Anda di halaman 1dari 11

DEFINISI

Perkataan sastera berasal daripada bahasa sanskrit iaitu "castra". Susastera yang
bermaksud kata yang membawa maksud khusus iaitu :
Su indah, baik,, lebih berfaedah
Sastera huruf atau buku
(ke) susastera (an) kumpulan buku-buku yang indah bahasanya dan baik isinya

DEFINISI KESUSASTERAAN
Kesusasteraan berasal daripada cantuman kata su dan sastra dalam bahasa Sanskrit. Kemudian
diberi apitan ke...an untuk membentuk kata nama. Makna-maknanya adalah seperti yang berikut:
i. Su - Baik, Indah, Cantik, Seni dan Berguna
ii. Sastra - Karya (lisan/bertulis) atau buku
iii. Susastra - Karya yang indah dan berguna
iv. Kesusasteraan - Semua bentuk karya bernilai seni dan berguna

Berdasarkan huraian-huraian di atas, dapatlah disimpulkan bahawa kesusasteraan merupakan


kesemua hasil seni yang disampaikan melalui bahasa dan ia ditujukan kepada khalayak. Khalayak
bermaksud pembaca bagi karya yang bertulis atau penonton drama. Oleh sebab itu, istilah
Kesusasteraan Melayu merujuk kepada karya-karya kesusasteraan yang ditulis dalam bahasa Melayu.
Kesusasteraan Melayu Tradisional terbahagi kepada dua kumpulan, iaitu prosa dan puisi. Karya-karya
dalam kategori Prosa Melayu Tradisional terbahagi kepada dua cabang utama, iaitu; prosa naratif
dan prosa bukan naratif. Daripada sudut yang lain, kita boleh membahagikan Prosa Melayu
Tradisional kepada tiga cabang, iaitu naratif lisan, naratif tulisan, dan prosa tradisional bukan naratif.
Secara ringkasnya boleh dilihat dalam rajah di bawah:

Prosa Melayu Tradisional

Naratif lisan mempunyai ranting-rantingnya yang tersendiri. Begitu jugalah halnya dengan dua lagi
cabang yang telah disebutkan itu. Karya-karya di dalam kumpulan puisi juga demikian. Harus diingat
bahawa setiap kategori dan kumpulan itu terbahagi kepada genre dan subgenre tersendiri.
FUNGSI KESUSASTERAAN

Semua karya kesusasteraan yang dihasilkan oleh pengarang adalah untuk bacaan pembaca
atau masyarakat. Karya dan pembaca saling memerlukan dan lengkap-melengkapi. Apa jua
karya yang tidak mendapat sambutan pembaca dianggap tidak berjaya. Oleh sebab itu, dapat
disimpulkan bahawa kumpulan sasaran sesebuah karya ialah khalayak. Sehubungan itu,
pengarang menetapkan tujuan sebelum menulis. Di sinilah bermulanya penelitian tentang
peranan dan fungsi kesusasteraan kepada khalayak. Namun begitu, fungsi itu dilihat dari dua
sudut, iaitu fungsi sastera kepada khalayak dan fungsi sastera kepada pengarang.

Tatapan hasil karya-karya sastera

Ditinjau daripada sudut pertama, peranan dan fungsi sastera kepada khalayak atau pembaca
adalah sebagai alat yang digunakan untuk mengajar, mendidik, dan menghibur. Mengajar atau
disebut juga didaktik ialah satu proses menyampaikan pengetahuan. Dengan ilmu yang
dipelajari dan difahami, manusia mengetahui apa-apa yang mereka tidakketahui. Pengetahuan
tidak bererti jika tidak diamalkan. Pada peringkat ini, pendidikan memainkan peranannya.
Mendidik bermaksud menjaga dan melatih. Penjagaan dan latihan akan mewujudkan
kebiasaan, berkembang menjadi adat, membentuk sifat (keperibadian), melahirkan kemahuan
dan akhirnya menggerakkan perbuatan selaras dengan perkara yang dididik.

Seperti melalui cerita Nakhoda Tanggang, khalayak diajar supaya tidak menderhaka kepada
ibu kerana perbuatan itu dilaknati Allah. Kesannya amat mengerikan. Si Tanggang menjadi
batu. Pengetahuan tentang perkara ini akan tinggal menjadi gajah putih seandainya tidak
dipraktikkan atau diyakini.

Batu si Tanggang
Sumber: http://blog-misteri.blogspot.com/2008/04/si-tanggang.html

Demikianlah pentingnya pendidikan untuk menangani pelbagai masalah sosial. Orang yang tidak
terdidiklah yang cenderung melakukan perbuatan salah. Di samping mengajar dan mendidik, karya
sastera juga berfungsi untuk memberi hiburan. Menghibur bertujuan untuk menenangkan atau
menggirangkan hati.

Oleh sebab itu, dapatlah disimpulkan bahawa kesusasteraan memberi pengetahuan, menyemai nilainilai murni untuk diteladani dan dipraktikkan dalam kehidupan seharian, memberi ketenangan, dan
merehatkan fikiran setelah penat bekerja, serta memberi kepuasan setelah menikmati keindahan
karya seni.

Ditinjau daripada sudut yang kedua pula, usaha para pengarang menghasilkan pelbagai karya boleh
dianggap sebagai perbuatan yang luar biasa. Sebagai manusia yang peka,sudah tentulah seseorang
pengarang itu berkarya untuk memenuhi tuntutan tertentu. Pada hakikatnya, pengarang menjadikan
karyanya sebagai alat untuk mendapatkan kepuasan serta keseronokan, memperbaiki dan
menajamkan pemikirannya, berbakti kepada masyarakat dan menyara kehidupannya.

CIRI DAN PENGARUH DALAM KESUSASTERAAN MELAYU

Kepelbagaian karya di dalam Kesusasteraan Melayu menampakkan perbezaan daripada segi


bentuk dan isi. Berdasarkan aspek-aspek tersebut, kita boleh menyusur galurkannya melalui
pembahagian yang mampu menjelaskan kedudukan atau kategori sesebuah karya dari dahulu
hingga kini.

Bentuk sastera yang tertua bagi semua bangsa di dunia ialah sastera lisan. Sastera bentuk ini
dilahirkan di dalam kalangan rakyat yang belum mengenal tulisan. Oleh sebab itu, sastera
jenis ini disebut juga sastera rakyat. Sastera lisan terbahagi kepada dua kumpulan, iaitu:
a.

Prosa : Karya yang terhasil di dalam bentuk karangan.

b.

Puisi : Karangan berangkap.

Sastera lisan

Setiap satunya boleh dipecahkan kepada dua kategori, iaitu :


Kategori prosa / puisi
Di samping itu, setiap kategori mempunyai genre atau genre-genre serta subgenre yang
tersendiri. Genre bermaksud bentuk karya. Kesemua hal akan dibincangkan secara
berperingkat-peringkat.

Agama Islam dikatakan sampai ke Alam Melayu pada abad pertama Hijrah. Agama Islam
telah memberi sumbangan yang tidak ternilai terhadap perkembangan bahasa, kesusasteraan,
dan kebudayaan Melayu. Salah satu daripadanya ialah pengenalan huruf-huruf Arab kepada
penganut-penganut agama Islam di rantau ini dengan tujuan menjadikannya abjad baru di
dalam penulisan berbahasa Melayu. Oleh sebab itu, sistem tulisan yang teratur di dalam
bahasa Melayu wujud setelah kedatangan Islam.

Sistem tulisan tersebut telah memasukkan beberapa huruf lain yang disesuaikan dengan bunyi
atau sebutan Melayu. Sistem tulisan itu disebut Tulisan Jawi. Pada masa yang sama,
perbendaharaan kata bahasa Melayu bertambah dengan banyak. Hal ini terjadi kerana katakata daripada bahasa Arab diambil untuk memberi pengertian kepada sesuatu yang baru
ditemui disamping terus mengekalkan perbendaharaan kata daripada bahasa Sanskrit.

Dengan wujudnya sistem tulisan bermulalah tradisi tulisan di Alam Melayu. Ia bermula
dengan penulisan yang berbentuk bukan kreatif, iaitu penulisan kitab-kitab bercorak agama
yang membicarakan mengenai fikah, tafsir Al-Quran, tauhid dan sebagainya. Setelah itu
diikuti dengan penulisan kreatif. Bidang ini bermula dengan munculnya Hikayat Nabi
Bercukur, Hikayat Nur Muhammad, Hikayat Nabi Yusof, Hikayat Nabi Musa, dan hikayathikayat lain seumpamanya. Hikayat Nabi-nabi itu berdasarkan kepada kisah-kisah tentang diri
mereka yang terdapat di dalam Al-Quran. Kisah-kisah itu kemudiannya dicampuradukkan
dengan unsur-unsur fiksyen. Anda harus ingat bahawa hikayat-hikayat ini sebenarnya

merupakan saduran atau terjemahan daripada karya-karya berbahasa Arab. Khazanah


Kesusasteraan Melayu Tradisional bertambah dan terus berkembang sejak itu dengan
kemasukan cerita-cerita tentang pahlawan-pahlawan Islam yang berbentuk legenda di dalam
bahasa Parsi.

Hingga saat ini kita telah melihat dengan jelas dua faktor luar yang mempengaruhi penghasilan karya
dalam bahasa Melayu, iaitu pengaruh animisme yang terlihat di dalam mitos dan legenda. Satu lagi
ialah pengaruh Arab-Parsi. Harus diingat bahawa orang-orang Melayu memeluk Islam ketika mereka
berpegang kepada kepercayaan animisme. Golongan bangsawan pada masa itu menganuti agama
Hindu. Sebagai golongan yang tertinggi di dalam hierarki sosial ia dikelilingi oleh pendeta-pendeta
yang pandai dalam tulisan nagari dan pallava.

Karya-karya berunsur Hindu yang ditulis oleh oleh para pendeta itu terperap di istana. Rakyat jelata
yang diletakkan di dalam kasta rendah menurut tradisi Hindu itu (sebenarnya tidak pun menghayati
ajaran agama tersebut) tidak boleh merapati istana. Setelah Islam bertapak dan konsep persamaan
hak dipraktikkan, seluruh bangsa Melayu mengetahui kewujudan karya-karya Hindu itu.

Pada hakikatnya, Kesusasteraan Melayu dapat berkembang pesat kerana adanya kecenderungan dan
usaha-usaha pengembangan agama Islam menggunakan sastera sebagai alat penyebarannya.
Kegiatan-kegiatan seumpama itu telah mendorong sasterawan Islam menghasilkan roman-roman
Islam untuk menggantikan epik-epik Hindu, iaitu Mahabharata dan Ramayana

Oleh hal demikian, selain cerita Nabi-nabi dan legenda Islam tadi, terdapat juga cerita tokoh-tokoh
sebelum, semasa, dan selepas Nabi Muhammad s.a.w. Antaranya ialah Hikayat Firaun, Hikayat
Tamim al-Dari, dan Hikayat Sultan Ibrahim bin Adham. Harus diingat bahawa pada masa itu juga
transliterasi dan transkripsi dibuat untuk membolehkan orang ramai membaca karya-karya Hindu
seperti Hikayat Syahi Mardan dan Hikayat Berma Syahdan.

Apabila mendapati karya-karya itu tidak selari dengan tuntutan Islam, maka penyesuaian pun dibuat
agar sejajar dengan ajaran Islam. Nama-nama dewa Hindu seperti Visynu diganti dengan nama-nama
Nabi dan malaikat. Dewata Mulia Raya ditukar menjadi Allah atau Tuhan yang Maha Esa. Kemudian
watak-watak Hindu pula disesuaikan dengan watak bernama Islam hingga hasilnya bercampur aduk
antara nama-nama Hindu dan Islam.

Di samping semua itu, anda harus ingat bahawa nama-nama hikayat seumpama itu turut ditukar atau
ditambah dengan nama Islam. Contoh-contohnya ialah Hikayat Si Miskin asalnya Hikayat Marakarma

dan Hikayat Ahmad Muhammad asalnya Hikayat Serangga Bayu. Kumpulan karya seperti itu disebut
Kesusasteraan Zaman Peralihan atau Kesusasteraan Transisi atau Kesusasteraan Hindu-Islam.

Berikut akan dijelaskan kewujudan Sastera Panji di Jawa. Kata panji pada asalnya merupakan
gelaran bagi golongan bangsawan yang berdarah raja. Walau bagaimanapun, gelaran tersebut
kemudiannya digunakan di dalam cerita-cerita roman Jawa bagi menunjukkan watak pahlawan yang
gagah dan kacak sehingga dapat menawan hati wanita-wanita jelita.

Setelah sekian lama orang-orang Jawa mendengar cerita-cerita yang berunsur Hindu di dalam bahasa
Jawa kuno dan bahasa Sanskrit, mereka mulai jemu. Sungguhpun sudah ada karya bercorak Islam
pada masa itu, orang-orang Jawa tidak gemar membacanya. Oleh sebab itu, penglipur lara Jawa
mencari jalan untuk menghasilkan satu bentuk karya berunsur setempat. Di dalam pencarian itulah
terhasil Sastera Panji.

Cerita-cerita dongeng Jawa yang selama ini tenggelam akibat taklukan sastera saduran HinduBuddha, kini muncul kembali di dalam bentuk tersebut. Cerita itu ditulis dalam bahasa Jawa
Tengahan dan sangat popular di istana Raja-Raja Jawa Timur pada abad ke-13 hingga ke-15 Masihi.
Walaupun cerita-cerita itu ditulis oleh penulis Jawa, tetapi tidak dapat lari daripada pengaruh Hindu
yang telah bertapak sekian lama di Jawa. Unsur-unsur itu termasuklah pertapaan, dewa-dewa, mitos
dan legenda.

Kerajaan Majapahit dikatakan bertanggungjawab menyebarkan sastera Jawa ke serata tempat,


termasuk ke Tanah Melayu. Selain itu, kewujudan hubungan antara orang-orang Jawa dengan orangorang Melayu juga menjadi penyebab tersebarnya cerita-cerita panji ke luar Jawa. Ada pendapat
yang mengatakan bahawa cerita-cerita panji berkembang ke Tanah Melayu di dalam bentuk lisan
atau melalui wayang kulit dan bangsawan.

Ciri-ciri utama cerita panji yang membezakannya dengan genre-genre lain dapat dilihat melalui tiga
aspek, iaitu:

i.

Tema dan Persoalan;

ii.

Struktur cerita (plot, latar dan watak);

iii.

Penerapan unsur-unsur Hindu;

Kerap dikatakan bahawa pengembaraan menjadi tema Sastera Panji. Tetapi, jika kita halusi plot
cerita-cerita panji, kita akan menemui perkara pokok yang menjadi penyebab kepada pengembaraan
itu ialah pencarian. Wira keluar mengembara kerana kekasihnya yang pertama dibunuh orang.
Pengembaraan dilakukan untuk mencari ganti kekasih atau mencari ketenangan. Dalam cerita yang
lain, wira mengembara untuk mencari kekasihnya yang menghilang atau diculik musuh atau diarah
meninggalkan istana oleh dewa-dewa.

Oleh sebab itu, kunci kepada semua persoalan dalam cerita panji ialah pencarian. Persoalanpersoalan yang menyokong tema itu ialah pengembaraan, percintaan, penyamaran, dan peperangan.
Rasa cinta mendorong wira mencari kekasihnya. Hal ini berlaku di dalam Hikayat Panji Semirang.

Raden Inu Kertapati mencari Raden Galoh Cendera Kirana yang meninggalkan istana. Raden Galoh
meninggalkan istana kerana mencari kedamaian apabila ayah, ibu tiri, dan adik tirinya mewujudkan
ketidakselesaan hidupnya di istana. Lantaran itu mereka pun mengembara. Raden Galoh menyamar
sebagai lelaki untuk mendapatkan kekuatan dan keyakinan diri. Ternyata bahawa kemahuan itu
menjadi satu aspek pencarian secara tersirat. Wira berperang untuk mencari kemegahan dan kuasa.
Wirawati berperang untuk mendapatkan pengiktirafan bahawa wanita juga perkasa dan boleh
berdikari. Cerita digerakkan atas dasar pencarian. Dengan itu, persoalan utama Sastera Panji ialah
pencarian.

Plot cerita panji dimulakan dengan pengenalan, diikuti dengan perkembangan, dan diakhiri dengan
peleraian. Cerita-cerita panji berakhir dengan kegembiraan. Daripada segi latar, kita dapati cerita
panji berlatarkan empat buah negeri, iaitu Daha, Kuripan, Singasari, dan Gagelang. Tempat-tempat
ini dikatakan pernah wujud di Jawa. Masyarakat zaman feudal di Jawa merupakan latar masyarakat
dalam cerita panji.

Sebagai karya yang terhasil berdasarkan pemikiran dan budaya tradisi Jawa, Sastera Panji masih
mengekalkan unsur-unsur Hinduisme dan mitos. Raja-raja dikatakan berketurunan dewa-dewa
daripada kayangan. Pertapaan merupakan sebahagian daripada samadhi. Selain itu, dipaparkan
penjelmaan yang seiring dengan inkarnasi di dalam ajaran Hindu.

Ciri terakhir yang hadir di dalam setiap cerita panji ialah pertukaran nama. Di dalam Hikayat Dewa
Asmara Jaya, Raden Inu menukar namanya sebanyak tujuh kali. Antaranya ialah Kuda Waneng Baya,
Misa Kelana Sira Panji, dan Adipati Macan Negara. Pertukaran nama tidak terhad kepada wira dan
wirawati sahaja malah berlaku juga kepada watak-watak pembantu. Harus diingat bahawa
pertukaran nama ialah amalan biasa dalam budaya Jawa.

Sastera Panji berperanan sebagai alat yang berfungsi untuk memberi hiburan dan pengajaran kepada
khalayak. Sehubungan itu, di dalam karya-karya tersebut terselit amanat penting daripada
pengarangnya. Antaranya ialah niat jahat pasti gagal dan janji mesti ditepati. Hikayat Dewa Asmara
Jaya menceritakan niat jahat Raja Sochawindu. Dia marah apabila pinangannya ditolak lalu bertindak
menyerang Daha. Niat jahatnya tidak terlaksana kerana Raden Inu Kertapati mengalahkannya.
Hikayat Misa Taman Jayeng Kusuma menceritakan balasan buruk yang diterima oleh para ratu yang
mungkir janji.

Kita kembali semula kepada sejarah perkembangan Kesusasteraan Melayu. Selain Sastera Hikayat,

Sastera Transisi, dan Sastera Panji, terdapat genre-genre lain di dalam Kesusasteraan Melayu
Tradisional yang berbentuk naratif. Genre-genre itu ialah Sastera Sejarah dan Sastera Epik.
Kedua-duanya akan dihuraikan di dalam topik berikut. Begitu juga dengan perincian tentang
Sastera Hikayat. Kesusasteraan Melayu Tradisional yang berbentuk prosa dan tergolong di
dalam kategori bukan naratif terbahagi kepada empat genre, iaitu Sastera Kitab, Sastera
Undang-Undang, Sastera Ketatanegaraan dan Sastera Sufi.

Sastera Kitab telah disentuh secara sepintas lalu sebelum ini. Hal-hal lain tentang genre itu
akan dibincangkan di dalam topik berikut. Begitu juga halnya dengan tiga genre yang
berikutinya. Harus diingat bahawa prosa naratif di dalam Kesusasteraan Melayu Tradisional
menjadi asas kepada genre novel dalam Kesusasteraan Melayu Moden.

Takrif moden yang dipakai untuk modul ini ialah karya-karya yang tertulis pada tahun-tahun
1880-an dan sesudahnya. Tahap itu bermula dengan karya-karya hasilan Abdullah Munsyi.
Pada tahun-tahun tersebut juga muncul bangsawan yang menjadi asas kepada drama moden di
Malaysia. Bangsawan bermula di Pulau Pinang, kemudian berkembang ke seluruh tanah air
dan Indonesia.

Genre novel sebagai sastera bertulis yang bersifat kreatif di dalam Kesusasteraan Melayu
Moden muncul sejak tahun-tahun 1920-an apabila Syed Syeikh al-Hadi menghasilkan novel
saduran Hikayat Faridah Hanum atau Hikayat Setia Asyik kepada Masyuknya(1925-26).
Ahmad Kotot menghasilkan Hikayat Percintaan Kasih Kemudaan atau Yazid Asyik dan
Masyuk Akan Zamrud (1927). Ahmad Rasyid Talu menghasilkan Iakah Salmah? (1928).

Pada tahun-tahun tersebut juga muncul genre cerpen di dalam Kesusasteraan Melayu Moden.
Genre ini dimulakan oleh Nor bin Ibrahim (Madrasi). Beliau menulis cerpen yang
berjudulKecelakaan Pemalas. Cerpen tersebut disiarkan di dalam majalahPengasuh keluaran 4
Februari 1920. Bermula daripada sini terbit pula cerpen-cerpen lain di dalam majalah-majalah
Panduan Guru, Penyuluh dan Majalah Guru. Kedua-dua genre itu terus berkembang hingga
kini.

Seperti karya prosa dalam Kesusasteraan Melayu Tradisional, karya berbentuk puisi juga
terbahagi kepada dua kumpulan, iaitu puisi naratif dan puisi bukan naratif. Setiap kumpulan
mempunyai genre dan subgenre masing-masing.

Puisi naratif di dalam bahasa Melayu ialah syair. Genre tersebut dikatakan jenis puisi daripada
Arab yang pertama dijumpai di Alam Melayu. Puisi yang dimaksudkan itu telah ditemui
dalam bentuk tulisan Arab tetapi tidak sama dengan syair yang dikenali di dalam
Kesusasteraan Melayu pada masa ini.

Sehubungan itu, para sarjana berpendapat bahawa syair-syair yang dihasilkan oleh Hamzah
Fansuri merupakan karangan yang tertua dan muncul selepas kedatangan Islam ke Alam
Melayu. Bentuk yang diasaskan oleh Hamzah Fansuri itulah yang menjadi ikutan kepada
penghasilan syair-syair terkemudian. Selain syair, pantun berkait juga ada kalanya dihasilkan
dalam bentuk naratif.

Puisi Melayu Tradisional yang lain lahir melalui tradisi lisan dan tulisan. Pengucapan bahasa
itu diolah mengikut pengalaman, peraturan, pengaruh, dan persekitaran. Oleh sebab itu, kita
menemui Puisi Melayu Tradisional yang asli, iaitu pantun, teromba, talibun, dan peribahasa
berangkap. Yang mengandungi pengaruh Hindu ialah gurindam, rejang, seloka, dan mantera
manakala yang mengandungi pengaruh Arab-Parsi ialah dikir atau zikir, endoi, rubai, nazam,
masnawi, ghazal, dan qitah.

Bentuk genre-genre juga berbeza-beza. Ada yang terikat dan ada yang bebas. Rajah 1.7 di bawah
menyatakan beberapa bentuk genre-genre yang terikat.

Genre-genre yang terikat

Manakala Rajah di bawah menyatakan beberapa bentuk genre-genre yang bebas atau tidak terikat.

Genre-genre yang bebas

Walaupun demikian, pengelasan tersebut tidak bersifat rigid kerana di dalam sejarah perkembangan
genre-genre tersebut mungkin berlaku pertindihan pengaruh akibat daripada sifat asasnya yang
terdedah kepada tokok tambah, pengubahsuaian, penghilangan dan seumpamanya.

Sebahagian yang lain disebut puisi tumpangan kerana menumpang pada genre-genre yang
sedia ada. Puisi tumpangan terbahagi kepada dua, iaitu puisi tumpangan warisan Melayu dan
puisi tumpangan warisan Islam.

Peredaran masa, peningkatan intelek dan perubahan situasi menjadi pendorong utama kepada
pembaharuan dalam lapangan penulisan sastera. Sultan Idris Training College (SITC) telah

ditubuhkan pada tahun 1922 di Tanjong Malim, Perak. Pelatih-pelatih di maktab ini terdedah
kepada pelbagai jenis bahan bacaan yang mempengaruhi pemikiran mereka.

Akibatnya, guru-guru keluaran maktab ini banyak meminati bidang penulisan. Antaranya
ialah Abdullah Sidek, Ahmad Bakhtiar, Harun Aminurrashid, dan Punggok. Punggok atau
nama sebenarnya Muhammad Yassin bin Maamor telah memperkenalkan sajak di dalam
Kesusasteraan Melayu Moden pada tahun 1933. Genre ini segera mendapat tempat di hati
penggiat sastera tanah air. Sajak menjadi perisian tetap akhbar mingguan dan majalah.

Dalam tahun-tahun 1960-an dan 70-an, dunia sastera Melayu dikejutkan oleh kehadiran sajak
kabur yang dipelopori oleh Noor S.I., A.S. Amin, dan M. Ghazali. Istilah tersebut timbul
kerana khalayak menghadapi kesukaran untuk memahami sajak-sajak yang disiarkan. Hal ini
berlaku kerana penyair-penyair ketika itu menggunakan imej dan lambang yang terlalu
personal sifatnya. Para penyair menyalahkan khalayak yang tidak gemar berfikir dan tidak ada
inisiatif untuk memahami karya mereka. Isu ini berakhir apabila orang-orang sastera sendiri
mengambil inisiatif untuk mengulas dan mendidik khalayak memahami puisi yang didakwa
merumitkan itu.

Kita telah membicarakan empat aspek penting dalam ciri Kesusasteraan Melayu, iaitu lisan, tulisan,
kreatif dan bukan kreatif. Turut disentuh ialah sejarah dan pengaruh yang melatari sesuatu genre.
Aspek kelima ialah estetika atau keindahan. Keindahan di dalam puisi atau prosa hanya ditemui
melalui penilaian dan penghayatan. Peranan ini dimainkan oleh kritikan. Kritikan merupakan satu
daripada karya-karya bukan kreatif. Fungsinya adalah untuk memperlihatkan kejayaan atau
kegagalan sesebuah karya. Namun demikian, kita harus ingat bahawa persoalan yang berkaitan
dengan estetika itu amat subjektif.

Oleh itu, tiada jawapan yang benar-benar tepat bagi menangani persoalan ini. Namun nilai estetik
dapat ditonjolkan melalui permainan rentak, rima, diksi, dan bahasa-bahasa puitis (simile, metafora,
simbol, personifikasi, dan sebagainya). Dengan mengambil puisi sebagai contoh, keindahannya tidak
bergantung 100% kepada diksi yang bersandar kepada bunyi, malah memerlukan kesatuan dan
keharmonian pelbagai unsur.

Anda mungkin juga menyukai