Anda di halaman 1dari 7

Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Falsafah Pendidikan

Guru.
Falsafah Pendidikan kebangsaan (FPK) dan Falsafah Pendidikan Guru (FPG)
memainkan peranan penting dalam memperkembangkan dan melaksanakan Kurikulum
Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) di sekolah-sekolah peringkat rendah. Petikan FPK
berbunyi seperti berikut :
Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan kearah
memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk
mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan
jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah
bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan,
berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri
serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga,
masyarakat dan negara
FPK ini ditentukan oleh Perlembagaan Malaysia dan berlandaskan ideologi
kebangsaan yang menerapkan Rukun Negara, Dasar Ekonomi Baru dan Dasar
Pendidikan Kebangsaan.
Manakala, FPG pula berbunyi seperti berikut:
Guru yang berpekerti mulia, berpandangan progresif dan saintifik, bersedia
menjunjung aspirasi negara serta menyanjung warisan kebudayaan negara, menjamin
perkembangan individu dan memelihara suatu masyarakat yang bersatu padu,
demokratik, progresif dan berdisiplin.
Tujuan utama pembentukan FPG itu adalah untuk menjadi panduan bagi
individu dan pihak yang terlibat dengan dunia pendidikan untuk merealisasikan FPK.
FPG ini menyenaraikan cirri-ciri guru yang diperlukan bagi memenuhi aspirasi negara
dan Wawasan 2020.
KBSR pula dibentuk dan digubal berlandaskan dengan FPK. Prinsip-prinsip
yang terkandung dalam KBSR ialah pendekatan bersepadu, perkembangan individu
secara menyeluruh, pendidikan yang sama untuk semua murid dan pendidikan seumur
hidup.
Berdasarkan FPK,FPG dan KBSR, saya dikehendaki untuk melakukan tugasan
berdasarkan maklumat yang dikumpul melalui temu bual yang saya lakukan semasa
Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) di Sekolah Kebangsaan Sultan Idris 2 (SKSI
2), Selama Perak pada 21-25 Mac 2011. Saya dan rakan-rakan sekumpulan telah
menemubual 3 orang guru yang sudah mempunyai pengalaman mengajar lebih dari 10
tahun. Guru tersebut merupakan guru besar, guru penolong kanan pentadbiran dan
guru panitia bahasa inggeris di sekolah tersebut.
Menurut Puan Hamsiah binti Mohd Ismail, guru besar SKSI 2, beliau
mengatakan bahawa bagi memastikan objektif dan matlamat FPK tercapai, para guru
perlu memiliki beberapa ciri-ciri guru yang dinyatakan dalam FPG. Beliau mengatakan,
bakal guru perlulah menguasai bidang akademik sepenuhnya agar dapat menjadi guru
yang berilmu dan mempunyai kemahiran dalam akademik. Dengan itu, guru-guru dapat
mengajar dan mendidik murid-murid dengan baik tanpa keraguan. Ini adalah kerana
ilmu itu sentiasa berkembang lanjutan penemuan baru dan inovasi. Oleh itu menjadi
tanggungjawab guru untuk memperoleh ilmu agar tidak ketinggalan dari segi
profesional. Perkara ini adalah merujuk kepada ciri-ciri dan elemen yang terkandung
dalam FPG iaitu berpandangan progresif dan saintifik melalui cabang falsafah
epistemologi.

Dengan itu, menurut Puan Hamsiah juga, bagi memastikan para guru sentiasa
meingkatkan prestasi dalam profesionalisme, guru-guru perlulah diberikan galakan,
motivasi dan penganugerahan seperti anugerah guru cemerlang, guru inovasi, guru
media dan sebagainya. Ia bertetapan dengan cabang falsafah logik iaitu seseorang
guru itu sentiasa melakukan amalan penaakulan logik dalam menjalankan tugas dan
meningkatkan diri secara profesional untuk menjamin kualiti guru.
Kualiti guru itu penting kerana berdasarkan elemen FPK iaitu pendidikan suatu
usaha yang berterusan dan ingin melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu
pengetahuan. Implikasi daripada elemen tersebut peningkatan terhadap ilmu dan
kemahiran adalah perlu bagi proses pemerolehan dan pemindahan berlangsung secara
berterusan. Maka, adalah penting bagi para guru meningkatkan kualiti, ilmu dan
kemahiran diri bagi melahirkan insan yang mempunyai ilmu dan kemahiran yang
diperolehi di sekolah dan boleh digunakan oleh mereka bagi sepanjang hayat. Dengan
itu, bakat, potensi dan kebolehan diri juga dapat dipupuk, diperkembangkan dan
dipertingkatkan.
Elemen berpekerti mulia yang terkandung dalam FPG perlulah dihayati dan
diamalkan oleh para guru. Sahsiah guru yang baik seperti berbudi bahasa, bersopan,
berdisiplin, bermoral dan sebagainya adalah perlu bagi menjadi contoh dan teladan
yang baik kepada murid-murid dan masyarakat. Ianya berkaitan juga dengan cabang
falsafah aksiologi dan juga elemen FPK iaitu ingin melahirkan rakyat Malaysia yang
berakhlak mulia. Hasrat kerajaan adalah menginginkan rakyat yang mempunyai
perwatakan diri yang baik dan berpegang kepada nilai-nilai murni dan moral sebagai
prinsip hidup.
Seperti yang dikatakan oleh Encik Sudirman bin Abdul Ghani, guru penolong
kanan pentadbiran SKSI 2, antara ciri-ciri bagi seorang guru bagi merealisasikan
objektif FPK, seseorang guru itu perlulah mengamalkan budaya kerja cemerlang bagi
menjadi guru yang cemerlang. Untuk menjadi guru yang baik juga, seseorang guru itu
perlulah kuat jati dirinya agar tidak mudah dipengaruhi oleh orang lain dan persekitaran
yang tidak sihat. Maka, guru-guru perlulah pandai menyesuaikan diri dengan
persekitaran dan juga ketika berhadapan dengan pelbagai jenis ragam manusia. Selain
itu, ciri-ciri yang perlu ada bagi seorang guru ialah bersikap optimis dan komited dalam
kerja yang dilakukan. Jika seseorang guru itu melakukan kerjanya dengan tidak
bersungguh-sungguh dan tidak kompetensi, maka hasil kerja yang tidak berkualiti akan
terhasil. Ini adalah bertentangan dengan elemen FPG yang berbunyi menjamin
perkembangan individu. Apabila seseorang guru itu tidak menjalankan tugasnya
dengan baik, maka perkembangan murid yang baik seperti mana yang diharapkan oleh
masyarakat dan negara tidak berlaku.
Selain itu, seseorang guru itu perlulah proaktif dan meningkatkan potensi diri supaya
lebih maju jauh ke hadapan. Guru itu perlulah lebih memandang jauh ke hadapan
untuk menghasilkan produktiviti murid yang berkualiti. Jika seseorang guru itu tidak
bersifat positif dan optimis, maka kecenderungan untuk menjadi lebih negatif juga
adalah tinggi dan boleh mempengaruhi murid-murid kerana guru merupakan role model
kepada murid-murid di sekolah.
Bagi pendapat Puan Sabariah binti Abdul Majid iaitu seorang guru panitia
bahasa inggeris di SKSI 2 pula, ciri-ciri bagi seorang guru yang perlu ada ialah
kesabaran yang tinggi, cekal, bersungguh-sungguh, rajin dan tidak berputus asa. Maka
dengan itu, akan lahirlah generasi muda yang mempunyai sifat nilai-nilai murni yang
berjaya diterapkan oleh guru-guru yang mempunyai sifat-sifat tersebut. Elemen FPK
seperti melahirkan rakyat yang dapat memberi sumbangan terhadap keharmonian dan
kemakmuran masyarakat dan negara dapat direalisasikan. Ini adalah kerana
implikasinya yang memberi kesan yang baik kepada masyarakat. Mereka akan
berusaha memiliki sifat-sifat yang baik seperti toleransi, bertimbang rasa, hormat-
menghormati dan mengadaptasikannya dalam kehidupan seharian disamping
masyarakat yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama.

Guru juga perlu memahami elemen yang terdapat dalam FPG seperti menjamin
perkembangan individu dengan peranan guru dalam mendidik anak murid. Peranan
guru seperti dari segi perkembangan diri dan perkembangan murid secara menyeluruh.
Maksudnya disini ialah, guru berperanan untuk membentuk generasi muda
memperkembangkan diri dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Tugas guru
bukan sahaja mengajar, malah perlu memberi sokongan, dorongan, nasihat dan
sebagai tempat rujukan murid. Dengan itu, guru perlulah memahami dan melaksanakan
apa yang terkandung dalam FPK dan kehendak pihak Kementerian Pelajaran Malaysia
(KPM).
KBSR merupakan matlamat dan objektif yang disasarkan kepada murid
pendidikan rendah dan dibentuk berdasarkan FPK seperti mana yang dihuraikan dalam
matlamat pendidikan sekolah rendah iaitu :
matlamat pendidikan rendah adalah untuk memastikan perkembangan murid
secara menyeluruh. Perkembangan ini meliputi aspek-aspek intelek, rohani, jasmani,
emosi, bakat, akhlak, nilai-nilai estetika sosial
(Kurikulum Baru Sekolah Rendah, 1991:5)
Berdasarkan matlamat tersebut, terdapat empat prinsip KBSR iaitu pendekatan
bersepadu, perkembangan individu secara menyeluruh, pendidikan seumur hidup dan
pendidikan yang sama untuk semua murid. Namun begitu, dalam usaha untuk
melaksanakannya, para guru mungkin menghadapi pelbagai halangan dan masalah
daripada diri sendiri dan faktor luaran.
Puan Hamsiah berkata, antara halangan utama yang dihadapi untuk
perlaksanaan KBSR ialah datangnya daripada guru itu sendiri. Terdapat guru hilang
minat untuk melaksanakan KBSR tersebut. Pada mulanya, guru itu mempunyai minat
dan semangat untuk melaksanakan pelbagai program dan latihan berdasarkan KBSR.
Namun, lama kelamaan guru tersebut sudah hilang rasa minat dan semangatnya untuk
melaksanakan KBSR di sekolah. Antara faktor berlakunya perkara tersebut ialah
kurangnya kemudahan asas dan alat bahan bantu mengajar di sekolah tersebut. Saya
difahamkan bahawa, pihak kerajaan memberi peruntukan kepada setiap sekolah
mengikut lokasi dan tempat sekolah tersebut. Sekolah yang berada dalam bandar
mendapat peruntukan yang lebih banyak berbanding sekolah kategori luar Bandar.
Maka mungkin disebabkan itu, pihak sekolah tidak mempunyai dana yang tinggi untuk
menyediakan kemudahan asas yang mencukupi untuk para pelajar di sekolah.
Beliau mencadangkan bahawa, pihak kerajaan perlu menyediakan lebih banyak
kemudahan asas yang mencukupi mengikut jumlah murid bagi setiap sekolah seperti
bantuan dana, dan alat bahan bantu mengajar tambahan. Sekiranya dana yang
diberikan kepada mencukupi, maka pihak sekolah dapat membina bilik pembelajaran
kendiri seperti bilik sains, bilik seni, bilik muzik dan sebagainya dengan lebih baik lagi.
Prinsip KBSR yang pertama iaitu pendekatan bersepadu, merupakan
pendekatan gabungan unsur-unsur pengetahuan, kemahiran dan nilai bagi melahirkan
kesepaduan dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Dengan adanya kemudahan
asas dan dana yang mencukupi, pelbagai perkara dapat dilakukan bagi merealisasikan
prinsip KBSR tersebut. Guru-guru juga dapat melaksanakannya dengan jayanya dan
mempunyai semangat untuk terus mendidik para pelajar.
Encik Sudirman juga mempunyai pendapat bahawa halangan yang terdapat
dalam diri bagi seseorang guru itu yang menjadi punca dalam masalah perlaksanaan
KBSR di sekolah. Terdapat segologan guru yang kurang proaktif dalam apa jua bentuk
pengajaran dan juga program serta aktiviti di sekolah. Jika guru sendiri yang bersikap
sedemikian, bagaimana pula murid-murid akan mendapat segala manfaat yang
diharapkan oleh pihak kerajaan dan masyarakat. Guru perlulah bersikap lebih aktif dan
bersedia melakukan tugas dengan baik dan melaksanakan segala apa yag
dirancangkan dengan baik seperti mana elemen yang terkandung dalam FPG iaitu
bersedia menjunjung aspirasi negara. Iaitu guru perlulah berusaha untuk menyumbang
secara maksimum kea rah pencapaian aspirasi negara.
Selain itu, ibu bapa juga kurang memainkan peranan dan memberi sokongan
yang baik kepada pihak sekolah dalam segala aktiviti dan program yang dirancang di
sekolah untuk anak-anak mereka. Sebagai contoh, seperti di SKSI 2, terdapat ibu bapa
yang tidak menyokong dan tidak membenarkan anak-anak mereka menyertai program
untuk pelajar UPSR di sekolah. Ini mungkin disebabkan rasa kurang percaya kepada
pihak sekolah dan anak-anak mereka untuk berada di sekolah selepas waktu
persekolahan. Sebenarnya program-program yang dirancang oleh pihak sekolah
bukanlah berdasarkan kurikulum sahaja, malah ia meliputi juga keperluan yang lain
bagi seseorang murid itu dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek untuk
perkembangan potensi murid-murid tersebut seperti mana prinsip kedua dalam KBSR
iaitu perkembangan individu secara menyeluruh.
Perkara ini boleh diatasi dengan memberikan pendedahan dan penerangan
kepada ibu bapa akan kepentingan bagi sesuatu program tersebut. Ibu bapa juga perlu
diberi keyakinan bahawa anak-anak mereka mendapat jagaan dan bimbingan yang
sewajarnya di sekolah. Sistem kawalan seperti pengawal perlulah ditingkatkan bagi
menjamin keselamatan murid-murid di sekolah.
Halangan dalam kalangan diri murid-murid itu sendiri turut wujud bagi
membantutkan proses perlaksanaan KBSR di sekolah. Terdapat pelajar yang tidak
mengikuti program dan latihan yang disediakan oleh guru-guru. Jika perkara
sedemikian berlaku, bagaimana program yang dilaksanakan akan berjaya? Malahan,
terdapat juga murid-murid yang tidak hadir ke kelas tambahan yang disediakan secara
percuma kepada mereka. Perkara ini amat mengecewakan para guru yang telah
bertungkus lumus mahu meningkatkan prestasi diri mereka.
Murid-murid perlulah memberikan kerjasama yang baik kepada guru-guru dan
mengikuti segala program yang disediakan untuk mereka. Mereka harus mempunyai
kesedaran akan kepentingan mengejar ilmu dan menyeimbangkan potensi dan
kemahiran diri dalam kehidupan mereka. Perkara ini boleh diatasi dengan pendedahan
dan nasihat oleh kaunselor dan para guru.
Faktor jarak rumah ke sekolah dan masalah kemiskinan keluarga bagi murid
tersebut juga menjadi halangan bagi guru untuk menjayakan program-program
berdasarkan KBSR. Kerana masalah tersebut, terdapat ibu bapa yang bertindak untuk
memberhentikan anak-anak mereka daripada meneruskan persekolahan mereka.
Perkara seperti ini tidak seharusnya berlaku kerana menurut prinsip dalam KBSR juga
ada menyebut mengenai pendidikan seumur hidup. Ia merupakan suatu usaha
berterusan untuk mendapatkan ilmu dan tiada had dari segi jangka waktu. Jika anak-
anak diberhentikan daripada meneruskan persekolahan mereka, kemungkinan
pembelajaran secara berterusan tidak akan berlaku.
Bagi setiap murid, mereka mempunyai hak untuk mendapatkan pengetahuan
dan kemahiran yang diperlukan demi masa depan yang cerah. Maka seharusnya
penyelesaian bagi masalah jarak rumah ke sekolah dan kemiskinan diatasi dan dibantu
oleh pihak yang sewajarnya. Bagi keluarga yang miskin, bantuan dari Jabatan
Kebajikan Masyarakat (JKM) boleh dimohon dan didapatkan bagi meringankan beban
yang ditanggung. Malah, pihak sekolah juga boleh memberikan bantuan seperti
Rancangan Makanan Tambahan (RMT) kepada murid-murid miskin dan juga
pengecualian bayaran yuran sekolah juga boleh diberikan kepada mereka yang kurang
berkemampuan.
Bagi masalah jarak rumah yang jauh untuk ke skolah, murid tersebut boleh
memohon untuk tinggal di asrama bagi menjimatkan masa dan perbelanjaan. Malahan,
menurut Encik Sudirman juga, terdapat guru yang menawarkan bantuan untuk
menumpangkan murid dengan menaiki kereta guru tersebut untuk pergi ke sekolah
setiap hari. Guru sebegini biasanya ikhlas mahu melihat anak muridnya berjaya dalam
pelajaran dan seimbang dari pelbagai segi, maka guru tersebut sanggup untuk
membantu murid tersebut dengan cara menumpangkannya ke sekolah setiap hari.
Faktor pengaruh daripada kawan juga memberi kesan kepada murid-murid untuk
tidak mengikuti pembelajaran berasaskan KBSR yang dirancang oleh guru-guru.
Mereka cenderung untuk mengikuti rakan-rakan yang berada di luar sekolah untuk
melakukan aktiviti yang kurang sihat seperti memonteng kelas tambahan dan
sebagainya. Perkara ini juga berlaku kerana tiada penegasan daripada ibu bapa
terhadap anak-anak mereka. Perkara seperti ini boleh diatasi dengan memberi
kesedaran kepada murid-murid akan kepentingan mengikuti kelas tambahan yang
disediakan oleh para guru di sekolah. Ibu bapa juga perlu diajak berbincang untuk
menyelesaikan masalah tersebut. Ibu bapa turut perlu diberi nasihat untuk lebih prihatin
dan peka terhadap anak-anak mereka.
Puan Sabariah turut berpendapat bahawa terdapat masalah berpunca daripada
ibu bapa dalam pengurusan keluarga dan ekonomi. Ibu bapa tersebut menjadikan
alasan masalah keluarga dan ekonomi yang menyebabkan anak-anak mereka tidak
dapat meneruskan persekolahan mereka. Namun begitu, walaupun terdapat keluarga
yang mampu untuk menghantar anak-anak mereka bersekolah, tetapi disebabkan
masalah keluarga yang dihadapi dalam keluarga, boleh memberi kesan kepada anak-
anak. Mereka mungkin tidak dapat menumpukan perhatian terhadap proses pengajaran
dan pembelajaran (P&P) berlangsung. Perkara ini boleh diatasi dengan peranan
kaunselor sekolah dalam menghubungkan ibu bapa dan murid dengan pihak sekolah
untuk berbincang dan mencari penyelesaian bagi masalah yang dihadapi.
Selain itu juga, hanya terdapat segelintir ibu bapa yang benar-benar
menginginkan anak-anak mereka memperolehi kejayaan dalam kehidupan mereka.
Golongan ibu bapa ini, sentiasa memastikan anak-anak mereka melakukan yang
terbaik dan mendapatkan pendidikan yang terbaik di sekolah. Para ibu bapa ini juga
kebiasaannya menyokong dan member galakan kepada pihak sekolah untuk
melakukan pelbagai jenis aktiviti, program dan kelas untuk anak-anak mereka demi
melahirkan generasi muda yang cemerlang.
Namun begitu, terdapat juga segelintir ibu bapa yang sekadar menghantar anak
anak mereka ke sekolah tanpa pantauan oleh mereka sendiri. Mereka menyerahkan
segala tanggungjawab untuk mendidik terhadapi guru-guru. Perkara seperti ini tidak
seharusnya berlaku kerana sokongan dan pantauan daripada pihak ibu bapa dan
keluarga juga adalah penting dalam merealisasikan objektif yang terkandung dalam
FPK dan KBSR.
Kurangnya pengetahuan agama, moral dan sivik dalam diri murid-murid juga
menjadi faktor untuk menjadi penghalang dalam perlaksanaan KBSR di sekolah.
Dengan itu, guru-guru menghadapi masalah untuk menjayakan segala program
berlandaskan KBSR kerana murid-murid ini kurang mempunyai rasa hormat dan
tanggungjawab terhadap guru mereka untuk mengikuti program-program dan
pembelajaran yang dilaksanakan. Oleh itu, masalah ini perlu mendapat perhatian oleh
semua pihak agar perkara ini tidak berlarutan sehingga menggagalkan objektif KBSR.
Prinsip KBSR yang keempat iaitu pendidikan yang sama untuk semua murid.
KBSR menyediakan pendidikan yang sama bagi semua murid di Malaysia. Semua
murid pada tahap persekolahan yang sama bagi semua jenis aliran persekolahan
mengikuti kurikulum yang sama. Secara umumnya, tiga bidang dalam KBSR itu ialah
komunikasi, manusia dan alam sekeliling, dan perkembangan diri individu.
Halangan yang mungkin berlaku dalam menjayakan prinsip yang keempat ini
ialah halangan daripada murid sendiri. Contohnya, penguasaan dan kefahaman bagi
setiap murid mungkin berbeza walaupun kurikulum yang sama diberikan kepada semua
murid. Oleh itu, tidak semua murid itu berjaya meningkatkan prestasi mereka sama
seperti rakan-rakan sebayanya yang lain dalam tempoh masa yang sama.
Ketiadaan minat bagi seseorang murid itu juga menjadi halangan bagi seseorang
guru itu untuk menjayakan program KBSR yang dirancang. Contohnya, sekiranya murid
tersebut tidak meminati kemahiran hidup dan kokurikulum, bagaimana perkembangan
diri individu itu dapat ditingkatkan? Ini kerana, tanpa minat yang tinggi murid tersebut
tidak dapat mengikuti pembelajaran dengan baik dan tidak berusaha untuk memajukan
dirinya dalam bidang tersebut.
Antara penyelesaian masalah tersebut ialah kaunselor dan guru-guru perlulah
memberikan sokongan dan mendorong murid-murid agar memupuk minat mereka
terhadap pelajaran tersebut dan bersungguh-sungguh mengikuti P&P yang berlangsung.
Dengan itu, hasrat dan objektif yang disasarkan akan dapat tercapai.
Hasil daripada temubual untuk menyiapkan tugasan ini, saya dapat simpulkan
bahawa guru-guru perlu mempunyai ciri-ciri berdasarkan apa yang dikehendaki dalam
FPG bagi merealisasikan objektif FPK dan juga KBSR. Tanpa penghayatan FPG dan
FPK dalam diri setiap guru, apa yang ingin dicapai oleh kementerian pelajaran dan
masyarakat tidak akan tercapai. Selain itu juga, peranan dan kesedaran daripada ibu
bapa, masyarakat dan diri sendiri bagi murid-murid tersebut juga adalah perlu bagi
menjayakan perlaksanaan KBSR di sekolah. Segala halangan dan masalah yang
dihadapi oleh para guru dan lain-lain juga perlu diberi perhatian dan diselesaikan
dengan sewajarnya agar ia tidak mengganggu perlaksanaan program KBSR.

Anda mungkin juga menyukai