Anda di halaman 1dari 3

Judul Buku: Penyakit Bawaan Komputer: Petua dan Panduan Pencegahan

Pengarang: Sharifah Mastura Syed Mohamad


Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka
Harga: RM18.00
Tahun Terbit: 2011
Pengulas: Suria Janib
KOMPUTER juga mengalami penyakit yang disebabkan oleh virus dan cecacing komputer.
Dalam komputer, terdapat penyakit e-mel, seperti spam dan penyakit komputer yang lain,
seperti kerosakan cakera keras dan papan kekunci. Penyakit komputer sememangnya
menyusahkan pengguna komputer. Penyakit komputer boleh dibaiki dan komputer yang
rosak teruk boleh diganti dengan yang lain.
Namun, benarkah komputer boleh membawa penyakit kepada manusia? Buku Penyakit
Bawaan Komputer: Petua dan Panduan Pencegahanmemberikan penerangan yang jelas dan
menarik berhubung dengan perkara ini. Menurut pengarang buku ini, pelbagai jenis penyakit
boleh menjangkiti manusia disebabkan oleh penggunaan komputer dengan cara yang tidak
betul. Walaupun penyakit bawaan komputer ini tidak membawa maut, mereka yang terkena
penyakit bawaan komputer, keadaan ini akan menyusahkan dan kualiti hidupnya merosot.
Risiko penyakit bawaan komputer hanya menjangkiti pengguna yang dinamai sebagai kaku
komputer. Pengguna yang duduk di hadapan komputer dalam tempoh masa yang lama
berisiko tinggi mendapat penyakit bawaan komputer.
Penyakit yang biasa dikaitkan dengan penggunaan komputer yang tidak betul termasuklah
gangguan mata dan penglihatan, gangguan pendengaran, sakit kepala, bahu, belakang badan,
pinggang, bahagian punggung, lutut dan sakit kaki. Penggunaan komputer yang tidak
terkawal boleh menyebabkan penyakit psikososial, seperti kemurungan, gangguan emosi dan
ketagihan komputer.

Buku ini turut mendedahkan beberapa kes terhadap pengguna yang ketagihan komputer
dalam melayari laman sosial dan leka bermain dalam internet. Keadaan ini boleh
menyebabkan gangguan mental, fizikal, dan menyebabkan otak kurang daya berfikir.
Sekiranya pekerja, keadaan ini mengurangkan produktiviti kerana mengganggu tugas harian.
Buku ini turut menekankan subtopik ergonomi komputer, iaitu kajian mengenai antara muka
manusia dengan mesin yang menekankan tentang keselesaan pengguna semasa menggunakan
komputer. Dalam jangka masa yang panjang, penggunaan komputer yang tidak selesa
memberikan kesan yang buruk terhadap kesihatan pengguna.
Perkara utama tentang keselesaan tempat kerja ialah kebolehsuaian peralatan dan perkakasan
kerja untuk disesuaikan dengan dimensi badan yang berlainan, pilihan gaya kerja individu,
dan keperluan untuk mengubah kedudukan bagi mengelak kepenatan.
Beberapa panduan diberikan oleh pengarang apabila seseorang itu menggunakan komputer
dengan postur badan yang betul. Misalnya, menentukan kedudukan yang sesuai di kerusi
ketika menghadap komputer, kedudukan meja, komputer, peletakan dokumen, penaipan, dan
cara penggunaan komputer riba serta komputer buku nota, semuanya diterangkan dalam buku
ini secara terperinci.
Panduan penggunaan komputer riba dan komputer buku nota dengan cara yang betul juga
dimuatkan dalam buku ini untuk menghindari pengguna daripada mengalami keadaan
ketidakselesaan. Pengguna juga diingatkan supaya tidak meletakkan komputer riba di atas
paha bagi mengelakkan bateri cepat kehilangan kuasa dan haba yang dihasilkan oleh
komputer ini boleh menyebabkan kemandulan kepada kaum lelaki.
Bagi pengguna komputer yang bekerja dalam bidang teknologi maklumat seperti pengatur
cara, jurutera perisian, atau pereka digital perlu mengamalkan senaman yang sesuai bagi
mengelakkan diri daripada masalah kesihatan. Produktiviti kerja tidak sepatutnya terganggu
dengan mengamalkan cara kerja yang betul, di samping melakukan senaman ringan semasa

bekerja. Beberapa panduan melakukan senaman ringkas bagi pengguna komputer turut
dimuatkan dalam buku ini untuk mengurangkan ketegangan.
Pengguna sekarang tidak boleh lari daripada menggunakan komputer, tetapi mereka perlu
tahu cara terbaik menggunakannya supaya dapat memberikan manfaat kepada kehidupan dan
kesihatan sepanjang hayat.
____
Rencana ini dipetik daripada Dewan Kosmik Mei 2012.

Anda mungkin juga menyukai