Anda di halaman 1dari 1

PANDUAN PENULISAN REFLEKSI

Pengenalan
Refleksi secara umumnya merupakan salah satu aspek dalam penilaian komponen sahsiah bagi
semua tugasan kerja kursus, samada Projek atau KKP. Penulisan refleksi boleh juga terkandung
secara langsung dalam aktiviti tugasan kerja kursus sendiri yang merujuk kepada pandangan pelajar
terhadap tugasan yang mereka lakukan.
Tujuan
Penulisan refleksi bertujuan membina kepekaan pelajar menghubung kait ilmu teori dan ilmu praktis
dalam pembinaan kerjaya perguruan. Ia mengintegrasi ilmu yang diperolehi daripada orang lain
dengan ilmu yang diperolehi daripada pengalaman kendiri. Integrasi ini akan membina dan
membentuk kematangan dalam diri pelajar untuk menjadi seorang insan guru.
Aktiviti refleksi memerlukan pelajar menghayati erti pengalaman sejajar dengan perkembangan
intelektual, menggalakkan kemahiran berfikir aras tinggi (HOTS), dan membina pemikiran sendiri
(independent thought). Melalui aktiviti dan penulisan refleksi dalam pelaksanaan kerja kursus,
pelajar dapat melatih diri menjadi bakal guru yang sentiasa bersifat reflektif terhadap
persekitarannya.
Kandungan Refleksi
Penulisan refleksi yang baik seharusnya terdiri daripada tiga elemen iaitu :
a) Huraian pengalaman (Retell) penulisan difokuskan kepada beberapa aspek penting berkaitan
tugasan. Penjelasan merujuk kepada apa yang telah dilakukan dan dialami dalam tugasan
berkenaan.
b) Hubung kait pengalaman baru dengan pengalaman lalu (Relate) penulisan harus menjurus
kepada kesan pengalaman, aspek pembelajaran atau kesedaran baru. Perkaitan pengalaman baru
dengan pengalaman lama harus ditunjukkan.
c) Huraian kesan pengalaman ke atas diri pelajar (Result) kesan pengalaman yang dilalui
terhadap perkembangan diri sebagai seorang guru. Pelajar perlu dapat mengulas dengan membuat
analisis atau penilaian ke atas pengalaman yang dilalui dan membina pemikiran atau ilmu baru yang
dapat membantu mereka meningkatkan keupayaan sebagai seorang guru.
Penutup
Amalan berfikir secara reflektif dapat membantu pelajar menjadi guru permulaan yang peka
terhadap dunia dan kerjaya perguruan. Aktiviti refleksi memberi ruang dan peluang kepada pelajar
membuat penambahbaikan ke atas keupayaan mereka dalam mengintegrasi pengalaman sedia ada
dengan pengalaman baru. Justeru, diharapkan amalan refleksi melalui pelaksanaan kerja kursus
membolehkan pelajar terus berusaha dan berfikir bagi meningkatkan keupayaan diri mereka dalam
kerjaya perguruan yang mencabar pada hari ini.

Anda mungkin juga menyukai