Anda di halaman 1dari 4

TEORI-TEORI PEMBELAJARAN

Teori membantu guru untuk memahami asas masalah pembelajaran khususnya dalam
konteks pendidikan khas. Teori dapat memberi panduan atau kaedah yang berkesan
dan bersesuaian untuk menyelesaikan masalah murid. Antara fungsi teori kepada guru
ialah;
Teori membantu untuk seseorang guru membuat penilaian, menyemak bahan, teknik,
kaedah pembelajaran yang boleh digunakan kepada pelajar,
Teori memberi panduan pengetahuan yang sistematik dan konsep bekerja bagi
membolehkan pengubahsuaian sesuatu ilmu baru dan ia amat penting kerana memberi
arah panduan menjelaskan dengan lebih teratur struktur pemikiran dan ini membentuk
tindak balas yang diingini berlaku,
Teori ialah pembentukan secara berproses. Setiap disiplin dibina berdasarkan konsep
dan idea yang dikembangkan oleh teori sebelumnya. Teori adalah cabaran, kekuatan,
bagi pengkaji dan ahli akademik untuk mempraktik dan membuat penilaian bagi
membuktikan teori yang dikeluarkan oleh golongan ini bersesuaian dan berguna serta
berhasil.
Menurut Thomas ( 1985), sesuatu teori dikatakan baik apabila mempunyai ciri-ciri
seperti dapat menjelaskan fakta-fakta dengan jelas, mudah difahami, berguna untuk
membuat ramalan masa hadapan dan memperjelas perkara-perkara yang sudah lepas,
boleh diterapkan secara praktikal, bersifat konsisten dan tidak berasaskan banyak
andaian (kepercayaan-kepercayaan yang tidak dapat dibuktikan)

Dalam pengajaran dan pembelajaran kemahiran hidup banyak kerja-kerja amali perlu
dilakukan oleh murid supaya benar-benar dapat memahami sesuatu kemahiran.
Perkara ini berkait rapat dengan realiti kehidupan mereka di luar. Jadi, untuk
menentukan objektif pengajaran dan pembelajaran ini tercapai dan dikuasai oleh murid
khas, guru harus memikirkan bagaimana untuk memaksimumkan penguasaan murid ini
dengan menggunakan teori-teori yang sesuai dan berkesan dalam pengajaran mereka.
Terdapat beberapa teori pengajaran dan pembelajaran dibincangkan supaya boleh
membantu guru mengamalkannya dan membuat penilaian semasa pengajaran.

Teori Pembelajaran Behaviorisme

Teori Behaviorisme menumpukan perhatian kepada faktor persekitaran sebagai faktor
yang mempengaruhi tingkah laku. Ahli-ahli behavioris melihat perhubungan antara
persekitaran dengan tingkah laku dan kemudiannya menggunakan konsep peneguhan
dan dendaan untuk menjelaskan mengapa sesetengah tingkah laku itu wujud atau tidak
wujud. Mereka berpendapat kecenderungan-kecenderungan tingkah laku termasuk
trait-trait, bakat, nilai-nilai, kepercayaankepercayaan, aspirasi dan lain-lain adalah
dipelajari.

Antara andaian ahli behaviorisme ialah tingkah laku boleh diukur, diperhatikan dan
dianalisa dengan melihat gerak balas individu. Gerak balas bergantung kepada
peneguhan dan dendaan. Matlamat behavioris ialah melihat kaitan rangsangan dengan
gerak balas dan melihat bagaimana gerak balas ini boleh dikawal melalui ganjaran dan
dendaan. Ahli-ahli behaviorisme menggunakan konsep pelaziman klasik dan pelaziman
operan apabila menjelaskan proses pembelajaran (Jalongo dan Isenberg 2000).

Teori Pembelajaran Kognitif

Teori pembelajaran kognitif memfokuskan bahawa setiap manusia mempunyai
keupayaan mental untuk mengelola, menyusun, menyimpan dan mengeluarkan semula
segala pengalaman untuk membolehkan ia memerhatikan pertalian antara pengalaman
tersimpan dengan masalah yang dihadapi. Ahli-ahli psikologi kognitif berpendapat
bahawa pembelajaran adalah mudah dan ia tidak selalunya berlaku melalui cuba jaya
sebagaimana yang dicadangkan oleh mazhab behaviorisme. Menurut psikologis ini,
dalam pembelajaran, murid membentuk struktur kognitif dalam ingatannya. Setiap kali
murid belajar, ia akan menyusun segala pengalaman dan menyimpannya dalam
ingatan. Kebolehan ini dikenali sebagai celik akal. Dengan itu, nyatalah seseorang
individu jarang menggunakan cara cuba jaya untuk mempelajari sesuatu.

Teori kognitif berpegang kepada persoalan bagaimana kita mengetahui, memperolehi,
memproses dan menggunakan maklumat. Jadi, dalam mendidik murid-murid khas ,
guru perlulah menyesuaikan segala teori-teori yang ingin digunakan. Ada kalanya teori
behaviorimse penting digunakan demikianlah juga dengan teori kognitif. Semua teori
boleh diaplikasikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Teori Pembelajaran Sosial

Albert Bandura memperkenalkan teori pembelajaran sosial iaitu pembelajaran berlaku
melalui proses peniruan. Bandura (1977) berpendapat, kita belajar melalui pemerhatian
dan meniru orang lain serta dengan melihat konsekuen tingkah laku orang lain.
Bandura berpendapat bahawa;
Pembelajaran dan tingkah laku manusia bergantung kepada pemerhatian seseorang
individu itu terhadap individu lain atau model-model simbolik seperti televisyen dan
sebagainya.
Peniruan selalunya diteguhkan.
Pembelajaran pemerhatian dapat juga diterangkan melalui prinsip pelaziman klasik.
Oleh yang demikian, teori pembelajaran sosial Bandura,menekankan peranan kognitif
dan juga pengaruh persekitaran dalam perkembangan.

Teori Pembelajaran Humanis

Teori pembelajaran humanis menumpukan pada apa yang berlaku pada diri seseorang
seperti perasaan atau emosinya. Pendekatan humanis menekankan fikiran,
pengamatan serta interpretasi murid tentang sesuatu peristiwa atau kejadian itu. Prinsip
teori humanis ini adalah, seseorang murid itu bertanggungjawab ke atas tindakannya.
Contohnya kalau murid ingin berjaya, maka dia perlu berusaha mencapainya ke arah
itu. Setiap murid juga mempunyai keperluan mengembangkan potensinya ke tahap
maksimum. Teori humanis menekankan objektif berikut;
meningkatkan arah kendiri dan kebebasan murid.
membantu murid agar lebih bertanggungjawab dalam menentukan perkara yang ingin
dipelajari oleh mereka.
meningkatkan daya cipta murid.
mengembangkan minat dalam bidang seni.
meningkatkan naluri ingin tahu murid.
Asas teori ini adalah kepercayaan seseorang murid mempunyai keperluan untuk
pencapaian hasrat diri. Guru perlulah membantu murid mencapai hasratnya. Ini berlaku
kerana dalam pengajaran secara humanis, pembelajaran arah kendiri amat ditekankan.

Prinsip-prinsip pembelajaran humanis adalah seperti berikut;
murid akan belajar apa yang dikehendaki oleh mereka dan yang ingin diketahui.
Keinginan untuk belajar dan mengetahui cara belajar lebih penting daripada
pemerolehan fakta.
Penilaian yang dibuat oleh murid sendiri lebih bermakna bagi dirinya.
Perasaan murid adalah sama penting dengan fakta. Pembelajaran cara merasa adalah
sama penting dengan pembelajaran berfikir.
Pembelajaran hanya berlaku jika murid tidak berasa terancam.

Anda mungkin juga menyukai