Anda di halaman 1dari 5

CUKUP SEKADAR UNTUK MELIHAT MENTARI

31 Jan
Saya sering diuji dengan apa yang saya tulis dan ucapkan. Acap kali apa yang saya tulis
dalam buku, majalah atau blog mahupun sekadar coretan untuk teman-teman, terjadi pula
pada diri saya dan keluarga. Justeru, pernah sampai ke tahap saya rasa takut untuk menulis
takut kalau-kalau apa yang saya tulis akan kembali menimpa dan menguji diri saya.
Banyak yang saya tulis adalah apa yang saya telah lalui sendiri. Bukan hari ini, minggu ini
bahkan puluhan tahun yang lalu. Ertinya, saya menulis daripada pengalaman sendiri sama
ada yang baik mahupun yang buruk. Tetapi ada juga yang saya tulis berdasarkan pengamatan
pada hidup orang lain. Saya tidak melaluinya tetapi saya selami dengan sikap simpati
malah empati. Lantas saya garap kembali dengan fikrah Islami dan fitrah insani. Seadanya!
Setakat secebis kemampuan ilmu yang ada.
Pada jurus yang kedua inilah saya sering diuji. Apa yang menimpa orang lain turut menimpa
saya. Saya tercari-cari mengapa itu terjadi? Benarkah niat saya untuk berhenti menulis
(kerana takut) itu adalah suatu yang tepat dan betul? Begitulah hati saya kerap bertanya-
tanya.
Lama juga saya terperuk dalam kemelut rasa yang berbelah-bagi itu sehinggalah pada suatu
ketika tiba-tiba saya diterjah oleh satu peringatan yang datang dari dalam diri sendiri. Lalu
saya tuliskan dalam diari harian dengan kata:
Bila kita sendiri diuji dengan apa yang sering kita dakwahkan, itu petanda Allah sedang
mendidik kita agar melaksanakan apa yang kita diperkatakan. Bersyukurlah kerana Allah
masih sudi mengingati kita dalam usaha kita mengingatkan manusia!
Dengan kesimpulan itu saya teruskan menulis. Biarlah. Semoga saya juga terdidik dengan
tulisan-tulisan sendiri. Saya sering merasakan kekadang seorang pendakwah menjadi
jambatan kepada orang lain untuk mendapat hidayah. Jadi apa salahnya jambatan itu
dilalui oleh dirinya sendiri.
Kekadang saya sendiri rasa pelik bila saya membaca kembali tulisan-tulisan dan buku-buku
saya sendiri. Bukan untuk rujukan buat menulis atau mencari idea baru. tetapi saya tatap
pada waktu tersunyi dalam hidup untuk bermuhasabah dan menghukum kealpaan diri. Ah,
kiranya semua yang pernah saya tulis mampu saya amalkan, alangkah indahnya. Cuma saya
terus berharap dan berdoa kita tidak akan mengalah walaupun sering kalah.
Saya juga seperti saudara/i, ada kalanya kelelahan dengan ujian hidup yang bertali arus.
Lepas satu, satu. Life is to solve problems, begitu kata bijak pandai. Namun Allah telah lama
mengingatkan kita melalui Al Quran bahawa mati dan hidup dijadikan untuk menguji kita
siapakah yang terbaik amalannya? Kembali surah Al Mulk mengingatkan kita.
Marilah kita berjanji pada diri, bahawa kita tidak akan menjadi munafik sama ada dari segi
lisan dan perbuatan. Kita tidak akan berpura-pura dalam mengharapkan yang baik dan
makruf. Biarlah kita menuai iktibar, dari denai mujahadah ini. Saya ingin menjadi insan yang
seadanya sahaja dalam menghulur tangan setulus mungkin buat bersama menyusuri jalan
Ilahi ini. Mungkin tangan ini yang akan membimbing saudara/i, dan mungkin tangan
saudara/i juga yang akan membimbing saya.
Di takah usia 50, saya berdoa untuk diberikan keteguhan hati. Come what may! Datanglah
apa sahaja. Kan kita hadapi sebagai hamba-Nya. Jika kita benar dan berjaya syukur. Jika
kita tersalah, kita akur kita ukir taubat dengan segera. Dosa kita menggunung tinggi,
namun rahmat Allah melaut luasnya. Dengan berbekal takut (akan murkaNya) dan harap
(ampunan-Nya), kita terus melangkah patah sayap terbang jua. Jatuh tersungkur, bangkit
semula walau terpaksa bertongkat dagu!
Semasa ditahan belasan tahun yang lalu, selain Tafsir Al Azhar oleh Hamka, Syarah Kitab Al
Hikam oleh Prof Muhibbudin Al Wali saya turut menekuni tulisan Dale Carnargie (waktu itu
La Tahzan belum ada). Saya melihat ada kesamaan dalam perbezaan antara yang ditulis
olehnya dengan tulisan Usaz Dr. Aid Al Qarni ya hikmah itulah milik Islam tidak kira dari
Barat atau pun Timur.
Dari situlah saya hadapi hidup yang ketika itu tidak menentu dengan satu ketentuan.
Ketidak pastikan kekadang mengajar kita tentang kejituan. Ada kekuatan dan kebebasan yang
saya alami ketika fizikal kita tertahan. Ada sumbu kekuatan rohani yang membara ketika
kehendak bialogi dan fisiologi dipenuhi di tahap paling minima.
Sejuk angin bukit di tepi daerah terpecil di Kamunting, mahu pun sengatan bahang panas atap
kem tahanan yang terpencil, kekadang menghadiahkan saat yang lebih indah berbanding
dikurung dalam hotel bertaraf lima bintang menghirup udara kebebasan dan kemewahan
masa kini.
Lalu saya kembali berusaha mencari hati itu, kerana saya yakin hati yang remuk redam
(tetapi tenang) kerana diuji Allah itu boleh kita temui di mana sahaja, tidak kira di penjara
atau istana!
Semalam saya baca semula apa yang pernah saya tulis ini marilah kita kongsi mungkin
buat pertama kali, mungkin juga sudah berkali-kali. Mudah-mudahan yang kita imbau bukan
kenangan, tetapi pengajaran yang terus hidup untuk menempuh kenyataan.
Saya masih ingat pada suatu saat genting, pernah saya berkata kepada diri, ya Allah, kalau
Kau izinkan aku sekadar dapat melihat mentari dan memijak rumput di bumi, aku akan
bersyukur
Lalu ke mana perginya rasa hati itu ketika saya, anda dan kita semua sedang menikmati
limpahan cahaya dan lautan nikmat kini? Saudaraku, marilah bersama ku menelusuri tulisan
ini
Maha suci Allah, yang misteri ketentuaan dan ditetapkan-Nya tidak dapat diduga dan diteka
oleh sesiapa. Benarlah, God always move in a mysterious way
Hakikat inilah yang sering berlaku dalam kehidupan kita.Cuba kita lihat contoh popular di
kalangan figure ternama dan popular. Yang berkuasa tiba-tiba boleh dipenjara. Yang dibenci
bertukar menjadi yang tersayang. Dan adakalanya dulunya terbilang tetapi entah kenapa tiba-
tiba terbuang. Hidup yang gelap tiba-tiba jadi gemerlapan. Hidup yang gemerlapan, jadi
malap secara tiba-tiba!
Begitulah, hitam-putih nasib manusia, tidak dapat dijangkau dengan mata, fikiran dan
rasa.Sebab itu orang tua-tua berpesan, jangan sekali-kali mendengar guruh di langit, air di
tempayan dicurahkan. Hati-hati, semakin tinggi pokok yang dipanjat, semakin kuat angin
yang menggoyang. Hari esok mungkin tangan yang menjulang kita hari ini akan menghenyak
kita. Kawan boleh lawan, dan begitulah sebaliknya.
Apakah kekuatan yang boleh membakar daya juang untuk terus bersemangat pada ketika
yang begitu genting dalam perjalanan hidup seseorang? Jawabnya, jangan panjang angan-
angan Manfaatkan masa yang ada dan terus berkerja dalam waktu-waktu kritikal itu
dengan segera. Kita tidak harus disusah-susahkan oleh angan-angan tentang masa depan yang
jika dibayangkan pada masa sekarang akan membuat kita muram.
Oleh itu kita mesti merancang dan bekerja dengan apa yang sedang ada di tangan, tanpa takut
dan bimbang akan hal-hal yang tidak menentu atau terbayang dalam angan-angan. Yang di
tangan itulah realiti, yang ada dalam angan-angan itu cuma ilusi. Kita tidak mungkin hidup
dalam dua alam yang samar - masa lalu yang memori dan masa depan yang ilusi. Hidup
sebenar ialah hari ini yang realiti.
Pengalaman hidup banyak mengajar kita bahawa adalah tidak wajar buat kita meneka-neka
atau menjangka sesuatu yang tidak pasti pada masa depan. Samada yang kita jangkakan itu
baik atau buruk. Jika kita mengangan-angankan yang baik, kita akan jadi over confident.
Jika kita hanya mengangan-angankan yang buruk, kita akan jadi pesimis. Kedua-duanya
memusnahkan.
Ya, untuk mendapat ketenangan pada saat-saat kritikal dalam hidup ialah: Pendekkan angan-
angan. Hiduplah dalam lingkungan hari ini. Saya ulang lagi, hiduplah dalam lingkungan hari
ini. Ertinya, jangan dikhuatiri hari esok, jangan bimbangkan hari semalam. Susun jadual
hidup harian dan ikutilah dengan tenang.
Hidup umpama membaca lembaran-lembaran dari sebuah buku yang sangat tebal. Jangan
gerun hanya melihat ketebalan buku itu, hingga hilang mood untuk membacanya. Atau terlalu
gelojoh hingga membacanya secara meloncat-loncat tanpa mengikut tertib muka surat.
Bacalah dari muka surat pertama, kedua, ketiga dan seterusnya. Buku yang tebal akan habis
juga dibaca akhirnya. Bukan sahaja habis dibaca, bahkan ilmu yang dihidangkan akan dapat
dihadamkan dengan mudah.
Inilah rahsia ketenangan jiwa para sahabat Rasulullah S.A.W. Mereka adalah individu yang
pendek angan-angan dan menggunakan sepenuhnya kesempatan yang sedia ada di tangan.
Mereka hidup tanpa rasa gundah dengan apa yang telah terjadi kelmarin dan tidak pula
bimbang dengan apa yang bakal terjadi esok.
Mereka tidak terdera dengan percubaan melihat masa depan dengan teropong angan-angan
yang serba samar. Para sahabat nabi bukanlah pakar psikologi tetapi sikap mereka tepat
seperti mana yang dikatakan oleh para psilogist moden:
Tugas kita bukan melihat apa yang terletak jauh dan masih samar di hadapan, tetapi
melakukan apa yang jelas di tangan.
Sikap mereka dibentuk oleh penghayatan mereka terhadap pesanan Rasulullah S.A.W.
Mereka adalah insan produktif yang bekerja hasil dorongan hati, fikiran dan fizikalnya oleh
peringatan Rasulullah S.A.W, jika berpagi-pagi, jangan menunggu ke waktu petang.
Matlamat dan pendekatan hidup mereka simple dan jelas. Mereka adalah insan praktikal
dan realistik. Kebaikan yang boleh dilakukan pada hari ini, mereka terus laksanakan pada
hari itu juga. Sementara kejahatan yang boleh diberhentikan pada hari ini, terus dihentikan
ketika itu juga. Ibadat dan taubat mereka tidak kenal istilah nanti atau tunggu. Justeru itu
tempo (rentak) hidup mereka tidak pernah diganggu oleh istilah terlambat atau tercepat.
Pernah satu malam Rasulullah S.A.W rimas ketika hendak tidur. Ketika ditanya oleh isterinya
kenapa? Baginda bersabda:
Aku risaukan dua tiga keping dirham yang masih tinggal dalam rumah ini. Takut-takut aku
dipanggil oleh Allah (mati) dalam keadaan dirham itu tidak aku sedekahkan.
Itulah peribadi Rasulullah S.A.W, yang tidak berangan-angan panjang. Baginda pernah
bersabda, bahawa bila matanya terbuka, baginda tidak yakin apakah sempat baginda menutup
matanya semula. Bila baginda menarik nafas, baginda tidak yakin apakah baginda akan dapat
melepaskannya semula.
Panjang angan-angan akan menyebabkan sikap bertangguh-tangguh untuk melakukan suatu
kebaikan atau meninggalkan suatu kejahatan. Ramai orang yang khuatir, bukan berfikir,
tentang masa depannya. Terimalah realiti walaupun takdirnya ia tidak seperti yang kita
harapkan. Lebih baik satu ringgit di tangan daripada berjuta-juta ringgit di alam angan-angan.
Tetapi ingat satu ringgit di tangan jika benar-benar dimanfaatkan mungkin menjanjikan
pulangan berjuta-juta ringgit pada masa akan datang.
Hidup adalah satu pusingan perubahan yang tidak henti-henti. Hukum alam menetapkan
bahawa yang tidak berubah hanyalah perubahan. Oleh kerana itu adalah satu kerja gila jika
kita hendak menyelesaikan masalah-masalah masa depan yang hakikatnya belum berlaku.
Kita tidak akan dapat menjejak kaki pada air sungai yang sama dua kali. Justeru air sungai
sentiasa mengalir dan begitu jugalah kehidupan akan terus berubah.
Sekali lagi saya tegaskan bahawa hidup adalah perubahan yang tidak henti-henti. Jangan cuba
mengawalnya. Jangan cuba mengambil tempat Tuhan untuk mengawal semua perubahan
kerana yang mampu mengawalnya hanyalah DIA yang tidak berubah-rubah. Inilah hikmah
mengapa Qada dan Qadar Allah dirahsiakan daripada pengetahuan manusia. Agar dengan itu
manusia boleh hidup dengan aman tanpa diganggu walau sedikitpun oleh pengetahuan
tentang masa hadapan.
Dapatkah seorang yang sihat makan dengan enak jika mengetahui pada hari esoknya dia akan
mati? Atau mampukah seorang ayah membesarkan anaknya dengan sabar jika diketahuinya
bahawa anaknya bakal menderhakainya? Manusia boleh hidup dengan aman tanpa
mengetahui tentang masa depannya. Madah pujangga, masa lalu adalah kelmarin yang telah
mati. Masa depan adalah esok yang belum lahir tetapi selamatkanlah hari ini yang masih
hidup.
Seorang manusia walau bagaimana kuat sekalipun, tidak akan mampu menanggung derita
masa lalu dicampur beban masa depan, lalu dipikul bersama masalah pada hari ini. Tiga
beban dalam satu masa boleh menyebabkan seorang genius dihantar ke hospital sakit otak.
Tiga beban dalam satu masa boleh menyebabkan seorang atlit di hantar ke wad pesakit
jantung. Hidup ini mesti ditangani dengan mudah. Namun ini bukan pula alasan untuk
mempermudah-mudahkan hidup. Cuma take it easy.
Mungkin anda akan bertanya, kalau begitu salahkah kita merancang untuk masa depan?
Tidak. Pendek angan-angan bukan bererti tidak bersedia untuk hari esok. Fikirkan hari esok,
tetapi jangan khuatir. Banyak bezanya antara fikir dan khuatir. Mungkin sama banyaknya
bezanya antara angan-angan dan cita-cita. Sesiapa yang khuatir tentang hari esok, akan
mensia-siakan peluang yang ada pada hari ini. Sebaliknya sesiapa yang berfikir tentang hari
esok, akan memanfaatkan peluang pada hari ini.
Tidak ada gunanya berangan-angan. Angan-angan tentang kebaikan akan menyebabkan
seseorang itu alpa. Angan-angan tentang keburukan akan menyebabkan seseorang itu
kecewa. Manusia angan-angan tidak akan dapat merancang, bekerja dan berusaha dengan
baik.
Sebaliknya, hiduplah dalam lingkungan hari ini kerana cara yang paling tepat untuk hari esok
ialah dengan menumpukan perhatian dan bekerja dengan sepenuhnya pada hari ini. Pemikiran
dapat mencari kesan dan sebab-sebab untuk melahirkan perancangan dan pelaksanaan.
Kekhuatiran akan membawa kekusutan fikiran dan tekanan perasaan.
Seorang pakar psikologi Robert Louis Stevenson berkata:
Sesiapa sahaja boleh membuat kerjanya, walau bagaimana berat, untuk satu hari. Sesiapa
sahaja boleh hidup dengan riang, penuh kesabaran, kasih sayang, bersih, sehingga matahari
jatuh. Dan inilah sebenarnya makna kehidupan.
Ingatlah, jangan sampai menunggu untuk menjadi ahli falsafah bagi mengamalkan prinsip:
Hidup dalam lingkungan hari ini. Kita lebih kuat daripada apa yang kita jangkakan! Justeru,
di sisi orang beriman, Allah sentiasa berada disisi. When God is your friend, who is your
enemy?

Source:
http://genta-rasa.com/2011/01/31/cukup-sekadar-untuk-melihat-mentari/

Anda mungkin juga menyukai