagi topik penambahan Pecahan. Banyak kajian terdahulu telah
dijalankan bagi melihat apakah yang berlaku di dalam kelas semasa proses pembelajaran
Matematik. Kajian-kajian tersebut menunjukkan bahawa murid membina ilmu pengetahuan
berdasarkan pengalaman mereka sendiri dan ilmu pengetahuan bukan diterima secara pasif
melalui deria atau komunikasi.
Oleh itu, guru perlu membuat perubahan dalam suasana pembelajaran supaya menjadi
lebih kondusif bagi mempertingkatkan prestasi murid dalam pelajaran Matematik. Teknik
pembelajaran yang baik dapat dijadikan sebagai pemangkin bagi menimbulkan minat
seseorang murid terhadap sesuatu subjek yang diajar terutamanya dalam pelajaran
Matematik. Pembelajaran akan menjadi lebih bermakna apabila sesuatu konsep disampaikan
dalam konteks yang tidak asing kepada murid seperti menghubungkaitkan pengetahuan sedia
ada murid atau apa yang ada disekeliling mereka dengan komponen pembelajaran.

1.2 Latar belakang Kajian
Matematik sering kali dianggap sebagai subjek yang susah untuk dipelajari oleh
murid. Ini ditambah pula dengan penggunaan Bahasa Inggeris dalam P&P. Oleh disebabkan
daripada mind-set tersebut, murid gagal mencari hubung kait antara maklumat baru dengan
pengalaman sedia ada.
Walaupun banyak ditekankan dalam kurikulum baru agar guru memperbanyakkan
P&P yang berpusatkan murid, guru masih lagi menggunakan kaedah tradisional dalam
pengajaran mereka. Ini disokong oleh pernyataan; Amalan guru dalam melaksanakan
kurikulum pada keseluruhannya adalah masih berpusatkan kepada guru dan terikat dengan
kaedah tradisional (JNS 1996, Abdul Razak & rakan-rakan 1996 ; Saw Kian Swa 1996 ;
Agnes Voo 1996 ; Fatimah 1996 dan Amir 1996). Nik Aziz (1992) pula menyatakan bahawa
dari sudut pedagogi, amalan guru masih sama dengan dasar kurikulum lama yang
menekankan kaedah hafalan. Aspek lain seperti pemahaman, amalan dan penghayatan kurang
diberi perhatian yang sewajarnya. Aktiviti yang melibatkan murid secara aktif sangat terhad.
Matlamat utama P&P Matematik adalah untuk menjadikannya pengajaran efektif,
dimana murid memperolehi pengetahuan, kefahaman dan kebolehan menggunakan tahap
pemikiran sepenuhnya. Pelbagai kaedah boleh digunakan antaranya pembelajaran berasaskan
masalah, kontekstual, koperatif dan konstruktivisme.

1.3 Pernyataan Masalah
Dalam pengajaran tradisional (lisan), pembelajaran murid adalah seperti spoon
feeding iaitu murid hanya mendengar dan menerima pengajaran daripada guru, membuat
latihan yang diberikan serta menghabiskan sukatan pelajaran untuk menduduki peperiksaan.
Proses pembelajaran ini akan membawa kepada kebosanan serta menghilangkan minat murid
untuk aktif dalam proses P&P. P&P tradisional ini hanya memberi keuntungan kepada murid
yang pintar dan cerdik tetapi murid yang lembam dan lemah akan tercicir. Menurut Derville
(1979), murid lemah berkeupayaan rendah biasanya tidak bermakna daya keupayaannya
untuk mencapai kemajuan adalah terhad, kerana jika penggunaan strategi pembelajaran dan
pengajaran sesuai dengan murid tersebut, ia boleh mencapai kemajuan yang diinginkan.
Guru yang berkesan perlu kreatif dan efektif untuk memikirkan P&P yang boleh
memberikan kesan yang positif, menarik minat dan memberikan keseronokan kepada murid
mereka. Menurut Hunter (1969), pengajaran yang berkesan ialah pengajaran yang dapat
memberi kesan kepada murid serta meningkatkan pembelajaran dalam diri murid-murid.
Pengajaran yang efektif merupakan satu aktiviti yang dapat meningkatkan lagi hasil
pembelajaran terakhir yang dikehendaki dalam suasana yang sihat, demokratik dan
bersemangat (Ee Ah Meng).
Terdapat pelbagai kaedah pengajaran yang berkesan dan berasaskan penyelidikan
sebagai alternatif kepada kaedah pengajaran secara tradisional. Sushkin. N (1999)
menyatakan bahawa melalui konstruktivisme, penekanan diberikan lebih kepada para murid
berbanding dengan guru. Murid akan dapat memahami P&P dengan lebih baik melalui
penerokaan bahan dan alat untuk mendapatkan pengalaman dan pengetahuan yang membawa
kepada pembinaan sendiri terhadap konsep dan membuat penyelesaian kepada masalah. Guru
berperanan memberikan sokongan untuk perkembangan tersebut.
Kaedah konstruktivisme berkepentingan mewujudkan keseronokan, keyakinan,
kefahaman dan kemahiran sosial kepada murid. Dengan kaedah konstruktivisme, murid dapat
berfikir dan belajar secara abstrak dengan lebih berkesan bagi menunjukkan prestasi yang
baik dan cemerlang. Ini disokong oleh pernyataan Piaget (1970) iaitu; Pada peringkat umur
murid 11 tahun ke atas, murid sudah mampu berfikir secara abstrak.

1.3.1: Objektif Kajian
Kajian ini bertujuan untuk menentukan sejauh mana keberkesanan kaedah pembelajaran
konstruktivisme dapat membentu meningkatkan prestasi murid dalam matapelajaran
Matematik dalam topik penambahan Pecahan. Kajian ini meninjau dan mengenal pasti
keberkesanan pendekatan konstruktivisme kepada para murid. Objektif kajian ini adalah
seperti berikut :
a) Untuk mengenal pasti keberkesanan pendekatan konstruktivisme kepada para
murid.
b) Untuk mengenal pasti sejauh mana para murid dapat membina dan mengembangkan
idea.
c) Untuk mengenal pasti sejauh mana para murid dapat berfikir sendiri tanpa
bergantung kepada orang lain.

1.3.2 : Persoalan Kajian.
Untuk mencapai tujuan dan objektif kajian, pengkaji akan mendapatkan jawapan
kepada soalan-soalan berikut :
a) Adakah murid dapat membina sendiri pengetahuan, konsep dan idea mereka secara
aktif ?
b) Adakah kaedah pembelajaran konstruktivisme ini bersesuaian dengan pelbagai
tahap ?
c) Adakah strategi pembelajaran yang dipilih bersesuaian dengan para murid ?

1.3.3 : Hipotesis Kajian
Untuk mencapai tujuan dan objektif kajian, satu hipotesis telah dikemukakan :
Hipotesis 1: Tiada perbezaan yang signifikan, pencapaian Matematik murid yang
mengalami P&P secara konstruktivisme berbanding dengan kaedah
tradisional.
Hipotesis 2: Terdapat perbezaan yang signifikan, pencapaian Matematik murid yang
mengalami P&P secara konstruktivisme berbanding dengan kaedah
tradisional.

1.4: Tujuan Kajian
Adalah diharapkan bahawa kajian yang akan dijalankan ini dapat memberikan
maklumat kepada para guru tentang kepentingan penggunaan kaedah pembelajaran
konstruktivisme untuk meningkatkan prestasi murid cerdas, sederhana dan lemah. Kajian ini
juga adalah sebagai panduan alternatif kepada para guru untuk menjalankan aktiviti
pengajaran yang menyeronokkan. Selain daripada itu, para guru juga dapat memotivasikan
para murid mereka melalui kaedah ini dengan cara mengenal pasti murid yang tidak mahir
bekerjasama dan pendiam.

1.5 : Kepentingan kajian
Segala dapatan daripada kajian yang akan dijalankan ini adalah diharapkan dapat
memberikan maklumat kepada para guru tentang kepentingan aplikasi pengetahuan dalam
Matematik dapat diatasi dengan penggunaan kaedah-kaedah yang sesuai semasa P&P sedang
berjalan. Selain daripada itu, diharap kajian ini dapat membantu para guru mengkaji
kelemahan dan kesalahan yang sering dilakukan oleh para murid mereka.

1.6 : Takrifan Istilah
1.6.1 : Pembelajaran konstruktivisme
Konstruktivisme adalah satu pendekatan pengajaran berdasarkan kepada
penyelidikan tentang bagaimana manusia belajar. Kebanyakkan penyelidik berpendapat
setiap individu membina pengetahuan dan bukannya hanya menerima pengetahuan daripada
orang lain. (McBrien & Brandt, 1997).
Howard Gardner (2000) menyatakan bahawa terdapat sekurang-kurangnya lapan jenis
kecerdasan pelbagai (multiple-intelligent) iaitu muzik, verbal linguistik, logik Matematik,
naturalis, interpersonal, kinestetik, intrapersonal dan visual ruang yang dimiliki oleh setiap
orang tetapi berbeza tahap. Maka pendekatan pembelajaran konstruktivisme dapat
mencungkil potensi kecerdasan murid dengan lebih berkesan dan efektif.
Menurut Tran Vui (1999), pembelajaran konstruktivisme adalah pembelajaran di
mana murid membina sendiri pengetahuan atau konsep secara aktif berdasarkan pengetahuan
dan pengalaman sedia ada mereka. Dalam proses ini, murid akan menyesuaikan pengetahuan
yang di terima dengan pengetahuan sedia ada untuk membina kefahaman baru.



1.6.2 : Prestasi murid
Prestasi merupakan kebolehan murid mengikuti kurikulum yang diajar dan
menentukan melalui ujian ataupun peperiksaan. Dalam kajian ini, prestasi murid akan dilihat
melalui ujian setelah tamatnya sesuatu topik (Mok soon Sang, 1991).

1.7 : Ringkasan
Secara keseluruhannya, bab ini menghuraikan tentang latar belakang, kepentingan,
objektif, persoalan kajian dan hipotesis tentang kajian yang akan dijalankan. Selain itu, bab
ini juga menyatakan bahawa penggunaan pembelajaran konstruktivisme akan dapat
membantu murid dalam pembinaan pengetahuan mereka secara aktif.
























BAB 2: TINJAUAN LITERATUR

2.1 : Pengenalan
Kajian ini dijalankan adalah untuk melihat sejauh mana keberkesanan P&P secara
konstruktivisme terhadap prestasi murid dalam matapelajaran Matematik bagi topik Pecahan
maka dalam bab ini pengkaji akan membincangkan kaedah pembelajaran konstruktivisme
dalam Matematik, tinjauan literatur dan juga kajian yang berkaitan dengan pembelajaran
konstruktivisme.

2.2 : Literatur berkaitan
























BAB 3: METODOLOGI KAJIAN

3.1 : Pengenalan
Kajian yang akan dijalankan ini merupakan satu kajian untuk menguji keberkesanan
kaedah pembelajaran konstruktivisme berbanding kaedah tradisional ke atas prestasi
pencapaian murid tingkatan satu dalam subjek Matematik bagi topik Pecahan (penambahan
Pecahan). Bab ini akan menerangkan tentang rekabentuk, populasi dan sampel, instrumen
kajian, prosedur pengumpulan data dan prosedur menganalisis data.

3.2 : Rekabentuk kajian
Kajian yang akan dilakukan ini adalah berbentuk eksperimen. Ini adalah berdasarkan
kajian berbentuk eksperimen kuasi Mohd Majid Konting (1990) iaitu menjalankan Ujian Pra
dan juga Ujian Pos bagi kedua-dua kumpulan ujian dan kawalan. Rekabentuk ini dipilih
kerana kemungkinan kesukaran untuk memilih sampel rawak dan masa. Sampel yang akan
dugunakan adalah daripada satu kelas sahaja (tingkatan 1) bagi tujuan memudahkan
pengumpulan data dan maklumat. Penyelidikan yang melalui kaedah pembelajaran
konstruktivisme ke atas sampel yang kecil sebagai intervensi, penyelidik akan dapat melihat
sejauh mana murid dapat meningkatkan prestasi mereka dalam topik Pecahan.

3.3 : Populasi dan sampel kajian
Sampel kajian adalah terdiri daripada pelajar tingkatan 1 seramai 30 orang di Sekolah
Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad Shah, Cameron Highlands kerana mereka masih
fresh daripada peperiksaan besar (UPSR). Sampel kajian dan kumpulan kawalan tidak akan
dibezakan mengikut jantina kerana ia adalah tidak releven dengan keputusan yang
diinginkan.

3.4 : Instrumen yang digunakan
Instrumen kajian yang akan digunakan dalam kajian ini ialah adalah terdiri daripada
dua jenis ujian iaitu:
a) Ujian Pra: Maklumat mengenai keputusan Matematik murid dalam UPSR yang lepas
serta maklumat latar belakang murid berkaitan dengan Matematik diperolehi.
Maklumat ini akan digunakan untuk memilih murid tahap sederhana. Ujian yang akan
dijalankan terdiri daripada 10 soalan objektif dan 5 soalan subjektif daripada topik
Pecahan (penambahan Pecahan). Tempoh masa yang diperuntukkan adalah selama 30
minit. Ini adalah untuk melihat prestasi pencapaian murid di peringkat awal.
b) Ujian Pos: Ujian ini akan dijalankan untuk melihat kebolehan murid menyelesaikan
masalah Matematik yang berkaitan dengan topik penambahan Pecahan. Soalan
daripada ujian Pos ini adalah sama dengan Ujian Pra (kedudukan soalan dan nombor
soalan akan diubah). Ini adalah untuk melihat sejauh mana keberkesanan
pembelajaran yang menggunakan kaedah konstruktivisme berbanding dengan kaedah
tradisional.
c) Setelah tamat kajian, penyelidik akan memberikan borang soal selidik kepada murid
untuk melihat peningkatan minat murid dalam kaedah konstruktivisme yang akan
dijalankan.

3.5 : Prosedur pengumpulan data
Pengumpulan data akan dijalankan oleh penyelidik di dalam kelas tingkatan 1.
Seramai 30 orang murid yang mengambil ujian Pra. Murid tersebut di bahagikan kepada dua
kumpulan iaitu 15 orang murid bagi kumpulan ujian dan yang selebihnya kumpulan kawalan.
Pembelajaran kumpulan-kumpulan adalah dibahagikan iaitu kumpulan ujian (kaedah
konstruktivisme) manakala kumpulan kawalan (kaedah tradisional).
Setelah sampai tempoh masa kajian tamat, murid akan diberi taklimat dan penyelidik
perlu memastikan semua murid memahami apa yang akan mereka lakukan semasa kajian.
Semua murid akan menjawab Ujian Pos mengikut masa yang telah diperuntukkan dan juga
borang kaji selidik . Para murid diingatkan agar tidak terdapat kes peniruan kerana perbuatan
mereka akan mengakibatkan kesahan kajian diragui.

3.6 : Prosedur Analisis Data
Data yang dikumpulan daripada instrumen kajian akan dianalisa dengan mencari
frekuensi dan peratusan serta perbandingan min prestasi murid dengan kaedah yang
digunakan. Maklumat mengenai jantina murid akan memberikan peratusan bilangan murid
lelaki dan murid perempuan. Manakala maklumat daripada Ujian Pra mengenai markah dan
gred Matematik setiap murid adalah untuk melihat peratusan keupayaan murid pada
peringkat awal. Maklumat daripada ujian pos pula adalah mengenai markah peratusan gred
Matematik setelah kaedah konstruktivisme dan juga kaedah tradisional dijalankan. Ini untuk
mengenal pasti sama ada kaedah konstruktivisme dapat meningkatkan prestasi murid atau
pun tidak.
Data yang akan dikumpulkan kelak iaitu Ujian Pra dan juga Ujian Pos akan dianalisis
secara manual menggunakan perisian Microsoft Excel. Kebolehan murid pada awal dan
peringkat akhir kajian akan dilihat berdasarkan skor markah yang diperolehi murid untuk
setiap item soalan dan markah keseluruhan.
Ujian soal selidik pula menentukan minat murid pada akhir kajian. Ini adalah kerana
soal selidik tersebut akan diedarkan pada tamat kajian untuk mendapat maklum balas murid
tentang matapelajaran Matematik setelah kaedah konstruktivisme ini dijalankan.

3.7: Ringkasan
Kajian ini akan dijalankan ke atas sampel dengan menggunakan rekabentuk
eksperimen kuasi kerana ia melibatkan murid di tahap sederhana untuk mengenal pasti sejauh
mana murid dapat meningkatkan prestasi dan minat mereka dalam subjek Matematik dengan
kaedah konstruktivisme berbanding kaedah tradisional. Keberkesanan kaedah
konstruktivisme adalah diharap dapat dilihat melalui hasil analisis yang diperoleh daripada
dapatan akhir kajian.

Anda mungkin juga menyukai