Anda di halaman 1dari 8

Surat Khalifah Ali

1
Surat Khalifah Ali
SURAT YANG DITULIS OLEH KHALIFAH ISLAM YANG KEEMPAT,
ALI BIN ABI TALIB, KEPADA MALIK BIN AL-HARIS AL-ASHTAR
SEMPENA PERLANTIKANNYA SEBAGAI GABENOR MESIR PADA
TAHUN HIJRAH 655
KETAHUILAH kamu wahai Malik bahawa aku mengutuskan engkau sebagai pemerintah di negeri yang pada masa
lalu pernah mengalami pemerintahan yang adil dan tidak adil. Penduduknya akan memerhatikan tindakan-tindakan
kamu dengan mata yang tidak senang, walaupun kamu sebelum ini pernah meneliti tindak-tanduk orang-orang yang
kamu pimpin. Mereka juga akan bercakap mengenai kamu seperti apa yang kamu cakapkan mengenai mereka.
Hakikatnya, masyarakat hanya memuji mereka yang melakukan perkara yang baik. Merekalah yang akan
membuktikan kebenaran tindak-tanduk kamu. Oleh itu harta yang paling berharga yang amat dicari ialah
amalan-amalan baik. Tetapkan iman kamu dan jauhi sama sekali perkara-perkara yang dilarang, dan kamu akan
dapat mengenal antara yang baik atau sebaliknya.
Semaikan di hati kamu perasaan kasih kepada rakyat kamu dan biarkan ia menjadi sumber kebaikan dan rahmat
kepada mereka. Jangan percaya bahawa mereka seperti orang yang tidak bertamadun dan janganlah merampas apa
yang mereka miliki.Ingatlah bahawa rakyat negara itu terbahagi kepada dua. Mereka sama ada saudara seagama
dengan kamu atau sebangsa. Mereka mempunyai kelemahan dan boleh melakukan kesilapan, malah sesetengahnya
memang melakukan kesalahan. Maafkan mereka seperti kamu mahukan Allah mengampunkan kamu. Ingatlah
bahawa kamu diletakkan di atas mereka, begitu juga saya diletakkan di atas kamu. Dan ingatlah bahawa Tuhan
mengatasi orang yang melantik kamu sebagai pemimpin bagi membolehkan kamu menjaga kebajikan orang-orang
bawahan kamu. Kamu akan diadili atas apa yang sudah kamu lakukan terhadap mereka.
Janganlah kamu melanggar perintah Allah kerana kamu bukan saja tidak mempunyai kekuatan untuk melindungi diri
kamu daripada kemurkaanNya, tetapi kamu juga tidak boleh meletakkan diri kamu di luar belas kasihanNya dan
keampunanNya. Jangan berasa bersalah atas tindakan kamu memberi maaf atau bergembira atas hukuman yang
kamu jatuhkan terhadap mereka. Janganlah biarkan diri kamu dalam kemarahan kerana ia tidak akan membawa
sebarang keuntungan.
Jika kamu dilantik ke jawatan yang mempunyai kuasa dan berasa megah atau sombong, ingatlah kuasa dan
keagungan Yang Maha Esa ke atas alam ini yang kamu langsung tidak mempunyai sebarang kawalan. Ini akan
mengembalikan kepada kamu unsur-unsur keseimbangan dan akan meletakkan kamu dalam ketenteraman dan
ketenangan. Berhati-hatilah dan janganlah menentang keagungan dan kebesaran Tuhan dan jangan meniru
kekuasaanNya: kerana Allah boleh membinasakan orang-orang yang menentangNya dan orang yang zalim.
Orang Biasa
Biarkan fikiran kamu menghormati, melalui tindak-tanduk kamu, akan kuasa dan hak Tuhan serta juga hak-hak
manusia. Oleh itu pujuklah rakan-rakan kamu dan saudara-saudara kamu supaya turut sama berbuat demikian. Jika
tidak,kamu akan bersikap tidak adil bukan saja kepada diri sendiri tetapi juga terhadap kemanusiaan. Kedua-dua
manusia dan Allah akan menjadi musuh kamu.Tidak pernah diketahui ada orang yang menjadikan Allah musuhnya
dan jika ini berlaku dia akan dianggap berperang dengan Allah sehingga dia mohon ampun. Tidak ada yang boleh
menafikan manusia daripada menerima rahmat atau membangkitkan kemurkaanNya kecuali kekejaman. Itulah
sebabnya Allah mendengar doa mereka yang tertindas dan menghukum mereka yang melakukan penindasan itu.
Kekalkan keadilan dalam pentadbiran dan semaikan semangat ini dalam jiwa kamu dan dapatkan persetujuan orang
ramai kerana rasa tidak puas hati rakyat jelata mengatasi rasa puas hati segelintir masyarakat yang menikmati
keistimewaan. Ingatlah bahwa mereka yang mempunyai keistimewaan itu kecil golongannya dan mereka tidak akan
membantu kamu ketika dalam kesusahan. Mereka akan cuba memesongkan keadilan dan akan meminta lebih
Surat Khalifah Ali
2
daripada yang mereka sepatutnya terima. Mereka juga tidak akan bersyukur dengan apa yang sudah diberikan kepada
mereka. Mereka akan gelisah menghadapi dugaan dan tidak berasa kesal akan kelemahan-kelemahan mereka.
Sesungguhnya, rakyat biasalah yang menjadi kekuatan sesebuah negara dan agama.
Jauhilah mereka yang cuba mendedahkan kelemahan orang lain. Lagipun, rakyat jelata tidak terkecuali daripada
kelemahan. Adalah menjadi tanggungjawab pemerintah melindungi mereka. Jangan mendedahkan sesuatu yang
tersembunyi, tetapi cuba hilangkan kelemahan yang sudah nyata. Allah sentiasa melihat segala yang terselindung
daripada kamu, dan Dia saja yang akan mengendalikan perkara itu. Kamu hendaklah sebaik mungkin menutup
kelemahan rakyat kamu dan Allah akan menutup kelemahan-kelemahan yang kamu cuba sembunyi daripada
pengetahuan mereka.
Hapuskan kekusutan perasaan benci membenci antara rakyat dan pentadbiran dan hapuskan segala perkara yang
menyebabkan ketegangan dalam hubungan mereka. Lindungi diri kamu daripada melakukan perkara-perkara yang
tidak adil bagi kamu. Jangan tergesa-gesa mencari kebenaran fitnah yang diceritakan kepada kamu kerana orang itu
adalah manusia yang tidak jujur serta cuma berpura-pura menjadi sahabat kamu.
Janganlah terima nasihat daripada orang yang kedekut kerana dia akan melemahkan semangat dan menakutkan kamu
sehingga menjadi miskin. Janganlah terima nasihat daripada orang yang pengecut kerana dia akan melemahkan
semangat kamu. Juga jangan terima nasihat daripada orang yang tamak kerana dia akan menanamkan sifat tamaknya
kepada kamu dan menjadikan kamu zalim. Sikap kedekut, pengecut dan tamak akan menghakiskan keyakinan
seseorang terhadap Allah.
Penasihat yang buruk adalah mereka yang pernah berkhidmat kepada pemimpin yang tidak adil dan berkongsi
jenayah yang dilakukan. Jadi janganlah sekali-kali menerima orang-orang seumpama ini sebagai penasihat kamu.
Kamu boleh mendapat orang-orang yang lebih baik daripada mereka iaitu orang- orang yang dianugerahkan
kepintaran dan pandangan yang jauh serta tidak dinodai oleh dosa dan tidak pernah bersubahat dengan orang yang
zalim melakukan kezalimannya atau penjenayah dalam melakukan jenayahnya. Orang seperti ini tidak akan
membebankan kamu. Mereka sebaliknya akan menjadi sumber pertolongan dan kekuatan kepada kamu pada setiap
masa. Dia akan menjadi kawan kamu dan orang yang asing kepada musuh-musuh kamu. Pilihlah orang seperti ini
sebagai rakan baik dalam perjuangan mahupun ketika bekerja. Di kalangan mereka itu juga, tunjukkan minat kamu
terhadap mereka yang jujur, walaupun ini kadangkalanya sukar dilakukan.
Dekatilah mereka yang jujur dan takutkan Tuhan dan beritahu mereka bahawa mereka tidak boleh cuba memuji
kamu atas sebarang perkara kebaikan yang mungkin kamu belum lakukan. Ini kerana sikap tolak ansur terhadap
kata-kata pujian akan hanya memupuk sikap megah dalam jiwa manusia dan ini akan menjadikannya angkuh. Jangan
beri layanan yang sama kepada orang-orang yang baik dan yang jahat. Ini akan menghalang mereka yang baik
daripada terus mlakukan perkara yang baik dan akan menggalakkan mereka yang jahat supaya terus melakukan
perbuatan itu. Berilah pujian kepada mereka yang berhak diberi pujian. Ingatlah bahawa kepercayaan dan muhibah
antara pemimpin dan rakyat hanya dapat dipupuk melalui kebaikan, keadilan dan perkhidmatan. Oleh itu pupuklah
muhibah di kalangan rakyat kerana hanya muhibah sahaja akan menyelamatkan kamu daripada bencana. Mereka
akan membalas sikap murah hati kamu dengan memberi kepercayaan mereka kepada kamu.
Kumpulan Manusia Yang Berbeza
Jangan mengenepikan tradisi tradisi murni yang diwarisi daripada nenek moyang kita yang memupuk semangat
harmoni di kalangan penduduk, dan jangan melakukan sesuatu yang boleh mengurangkan usaha usaha itu. Mereka
yang meletakkan asas tradisi tradisi ini sudah medapat ganjaran mereka, tetapi jika tradisi tradisi itu diganggu
gugat, ia akan menjadi tanggungjawab kamu, Cubalah sentiasa belajar daripada mereka yang berpengetahuan dan
bijak dan mintalah nasihat mereka mengenai urusan-urusan Negara supaya kamu dapat mengekalkan keamanan dan
muhibah yang sudah diwujudkan. Ingatlah bahawa masyarakat dianggotai oleh pelbagai jenis manusia. Kemajuan
sesuatu kumpulan itu bergantung kepada kemajuan yang lain, dan tidak ada yang boleh bergerak secara persendirian
tanpa bantuan orang lain. Kita mempunyai bala tentera, kakitngan awam, badan kehakiman, pemungut cukai dan
pegawai perhubungan awam. Masyarakat umum pula dianggotai oleh mereka yang beragama Islam dan dhimmi dan
Surat Khalifah Ali
3
dikalangan mereka pula ada ahli perniagaan dan ahli pertukangan, penganggur dan orang yang degil. Allah sudah
menentukan hak, tugas dan tanggungjawab masing-masing. Ini dinyatakan dengan jelas dalam Al-Quran dan Sunnah
Nabi.
Bala tentera dengan rahmat Allah adalah sebagai benteng kepada manusia dan lambang kebesaran Negara. Ia adalah
tonggak keimanan dan mengekalkan keamanan Negara. Tanpanya sesebuah Negara akan tergugat. Bala tentera pula
tidak dapat bertahan tanpa sokongan Negara. Tentera kita sudah terbukti kuat kerana mereka berjuang kerana Allah,
tetapi mereka memerlukan bantuan kebendaan, oleh itu mereka terpaksa bergantung kepada pendapatan Negara.
Anggota tentera dan orang awam yang membayar cukai, kedua-duanya perlu bantu membantu antara satu sama lain.
Begitu juga hakim, pegawai kerajaan dan kakitangannya. Kadi bertanggungjawab dalam pentadbiran awam dan
undang - undang jenayah, pegawai kerajaan memungut cukai dan mentadbir Negara dengan bantuan kakitangannya.
Dan seterusnya peniaga dan pedagang juga menyumbang pendapatan mereka untuk Negara. Mereka adalah orang
yang menjalankan pasaran dan berada dalam kedudukan yang lebih baik daripada mereka yang menolak kehendak
sosial. Allah memberi peluang yang adil pada semua orang, ada hak dalam semua kelas dalam pentadbiran di mana
pentabdbir perlu memenuhinya. Mencari yang baik untuk penduduknya, satu tanggungjawab yang tidak boleh
dipenuhi dengan sempurna kecuali dia mempunyai minat untuk itu dan meminta pertolongan daripada Allah.
Sesungguhnya, itu adalah kewajipan mereka menjalankan tugas itu dan bersabar ketika berhadapan dengan
kesusahan dalam menjalankan tugas.
Berikan perhatian khusus kepada kebajikan mereka yang berkhidmat dalam angkatan tentera yang pada pendapat
kamu mereka itu taat kepada Allah dan RasulNya dan taat kepada ketua. Mereka yang boleh menahan diri ketika
dipengaruhi nafsu. Mereka yang mendengar dengan tenang kepada nasihat yang berguna, dan mereka yang boleh
membantu orang miskin dan membinasakan yang kuat. Dan mereka yang tidak bertindak ganas apabila dihasut dan
sentiasa tetap pendirian.
Hendaklah kamu menjaga mereka dengan lembut sebagaimana kamu melayani anak- anak kamu. Jangan kamu
mendabik dada mengenai kebaikan yang telah kamu lakukan kepada mereka dan jangan pula memandang ringan
kemesraan yang mereka tunjukkan kepada kamu. Sikap seperti ini akan menimbulkan rasa ketaatan, kesetiaan dan
baik sangka antara kamu dan mereka. Kamu hendaklah melayan kehendak mereka walau sekecilmana sekalipun.
Janganlah kamu berpuashati dengan pertolongan yang sudah diberikan kepada mereka, kerana kadangkala,
permintaan yang kecil jika diberi perhatian akan mendatangkan kelegaan yang amat besar kepada mereka. Sudah
tentu mereka ini tidak akan lupa jasa jasa kamu dan ketika kamu memerlukan pertolongan mereka.
Adalah berfaedah jika kamu memilih Ketua Turus Tentera daripada mereka yang sanggup menunaikan tugas dan
bertanaggungjawab membantu askar askarnya. Mereka yang mengatasi pegawai pegawai lain dalm memberi
kebaikan kepada askar- askarnya dan menjaga keluarga mereka apabila mereka pergi ke perbatasan dan dengan
demikian seluruh anggota tentera akan bersatu padu. Perpaduan ini akan memberi mereka lebih kekuatan apabila
menentang musuh. Kekalkan sikap lemah-lembut terhadap mereka supaya mereka terasa sentiasa bersama kamu.
Hakikatnya kegembiraan sebenar seseorang pentadbir dan keselesaan yang memuaskan terletak kepada usahanya
menegakkan keadilan dalam negeri dan mengekalkan hubungan mesra dengan rakyat. Kejujuran perasaan mereka
dicurahkan melalui kecintaan dan penghormatan yang mereka tunjukkan kepada kamu, dan ini dapat mengekalkan
keselamatan pentadbir. Nasihat kamu kepada askar-askar tidak berguna kecuali dan sehingga kamu menunjukkan
sikap kasih sayang kepada anggota tentera dan pegawai-pegawainya supaya mereka tidak menganggap kerajaan
sebagai beban yang menindas atau membawa kepada kejatuhannya.
Teruskan usaha memenuhi keperluan mereka dan memuji mereka berkali-kali terhadap perkhidmatan baik yang
mereka berikan. Sikap seumpamanya itu insya-Allah akan mendorong tindakan yang lebih berani dan mengalakkan
yang penakut menjadi berani. Cubalah memahami perasaan orang lain dan jangan menyalahkan antara satu sama lain
dan jangan merungut apabila memberi ganjaran yang sewajarnya.
Berhati-hatilah ketika memilih pegawai bagi badan kehakiman kerana ia adalah badan tertinggi yang mungkin
dipergunakan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab, untuk kepentingan sendiri. Sahkan jawatan mereka setelah
Surat Khalifah Ali
4
mereka menjalani latihan dan ujian. Jangan memilih mereka untuk jawatan yang memerlukan amanah yang tinggi
kerana hubungan peribadi atau dipengaruhi oleh orang lain. Ini membawa kepada ketidakadilan dan rasuah.
Pilihlah mereka yang berpengalaman, tegas, kuat imannya dan daripada keluarga yang baik untuk menduduki
jawatan-jawatan tertinggi. Mereka yang seumpama itu tidak mudah mengalah dengan godaan nafsu dan akan
menjalankan tugas mereka dengan baik. Naikkanlah gaji mereka supaya mereka dapat hidup lebih selesa. Taraf
hidup yang baik dapat membersihkan diri daripada kejahatan. Mereka tidak akan terdorong untuk mencukai
pendapatan orang bawahan bagi kesenangan mereka sendiri. Dengan itu, mereka tidak mempunyai sebab sama ada
untuk melanggar arahan kamu atau menyalahgunakan kewangan Negara. Awasilah mereka dengan orang yang setia
dan mulia tanpa pengetahuan mereka. Carilah orang yang jujur dan setia untuk mengawasi pegawai-pegawai ini
tanpa pengetahuan mereka. Melalui cara ini, mereka dapat membentuk kejujuran dan memberi perhatian yang
sebenar kepada kebajikan orang ramai. Tetapi, apabila ada antara mereka dituduh tidak amanah dan siasatan Jabatan
Perisik kamu memdapatinya bersalah, anggaplah bukti ini sudah memadai untuk menghukum mereka. Biarlah
hukuman itu berat dan dijalankan di khalayak ramai.
Pentadbiran Kewangan
Pentadbiran kewangan perlu diberi perhatian berat, bagi menjamin kemakmuran mereka yang membayar cukai
kepada Negara. Kemakmuran orang lain, khususnya rakyat bergantung kepada kemakmuran pembayar cukai.
Sebenarnya negara wujud kerana adanya pendapatan. Kamu mesti menganggap perniagaan tanah pertanian yang
diusahakan lebih penting daripada memungut cukai, kerana cukai tidak dapat dikutip jika tanah tidak produktif.
Mereka yang meminta hasil tanpa membantu petani memajukan tanahnya, menimbulkan kesukaran yang tak diingini
kepada petani dan menghancurkan negara. Pemerintahan orang yang seperti itu tidak akan berkekalan. Orang
seumpama itu tidak lama jadi pemerintah.
Jika petani meminta dikurangkan cukai tanah kerana tanamannya musnah diserang serangga, kemarau, banjir atau
tanah tidak subur, maka kurangkan cukai mengikut kadar yang sepatutnya. Dengan itu keadaan hidup mereka akan
bertambah baik. Usah dibimbangkan soal kekurangan pendapatan kepada negara kerana satu hari nanti tanah itu akan
mendatangkan kemakmuran yang berlipat ganda dan membolehkan kamu memperbaiki keadaan bandar kamu dan
menaikkan imej negeri kamu. Rakyat akan percaya kepada keadilan yang kamu tegakkan itu. Keyakinan yang
diberikan kepada kamu ini akan menambahkan kekuatan kamu kerana mereka akan bersedia pula untuk berkongsi
beban bersama kamu.
Kamu mungkin dapat menempatkan sebanyak manusia di tanah pertanian, tetapi perasaan tidak puas hati akan
menyelubungi mereka jika tanah tidak dimajukan. Punca petani menjadi binasa adalah kerana pemimpin yang tamak,
cuba mengaut kekayaan berlipat ganda kerana bimbang dia tidak kekal lama. Mereka yang sedemikian adalah orang
yang tidak belajar dari pengalaman dan teladan masa lalu.
Golongan Kerani
Sentiasa awasi kakitangan kamu dan pilihlah yang terbaik di kalangan mereka untuk mengendalikan urusan surat
menyurat sulit kamu. Mereka yang berakhlak tinggi dan yang kamu percayai. Mereka yang tidak akan mengambil
kesempatan mempergunakan kedudukan istimewa untuk menentang kamu dan mereka yang apabila menulis
perjanjian, tidak terpangaruh dengan nafsunya dan menjejaskan kepentingan kamu atau gagal menjelesaikan masalah
kamu. Pilihlah mereka yang apabila menjalankan tugas sedar betapa beratnya tanggungjawap mereka. Mereka yang
tidak sedar tanggung-jawabnya sendiri sukar menghargai tanggung-jawab orang lain.
Janganlah memilih semata-mata berasaskan kekuatan pandangan pertama, kecintaan dan keikhlasan kamu.
Sesungguhnya kepura-puraan boleh menipu pemerintah yang pintar. Pemilihan hendaklah dibuat setelah menjalani
tempoh percubaan yang akan menguji kesesuian mereka. Dalam membuat perlantikan terus, pastikan mereka yang
dipilih itu mempunyai pengaruh di kalangan rakyat dan mempunyai nama baik di setiap jabatan pentadbiran. Dan
ingatlah sebarang kelemahan dikalangan kakitangan kamu, jurutulis yang kamu tidak mengambil berat terhadapnya
akan menulis menentang kamu.
Surat Khalifah Ali
5
Perdagangan dan Perindustrian
Amalkan skim-skim yang berguna bagi mereka yang terbabit dalam perdagangan dan perindustrian dan bantulah
mereka dengan nasihat yang bijaksana. Sesetengah daripada mereka tinggal di bandar dan sesetengahnya pula
berpindah dari setempat ke setempat dengan kemahiran masing-masing dan hidup dengan menjadi buruh harian.
Perdagangan dan industri adalah sumber keuntungan kepada negara. Kebanyakan rakyat tidak cenderung untuk
memikul tanggungjawab berat itu. Sebaliknya mereka yang menyertai profesion ini sanggup bersusah payah
memungut barang-barang perniagaan dari jauh dan dekat, dari daratan dan laut, gunung dan hutan untuk
mendapatkan faedah daripadanya.
Inilah golongan yang cintakan kedamaian dan bagi mereka kekacauan tidak perlu ditakutkan. Mereka cinta dan
menurut perintah. Tentu sekali mereka tidak mahu menimbulkan keadaan huru-hara. Lawatilah ke seluruh pelusuk
negeri dan jalinkan hubungan peribadi dengan golongan ini serta bertanyakan masalah mereka. Tetapi ingat,
kebanyakan mereka tamak dan biasa dengan urusan menipu. Mereka menyorok hasil tanaman untuk dijual dengan
harga yang mahal, dan ini menyusahkan rakyat. Perkara-perkara ini akan menjatuhkan maruah pemerintah jika
perbuatan buruk itu tidak dihalang. Halang mereka daripada menyembunyikan hasil. Nabi Muhammad s.a.w.
melarang perbuatan ini. Dan beri perhatian, supaya perdagangan berjalan dengan mudah, timbangannya betul dan
harganya ditetapkan supaya menjual dan pembeli tidak mengalami kerugian. Tetapi jika ada yang tidak
menghiraukan amaran kamu dan menyorok hasil tanaman, bertindak dan hukumlah mereka sewajarnya.
Orang Miskin
Takutkan Allah apabila berurusan dengan masalah orang miskin yang tidak mempunyai sesiapa untuk berlindung,
terbiar, susah dan tidak bermaya dan yang kusut fikirannya kerana menjadi mangsa kepada takdir yang berlaku.
Antara mereka ada yang tidak mempersoalkan nasib mereka dan sanggup menanggung kesengsaraan daripada
meminta sedekah. Demi Allah, peliharalah hak mereka, kerana kamu bertanggung-jawab untuk melindungi mereka.
Peruntukkanlah sebahagian daripada simpanan Baitul-mal untuk membaiki kedudukan mereka, tidak kira di mana
mereka berada, dekat atau jauh dari kamu. Mereka hendaklah diberikan hak yang sama-rata dan adil. Jangan biarkan
kesibukan melupakan kamu akan tanggung-jawab kamu terhadap mereka, kerana tidak ada alasan yang akan
diterima oleh Allah jika kamu membiarkan nasib mereka melarat. Jangan kamu anggap bahawa kepentingan mereka
kurang daripada kepentingan kamu, dan jangan mengenepikan mereka dalam perkiraan kamu. Awasilah orang-orang
yang memandang rendah dan membiarkan kamu melupai akan nasib orang miskin.
Pilihlah antara pegawai-pegawai kamu mereka yang rendah diri dan bertakwa kepada Allah, yang akan memberi
nasihat serta sentiasa mengingatkan kamu mengenai orang miskin. Sediakan peruntukan bagi mereka supaya kamu
tidak payah memberi alasan kepada Allah di hari pengadilan, kerana mereka inilah orang yang patut menerima
layanan baik daripada kamu. Carilah ganjaran daripada Allah dengan memberikan apa yang menjadi hak mereka.
Inilah tanggungjawab suci kamu untuk memenuhi kehendak orang-orang tua di kalangan mereka yang tidak
mempunyai tempat pergantungan hidup dan tidak mahu meminta bantuan kewangan. Tanggungjawab seumpama
itulah biasanya sukar dilakukan oleh pemerintah, tetapi ia sangat dialu-alukan oleh masyarakat yang berpandangan
jauh, Hanya masyarakat dan negara yang benar-benar menunaikan perjanjian mereka dengan Allah dapat memenuhi
kepeluan orang miskin.
Musyawarah Terbuka
Temui mereka yang tertindas dan rakyat berpendapatan rendah dalam musyawarah-musyawarah terbuka. Ingatlah
Allah turut hadir bersama. Adakan perbincangan dari hati ke hati dengan mereka dan janganlah membenarkan
pengawal, pegawai-pegawai kerajaan atau anggota polis dan pegawai-pegawai dari Jabatan Perisik berada di situ,
supaya mereka yang mewakili rakyat miskin dapat menyuarakan rasa tidak puas hati mereka tanpa takut-takut.
Tabahkanlah hati dan bertenang menghadapi bahasa yang keras, yang mungkin digunakan oleh mereka, dan
janganlah mudah naik berang jika mereka tidak dapat menyatakan alasan mereka dengan jelas. Allah akan membuka
pintu rahmat dan memberi ganjaran kepada kamu. Apa sahaja yang kamu boleh berikan kepada mereka, berikanlah
tanpa bersungut, dan apa sahaja yang kamu tidak mampu untuk berikannya beritahulah mereka dengan penuh
Surat Khalifah Ali
6
kejujuran.
Ada beberapa perkara yang memerlukan tindakan segara. Terimalah cadangan yang dibuat oleh pegawai-pegawai
kamu bagi membaiki sungutan kakitangan perkeranian. Pastikan supaya bantahan dan permohonan yang
dikemukakan untuk pertimbangan kamu sampai kepada pengetahuan kamu di hari ia dikemukakan, walaupun
pegawai-pegawai kamu cuba bertindak sebagai orang tengah. Selesaikan sesuatu kerja pada hari itu juga, kerana
keesokan hari akan membawa kerja lain pula.
Munajat Dengan Allah
Jangan lupa mengasingkan masa kamu yang paling baik untuk bermunajat dengan Allah, walaupun setiap ketika
kamu adalah untuk-NYA (jika ia digunakan dengan jujur untuk berkhidmat kepada rakyat kamu). Masa yang kamu
peruntukkan bagi mengerjakan sembahyang hendaklah digunakan sepenuhnya untuk menunaikan sembahyang lima
waktu sehari. Sembahyanglah di siang hari dan pada waktu malam, dan bagi mendapatkan hubungan langsung yang
sempurna dengan Allah, seboleh mungkin jangan kamu memanjangkan sembahyang hinggga ia memenatkan kamu.
Apabila kamu menjadi imam dalam sembahyang, jangan kamu membenarkan sembahyang itu berpanjangan hingga
menyebabkan kesulitan kepada makmum atau menyebabkan mereka tidak suka bersembahyang berjemaah, atau
setidak-tidaknya mengurangkan kesannya, kerana dalam jemaah sembahyang itu ada yang cacat dan juga
mempunyai urusan penting yang mesti dikendalikan.
Ketika saya diarah pergi ke Yaman saya bertanya kepada Nabi Muhamamad s.a.w. bagaimana harus saya
mengimamkan sembahyang. Rasulullah bersabda: Kerjakanlah sembahyang kamu seperti mana orang yang paling
lemah di antara kamu melakukannya, dan jadikanlah contoh bertimbang rasa terhadap mereka yang takwa.
Selain perkara yang sudah saya sebutkan di atas, seperkara lagi yang patut diperhatikan oleh kamu ialah jangan
sekali-kali memisahkan diri kamu daripada rakyat, kerana jika kamu berbuat demikian kamu tidak akan tahu
hal-ehwal mereka. Ia akan menyebabkan seseorang pemerintah itu mempunyai perspektif yang salah, selain
menyebabkan dia tidak boleh membezakan mana yang penting dan yang tidak penting, yang mana betul dan yang
mana salah, dan di antara yang benar dan palsu. Pemerintah adalah manusia biasa. Dia tidak mampu mengeluarkan
pandangan yang betul untuk semua perkara, apatah lagi bagi perkara-perkara yang di luar jangkauan dan
pengetahuannya. Tidak ada tanda-tanda yang khususnya untuk kebenaran bagi membolehkan seseorang itu
membezakan di antara kebenaran dan kepalsuan. Sebenarnya dua perkara yang boleh berlaku kepada kamu, iaitu
sama ada kamu berlaku adil atau zalim.
Jika kamu berlaku adil, kamu tidak boleh memisahkan diri kamu daripada rakyat, tetapi mendengar aduan mereka
dan memenuhi kemahuan mereka. Jika kamu tidak berlaku adil, rakyat kamu sendiri akan menghindari kamu. Jadi
apakah kebaikannya jika kamu menjauhkan diri daripada mereka? Dalam semua hal, menjauhkan diri daripada
rakyat adalah tidak diingini, terutama apabila tugas kamu menuntut kamu menunaikan kehendak rakyat. Aduan
mengenai penindasan daripada pegawai-pegawai untuk keadilan tidak sepatutnya menjemukan kamu.
Hendaklah kamu sentiasa beringat bahawa mereka yang di keliling kamu akan mengambil peluang mempergunakan
kedudukan mereka untuk merampas apa yang menjadi hak orang lain dan melakukan ketidakadilan. Hapuskan
kecenderungan seumpama itu. Kamu sendiri janganlah memberi walau seinci tanah kepada saudara mara kamu.
Amalan ini akan menghalang pegawai-pegawai di sekeliling kamu daripada menyusahkan orang lain dan
menyelamatkan kamu daripada penghinaan Allah dan manusia.
Laksanakanlah keadilan secara sama rata tanpa mengira sama ada seseorang itu bersaudara dengan kamu atau tidak.
Jika ada saudara mara atau kawan-kawan kamu yang melanggar undang-undang, laksanakanlah hukuman yang
ditentukan walaupun ia pahit kepada kamu, kerana ia adalah untuk kebaikan Negara. Jika pada sebarang waktu orang
mengesyaki bahawa kamu tidak berlaku adil kepada mereka dalam apa jua urusan, jelaskanlah pendirian kamu
kepada mereka supaya sebarang syak wasangka terhadap kamu dapat dihapuskan. Cara ini akan menyebabkan
mereka menyayangi kamu. Ini juga akan memenuhi keinginan kamu kerana rakyat yakin dengan pemerintahan
kamu.
Surat Khalifah Ali
7
Perdamaian dan Perjanjian
Ingatlah bahawa kamu tidak akan menolak tawaran perdamaian yang dibuat oleh musuh kamu. Terimalah kerana ia
disukai oleh Allah. Keamanan adalah punca keselesaan kepada angkatan tentera, ia mengurangkan kebimbangan
kamu dan meningkatkan kedamaian dalam Negara. Tetapi berhati-hati selepas perjanjian perdamaian ditandatangani.
Sesetengah musuh menawarkan perdamaian untuk memperdayakan kamu. Mereka menawarkan perdamaian dengan
harapan kamu akan berasa lebih selamat, sebaliknya mereka akan menyerang kamu apabila kamu tidak bersedia.
Jesteru itu, kamu hendaklah sentiasa berwaspada dan jangan meletakkan keyakinan terhadap bantahan mereka.
Tetapi, jika mengikut perjanjian perdamaian itu kamu menerima kewajipan, maka hendaklah kamu melaksanakan
kewajipan itu bersungguh-sungguh. Ia adalah amanah dan mesti dipertahankan seikhlas-ikhlasnya dan apabila kamu
menjanjikan sesuatu hendaklah kamu tunaikan dangan segala keupayaan yang ada pada kamu, walaupun wujudnya
perbezaan pendapat dalam hal lain. Tidak ada kemuliaan yang lebih mulia daripada menunaikan janji. Ini juga diakui
oleh orang bukan Islam kerana mereka tahu padah melanggar perjanjian. Oleh itu, jangan membuat alasan dalam
melaksanakan kewajipan kamu dan jangan sekali-kali memungkiri janji atau menipu musuh kamu. Perbuatan
memungkiri janji adalah kesalahan di sisi Allah.
Sesungguhnya janji rahmat Allah untuk semua manusia. Janji Allah adalah pelindungan yang dicari, termasuk oleh
manusia yang berkuasa di bumi ini kerana Allah tidak memungkiri janjiNya. Oleh itu, jangan membuat janji yang
kamu tidak mungkin dapat menunaikannya. Jangan cabuli janji yang kamu buat walaupun ia menyakitkan hati.
Adalah lebih baik menunggu dengan sabar akibat daripadanya daripada melanggarnya kerana kebimbangan. Awas!
Jangan menumpahkan darah tanpa sebab yang sah.
Di Hari Kiamat akan ditanya jenayah yang dilakukan. Oleh itu, berhati-hatilah, jangan membina kekuatan Negara
kamu dengan darah kerana darah itulah yang akan melemahkan Negara dan menyebabkan Negara bertukar tangan.
Di hadapanku dan di hadapan Allah tidak ada alasan akan diterima bagi pembunuhan yang disengajakan.
Pembunuhan adalah jenayah yang boleh dihukum mati. Jika dalam melaksanakan hukuman rotan terhadap kesalahan
jenayah ringan yang menyebabkan kematian, janganlah berbangga dengan martabat Negara sehingga menghalang
keluarga si mati menuntut ganjaran.
Arahan Terakhir
Jangan tergopoh-gopoh melakukan sesuatu sebelum masanya, atau melengah-lengahkannya apabila masanya tiba.
Jangan mendesak melakukan perkara yang salah, atau berlengah-lengah membetulkan kesalahan. Lakukan segala
sesuatu dalam tempohnya, dan biarkan segala sesuatu mendapat tempat yang sewajarnya. Apabila semua orang
bersetuju dengan sesuatu, jangan memaksa mereka menurut pandangan kamu dan jangan cuai dalam menjalankan
tanggung-jawab kamu. Mata rakyat sentiasa memerhatikan kamu dan kamu bertanggung-jawab terhadap apa jua
yang kamu lakukan kepada mereka. Kecuaian yang kecil akan ada kesan buruknya. Kawallah kemarahan dan jagalah
tangan dan lidah kamu. Apa jua yang menimpa, cubalah bersabar, jika tidak ia akan menambahkan kebimbangan
kamu.
Adalah amat penting bagi kamu mempelajari prinsip-prinsip yang telah mengilhamkan orang yang adil dan
pemerintah yang saksama sebelum kamu. Berikan perhatian yang teliti terhadap contoh teladan Nabi Muhammad
s.a.w., hadisnya dan perintah Kitab Allah dan apa jua yang kamu telah pelajari daripada urusan kamu. Berusahalah
dengan segala kemampuan kamu untuk menjalankan arahan yang saya berikan dan yang kamu telah bersumpah setia
untuk mengikutinya. Melalui arahan ini, saya memerintahkan kamu supaya jangan tunduk kepada hasutan hati kamu
atau berpaling daripada menjalankan tugas yang diamanahkan kepada kamu.
Saya mencari perlindungan Allah yang Maha Berkuasa dan RahmatNya yang tidak terbatas, dan menyeru kamu
berdoa bersama saya supaya Dia memberi rahmat kepada kita menerusi penyerahan kudrat kita kepada
kemahuanNya. Supaya manusia sejagat menghargai kita dan kerja kita berjaya. Saya mencari puncak rahmat Allah
dan berdoa agar Dia memberi kepada kita kesyahidan di jalanNya. Sesungguhnya, kita akan kembali kepadaNya.
Saya mengungkapkan selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad s.a.w. dan ahli bait.
Article Sources and Contributors
8
Article Sources and Contributors
Surat Khalifah Ali Source: http://wikisource.org/w/index.php?oldid=380135 Contributors: Alan, Aviator, Helang putih, John Vandenberg, Yann, 4 anonymous edits
License
Creative Commons Attribution-Share Alike 3.0
//creativecommons.org/licenses/by-sa/3.0/

Anda mungkin juga menyukai