Anda di halaman 1dari 7

Wednesday, September 14, 2005

SOSIOLINGUISTIK DALAM PENGAJARAN BAHASA


DEWAN BAHASA (DISEMBER 2004)
Dewan Bahasa dan Pustaka

Yang tidak dapat dinafikan ialah bahawa pengajaran dan pemelajaran bahasa di sekolah banyak
memberikan penekanan terhadap sistem bahasa seperti sistem ejaan, sebutan, peristilahan,
kosa kata umum, morfologi, dan sintaksis. Yang paling banyak disentuh ialah aspek morfologi
dan sintaksis. Keadaan ini menyebabkan pemelajaran bahasa kadangkala menjadi kaku dan
membosankan, malah menimbulkan kerisauan kerana kononnya bahasa hanya terdiri daripada
rumus dan hukum bahasa, dan kesalahan dalam menggunakan sistem bahasa yang betul semasa
berada di dalam kelas akan hanya merumitkan keadaan lagi. Guru yang terlatih dari segi
pedagogi dituntut menggunakan pelbagai kaedah dan teknik untuk menyampaikan maklumat
dan fakta-fakta sistem bahasa dengan baik dan terkini, manakala pelajar seolah-olah dibebankan
dengan rumus dan aturan yang memenatkan fikiran, apatah lagi jika diajarkan secara didaktik
pula. Jika demikian keadaannya, bagaimanakah fungsi dan matlamat bahasa yang sebenarnya
dapat direalisasikan? Bukankah salah satu kepentingan menguasai bahasa adalah untuk
membolehkan penuturnya berinteraksi serta berkomunikasi dengan baik dan berkesan dalam
masyarakat ?

Telah diungkapkan dalam Matlamat Pendidikan Bahasa Melayu, iaitu bertujuan membimbing
pelajar-pelajar menguasai kecekapan berbahasa untuk berkomunikasi dengan berkesan bagi
melahirkan fikiran dan perasaan tentang ilmu pengetahuan, hal-hal persendirian dan
kemasyarakatan dalam konteks rasmi, tak rasmi, dan kreatif melalui lisan dan penulisan.
Menurut Awang Sariyan dalam Teras Pendidikan Bahasa Melayu : Asas Pegangan Guru,
pengajaran bahasa tidak patut bernoktah dengan pendedahan sistem semata-mata (2004 : 191).
Sebaliknya, pengajaran tatabahasa hendaklah dihubungkan dengan aspek-aspek fungsionalnya
bagi membolehkan pelajar mengukuhkan keterampilan berbahasa termasuklah dari segi
pragmatiknya. Fungsi bahasa sebagai alat komunikasi sosial merupakan item terpenting dalam
membicarakan perkara ini. Mustahil dibuat pemisahan antara bahasa dengan masyarakat sekali
gus menegaskan bahawa masyarakatlah yang membina dan mengembangkan bahasa dan
bahasalah yang membentuk peradaban yang tinggi dalam masyarakat. Oleh hal yang demikian,
guru disarankan agar menggabungjalinkan kemahiran dan teori linguistik yang bersesuaian
dalam pengajaran untuk memastikan pelajar dapat menguasai bahasa yang baik melalui aktiviti
mendengar, bertutur, membaca, dan menulis.

Oleh sebab sesuatu bahasa itu menjadi milik masyarakat, pertimbangan sosial sewajarnya tidak
dibatasi oleh aliran linguistik generatif yang memberikan penekanan terhadap kebebasan
sintaksis (the autonomy of syntax), iaitu penelitian terhadap ayat sebagai satu unsur bahasa
yang harus dilakukan secara linguistik semata-mata, yakni tanpa memberikan pertimbangan
terhadap aspek-aspek lain, misalnya hubungan bahasa dengan masyarakat. Pengajaran dan
pemelajaran bahasa di sekolah yang banyak menjurus kepada sistem bahasa menyebabkan
tumpuan dalam penggunaan bahasa begitu terbatas dan akhirnya menghasilkan pelajar yang
tidak berketerampilan menggunakan bahasa dalam interaksi sosialnya. Yang tidak dapat
dinafikan ialah bahawa ilmu berkenaan sistem bahasa amat perlu dititikberatkan, namun
keadaan ini seharusnya diimbangi oleh keupayaan menguasai bahasa dari pelbagai segi.

S. Dik dalam Functional Grammar (1978 : 4-5) pernah membuat suatu gagasan yang menarik
tentang skop bahasa yang terdiri daripada tujuan formalisme dan tujuan fungsionalisme yang
menyaksikan bahasa, jika diteliti dari segi fungsionalnya ialah alat untuk interaksi sosial,
berkomunikasi, wahana kebolehan dan kecekapan mengendalikan interaksi sosial, dapatan
bahawa pemerolehan bahasa banyak dibantu oleh persekitaran sosial, dan penelitian tentang
kecekapan komunikasi mementingkan bahasa dari sudut penggunaannya. Sebagai fenomena
sosial, bahasa dilihat sebagai wadah penyalur fikiran dan perasaan yang tidak dapat dihuraikan
hanya melalui penelitian terhadap aspek kegramatisan ayat. Berdasarkan hal ini, matlamat yang
ingin dicapai dalam pengajaran dan pemelajaran bahasa merangkum aspek kemahiran dan
kebolehan menguasai ilmu bahasa dan seterusnya menggunakan bahasa dengan berkesan
dalam pelbagai situasi dan ranah.

Dell Hymes dalam Foundations in Sociolinguistics : An Ethnograpic Approach (1974 : 206)
menegaskan bahawa teori bahasa memerlukan penelitian terhadap pertuturan, pemerhatian
terhadap persoalan fungsi, dan bahasa tidak terpisah daripada sistem-sistem sosial dan budaya
lain yang beroperasi dalam sesuatu masyarakat. Sebenarnya, telah banyak yang diperkatakan
oleh ahli-ahli bahasa tentang hubungan yang erat dan padu antara bahasa dengan masyarakat.
Hubungan ini dalam kajian bahasa atau linguistik dikenal sebagai sosiolinguistik. Sosiolinguistik
ialah bidang yang mengkaji aspek linguistik yang melihat aspek bahasa, struktur dan aplikasi
bahasa yang ada hubungan dengan fungsi sosial, kebudayaan dan penggunaannya dalam
sesuatu masyarakat yang tertentu. Menurut Arbak Othman dalam Permulaan Ilmu Linguistik
(1983 : 155 156), sosiolinguistik melihat hubungan bahasa dengan masyarakat ataupun bahasa
sebagai alat komunikasi manusia. Hudson (1980 : 1) dalam Sociolinguistics menyatakan bahawa
sosiolinguistik ialah kajian bahasa yang berhubung kait dengan masyarakat yang mengaitkan
variasi bahasa dengan faktor sosial atau bahasa sebagai refleksi penuturnya. Keadaan ini
berupaya menjalinkan pertalian yang erat antara bunyi bahasa dengan masyarakat bahasa.

Dalam pengajaran dan pemelajaran bahasa, pengetahuan tentang disiplin sosiolinguistik amat
perlu untuk guru bagi melahirkan pelajar yang berupaya memanipulasi kemahiran yang
dipelajari dan mewujudkan interaksi sosial yang berkesan. Guru perlu menyedari bahawa
mengajarkan bahasa bukan sekadar mengajarkan bahasa yang kaku dan statik sifatnya dalam
erti kata bebas daripada faktor-faktor sosial yang melingkarinya. Menurut J. B. Pride dalam
Sociolinguistics Aspects of Language Learning and Teaching (1979 : ix), sosiolinguistik ialah
nama yang sering diberikan terhadap kajian tentang siapa yang berkata (atau menulis)
kepada siapa, bila, di mana, bagaimana, dan mengapa. Guru seharusnya memahami bahawa
mengajarkan bahasa merupakan proses mendidik pelajar supaya mempunyai kecekapan
berkomunikasi seperti yang diharapkan oleh masyarakatnya sebagai wadah meneruskan
kehidupan peribadinya, di samping menyumbang kepada penakatan budaya dan sosial
masyarakat dan komuniti bahasanya.
Dalam pengajaran dan pemelajaran bahasa secara formal, guru dapat mengukuhkan
pemahaman dan pengetahuan pelajar berkenaan dengan beberapa aspek penelitian
sosiolinguistik melalui aktiviti lisan, bacaan, dan tulisan. Misalnya, sewaktu mengadakan aktiviti
lisan, guru dapat memberikan pendedahan yang meluas kepada pelajar tentang sistem
panggilan dalam bahasa Melayu. Penggunaan kata ganti nama diri (personal pronouns) yang
tepat amat penting untuk pelajar bagi mempersiapkan mereka dengan pengaruh sosiobudaya
yang pada masa kini kurang mementingkan aspek kesantunan berbahasa. Dalam ayat Cikgu,
awak belum balik ? atau Aku tidak datang ke kelas tambahan, cikgu, tentulah memberikan
persepsi yang kurang baik kepada pendengarnya kerana tidak mematuhi norma berbahasa,
walaupun mungkin betul dari segi nahunya. Menurut Nik Safiah Karim, dalam bahasa Melayu,
penggunaan kata ganti nama diri berkait rapat dengan bahasa sapaan. Bahasa sapaan
didefinisikan sebagai kata yang digunakan untuk merujuk kepada orang tertentu untuk
menunjukkan kedudukan sosialnya.
Kata ganti nama diri orang ialah jenis ganti nama yang merujuk kepada diri orang tertentu.
Pengetahuan dan penguasaan yang baik tentang sistem kata ganti nama bahasa Melayu bukan
sahaja melambangkan seseorang itu berbudi bahasa dan berhemah, tetapi menguasai
pengendalian pelbagai kategori sosial dalam struktur masyarakat Melayu, yang ikut
dimanifestasikan melalui pelbagai bentuk bahasa. Penggunaan bentuk ganti nama diri aku
sesuai digunakan dalam suasana tidak rasmi sahaja dan daripada orang yang rendah
kedudukannya kepada orang yang lebih tua dan dihormati. Jika digunakan dalam suasana rasmi,
akan timbullah hal yang luar biasa, misalnya dalam suatu majlis rasmi, seorang pengucap
menuturkan ayat Aku ingin menyampaikan penghargaan kepada sekalian tetamu yang hadir,
maka pengucap tersebut dianggap tidak tahu bahasa. Seseorang guru pasti akan tersentak jika
pelajarnya membahasakan dirinya sebagai aku.

Aku ialah kata ganti nama diri yang dapat menimbulkan kemesraan, khususnya individu yang
akrab, seperti teman sebaya atau teman sekumpulan. Dalam konteks seperti itu, penggunaan
saya akan menyebabkan wujudnya jurang perhubungan. Bukti bahawa kata aku dapat
menunjukkan kemesraan ialah apabila berhubungan dengan Tuhan melalui kalimah doa. Orang
Melayu ( Islam ) menggunakan aku apabila membahasakan dirinya dengan Tuhan dan
membahasakan Tuhan sebagai Engkau. Misalnya, Ya Allah, kepada Engkaulah aku memohon
pertolongan. Penggunaan saya merupakan amalan pemakaian biasa yang digunakan apabila
kita berinteraksi dengan orang yang lebih tua, lebih dihormati, dalam konteks formal, dan
sebagai penanda hormat dengan orang yang belum akrab dengan kita, walaupun sebaya atau
lebih muda daripada kita. Di samping itu, salah satu strategi kesantunan berbahasa ialah
penggunaan saya sebagai tindak balas untuk memperlihatkan penyertaan seseorang dalam
sesebuah percakapan atau interaksi. Bentuk seperti mm, hm, dan seumpamanya untuk
menyatakan maksud penyertaan itu, dikira sebagai kurang sopan. Perkara inilah yang
sewajarnya dijelaskan kepada pelajar agar kesedaran tentang penggunaan bahasa yang baik
dapat dimanifestasikan melalui perlakuan dan amalan.

Selain itu, untuk maksud kesantunan bahasa, kata ganti nama orang kedua hendaklah digunakan
dengan mengambil kira beberapa faktor secara serius; umur, generasi, status, konteks (sama
ada rasmi atau tidak rasmi), dan jarak sosial. Bentuk panggilan untuk ganti nama orang kedua
boleh terdiri daripada panggilan kekeluargaan, panggilan profesional, gelaran profesional atau
kerjaya, panggilan anugerah, dan nama peribadi. Masyarakat Melayu menganggap bahawa kata
ganti nama awak, kamu, dan engkau sebagai bentuk kasar kalau digunakan dalam
percakapan atau interaksi dengan pihak-pihak yang lebih tua, berstatus, berkuasa, dan
dihormati. Bentuk tersebut digunakan oleh mereka yang yang sudah pun intim dan mesra
antara satu sama lain, atau oleh mereka yang lebih tua atau lebih berstatus kepada mereka yang
lebih muda atau kurang berstatus. Keadaan ini berbeza dengan bahasa Inggeris kerana boleh
menggunakan bentuk you kepada sesiapa sahaja. Oleh sebab orang Melayu menyedari
bahawa masalah kekasaran kesemua kata ganti nama orang kedua , maka bentuk anda
diperkenalkan pada 1960-an. Bentuk anda dianggap sebagai bentuk halus, yakni tidak kasar
dalam wacana sopan.

Selain bentuk sapaan, para guru dapat mengajar pelajarnya tentang pantang larang dalam
bahasa. Terdapat banyak perkara yang tidak boleh dibicarakan dengan sewenang-wenangnya,
terutamanya di khalayak ramai. Antaranya ialah berkenaan dengan seks, fungsi badan tertentu,
anggota badan tertentu, urusan hamil serta bersalin, dan najis. Perkataan dan ungkapan yang
ada hubungan dengan topik ini tidak boleh diucapkan dengan sesuka hati, dan tidak boleh ditulis,
terutamanya dalam wacana sopan. Malah, sesetengah kamus juga tidak menyenaraikan
perkataan dan ungkapan ini. Perkara yang menjadi pantang larang untuk dibicarakan secara
terbuka disebut tabu bahasa. Kamus Dewan (1994 : 1338) mendefinisikan tabu sebagai sesuatu
yang dilarang, pantang larang, pemali; yang terlarang, yang diharamkan atau ditegah daripada
dipercakapkan. Perkataan tabu berasal daripada bahasa Polinesia, iaitu tapu yang bermaksud
sesuatu yang dilarang untuk digunakan dan sesuatu yang kudus. Oleh sebab itu, untuk
dibicarakan atau dipercakapkan di khalayak, ada dua cara yang boleh digunakan, iaitu
penggunaan eufemisme dan penggunaan sirkumlokusi. Eufemisme (euphemism) merupakan
perkataan atau frasa yang lebih sopan dan halus sifatnya untuk menggantikan perkataan atau
frasa asalnya yang sudah pun dianggap sebagai kasar dan keji, malah dilarang penggunaannya.
Dalam bahasa Melayu, banyak gejala tabu bahasa dan eufemisme ini. Antaranya ialah kencing,
berak, kentut, mati, jamban, babi, tahi, datang haid, beranak, pelacur, dan sebagainya.
Eufemisme dapat mengatasi masalah ini dengan menggantikannya dengan buang air kecil,
buang air besar, buang angin, meninggal dunia, bilik air, khinzir, uzur, bersalin, dan pekerja seks
atau tunasusila. Yang menarik tentang gejala ini ialah fenomena ini tidak pula dianggap kasar
atau tidak sopan semasa menyebut atau menulis ungkapan seperti kencing berdarah, kencing
nanah, kencing malam, ujian air kencing, berak darah, berak air, berak besar, gila babi, siput babi,
membabi buta, tahi minyak, dan tahi lalat. Peribahasa Melayu turut menggunakan ungkapan
siapa hendak mengaku berak di tengah jalan dan kalau guru kencing berdiri, anak murid kencing
berlari. Kepentingan memberikan huraian dan penerangan yang berpada kepada pelajar akan
menjadikan mereka lebih bersopan, mengerti dan akhirnya matlamat dan falsafah pendidikan
bahasa akan tercapai sekiranya dijadikan amalan yang dipupuk setiap masa. Sirkumlokusi pula
merujuk kepada penerangan yang panjang lebar, dan kadangkalanya bersifat berbelit-belit dan
kaedah ini sesuai digunakan dalam keadaan-keadaan yang tertentu sahaja.

Di samping itu, laras bahasa perlu diterangkan kepada pelajar kerana laras bahasa merupakan
fenomena yang penting dan mendidik pelajar untuk menghayati situasi yang berlainan yang
wujud di sekitar mereka. Menurut Nik Safiah dalam Laras Bahasa (1989), laras bahasa ialah satu
gaya bahasa atau cara penggunaan sesuatu bahasa. Pengetahuan tentang laras bahasa akan
memberikan panduan dan pilihan yang tepat untuk pelajar menentukan laras yang sepatutnya
mengikut situasi yang cocok agar pelajar berupaya dan berkemampuan menggunakan bahasa
secara teratur yang menggambarkan kepekaan mereka terhadap situasi sosial yang berlainan.
Malahan, kecekapan berbahasa juga merujuk kepada penggunaan berbagai-bagai variasi bahasa
yang bersesuaian dengan masyarakat di sekitarnya. Kegagalan pelajar menggunakan laras
bahasa yang betul memberikan gambaran bahawa mereka telah mengetepikan salah satu aspek
penting untuk mendampingi sifat dan fungsi bahasa. Guru sewajarnya menerapkan disiplin ini
untuk melahirkan warga pelajar yang bukan sahaja berkemahiran menggunakan bahasa dalam
komunikasi, malah dapat membantu pelajar semasa menghadapi peperiksaan. Pelajar perlu
mengetahui laras bahasa yang sesuai dan tepat sewaktu menulis yang dapat dikesan melalui
penggunaan perkataan tertentu, frasa tertentu, dan ayat tertentu dalam keadaan-keadaan yang
tertentu pula. Malahan, dalam bidang penterjemahan, guru dapat mendidik pelajar untuk
membuat terjemahan yang baik dan berkesan tanpa menjejaskan maksud daripada bahasa
sumber. Keadaan ini akan memperkaya perbendaharaan kata pelajar, selain memastikan
terjemahan yang dilakukan persis dengan sumber asalnya. Oleh sebab negara kita sekarang
berada dalam dunia yang semakin mengecil kerana taraf perhubungan antara negara yang
memuaskan, bahasa Melayu harus mempunyai satu sifat yang disebut keupayaan
menterjemahkan buah fikiran untuk disalurkan kepada bahasa-bahasa tersebut. Sebagai contoh,
perkataan kabinet dalam bidang pertukangan bererti sejenis almari, tetapi dalam bidang sains
politik kata tersebut bermakna jemaah menteri. Kata sudden death jika diterjemahkan
secara langsung pasti tidak bertepatan maksudnya jika diucapkan dalam situasi permainan golf.
Menyedari hakikat ini, laras bahasa seharusnya turut mendapat tempat yang lebih dominan
dalam pengajaran dan pemelajaran bahasa di sekolah-sekolah.

Sebagai misalan, oleh sebab bidang sastera telah diperkenalkan kepada pelajar melalui
Komponen Sastera (Komsas) dalam mata pelajaran Bahasa Melayu pada peringkat menengah,
laras bahasa dalam sastera sering gagal didepani dengan baik oleh pelajar. Pengaruh laras
bahasa sastera telah membuka ruang kepada disiplin stilistik atau ilmu gaya menganalisis karya
sastera dengan dari sudut bahasa sesuai dengan sifatnya dalam hubungan yang lebih luas. Para
pelajar akan didedahkan dengan menilai kemampuan karyawan memanipulasikan segala
keupayaan mereka mengeksploitasikan kemungkinan bahasa. Kekuatan sesebuah karya terletak
pada kekuatan bahasanya, dan sudah semestinya bergantung pada kebijaksanaan pengarangnya
mengungkapkan wacana melalui fonologi, morfologi, sintaksis, semantik, dan pragmatik.
Pengetahuan yang baik dalam laras bahasa akan membantu pelajar menghayati karya yang
dipelajari dan hal inilah yang memungkinkan pencapaian yang lebih memberangsangkan dalam
peperiksaan. Pelajar harus didedahkan dengan beberapa banyak laras yang ada supaya mereka
dapat menggunakan bahasa dengan baik dan berkesan. Pelajar hendaklah juga dibantu oleh
guru dalam penggunaan laras yang pelbagai untuk kesesuaian konteks dan situasi dalam
mengungkapkan fikiran tentang ilmu yang ada. Kepentingan mengajarkan laras bahasa dapat
ditemukan dalam Laporan Jawatankuasa Mengkaji Penggunaan Bahasa Malaysia yang
mengesyorkan satu peraturan hendaklah dibuat untuk memastikan kursus latihan guru dalam
perkhidmatan hendaklah mengandungi unsur laras bahasa bagi bidang ilmu yang diajarkannya.

Hakikat yang amat perlu disedari ialah penerapan disiplin sosiolingusitik terlalu luas skop dan
penelitiannya. Menurut Nik Safiah Karim dalam Beberapa Persoalan Linguistik Bahasa Melayu
(1990 : 5), ahli bahasa menyedari bahawa bahasa berfungsi dalam masyarakat, dan bahasa
berubah dan berkembang selaras dengan perubahan dan perkembangan yang berlaku kepada
masyarakat penuturnya. Bahasa bukan satu cara pertuturan yang digunakan dalam keadaan
statik, oleh semua orang bagi semua situasi, dan dalam bentuk yang sama. Sebaliknya, bahasa
berbeza-beza bergantung pada faktor persekitarannya. Dengan berlandaskan pandangan
tersebut, ternyata disiplin sosiolinguistik dapat membantu guru merencanakan dan
melaksanakan aktiviti pengajaran dan pemelajaran bahasa yang lebih hidup, menarik, dan
membantu mencapai objektif pendidikan bahasa.

Dalam buku Explorations in the Functions of Language (1973), Halliday menyatakan tujuh fungsi
bahasa yang wajar dikuasai, iaitu instrumental, penentu, interaksi, peribadi, heuristik, imaginatif,
dan perlambangan. Fungsi instrumental berkaitan dengan tujuan bahasa digunakan untuk
mencapai kesejahteraan hidup manusia, fungsi penentu berkaitan dengan tindakan atau gerak-
geri penutur, sama ada menghukum, mendenda, merayu, dan sebagainya, fungsi interaksi
berkenaan dengan hubungan antara sesama manusia lain, fungsi peribadi berkaitan dengan
penggunaan bahasa yang mencerminkan keperibadian penuturnya, dan fungsi heuristik
berkaitan dengan peranan bahasa sebagai saluran penyataan pandangan, pengetahuan, dan
sikap. Selain itu, fungsi imaginatif berkaitan dengan aplikasi bahasa untuk melahirkan
pandangan dan cetusan dengan cara yang estetik, indah, dan berseni, manakala fungsi
perlambangan berkaitan dengan penggunaan bahasa secara lebih tersirat dan implisit. Dengan
menelusur fungsi bahasa yang digariskan oleh Halliday ini, para guru pasti akan menyedari
bahawa penerapan disiplin sosiolinguistik amat wajar diterapkan kepada pelajar supaya fungsi
bahasa dapat dikecap oleh pelajar dengan lebih efisien.

Apabila membicarakan soal ini, hasil kajian Basil Bernstein, ahli sosiologi dari Universiti London
pada era 60-an dan 70-an dapat dijadikan pegangan dan fahaman bahawa umumnya manusia
mempunyai dua kod bahasa yang digunakan, iaitu bahasa terbina (elaborated code) dan bahasa
terbatas (restricted code). Bahasa terbina merupakan jenis bahasa yang kurang dikuasai tetapi
penting dalam sistem pendidikan, sebaliknya bahasa terbatas digunakan dalam lingkungan yang
tidak formal oleh golongan dalam lingkungan sosial yang sama. Dialek merupakan contoh
bahasa terbatas dan tidak mungkin dapat dihilangkan dalam sistem pendidikan bahasa yang
formal kerana kajian mendapati unsur atau pengaruh dialek dapat memperkaya kosa kata
pelajar. Dalam pengajaran, guru diharapkan dapat membimbing pelajar untuk memahami unsur
dialek, khususnya dalam karya kreatif agar pelajar beroleh kemampuan dan rangsangan untuk
menggunakannya dalam situasi yang berbeza.

Oleh sebab itu, disiplin sosiolinguistik yang menjadi antara cabang kajian linguistik yang
terpenting mutakhir ini sepatutnya mendapat tempat yang lebih baik dalam pengajaran dan
pemelajaran bahasa. Yang tidak dapat disangkal lagi bahawa pengetahuan dan penerapan
disiplin ini adalah penting bagi guru melaksanakan dasar dan objektif yang telah ditetapkan
dalam sistem pendidikan ke arah melahirkan pelajar yang berkemahiran, berkebolehan, fleksibel,
dan dapat memenuhi aspirasi masyarakat yang berkehendakkan pelajar yang mampu menguasai
bahasa dengan baik, bukan sekadar untuk lulus dalam peperiksaan, malah dapat membina
peradaban yang cemerlang melalui penggunaan bahasa yang betul dan kena pada tempatnya.
Posted by Azhar Salleh at 11:00 PM
Sumber: http://witra.blogspot.com/2005/09/sosiolinguistik-dalam-pengajaran.html

Anda mungkin juga menyukai