Anda di halaman 1dari 7

Kajian Tindakan Pengajaran Bahasa Melayu

Ini merupakan kajian tindakan yang perlu saya


laksanakan untuk tugasan saya semester ini. Moga
tugasan ini boleh kita kongsi bersama.
PENGHARGAAN
Saya berasa sangat bersyukur kepada Ilahi kerana dengan izin-Nya dapatlah saya
menyiapkan kajian tindakan yang bertajuk MENINGKATKAN KEMAHIRAN MEMBINA
AYAT DI DALAM DISIPLIN PENULISAN BAHASA MELAYU DI KALANGAN MURID
TAHUN 4 dapat disempurnakan dengan sebaiknya.
Saya memilih tajuk ini kerana beberapa sebab . Antara sebab utamanya ialah ingin
membetulkan perlakuan dalam aspek penulisan . Ini kerana ada antara guru penyelidik
yang masih belum dapat memberi penekanan sepenuhnya berkaitan tentang pembentukan
ayat yang betul.
Sepanjang proses pelaksanaannya , saya ingin merakamkan jutaan terima kasih
kepada guru besar yang banyak memberi input yang sangat berguna berkaitan kajian
tindakan ini . Selain itu ribuan terima kasih juga saya hulurkan kepada guru panitia Bahasa
Melayu yang selalu membimbing saya memantapkan lagi proses menyediakan Laporan
Kajian Tindakan ini.
Saya juga sangat terhutang budi dengan rakan-rakan sealiran saya yang membantu
saya membuat refleksi berkaitan pengajaran dan pembelajaran saya. Dengan adanya
bantuan mereka , saya dapat menyiapkan Kajian Tindakan ini dengan jayanya.
Saya berharap dengan adanya kajian tindakan ini , dapatlah saya jadikan ia sebagai
panduan dan rujukan . Selain itu , ia juga boleh dijadikan rujukan dan panduan untuk rakan-
rakan seperjuangan saya.


MENINGKATKAN KEMAHIRAN MEMBINA AYAT DI DALAM DISIPLIN
PENULISAN BAHASA MELAYU DI KALANGAN MURID TAHUN 4

Oleh :
Puan Nor Azila binti Md. Nor
Sekolah Kebangsaan Taman Rasah Jaya

ABSTRAK

Kajian ini dijalankan bertujuan untuk mengkaji masalah membina ayat di kalangan murid di
Tahun 4 Bestari . Seramai 11 orang murid terlibat dalam kajian ini. Selain itu , saya juga
ingin meningkatkan pemahaman mereka dalam aspek membina ayat yang betul dan
lengkap . Tinjauan awal telah dilaksanakan melalui aktiviti di dalam kelas dan semakan
latihan di dalam buku latihan . Saya dapati terdapat beberapa kesilapan dalam pembinaan
ayat iaitu dari segi morfologi dan sintaksis. Saya juga mendapati bahawa murid kurang peka
tentang penggunaan kata hubung , pengimbuhan dan tanda baca dalam pembinaan ayat .
Untuk mengatasi masalah ini , saya telah menyediakan formula yang mudah untuk murid
ini memperbaiki kemahiran membina ayat iaitu murid perlu hafal formula yang diberikan.
Hasilnya saya dapati , terdapat peningkatan dalam pembinaan ayat oleh anak-anak murid
saya ini. Saya juga berasa teruja untuk meneruskan aktiviti yang dijalankan dalam
pengajaran dan pembelajaran saya.

1.0 LATAR BELAKANG KAJIAN:

Bahasa Melayu Penulisan terdiri daripada tiga item iaitu Bahagian A , bahagian B
dan Bahagian C . Bahagian A membina ayat yang lengkap dan gramatis. Kajian saya
berkaitan dengan masalah Bahagian A .Masalah membina ayat yang lengkap dalam
penulisan terutama dalam penulisan bahagian A akan mengganggu murid mendapat
markah yang baik dalam penulisan Bahasa Melayu. Selain itu , jika murid tidak dapat
membina ayat dengan baik , menyebabkan murid juga tidak mampu untuk membina sebuah
karangan yang baik dalam penulisan bahagian B dan C. Masalah membina bina ayat ini
dikesan semasa saya menyemak latihan murid di dalam buku latihan penulisan. Saya dapati
murid gagal membina ayat dengan baik. Struktur ayatnya tidak tersusun dengan betul. Murid
gemar menggunakan bahasa pasar semasa menulis ayat. Tanda bacan yang ditulis tidak
menepati ciri-ciri penulisan yang sebenar. Berdasarkan refleksi pengajaran saya , saya
dapati murid belum boleh membina ayat secara gramatis dengan hanya melalui
aktiviti perbincangan dalam kelas dan perbincangan melalui kumpulan. Melalui aktiviti
pembentangan hasil kerja murid dalam pembinaan ayat juga tidak banyak membantu murid
saya . Jadi , melalui perbincangan saya dengan rakan sealiran juga termasuk guru
pemeriksa kertas Penulisan Bahasa Melayu , saya disarankan menggunakan formula SPPA
iaitu subjek + predikat + penerangan ayat ( siapa - buat - dimana -apa / bagaimana ) bagi
mengatasi kelemahan murid ini.

2.0 FOKUS KAJIAN / ISU KEPERIHATINAN
Saya memilih isu ini kerana berdasarkan tinjauan awal saya, saya dapati bahawa 11 orang
murid ini tidak boleh menulis ayat dengan baik sedangkan bacaan dan lisan yang dijalankan
di dalam kelas tidak mempunyai banyak masalah. Cuma apabila mereka mula menulis ,
mereka gagal menyusun struktur dengan baik selain penggunaan kata yang kurang tepat.
Oleh yang demikian , saya terpanggil untuk membantu 11 orang murid ini memperbaiki
kemahiran dalam pembinaan ayat agar murid-murid ini tidak terus tercicir dalam aspek
penulisan.

3 .0 OBJEKTIF KAJIAN
Selepas kajian tindakan ini dijalankan , diharapkan agar dapat mencapai objektif
tersebut:
3.1 ) Objektif Am
Meningkatkan kemahiran murid untuk membina ayat dengan lengkap dan gramatis.
3.2 ) Objektif Khusus
Murid dapat memilih penggunaan kata yang sesuai untuk membina ayat.
Murid boleh membezakan penggunaan tanda baca dalam ayat.
Murid boleh menulis ayat yang lengkap serta gramatis berdasarkan kata kerja / rangkaikata
yang diberikan dengan baik.

4.0 KUMPULAN SASARAN

Kumpulan murid yang terlibat dalam kajian ini ialah seramai 11 orang murid Tahun 4
Bestari . 7 orang murid India dan 4 orang murid Melayu. Kumpulan sasaran ini terdiri
daripada 6 orang murid lelaki dan 5 orang murid perempuan.

5.0 PELAKSANAAN KAJIAN
5.1 Tinjauan Awal Masalah
Sebelum langkah-langkah seterusnya diambil dalam menjalankan kajian tindakan , tinjauan
awal terhadap masalah yang dikenalpasti, Langkah-langkah telah dilakukan berdasarkan
pemerhatian , pemeriksaan buku latihan dan ujian pra.

i ) Pemerhatian :

Saya telah memerhatikan tingkahlaku murid melalui sesi pengajaran dan pembelajaran di
dalam kelas. Saya mendapati murid mempunyai masalah membina ayat secara gramatis.
Pada awalnya, saya merasakan murid belum biasa membina ayat secara gramatis kerana
mereka baru berada di tahap 2. Tetapi selepas beberapa minggu , murid masih lagi belum
menguasai cara untuk membina ayat secara gramatis.

ii ) Pemeriksaan buku latihan.

Setiap kali selesai sesi pengajaran dan pembelajaran , murid akan menyerahkan buku
latihan kepada saya. Setelah disemak , saya dapati murid belum dapat menguasai cara
untuk membina ayat secara gramatis. Mereka membina ayat selapis dan kadangkala ayat
yang dibina tiada kaitan dengan gambar yang diberkan ,

iii) Ujian pra.
Satu ujian diagnostik telah dijalankan kepada murid-murid tahun 4. Ia bertujuan menguji
tahap penulisan murid. Saya dapati hasil daripada ujian tersebut , murid tidak mahir untuk
membina ayat dengan baik. Kemudian , murid telah diberi uiian bulanan , namun 11 orang
murid ini masih gagal membina ayat secara gramatis.

5.2 Analisis Tinjauan Masalah
Hasil pemerhatian , pemeriksaan buku latihan dan ujian pra dapat dilihat melalui jadual data
yang di sediakan.



Senarai Rekod Pencapaian. (Jumlah markah = 10 M)
BIL NAMA MURID Ujian
Diagnostik
Ujian
bulan Feb
1 Basker a/l Subramaniam 3 4
2 Danny Dave a/l Raman 4 4
3 Jaynishia a/p Bala 3 4
4 Justin a/l Fernendez 4 5
5 Kapil a/l Jaynesan 3 4
6 Kirthana a/p Vinod Kumar 4 4
7 Muhammad Isma bin Kamsan 4 5
8 Nurul Alina binti Yusof 4 4
9 Nurul Fatehah binti Fauzi 5 5
10 Sabrina a/p Ramandran 3 4
11 Zaidi bin Harun 3 4

Rajah 1 menunjukkan hasil ujian pra yang dijalankan kepada murid-murid. Data tersebut
dibuat sebelum pelaksanaan tindakan saya. Saya mendapati tahap penguasaan murid
dalam membina ayat gramatis masih lemah walau pun telah menjalani dua kali latihan.

5.3 Tindakan yang dijalankan.
Pelaksanaan aktiviti pengajaran dan pembelajaran telah dilaksanakan dalam tempoh
tiga bulan melibatkan 11 orang murid khasnya dan 27 orang murid amnya. Pengajaran dan
pembelajaran ini dijalankan setiap hari Isnin kerana mempunyai 2 waktu bekembar.
Saya telah melaksanakan pengajaran kaedah bina pelan maklumat berdasarkan
gambar yang diberi dan kaedah kata tanya. Saya telah menggunakan kaedah ini semasa
sesi pengajaran selama 60 minit. . Saya menggunakan 1 waktu untuk murid
memahami gambar , mencari maklumat atau kata kerja berkaitan gambar , bulatkan
gambar dan catatkan kata kerja yang sesuai dengan gambar. Kaedah ini saya panggil
Kaedah Bulat dan Tarik . Dalam kaedah ini ,murid perlu cari fahamkan situasi gambar ,
kemudian perlu cari aktiviti yang terdapatkan dalam gambar. Kemudian , setelah kenalpasti
maklumat , murid perlu bulatkan gambar dan catat maklumat berkaitan gambar. Contoh :
membajak , mengubah dan sebagainya. Pada waktu yang kedua , guru , membimbing murid
membina ayat menggunakan kata tanya ( siapa . buat apa , di mana , bila / bagaimana )
Saya telah melaksanakan beberapa langkah pengajaran dan pembelajaran
berkaitan kaedah ini. Saya sediakan Rancangan Pengajaran bagi aktiviti ini.
Set Induksi : Beri penerangan tentang jenis gambar, kemudian bincang berkaitan gambar
yang ditunjukkan
Langkah 1 : Murid teliti keseluruhan gambar dan soal jawab berkaitan gambar
Langkah 2 : Murid mencari 5 kata kerja / aktiviti yang ada kaitan dengan kehendak
soalan . Kemudian bulatkan gambar tersebut serta catatkan pada gambar aktiviti yang telah
dikenalpasti.
Langkah 3 : Murid bina rangkaikata menggunakan kata tanya ( siapa , buat apa , di
mana . bila / bagaimana )
Langkah 4 : Latihan bina ayat gramatis perpandukan pelan maklumat yang telah dibina.
Penutup : Menyemak ejaan , struktur ayat dan kosa kata yang digunakan.
Berdasarkan rancangan harian , saya memulakan pengajaran dengan menyatakan
jenis gambar yang akan murid temui. Bincangkan secara ringkas sebagai pengenalan murid.
Seterusnya pada langkah yang pertama , saya meminta murid meneliti
keseluruhan gambar dan fahamkan situasi gambar. Kemudian, murid mencari 5 perbuatan /
aktiviti yang ada kaitan dalam gambar. Bulatkan gambar tersebut dan catatkan kata kerja
yang sesuai dengan gambar.
Langkah seterusnya , saya telah meminta murid membina rangkaikata berpandukan
kata kerja ( siapa - buat apa - di mana - bila /bagaimana )

Contoh: soalan : siapa di dalam gambar ?
jawapan : Pak Kassim
soalan : sedang buat apa ?
jawapan : membanting padi.
soalan : di mana ?
jawapan : di sawah padi / di bendang
soalan : bila ?
jawapan : di musim menuai.

Langkah yang terakhir , saya telah memberi latihan untuk menulis ayat secara gramatis
kepada murid-murid. Kami juga membimbing murid ini secara individu dari segi pemilihan
kosa kata yang sesuai dan tepat agar ayat yang dibina lebih gramatis.. Setelah siap
membina 5 ayat , murid diminta menyemak ejaan , tanda baca dan sebagainya.
Contoh ayat gramatis : Pak Kasim sedang membanting padi yang sudah masak di
bendang semasa musim menuai.
Saya telah melaksanakan kaedah ini setiap kali menjalankan sesi pengajaran dan
pembelajaran yang berkaitan dengan penulisan bahagian A mulai penghujung Julai 2012
sehinggalah penghujung bulan Oktober 2012. Sepanjang tempoh itu , saya telah
mengadakan 3 kali siri ujian. Ujian ini dijalankan pada setiap penghujung bulan dalam
tempoh pelaksanaan kajian ini. Ia bertujuan untuk mengkaji keberkesanan kaedah yang
digunakan bagi mencapai objektif kajian dalam penulisan Bahasa Melayu.

5.4 Dapatan Kajian
Saya telah mengumpul pengskoran markah murid hasil daripada 3 siri ujian yang telah
dijalankan. Markah-markah tersebut telah dicatatkan dalam jadual yang disediakan. Jadual
ini merupakan borang Analisa berkaitan dengan hasil ujian murid.


BIL

NAMA MURID
JENIS UJIAN
Ujian 1 Ujian 2 Ujian 3
1 Basker a/l Subramaniam 5 7 9
2 Danny Dave a/l Raman 6 6 9
3 Jaynishia a/p Bala 6 7 10
4 Justin a/l Fernendez 7 8 10
5 Kapil a/l Jaynesan 5 7 8
6 Kirthana a/p Vinod Kumar 4 5 7
7 Muhammad Isma bin Kamsan 7 8 10
8 Nurul Alina binti Yusof 6 7 9
9 Nurul Fatehah binti Fauzi 7 8 10
10 Sabrina a/p Ramandran 7 7 9
11 Zaidi bin Harun 7 8 10
Berdasarkan jadual pengskoran ini , saya dapati ada peningkatan markah bagi murid-murid
tersebut. Seramai 10 orang iaitu 91% murid berada ditahap cemerlang manakala hanya
seorang murid sahaja iaitu 9 % berada di tahap baik. Ini menunjukkan satu peningkatan
yang amat ketara,
Saya juga menemubual dua orang murid berkaitan hasil pengajaran -pembelajaran
yang telah dijalankan.
Cikgu : Fatehah , cikgu lihat , skor markah kamu sangat cemerlang
dan meningkat setelah belajari melalui
kaedah dan teknik ini.
Fatehah : Ya cikgu . Saya semakin faham bagaimana hendak membina ayat
dengan baik. Kaedah ini sangat membantu saya , cikgu!
Cikgu : Kirthana , nampaknya skor awak pada tahap baik berbanding rakan-rakan
kamu yang berada di skor cemerlang. Awak masih ada masalah
dengan penggunaan kaedah ini ?
Kirthana : Tidak cikgu, Saya faham bagaimana untuk membina ayat dengan lebih
baik. Cuma kosa kata saya sahaja yang masih lagi kurang.
Cikgu : Tidak mengapa Kirthana , apa yang penting , kamu perlu banyak membaca
untuk menambahkan kosa kata kamu.

5.5 Refleksi Kajian.
Berdasarkan kajian yang dilakukan ke atas murid , kaedah yang telah dilaksanakan dalam
pengajaran dan pembelajaran itu telah memberikan suatu impak yang positif. Peningkatan
skor markah murid ketara meningkat. Ini menunjukkan kaedah yang dilaksanakan sangat
bersesuaian danberkesan. Murid semakin yakin untuk membina ayat yang gramatis.
Daripada tinjauan yang dibuat , murid telah mengikut kaedah yang dipelajari.Murid tidak lagi
memerlukan masa yang lama untuk mendapatkan maklumat dan membina ayat yang
gramatis. Saya juga melihat murid seronok apabila saya menyatakan bahawa hari ini saya
akan membuat latihan penulisan bahagian A. Tiada lagi rungutan yang kurang ebak
didengari daripada nmurid-murid saya.
Sebagai seorang guru , saya merasakan suatu kejayaan yang besar apabila saya
melihat peningkatan skor murid-murid saya yang lemah. Kajian dan strategi serta kaedah
yang diberikan sangat bersesuaian dengan murid . Pada pandangan saya , murid ini mampu
melakukan sesuatu perkara itu dengan baik asalkan mereka mendapat panduan dan cara
yang betul untuk membina ayat dengan baik. Saya juga telah dapat membaiki kelemahan
saya dalam pengajaran dan pembelajaran.

5.6 Cadangan Kajian Tindakan Seterusnya.
Secara keseluruhan , kajian ini berjaya mencapai objektif yang disasarkan. Pencapaian
murid semakin baik walaupun bukan 100%. Namun begitu , usaha diteruskan agar murid
mahir sehingga mereka boleh membina ayat dengan gramatis semasa UPSR nanti. Saya
juga akan menggunakan pendekatan ini untuk membimbing murid dalam penulisan
bahagian B. Ini kerana langkah dan caranya sama iaitu untuk membina ayat dengan baik.
Sebagai kesimpulan , kajian tindakan yang saya lakukan ini sangat memberi manfaat
kepada murid untuk meningkatkan prestasi khususnya dan memberi kelebihan kepada guru
untuk memperbaiki pengajaran amnya. Saya berharap hasil kajian saya ini boleh diguna
pakai oleh rakan-rakan saya nanti.

Anda mungkin juga menyukai