Anda di halaman 1dari 9

MENGAPA PELAJARAN PENDIDIKAN SENI PERLU MELALUI PROSES PENILAIAN?

APAKAH ASPEK YANG


PERLU DINILAI?
Pendahuluan:
Matlamat sistem pendidikan adalah untuk memenuhi keperluan masyarakat dan Negara ke arah
melahirkan insan yang seimbang, berketrampilan, berakhlak mulia dan berilmu. Atas dasar inilah sistem
pendidikan menetapkan satu standard atau benchmark yang menetapkan satu sistem yang dapat
digunapakai dan diaplikasikan dengan jayanya dalam sistem pendidikan negara.(Mak Soon Sang:1988)
Ujian atau sistem peperiksaan adalah kayu ukur bagi menyukat sejauh manakah keberkesanan
Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) dalam
melahirkan pelajar yang seimbang dalam segenap aspek yang dicita-citakan. Kecemerlangan system
penilaian dan peperiksaan akan dapat meletakkan negara pada landasan yang betul untuk
merealisasikan wawasan 2020 dengan lahirnya generasi yang berwibawa dan seimbang dalam semua
aspek kehidupan. Menurut Cronbach (1970), ujian ialah satu prosedur yang sistematik untuk memerhati
perlakuan atau tingkah laku seseorang individu.



Definisi Penilaian:
Penilaian merupakan perihal atau perbuatan, menilai, menaksir, (Kamus Dewan,1994:930). Justeru
penilaian ialah suatu proses yang berterusan bagi mendapatkan maklumat semula dengan tujuan
supaya penggubahan kepada pelajar dalam aspek pemikiran, perasaan dan tingkahlaku dapat dilakukan
dengan sempurna. (Abu Bakar Nordin,1990:4). Proses ini amat penting bagi mengetahui kekuatan dan
kelemahan dalam aspek pengajaran dan pembelajaran selain memastikan para pelajar tidak tergelincir
daripada mengikuti sukatan mata pelajaran yang telah ditetapkan. Adalah penting usaha membentuk
pelajar mencakupi segala aspek ini sentiasa dikaji bagi memastikan keberkesanan sukatan dan aktiviti
yang dijalankan dapat memenuhi kehendak dan aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaaan. Oleh itu
penilaian merupakan satu aktiviti yang amat bermakna dan bermanfaat yang perlu dilakukan seiring
dengan proses Pengajaran & Pembelajaran (P&P).
Dalam konteks dunia pendidikan, prosese penilaian membabtkan banyak perkara kerana terangkum di
dalamnya proses ujian, peperiksaan, pengukuran yang bertujuan untuk melihat kemampuan pelajar
menguasai apa yang telah dipelajari di dalam kelas. Phopham (1975) menafsirkan penilaian yang
sistematik mestilah mengandungi satu tafsiran yang formal tentang nilai fenomena pendidikan. Secara
menyeluruh, penilaian pendidikan mencakupi aspek-aspek seperti hasil pengajaran, program pengajaran
dan matlamat ke arah usaha pengajaran itu ditentukan.
Penilaian sebagai satu proses memperolehi maklumat secara bersistem dalam usaha membuat
keputusan tentang tindakan susulan yang paling wajar. Justeru penilaian yang dilakukan di sekolah
adalah satu usaha berstruktur dan bersistem bagi mengkaji perubahan, penguasaan, pencapaian para
pelajar dalam ujian dan peperiksaan yang diadakan bagi mengatasi masalah yang timbul sebelum pelajar
menduduki peperiksaan sebenar kelak. (Gay:1985)
Penilaian juga boleh dianggap sebagai proses membuat pertimbangan atau membuat keputusan dalam
memberikan nilai mutu, kualiti, harha bagi sesuatu benda atau perkara. Stufflebeam et al.(1971:xxv)
menyatakan penilaian sebagai the process of delineating, obtaining and providing useful information
for judging decision alternatives.
Secara ringkasnya, prosedur penilaian mengandungi aspek pengujian, pengukuran, penganalisisan serta
merumuskan data yang diperolehi. Prosedur penilaian boleh dilaksanakan dalam lima peringkat seperti
di dalam Gambararajah 1 di bawah. (Popham:2000)

Gambarajah 1:
Prosedur Penilaian:







Konsep Penilaian Pendidikan Seni:
Pembelajaran Pendidikan Seni umumnya untuk membina keupayaan bagi menghargai dan
mendiskriminasi apa yang dilihat oleh mata meliputi keupayaan menghargai dan memanipulasi bahasa
tampak seterusnya mampu membaca imej-imej visual. Secara tidak langsung dapat memahami simbol-
simbol budaya yang wujud dalam ruang lingkup kehidupan manusia.
Melalui Pendidikan Seni ini juga dapat membina kemahiran psikomotor dalam pelbagai kemahiran di
samping menyuburkan domain afektif setiap pelajar, yakni teras kepada kepada pembelajaran
Pendidikan Seni itu sendiri. Justeru untuk mengenalpasti sejauh manakah matlamat pelajaran ini
terlaksana dengan berkesan, perlulah dibuat pengukuran, pengujian dan penilaian dalam Pendidikan
Seni ini.(Raminah Hj Sabran:1991)
Untuk proses penilaian, matlamat dan objektif dalam Pendidikan Seni itu sendiri perlu jelas ditambah
dengan pelaksanaan Pengajaran & Pembelajaran (P&P) yang terancang, lengkap dengan sumber dan
strategi oleh guru Pendidikan Seni. Bahkan kita perlu tahu apakah tujuan dan fungsi penilaian
Pendidikan Seni. Pelajar akan dinilai daripada pelbagai aspek seperti domain afektif, psikomotor dan
kognitif serta kesesuaian kandungan kurikulum Pendidikan Seni itu sendiri. (Lansing:1977)
Sehubungan dengan itu maka akan timbul persoalan, siapa yang akan dinilai, berdasar kriteria apakah
pelajar dan hasil karya mereka dinilai, mekanisma apa yang digunapakai, instrumen bagaimana yang
dianggap sesuai dalam penilaian Pendidikan Seni, bahkan banyak lagi persoalan yang boleh ditimbulkan
seterusnya dipertikaikan.

Tujuan Penilaian:
a) mengumpul maklumat pencapaian pelajar selepas aktiviti pengajaran dan pembelajaran (P&P).
b) Menentukan kekuatan dan kelemahan pelajar dalam sesuatu mata pelajaran.
c) Mengenalpasti masalah yang dihadapi oleh pelajar dalam sesuatu kemahiran yang dipelajari.
d) Mendapatkan maklumat keberkesanan pengajaran guru.
e) Merekod keputusan penilaian untuk tujuan rujukan.
f) Mengambil tindakan sewajar supaya Pengajaran & Pembelajaran lebih berkesan
g) Menilai keberkesanan kurikulum. (Mak Soon Sang:2003)

(a) Mengapakah Pelajaran Pendidikan Seni Perlu Melalui Proses Penilaian:
Fungsi penilaian Pendidikan Seni boleh dijadikan sebagai maklumat kepada guru untuk mengetahui
tentang kemajuan dan perkembangan pembelajaran pelajar. Menurut Eisner (1985), hasil daripada
sesuatu penilaian boleh dijadikan sebagai petunjuk untuk membuat diagnosis bagi membantu pelajar
yang bermasalah dalam mata pelajaran ini. Hasil penilaian juga boleh dijadikan sebagai panduan untuk
membaiki kurikulum Pendidikan Seni supaya lebih berkesan. Secara tidak langsung penilaian berfungsi
untuk menilai keseluruhan kandungan sukatan mata pelajaran Pendidikan Seni seterusnya dijadikan
sebagai petunjuk dan panduan bagi membaiki kelemahan yang ada serta kekuatan di sebaliknya.
Proses penilaian kepada pelajar Pendidikan Seni diperlukan untuk mengukur pencapaian mereka dalam
mata pelajaran ini. Penilaian sering dilakukan sama ada secara berterusan (formatif) atau di hujung sesi
persekolahan (sumatif). Jelasnya di sini penilaian adalah untuk mengukur sama ada berjaya atau tidak
pembaharuan pendidikan yang dibuat dan memain peranan sebagai agen perubahan secara menyeluruh
untuk pendidikan. (Beattie:1997)
(i) Penilaian Formatif:
- berfungsi melihat pembelajaran yang berlaku di kalangan pelajar secara eksplisit seperti mengukur
perkembangan kemahiran (psikomotor), perkembangan sikap dan tingkahlaku (afektif) yang
memerlukan bimbingan dan galakan.
- Penilaian ini juga dapat menyampaikan maklumbalas secara tersusun kepada guru untuk memilih atau
membaiki pengalaman pembelajaran berikutnya sama ada melalui aktiviti pengukuhan atau pemulihan
(Mokhtar Ismail,2002:9)
(ii) Penilaian Sumatif:
- bertujuan untuk mengukur sejauh manakah keupayaan pelajar menerima dan menghayati ilmu
(kognitif). Lazimnya penilaian ini dijalankan pada akhir pengajaran dan pembelajaran (P&P).
- Tujuan penilaian juga untuk memberikan gred-gred tertentu selain membekalkan maklumat dan
menilai keberkesanan pengajaran guru.(Mazlan:1996)
Proses penilaian dalam Pendidikan Seni perlu dilihat sebagai satu usaha untuk mengesan pencapaian
dan prestasi pelajar kerana melalui penilaian ini dapat menunjukkan kebolehan murid dalam
menggunakan pengetahuan dan kemahiran yang telah dipelajari sama ada dari aspek kognitif, afektif
dan psikomotor, seiring dengan objektif mata pelajaran Pendidikan Seni itu sendiri yang keseluruhannya
untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelektual. Kesan dari
objektif di atas, guru perlu mengubahsuai kaedah dan cara penilaian prestasi pelajar. Instrumen yang
digunapakai perlu sesuai untuk penilaian yang berkesan.(Pusat Perkembangan Kurikulum)
Guru perlu menguji pelajar aspek kognitiff yang lebih tinggi seperti menganalisi, mensintesis dan
membuat penilaian yang berterusan mengikut pentaksiran terkini. Penilaian ini perlu dalam usaha
meningkatkan pengetahuan, daya kreativiti, inovasi, disiplin serta kemahiran dalam bidang seni dapat
diamalkan dalam kehidupan dan kerjaya. Ini adalah kerana perkembangan pemikiran adalah satu
daripada objektif di dalam pelajaran. (Bloom:1956)
Pembelajaran dan domain kognitif di peringkat lebih tinggi seperti aplikasi, analisis, sintesis dan
penilaian adalah lebih kekal, bermakna dan lebih memberi manfaat untuk diamalkan dalam kehidupan
seharian.
Pelajar yang mempunyai pengetahuan mengenai perkara-perkara khusus (pengetahuan terminologi dan
pengetahuan fakta khusus) akan mempunyai pengetahuan tentang konsep sesuatu tajuk yang diajar. Ini
akan memudahkan lagi proses P&P di dalam kelas. (A.J.Harrow:1972)
Kefahaman sedia ada pelajar untuk memudahkan mereka menterjemah sesuatu tajuk di samping dapat
menginterpretasi bahan-bahan atau kerja seni akan memberi ruang yang lebih selesa kepada pelajar
apabila membincangkan sesuatu tajuk yang diajar guru. (D.R.Krathwohl:1974)
Aras-aras dalam domain kognitif ini menguji kesinambungan sehingga akhirnya di peringkat penilaian.
Pelajar diberi kepercayaan oleh guru untuk menilai dengan cara yang kritis dan menggunakan kriteria
untuk menilai sesuatu kerja seni yang dihasilkan oleh mereka Justeru aspek kognitif ini memain peranan
penting untuk melahirkan pelajar yang sempurna akal fikirannya melalui rangsangan-rangsangan yang
dicipta guru dalam mata pelajaran Pendidikan Seni Visual d sekolah-sekolah.
Pendidikan Seni juga merupakan mata pelajaran yang merangsang pemikiran pelajar. Melaluinya
membolehkan pelajar melihat secara empati dan menganalisi bagaimana manusia menggunakan
pemikiran kreatif mereka untuk menyelesaikan masalah.
Rasa empati boleh dilahirkan dengan isu alam sekitar. Seorang pelajar yang mengahargai ciptaan Tuhan
akan melihat isu pembalakan haram sebagai sesuatu yang tidak boleh dibiarkan berleluasa. Untuk
menunjukkan rasa empati, pelajar ini akan menghasilkan sesuah karya yang mempunyai beberapa idea
untuk dikaitkan dengan tema yang ingin disampaikan. Perasaan empati terhadap alam sekitar yang
semakin diceroboh tanpa mengambil kira faktor keselamatan masyarakat di persekitarannya boleh
diterjemahkan ke alam nyata melalui simbol-simbol penjanaan idea.
Geertz seorang ahli antropologi menyatakan; Manusia hidup dalam jalinan makna-makna yang
ditenunnya sendiri.
Ini secara tidak langsung merangsang pemikiran pelajar tentang alam hijau yang sepatutnya dipelihara
dan bukan dibinasakan.
Melalui pemikiran juga mereka menjana idea untuk melahirkan pelbagai imej. Visual Thinking dapat
melahirkan pelajar yang berinovatif seterusnya memupuk budaya penyelidikan dalam proses
penghasilan karya seni. Seterusnya dapatan dari visual thinking tadi pelajar akan melalui thinking
process dalam mengembang idea dan secara tidak langsung akan melahirkan pelajar yang mampu
menyelesaikan masalah (problem solving).
Yang dimaksudkan di sini ialah, guru boleh mengcungkil idea pelajar melalui aktiviti-aktiviti yang dapat
merangsang pemikiran mereka. Sebagai contoh untuk menguji kebolehan pelajar dalam menjanakan
idea, guru boleh memberi tugasan yang mempu melahirkan pelajar yang berinovatif iaitu mengeluarkan
idea yang tidak terjangkakan oleh akal fikiran guru itu sendiri.
Jika pelajar diberi satu tema berkaitan angkasawan, pelajar dari kumpulan lemah atau sederhana
mungkin akan menterjemahkan tema tersebut melalui objek-objek yang natural seperti figura yang
memakai pakaian angkasa, bumi, bintang dan lazimnya yang dilukis oleh pelajar yang kurang kreatif
tetapi bagi pelajar yang kreatif dan inovatif mungkin akan menghasilkan satu karya yang supernatural
di mana objek-objek yang dipilih melangkaui pemikiran dan kebolehan pelajar yang seusia dengan
mereka. Pelajar dari kumpulan ini tadi akan berfikir dan terus berfikir untuk menyelesaikan tugasan
tentang angkasawan yang diberi guru. Proses ini sebenarnya membantu perkembangan minda pelajar.
Pelajar akan lebih inovatif jika dapat menghasilkan idea yang luarbiasa tanpa diduga oleh guru bahawa
pelajar tersebut mampu lakukan. Idea baru merupakan tanda-tanda kreativiti pelajar bermula. Daripada
idea-idea baru ini mendorong pelajar membina semangat jati diri serta menghargai alam ciptaan Tuhan.
Michael (1983) menyatakan;
Selain dari memperkembangkan minat dan bakat, pendidikan seni dapat mendorong dan mendidik
pelajar-pelajar melahirkan idea-idea kreatif......
Menyentuh tentang semangat jati diri, bagaimana pelajar dikatakan mempunyai jati diri? Jati diri
bermaksud sifat atau ciri yang unik dan istimewa dari segi adat, bahasa, budaya, agama dan sebagai
yang menjadi teras dan lambang keperibadian seseorang individu, sesuatu bangsa dan sebagainya
melalui identiti masing-masing. Bagi pelajar Pendidikan Seni, ini meliputi bagaimana seseorang itu
menonjolkan imej, cara dan gayanya apabila menghasilkan sesebuah karya yang mempertimbangkan
aspek-aspek tersebut. Maknanya penampilan diri adalah sebahagian daripada ketrampilan yang perlu
ada pada seseorang pelajar itu.Jati diri yang lebih dipandang dari sudut psikologi moden iaitu dengan
mengenal kepribadian diri kita masing-masing untuk kemudian melangkah ke arah yang lebih positif.
Pelajar dilahirkan dengan mempunyai sifat yang dinamik serta berkembang mengikut fitrah semulajadi
proses pembesaran mereka. Hasil karya seni yang dihasilkan berfungsi sebagai alat komunikasi dan
merupakan refleksi pemikiran mereka seterusnya meningkatkan daya sensitiviti pancaindera. (Calvin
W.Taylor)
Justeru Pendidikan Seni perlu melalui proses penilaian dalam usaha membina jati diri pelajar ke arah
pembentukan negara bangsa. Namun begitu dalam membuat penilaian, guru harus mengambil kira
kepelbagaian tahap kecerdasan pelajar.Ini adalah kerana pelajar mempunyai perbezaan dari segi
ketepatan dan had laju pada gerak balas mereka apabila diuji dalam tugas yang mudah dan sederhana
apatah lagi pada aras kognitif yang tinggi (Wundt, Germany,Galton, England, Cartell, Amerika).



(b) Apakah Aspek Yang Perlu Dinilai:
Sesuatu penilaian itu perlu dilakukan berdasar kepada beberapa prinsip seperti perlu ada keesahan,
keboleh percayaan, apa yang dinilai telah dilakukan semasa pengajaran dan pembelajaran dan ada
hubungannya dengan falsafah, matlamat dan objektif kurikulum mata pelajaran Pendidikan Seni itu
sendiri.(Kementerian Pelajaran Malaysia:2002)
Falsafah pendidikan hari ini memberi penegasan kepada penyelarasan individu seluruhnya, dari aspek
fizikal, mental, emosi dan sosial. Oleh itu hasil pendidikan perlu mencerminkan matlamat pendidikan
yang meluas. Tidak lagi terhad ke arah penguasaan kontent atau kecekapan kemahiran sahaja
sebaliknya perlu mengambil kira faktor dan kuasa dalam persekitarannya. (Abu Bakar Nordin:1987)
Justeru aspek yang perlu dinilai secara keseluruhan dan bukan setakat mengandungi resitasi
(perkataan demi perkataan yang dihafal dalam menjawab ujian) sebaliknya dapat menyediakan pelajar
kepada kehendak hidup masa kini dan masa hadapan berdasar pengalaman pembelajarannya.

Antara aspek yang perlu dinilai ialah;
i) Perbezaan keupayaan yang dipunyai oleh seseorang pelajar dalam situasi belajar. Kesihatan jasmani,
kebolehan mental, tahap emosi, minat dan keperluan serta persekitaran dan sosial dicerminkan melalui
sikap dan tabiat pelajar memberi maklumat kepada guru mengenai kaedah yang sesuai untuk dijalankan
penilaian.(Lovenfeld:1975)

ii) Nilai estetika yang merujuk kepada perkara-perkara yang berkaitan dengan deria. Menurut Bates
(2000), ia merupakan satu kajian falsafah yang berkaitan dengan kecantikan, begitu juga pendapat
Gazalba (1978); estetika membawa nilai kecantikan dan kebaikan. Dalam penilaian guru perlu memilih
karya yang berkualiti dan untuk itu perlu ada standard dan kualiti yang tertentu jenisnya.

iii) Proses penciptaan sesuatu hasil karya;
Dalam penilaian di sekolah guru perlu menilai karya seseorang pelajar dengan melihat keupayaan
pelajar tersebut mengasilkan karya secara realistik. Dalam konteks ini kaedah menyusun elemen dan
prinsip seni di dalam sesebuah karya diambil kira. Karya yang berkualiti dapat menghuraikan makna dari
aspek meningkatkan tindak balas emosi, mood dan idea kepada penilainya. Secara tidak langsung aspek
kognitif telah dinilai oleh seorang guru terhadap kebolehan pelajarnya tentang cara mengendalikan
proses penghasilan seperti mematuhi teknik-teknik dan prosedur tertentu dalam menyelesaikan
masalah. Ini adalah untuk mendidik pelajar menjadi manusia supaya sentiasa mengamalkan
pertimbangan estetik dan hidup yang lebih bermakna; justeru kualiti pengamatan perlu dikembangkan.
(Rudolf Arnheim:1972)
Selain itu pelajar juga perlu menguasai proses penghasilan seperti penggunaan media, alat, teknik dan
amalan keselamatan. Ini kerana penilaian guru sepatutnya menyeluruh sesuai dengan objektif keempat
dalam mata pelajaran ini; iaitu menggunakan pelbagai kemahiran, media teknik dan teknologi untuk
merekacipta barangan kraf dan produk seni visual yang berkualiti. Penilaian guru termasuklah
bagaimana pelajar mengawal, mengguna bahan dan teknologi dalam menghasil sesuatu karya seni
itu.(Sukatan Pelajaran Pendidikan Seni: KPM)

iv) Konteks objek yang ingin dinilai;
Apabila pelajar menghasilkan sesebuah hasil karya seperti contoh artifak, guru perlu melihat hasil karya
tersebut bukan sahaja sebagai sebuah artifak atau produk semata-mata tetapi sebagai sesuatu aspek
yang mampu dinilai statusnya. Penilaian perlu berlandaskan kepada hala tuju yang sesuai serta sebuah
matlamat demi mendapatkan pemahaman yang menyeluruh serta penilaian yang tepat (Diffey; The
Republic of Art).
Mead (1972) pula menegaskan bahawa pendidikan menunjukkan dua fungsi utama iaitu melestarikan
dan mengembangkan kebudayaan sesuai dengan keperluan individu, sosial dan budaya sesuatu
masyarakat yang terjelma melalui cara berfikir, penghayatan, luahan rasa serta respon mereka terhadap
sesuatu perkara. Ini dapat dilihat kepada 10 objektif Pendidikan Seni Visual seperti yang terkandung di
dalam sukatan pelajaran
v) Nilai artistik;
Terletak pada apa yang dipersembahkan kepada guru oleh pelajar itu sendiri. Pengolahan idea pelajar
bermula dari pengetahuan yang dimiliki. Pelajar menghasilkan sesuatu hasil karya berdasarkan kepada
sesuatu karya yang telah diterima pakai dalam ruang lingkup budayanya. Namun apa yang perlu dinilai
di sini adalah tujuan penciptaan sesuatu karya tersebut. (Tjetjep Rohendi Rohidi:1994)


vi) Persembahan produk;
Guru juga perlu membuat penilaian dari aspek persembahan produk kerana dalam penghasilan
sesebuah karya, elemen ini amat penting kerana pelajar akan menguasai beberapa kemahiran seperti
inkuiri mengenai melalui penyelidikan. Mereka juga perlu bersikap fleksibiliti dalam membuat hasil seni
dan seni reka. Setiap pelajar mempunyai interpretasi dan penilaian persepsi yang berlainan, justeru
produk yang dihasilkan berbeza bagi setiap individu dari segi bentuk, kualiti ekspresif dan stail. Secara
tidak langsung pelajar akan menguasai kemahiran dalam mengorganisasi unsur tampak melalui
penggunaan prinsip-prinsip seni dalam proses penciptaan. Peluang seperti ini akan mendorong pelajar
mencebur diri dalam situasi yang lebih kreatif, inovatif, reflektif dan pemikiran kritikal. (Goldberg:1997)
Apa yang diharapkan di sini pelajar akan memasukkan elemen teori dan falsafah serta sumber-sumber
pengalaman estetik dalam menghasilkan karya mereka. Guru sebagai penilai akan dapat mengesan nilai
seni, mengapa dan sebab karya seni dibuat, yang sepatutnya dipertimbangkan oleh pelajar.

c) Apakah Kualiti Yang Perlu Ada Pada Seseorang Guru Pendidikan Seni Untuk
Melaksanakan Penilaian Tersebut:
Melalui penilaian yang telah dilakukan oleh guru dengan penggunaan instrumen yang sesuai, guru dapat
mengesan punca-punca kelemahan pelajar. Selepas membuat kajian terhadap keputusan ujian pelajar,
barulah guru dapat menggunakan maklumat itu untuk membuat perancangan aktiviti dan bahan-bahan
pengajaran yang lebih efisyen. Seterusnya guru akan merancang isi pelajaran serta menggunkan
pendekatan atau kaedah yang sejajar dengan pengetahuan sedia ada pelajar. Namun begitu kualiti
seseorang guru juga menjadi ukuran dalam melaksanakan penilaian tersebut kerana keberkesanan
sesuatu penilaian itu menentukan kualiti sesuatu aktiviti yang telah dirancang. Justeru guru perlu
mempunyai kemahiran dan kepakaran dalam mata pelajaran yang diajar supaya dapat menggalakkan
pelajar mengeluarkan idea yang lebih spontan. (Beattie:1997)

Antaranya yang dapat disenaraikan adalah seperti berikut;
i) Mahir dalam menentukan hasil pembelajaran yang hendak dinilai, kaedah penilaian dan instrumen
penilaian yang perlu digunakan. Penggunaan Jadual Spesifikasi Ujian (JSU) boleh membantu guru
membina soalan mengikut hasil pembelajaran yang ditentukan. Dengan bantuan JSU, guru dapat
merangka tajuk atau kemahiran yang hendak diuji dan mengikut peringkatnya seperti dalam Taksonomi
Kognitif Bloom, di mana bilangan dan peratus soalan berdasar aras pembinaan item untuk setiap
peringkat kognitif. Dalam konteks penilaian seperti ini keesahan pembinaan item penting kerana ia
ada perkaitan dengan di antara perkara yang hendak diuji dengan perkara yang telah diajarkan oleh
guru kepada pelajar. Jika guru Pendidikan Seni tidak mempunyai kemahiran, penilaian yang dijalankan
boleh diragui.

ii) Guru perlu meneliti dan memahami kandungan setiap tajuk dalam Pendidikan Seni seterusnya
memastikan objektif dan matlamat dalam Sukatan Pelajaran tercapai. Ini termasuklah pemilihan tajuk
yang hendak dinilai. Analisis item perlu dilakukan untuk mengkaji ciri item sama ada sesuai atau tidak
untuk dijadikan alat bagi mengukur penguasaan pelajar.
iii) Bersikap telus dan tidak bias, tanpa mengira pelajar yang berlainan etnik, jantina, bangsa, latar
belakang agama dan sebagai. (Persidangan Kebangsaan Penilaian Berasaskan sekolah,2002:213). Guru
perlu bijak menggunakan semua skala penaksiran yang bersifat adil pada semua. Contoh dengan
memberi markah secara konsensus. Untuk kerja kursus pula, penilaian perlu dilakaukan secara
berterusan daripada peringkat awal hingga ke hasil akhir.

iv) Sebagai Pemantau yang cekap dan berkesan. Sonia Blandford (1999), menyatakan proses
pemantauan dan penilaian akan memberitahu tentang kualiti subjek serta mengikut standard. Melalui
pemantauan ini, guru menengok, melihat dan menjenguk atau lebih tepat didefinisikan sebagai proses
memerhati dan mengawasi sesuatu benda, aktiviti atau kerja supaya sentiasa dalam keadaan baik dan
dilaksanakan dengan betul, seterusnya menghasilkan kerja yang sempurna, sebagai contoh Penghasilan
Folio yang dinilai secara berterusan dan fokus. Penilaian dapat dibuat memenuhi keperluan pelajar dari
aspek proses penghasilan produk dan produk seni itu sendiri.

v) Guru Pendidikan Seni perlu peka dengan perkembangan Teori Kepelbagaian Kecerdasan kerana
impaknya menunjukkan perbezaan prestasi di kalangan pelajar.(Gardner:1983)




Kesimpulan:
Sistem penilaian dan peperiksaan meletakkan satu standard yang tinggi supaya dapat melahirkan
generasi yang berilmu dan berwibawa. Pengendalian sistem peperiksaan dan penilaian yang profesional
dan sistematik menjadikan sistem pendidikan kita diiktiraf dunia.
Bagi mata pelajaran Pendidikan Seni, penilaian lebih menjurus dan fokus kepada tahap kemahiran serta
keupayaan pelajar dalam menghasilkan sesebuah karya atau produk dengan menggunakan bahan,
peralatan, dan media yang mampu diadakan. Penilaian berdasar kepada kecekapan pelajar
menggunakan peralatan, bahan dan media bersesuaian dengan tema yang diberi. Ini termasuklah
penilaian yang berfokus kepada kecekapan atau ketrampilan pelajar dalam menghasilkan produk seni
seperti kraf dan sebagai.
Penilaian seumpama ini yang terikat pada kontent mata pelajaran dan terbatas kepada produk seni itu
sendiri tidak mampu menunjukkan penilaian yang telah sedia ada mengikut prinsip-prinsip penilaian
yang sebenarnya, justeru sudah tiba masanya untuk kita memperbaiki kaedah atau cara pelaksanaan
penilaian mata pelajaran Pendidikan Seni ini supaya semua pelajar yang mengambil mata pelajaran ini
mendapat manfaat serta yakin dengan hala tuju mereka. Oleh itu peluang untuk pelajar juga harus
diberi sebagai galakan kepada mereka agar dapat memberi ketrampilan yang lebih berkesan dalam
proses pembelajaran atau proses penilaian harian (Beattie:1997)

Anda mungkin juga menyukai