Ulasan: Setelah membaca buku yang ditulis oleh Dani Ahmad Ali ini, sedikit sebanyak telah memberi kefahaman kepada pembaca tentang pola kehidupan masyarakat Cina di Malaysia. Didapati mereka berasal dari Tanah Besar China yang menjadi warganegara atau penduduk tetap di Malaysia.
Kebanyakan mereka ialah keturunan pendatang dari China yang tiba di Malaysia sekitar abad ke 15 hingga pertengahan abad ke 20. Di Malaysia kebiasaannya, kaum ini dirujuk atau digelar sebagai orang Cina dalam semua bahasa. Istilah orang Cina Malaysia agak jarang digunakan di negara ini.
Pendatang Cina awal (sejak abad ke 15 di Melaka, abad ke 18 di Pulau Pinang) membentuk suku kaum Cina Peranakan atau Cina Selat yang mengamalkan kebanyakan adat Melayu secara berperingkat-peringkat yang berbeza, (terhad di Pulau Pinang, menyeluruh di Melaka), berbahasa Melayu tetapi mengekalkan kepercayaan asal mereka. Sebaliknya pula, pendatang-pendatang dari Tanah Besar China pada awal abad ke 19 yang mengekalkan adat Cina dikenali sebagai Sinkheh tetamu baru.
Kaum Cina di Malaysia didapati juga mengekalkan identiti yang amat ketara bezanya dengan kaum lain serta jarang berkahwin campur dengan orang Melayu atas sebab agama dan budaya. Ini adalah kerana kebanyakan orang Melayu beragama Islam. Di bawah undang-undang Malaysia, perkahwinan sedemikian memerlukan pihak bukan beragama Islam untuk memeluk agama yang dianuti pasangannya terlebih dahulu. Apatah lagi, orang Cina Malaysia menganggap kecinaan mereka sebagai satu identiti, budaya dan politik.
Orang Cina Malaysia sejak sekian lama menguasai ekonomi Malaysia, tetapi sejak adanya Dasar Ekonomi Baru yang diperkenalkan oleh kerajaan Malaysia untuk member kesamaratan dalam kek ekonomi Negara, dominasi mereka dalam ekonomi agak menyusut. Walau bagaimana pun, masyarakat Cina masih membentuk majoroti golongan yang berpendapatan sederhana dan tinggi di Malaysia. Pada tahun 2006, terdapat 7 hingga 7.5 juta orang Cina di Malaysia. Hingga 2004 sahaja, mereka menjadi bangsa terkaya di Malaysia dengan penguasaan 40.9 peratus jumlah ekuiti hak milik ekonomi negara.
Kebanyakan pendatang Cina di Tanah Melayu berasal dari China selatan, terutamanya di wilayah Fujian dan Guandong. Pada abad ke 19, mereka datang untuk bekerja sebagai buruh terikat melalui perjanjian bertulis indentured labour, dikenali sebagai kuli- kuasa susah payah. Yang selainnya dating secara bebas untuk bekerja dan didukung oleh Persatuan Suku Kaum. Populasi orang Cina di Tanah Melayu mencecah 269854 pada tahun 1911 dan kira-kira sejuta orang sekitar tahun 1949.
Menurut buku Hubungan Etnik: Konsep dan Amalannya di Malaysia, yang diterbitkan oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (2008), Hubungan tanah besar China dengan Semenanjung Tanah Melayu telah wujud sejak sekian lama iaitu sejak kelahiran kerajaan maritim di rantau ini seperti kerajaan Langkasuka di Kedah, yang diasaskan pada tahun 100M. Orang Cina mula bertumpu ke Negara ini sejak akhir abad ke-18 dan awal abad ke19 lagi. Pulau Pinang dan Singapura menjadi destinasi utama mereka apabila kedua- dua pulau itu mula di buka oleh British pada tahu 1786 dan 1819. Walau bagaimana pun, ini tidaklah bermakna bahawa orang Cina belum ada di negara ini sebelum tempoh itu. Ini kerana mereka sudah pun ada di Riau yang ketika itu masih dalam kekuasaan Johor sebagai peladang gambir dan lada hitam tetapi kemudian berpindah ke Singapura selepas ia dibuka. Hanya pada awal abad ke 19 baru mereka mula memasuki negeri-negeri Melayu di pantai barat terutama di Lukut dan Sungai Ujong apabila dibawa masuk oleh para pembesar Melayu untuk bekerja di lombong-lombong bijih timah.
Mulai pertengahan abad ke-19, saudagar-saudagar Cina dan Eropah pula membawa masuk orang Cina setelah saudagar-saudagar berkenaan mendapat konsesi untuk mengerjakan lombong daripada pemerintah tempatan. Bagaimanapun, bilangan mereka tidaklah besar. Pada pertengahan abad ke-19 ini juga, peladang-peladang gambir dan lada hitam yang tertumpu di Singapura mula memasuki Johor. Mereka diberi kawasan di sepanjang sungai oleh pemerintah Johor untuk membuka ladang.
Menurut Dani Ahmad Ali dalam sebuah lagi bukunya yang berjudul Sejarah Hubungan Kaum pula, pada 9 Oktober 1844, Temenggung Daeng Ibrahim, Pemerintah Kerajaan Johor telah mengeluarkan Surat Sungai yang pertama kepada seorang pekebun Cina bernama Lau Lib Keng. Dengan ini maka bermulalah penghijrahan orang-orang Cina dari Singapura ke Johor dan bermulalah penanaman gambir dan lada hitam secra komersial di Tanah Melayu. Corak pentadbiran kerajaan Johor ke atas pekebun-pekebun Cina ini kemudiannya dikenali sebagai Sistem Kangcu dan kawasan lading gambir serta lada hitam pula disebut Kangkar.
Kangcu adalah perkataan Teochiew yang bererti Ketua Petempatan Cina, manakala Kerajaan Johor menggunakan istilah Tuan Sungai. Surat Sungai yang pertama ini menyatakan bahawa Ungku Temenggung Seri Maharaja memberi surat tanda keterangan kepada orang Cina yang hendak berkebun dalam tanah Johor. Di dalam surat itu juga dijelaskan bahawa Tuan Sungai mestilah membayar cukai kepada Ungku Temenggung. Jika tidak dijelaskan bagi tempoh tiga tahun, Tuan Sungai tersebut akan menerima hukuman yang berat. Di samping itu juga seorang Tuan Sungai mesti mematuhi beberapa peraturan lain. Peraturan-peraturan ini terkandung dalam beberapa dokumen seperti Surat Jual beli, Surat Pajak dan Surat Tauliah. Dokumen yang penting ialah Surat Tauliah yang menggariskan 17 undang-undang mengenai kuasa dan tanggungjawab tiap-tiap Tuan Sungai. Dalam tahun1862 sebanyak 37 Surat Sungai telah dikeluarkan oleh Kerajaan Johor. Dengan itu Johor telah menjadi pengeluar gambir dan lada hitam yang terkemuka di Nusantara mendahului Singapura dan Kepulauan Riau. Di Perak pula, Long Jaafar yang menjadi pembesar Larut telah membawa masuk buruh-buruh Cina dari negeri- negeri Selat pada pertengahan abad ke-19 untuk mengerjakan lombong bijih timah di Larut.
Gelombang kedatangan buruh Cina semakin hebat pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20 sejajar dengan perkembangan dalam perusahaan perlombongan timah. Antara sebab kedatangan orang Cina di Tanah Melayu adalah seperti berikut:
(a) Faktor penolak
(i) Sebab sosial dan ekonomi- Pertambahan penduduk yang tidak seimbang dengan pembukaan tanah pertanian turut menyebabkan hasil pertanian tidak mencukupi. Sebagai contoh, penduduk Cina berjumlah 181 juta pada tahun 1751 telah bertambah menjadi 432 juta pada tahun 1851. Serentak dengan itu Kerajaan Manchu mengenakan cukai yang tinggi untuk menanggung perbelanjaan pentadbirannya. Ramai petani tidak dapat membayar cukai dan terpaksa menjual tanahnya. Akibatnya 60 90 peratus daripada petani kehilangan tanah.
(ii) Kekacauan dan korupsi politik di Negara China. Keadaan politik di China yang tidak stabil telah menggalakkan kedatangan orang-orang Cina di Tnah Melayu. Dinasti Manchu yang menguasai China pada tahun 1644 mengamalkan dasar diskriminasi terhadap penduduk Cina tempatan. Orang-orang Cina yang tidak puas hati sering melancarkan pemberontakan untuk menggulingkan Kerajaan Manchu. Salah satu pemberontakan yang terkenal ialah Pemberontakan Taiping(1850-1864). Pemberontakan ini diketuai oleh Hung Hsiu-Chuan tetapi gagal menggulingkan Kerajaan Mancu. Oleh itu, kerajaan bertindak lebh tegas dan kejam untuk memadamkan perasaan tidak puas hati rakyat dan pemberontakan. Oleh itu, ramai orang Cina terpaksa melarikan diri daripada menjadi mangsa kekejaman Kerajaan Manchu.
(b) Faktor penarik
(i) Perkembangan ekonomi yang pesat di Tanah Melayu- Peluang ekonomi yang banyak di Tanah Melayu telah mendorong kedatangan orang Cina ke Tanah Melayu. Keperluan tenaga buruh bagi menjayakan perusahaaan bijih timah adalah satu faktor di samping peluang-peluang perniagaan yang banyak di kawasan bandar terutamanya. Peluang untuk mengerjakan pertanian di bawah Sisem Kangchu(Johor) menggalakkan lagi kedatangan orang-orang Cina. Di bawah system ini, mereka diberi tanah untuk mengerjakan pertanian terutamanya menjalankan pertanian lada hitam.
(ii) Kestabilan politik- Kestabilan politik hasil pemerintahan British yang liberal menjadi salah satu faktor penarik. British juga menggalakkan kedatangan orang-orang Cina dengan menyediakan pelbagai kemudahan seperti subsidi tambang dan sebagainya memandangkan keperluan tenaga buruh yang murah dan banyak. Pembentukan Negeri-negeri Melayu Bersekutu pada tahun 1896 telah menjamin lagi kestabilan politik. Hal ini telah menjadi tarikan bagi kemasukan modal Eropah dalam sektor perlombongan bijih timah dan pertanian ladang. Keadaan ini mewujudkan banyak peluang pekerjaan dan menarik minat orang Cina untuk datang ke Tanah Melayu.
Pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20, kebanyakan orang Cina tidak bercadang untuk menetap di Tanah Melayu. Oleh itu kedatangan mereka pada tempoh ini dianggap tidak mempengaruhi komposisi sebenar penduduk negara ini kerana mereka masih merupakan pendatang. Walau bagaimanapun, pada tahun 1930-an, timbul kecenderungan di kalangan buruh Cina untuk menetap di negara ini disebabkan suasana politik dan ekonomi di China. Kecenderungan ini ditambah pula dengan kedatangan imigran wanita Cina ke Tanah Melayu. Dengan itu, bermula tanda-tanda komposisi sebenar penduduk negara ini yang kemudian mendapat perakuan British melalui gagasan Malayan Union. Kini terdapat lebih tujuh juta etnik Cina di negara ini yang merupakan kaum kedua terbesar selepas orang Melayu.
Namun bilangan oeang Cina di Sabah adalah tidak begitu ramai. Ketiadaan perlombongan di sana menyebabkan tidak ada daya tarikan untuk mereka berhijrah ke sana. Hanya sebilangan kecil daripada mereka dibawa masuk ke Sabah apabila ladang tembakau dibuka. Kemasukan mereka diurus sendiri oleh pihak British menerusi ejen- ejen di Singapura. Di Sarawak pula, bilangan orang Cina agak ramai berbanding di Sabah. Orang Cina memasuki Sarawak melalui Sambas, Pontianak, Indonesia. Pada awal abad ke-19 mereka melombong emas di Bau. Pada awal abad ke-20 ramai buruh masuk ke Kuching dan terlibat dalam pertanian pasar. Kesimpulan:
Daripada perbincangan di atas, jelas menunjukkan bahawa kemasukan orang Cina dan juga kaum lain (India) ke Tanah Melayu yang kemudiannya dikenali sebagai Malaysia telah melahirkan satu masyarakat majmuk. Setiap kaum mengamalkan dan mengekalkan identiti, kebudayaan dan adat resam masing-masing. Suasana kewujudan masyarakat majmuk ini boleh dilihat dari sudut ekonomi, politik dan sosial.
Pada zaman penjajahan British, melalui dasarnya pecah dan perintah (devide and rule), telah menetapkan orang Melayu tinggal di kampung-kampung atau luar bandar bagi mewarisi kegiatan nenek moyang mereka iaitu dalam bidang pertanian. Manakala orang Cina pula ramai yang tinggal di kawasan bandar. Sementara itu, orang India pula bekerja di stet-estet dan juga menetap di situ. Perbezaan tempat tinggal ini menyebabkan ketiga- tiga kaum utama ini terpisah dan mempunyai hubungan yang agak longgar.
Akhirnya dengan tindakan British yang sedemikian rupa dalam masyarakat majmuk memudahkan terjadinya konflik antara kaum disebabkan oleh beberapa perkara seperti timbulnya jarak sosial yang berbeza kerana kurang berinteraksi yang melahirkan prasangka dan prejudis yang tebal. Ditambah lagi dengan adanya penguasaan dalam bidang-bidang tertentu seperti politik atau perniagaan yang hanya didominasi oleh sesuatu kaum sahaja.
Rumusannya, kemungkinan pada ketika ini berlaku keretakan hubungan antara kaum jika tidak diambil tindakan akibat daripada beberapa tindak tanduk British yang hanya mementingkan keuntungan sahaja. Oleh kerana wujudnya kepelbagaian ini maka satu keperluan untuk membentuk suatu jati diri tersendiri supaya kefahaman dan kesepaduan antara etnik dapat dihayati sepenuhnya.
Untuk itu, dalam perkembangan terkini beberapa dasar baru telah diperkenalkan dan diperkasakan lagi dalam usaha memperkukuhkan hubungan antara kaum seperti gagasan atau konsep 1Malaysia. Melalui pendidikan pula telah dijadikan platform untuk menjana perpaduan. Antaranya ialah Rancangan Integrasi Mutid Untuk Perpaduan (RIMUP) yang telah diperkenalkan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika beliau menjadi Menteri Pelajaran pada tahun 1986.
Semoga apa yang dicita-citakan ini akan menjadi kenyataan dan memastikan kelansungan kemakmuran serta keamanan hidup di negara yang merdeka ini berkekalan dan mendapat rahmat dari Allah Yang Maha Berkuasa.
Rujukan:
- Dani Ahmad Ali. 2010. Siri Kajian Hubungan Etnik: Sejarah Hubungan Kaum. Selangor: Pustaka Kelisa.
- YADIM. 2008. Hubungan Etnik: Konsep dan Amalannya di Malaysia. Kuala Lumpur: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia.
2.1 Definisi Definisi Perpaduan Satu proses yang menyatupadukan anggota masyarakat dan negara seluruhnya melalui ideologi negara supaya tiap-tiap anggota masyarakat dapat membentuk satu identiti dan nilai bersama serta satu perasaan kebangsaan bersama di kalangan mereka. Perpaduan masyarakat merupakan sebahagian yang penting daripada perpaduan negara. Oleh itu adalah mustahak bagi kita meneliti latar belakang dan ciri-ciri masyarakat majmuk di negara kita. Definisi Kaum Mengikut Kamus Pelajar Bahasa Malaysia, Cetakan Kesembilan 1993, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), kaum bermaksud golongan orang sebagai sebahagian daripada satu bangsa yang besar; suku bangsa. Kaum juga boleh ditakrifkan sebagai perkataan lain bagi bangsa. Definisi kelompok etnik Kelompok etnik ialah kelompok manusia yang anggotanya mengaitkan diri melalui sesuatu warisan sepunya, baik warisan yang benar mahupun yang dianggap. Identiti etnik dipupuk dengan membezakan kelompok diri daripada kelompok yang lain menerusi sifat-sifat seperti budaya, bahasa, agama, dan tingkah laku.