Anda di halaman 1dari 18

MASALAH MEMBACA

TAJUK 6: MASALAH BACAAN

PENGENALAN
Masalah membaca di kalangan murid sekolah bukanlah perkara luar
biasa lagi walaupun mereka telah mengikuti pembelajaran bacaan
terutamanya dalam pelajaran mata pelajaran Bahasa Melayu.
Kemahiran membaca adalah merentas semua mata pealajaran dan
kelemahan dalam kemahiran membaca akan menyebabkan pencapaian
rendah dalam pelajaran di sekolah .
Adalah menjadi tugas guru mengesan kelemahan membaca muridnya
dan seterusnya menjalankan pengajaran pemulihan bacaan dengan
segera. Berbagai-bagai kaedah dan teknik mengajar bacaan boleh
digunakan oleh guru untuk mengajar bacaan. Kaedah dan teknik
mengajar bacaan yang digunakan oleh guru hendaklah sesuai dengan
kebolehan membaca murid.
Dalam tajuk ini anda akan didedahkan dengan jenis kesalahan bacaan,
punca masalah membaca, dan seterusnya kaedah-kaedah mengajar
bacaan Bahasa Melayu. Bagi mengajar kanak-kanak berkeperluan khas,
guru hanya perlu sesuaikan kaedah-kaedah ini dengan keupayaan
murid-murid.

OBJEKTIF
Pada akhir tajuk ini, anda seharusnya dapat:
1. mengenal pasti jenis-jenis masalah bacaan ,
2. menjelaskan punca-punca masalah membaca ,
3. menghuraikan kaedah-kaedah mengajar membaca

MASALAH MEMBACA

Masalah Bacaan Strategi Pengajaran Kemahiran Membaca

Jenis Masalah Bacaan Kaedah Mengajar Bacaan


Masalah dalam memaham Kaedah Khas Pemulihan Bacaan
Punca masalah Membaca

6.1 Masalah Bacaan

Masalah bacaan di kalangan pelajar sekolah sekarang mendapat


perhatian umum. Kerisauan tentang masalah ini bukan hanya pada ibu
bapa dan guru-guru sahaja malah sudah hingga ke peringkat pemimpin
tertinggi negara . Berbagai-bagai usaha telah dilaksanakan di peringkat
sekolah, daerah, negeri, dan peringkat nasional. Satu usaha terbesar
yang dilaksanakan adalah KBSR yang bermatlamatkan kecemerlangan
pendidikan sekolah rendah, dan diikuti dengan KBSM di sekolah
menengah.
Namun selepas fasa pertama KBSM,didapati ramai pelajar kita yang
masih gagal menguasai 3M. Hakikat ini diakui dalam seminar
Kebangsaan KBSR pada 1989 yang merumuskan;
Pelaksanaan Program Pemulihan dan Pengayaan dalam kelas
KBSR tidak mencapai tahap yang dijangkakan - menyebabkan
terdapat sebilangan kanak-kanak tidak dapat menguasai kemahiran
asas 3M hingga ke peringkat tahap II persekolahan rendah dan
di peringkat persekolahan menengah.

Keadaan ini amat menakutkan apabila semakin ramai pelajar kita yang
gagal membaca walaupun sudah memasuki sekolah menengah.
Sebagai usaha untuk memulihkan masalah bacaan murid di sekolah
randah, Kementerian Pelajaran telah memperkenalkan pprogran Kelas
Intervensi Membaca dan Menulis atau KIA2M.

6.1.1 Jenis Masalah Bacaan


Masalah bacaan yang dihadapi oleh kanak-kanak dapat dilihat melalui
aktiviti bacaan nyaring, manakala aktiviti bacaan senyap hanya dapat
dilihat melalui aspek bacaan kefahaman.
Antara masalah bacaan yang dihadapi oleh kanak-kanak adalah seperti
berikut:
a) membuang/meninggalkan (omission)
Bunyi huruf, perkataan, dan imbuhan ditinggalkan ketika membaca,
misalnya buah disebut uah, kering disebut kerin. Perkataan dalam
ayat juga kerap ditinggalkan semasa membaca, seperti;
Buku itu sangat tebal. dibaca sebagai Buku itu tebal.
Manakala meninggalkan imbuhan adalah seperti mengandungi disebut
mengandung dan sebagainya.
b) Ulangan (repetition)
Mengulang-ulang perkataan atau suku kata semasa membaca dan
perbuatan mengulang ini bukan disebabkan oleh masalah gagap.
c) Gantian (substitute)
Menggantikan huruf atau perkataan dalam ayat yang dibaca, misalnya
ladang disebut lalang. Manakala terdapat perkataan yang digantikan
dengan perkataan lain sehingga boleh mengubah maksud ayat.
d) Tambahan (insertion)
Bunyi huruf atau perkataan ditambah semasa membaca, misalnya
buah disebut buwah. Manakala penambahan perkataan berlaku
seperti berikut;
Saya suka makan rojak. dibaca sebagai Saya sangat suka makan
rojak.
e) Pembalikan (reversals)

Huruf, perkataan, atau frasa dibaca secara terbalik atau songsang.


Contoh ;
Bala disebut laba, manakala pembalikan perkataan dalam ayat
berlaku apabila perkataan diubah kedudukannya, contoh: Dia makan
nasi dibaca sebagai Dia nasi makan, dan begitu juga dengan
pembalikan frasa.
f) Tidak kenal huruf
Masalah tidak kenal huruf merupakan punca utama kebanyakan kanakkanak gagal membaca dengan baik. Keadaan ini menyebabkan kanakkanak akan menyebut sesuatu huruf sesuka hati atau dengan meneka
sahaja dan menjadikan perkataan itu tidak bermakna atau berlainan
makna.
g) Salah sebutan
Salah sebutan terjadi akibat kanak-kanak tidak mengenal huruf atau
tidak tahu membunyikan sesuatu huruf sehingga sesuatu perkataan
tidak bermakna lagi dalam konteks ayat berkenaan.

Kesalahan-kesalahan di atas boleh mengubah makna perkataan atau


ayat yang dibaca dan perlu diberi perhatian oleh guru untuk
mengatasinya. Selain itu, guru juga perlu memerhati tingkah laku yang
ditunjukkan semasa murid membaca yang boleh menunjukkan murid itu
bermasalah dalam bacaan.Antara tingkah laku yang kerap ditunjukkan
adalah seperti berikut:
a) membatang suku kata terlebih dahulu sebelum dapat menyebut
seluruh perkataan,
b) bacaan tersekat-sekat iaitu perkataan demi perkataan dan tidak
lancar,
c) teragak-agak (hesitation) - teragak-agak bermaksud berhenti sejenak
sebelum menyebut sesuatu perkataan ketika membaca disebabkan
kanak-kanak tidak pasti akan bacaannya,
d) membaca terlampau cepat atau gopoh tanpa menghiraukan tanda
bacaan,

e) membaca terlampau lambat atau merangkak-rangkak,


f) menunjuk perkataan dengan jari ketika membaca,
g) tingkah laku yang tidak selesa seperti mengejip-ngejip mata,
mengerut
dahi, menggeleng kepada, dan sebagainya,
h) Suara terlalu perlahan dan tidak jelas atau blurring,
i) kedudukan mata terlalu dekat dengan bahan bacaan,
j) cuba mengelak daripada aktiviti membaca, dan
k) tidak boleh membaca langsung.

Guru mestilah peka dengan petunjuk-petunjuk tingkah laku yang


ditunjukkan oleh murid-muridnya kerana tingkah laku tersebut
menunjukkan murid berkenaan menghadapi masalah dalam bacaan.

Latihan:
Berdasarkan masalah-masalah bacaan di atas, berikan beberapa
contoh masalah atau kesalahan bacaan yang kerap dilakukan oleh
kanak-kanak.

6.2 Masalah-masalah dalam Memaham Bacaan


Selain masalah bacaan nyaring, kanak-kanak juga menghadapi masalah
memahami apa yang dibaca. Masalah tidak memahami isi bahan
bacaan tentu akan mengganggu proses pembelajaran murid berkenaan.
Guru dapat mengesan masalah memaham di kalangan muridnya
berdasarkan pemerhatian dan juga melalui aktiviti-aktiviti soal jawab,
kuiz, menceritakan semula, merumus petikan, dan sebagainya.
Antara masalah dalam kefahaman bacaan adalah:
i) gagal memahami maksud perkataan dan frasa yang berkaitan dengan
waktu seperti selepas, sudah, sebelum, pagi, sekejap, dan sebagainya,

ii) tidak memahami maksud perkataan dalam pelbagai situasi, misalnya


dalam ayat Panjatlah lagi pokok itu. yang bermaksud melarang
seseorang daripada memanjat pokok,
iii) gagal memahami atau membuat urutan idea atau peristiwa yang
terdapat dalam bahan bacaan terutamanya apabila diminta
menceritakan semula petikan yang dibaca,
iv) lambat memberi tindak balas terutamanya apabila tidak memahami
arahan yang dibaca,
v) gagal menghubungkan sebab dan akibat dalam bahan bacaan yang
dibaca,
vi) tidak dapat mengenal pasti perkara yang tidak munasabah
(absurdities) dalam bahan yang dibaca,
vii) tidak dapat mentafsir atau menggunakan carta, graf, peta, rajah, dan
sebagainya dalam buku.

Masalah pemahaman bacaan akan menjejas pencapaian dalam


pelajaran secara keseluruhannya sama ada di sekolah rendah atau di
sekolah menengah.
Masalah pemahaman kanak-kanak boleh diatasi melalui beberapa
aktiviti pengajaran yang boleh merangsang pemahaman mereka
terhadap bahan yang dibaca. Antaranya adalah seperti melatih mereka
membuat pemetaan semantik atau peta konsep, carta alir terutamanya
untuk melatih membuat urutan peristiwa, membuat carta organisasi,
menggunakan kamus untuk mendapatkan makna perkataan, dan yang
paling penting adalah melalui teknik penyoalan seperti teknik soalan
5WH (what, who, , where, when,why, dan how).

Latihan:
Apakah kepentingan membuat peta semantik, carta alir, dan carta
organisasi. Berikan contoh untuk menjelaskan jawapan anda.

6.3 Punca Masalah Membaca

Punca masalah membaca adalah rumit dan sukar hendak ditentukan


secara khusus. Namun Guy L.B. dan rakan-rakannya (1994) telah
membahagikan punca masalah membaca kepada tiga faktor besar ,
iaitu :
i. Faktor fizikal
ii. Faktor kognitif dan bahasa
iii. Faktor emosi, persekitaran, dan pendidikan
Faktor Fizikal
Faktor fizikal yang mempengaruhi masalah bacaan adalah seperti
masalah penglihatan, masalah pendengaran, masalah pertuturan,
masalah neurologikal seperti kerosakan otak (serebral palsi, aphasia,
terencat akal, dll), dan bermasalah kesihatan (epilepsi, masalah jantung,
kurang zat makanan yang serius, dll).
Faktor Kognitif dan Bahasa
Kanak-kanak yang tahap kecerdasannya rendah dan yang terencat akal
akan menghadapi masalah dalam bacaan yang serius. Selari dengan
masalah ini ialah tahap kognitif yang rendah sehingga menyebabkan
proses memperolehi kemahiran membaca menjadi sangat sukar.
Manakala faktor bahasa melibatkan bahasa penerimaan (receptive
language) yang melibatkan keupayaan semantik dan sintaksis.
Faktor Emosi, Persekitaran, dan Pendidikan
Masalah membaca kebiasaannya wujud seiring dengan faktor-faktor
emosi yang memberi kesan yang besar terhadap penyesuaian individu
dan sosial kanak-kanak. Masalah penyesuaian mungkin berpunca
daripada faktor-faktor fizikal atau perawakan dan persekitaran yang
boleh menyebabkan kegagalan membaca. Kegagalan membaca
menjadikan kanak-kanak kecewa dan menjejas emosi mereka. Faktor
persekitaran bagi kanak-kanak yang kurang beruntung seperti tidak
mendapat kasih sayang keluarga, kurang zat makanan, tiada galakan
keluarga, dan sebagainya akan menjejas pencapaian mereka dalam
pelajaran termasuk keupayaan membaca. Faktor pendidikan adalah
seperti tidak menyediakan peluang pengajaran secara individu, tidak
memberi perhatian terhadap kesediaan membaca kanak-kanak,
mengabaikan kemahiran membaca dalam kebanyakan aktiviti sekolah,
penggunaan teknik pengajaran yang kurang berkesan, dan sebagainya.

6.4 Strategi Pengajaran Kemahiran Membaca

Terdapat berbagai-bagai kaedah dan teknik pengajaran bacaan yang


telah kita pelajari dan kita gunakan untuk membantu murid yang tidak
dapat membaca dengan baik. Sebenarnya semua kaedah dan teknik itu
boleh digunakan dengan berkesan Semuanya bergantung kepada cara
kita merancang strategi pengajaran dan melaksanakannya ke atas
murid berkenaan. Perkara terpenting adalah murid-murid ini perlu diajar
menguasai kemahiran-kemahiran asas bacaan terlebih dahulu supaya
pemerolehan kemahiran membaca mereka menjadi mantap. Kemahirankemahiran yang dikuasai ini kelak akan membantu mereka menguasai
kemahiran bacaan seterusnya
Pengajaran membaca kepada kanak-kanak terutamanya kanak-kanak
berkeperluan khas memerlukan strategi yang pelbagai. Guru tidak boleh
hanya bergantung kepada kaedah dan teknik tertentu sahaja kerana
kerana penerimaan seseorang kanak-kanak terhadap perkara yang
diajar adalah berbeza antara satu sama lain. Terdapat beberapa kaedah
mengajar bacaan dalam Bahasa Melayu yang sesuai dengan binaan
perkataan Bahasa Melayu yang terbentuk melalui gabungan suku kata.

6.5 Kaedah Mengajar Bacaan


Dalam tajuk ini anda akan didedahkan dengan beberapa kaedah
mengajar bacaan kepada kanak-kanak. Antara kaedah yang sering
digunakan adalah:
iv. Kaedah abjad/huruf
v. Kaedah pandang sebut/seluruh perkataan
vi. Kaedah fonik/bunyi
vii. Kaedah Gabungan Bunyi-kata
viii. Kaedah VAK
ix. Kaedah pelbagai deria - VAKT
x. Kaedah Fernald
xi. Kaedah Gillingham

Kaedah Abjad/huruf
Kaedah ini merupakan kaedah yang paling biasa digunakan dalam

mengajar mengeja dan membaca perkataan. Kaedah ini mementingkan


kanak-kanak mengenal nama-nama huruf dari a z. Selepas itu kanakkanak diajar mengenali huruf-huruf vokal a, e, i, o, u, huruf-huruf
konsonan, dan diftong ai, au,oi. Bunyi-bunyi huruf juga diperkenalkan
pada peringkat ini. Selepas itu huruf-huruf ini digabungkan bagi
membentuk suku kata dan seterusnya perkataan.
Contoh: Memperkenalkan huruf - a - z
Memperkenalkan huruf vokal a, e, i, o, u
Menggabungkan huruf konsonan dan vokal - ba, be, bi, bo, bu
Membentuk perkataan daripada suku kata - ba + tu batu
Seterusnya membentuk rangkai kata dan ayat mudah.
Kekuatan kaedah ini adalah kerana sesuai dengan binaan perkataan
bahasa Melayu yang terdiri daripada suku kata yang tetap bunyinya.
Kaedah ini juga membolehkan kanak-kanak mengeja perkataanperkataan baru yang belum dipelajarinya. Selain itu, kaedah ini memberi
asas yang kukuh dalam membaca.

Kaedah Pandang dan sebut/Kaedah Seluruh Perkataan


Kaedah ini sangat popular dalam mengajar bacaan dalam bahasa
Inggeris, namun guru boleh mencuba kaedah ini untuk mengajar
membaca dalam Bahasa Melayu. Melalui kaedah ini, pengajaran
membaca adalah berdasarkan perkataan-perkataan yang biasa (sight
words) diguna seharian yang membentuk kebanyakan pertuturan kita
seperti saya, makan, lari, main, emak, bapa dan sebagainya.
Guru akan memperkenalkan beberapa perkataan dahulu dan diulangulang menyebutnya. Kebiasaannya perkataan tersebut disertakan
gambar dan adalah diandaikan yang murid belajar secara pandang
(visual). Kaedah ini tidak menggunakan aktiviti mengeja sama sekali.
Sekiranya murid tidak dapat menyebut perkataan tertentu, guru digalak
menggunakan fonik atau bunyi huruf, iaitu menghubungkan satu huruf
dengan satu bunyi untuk membantu pelajar menyebut perkataan
tersebut. Misalnya bagi perkataan rumah, guru boleh membantu murid
dengan menyebut bunyi huruf r iaitu [ r ] dan kalau perlu membunyikan
suku kata [ ru ].

Kaedah Fonik/bunyi
Kaedah fonik adalah antara kaedah mengajar bacaan yang digemari
oleh guru. Kaedah ini menekankan kepada hubungan bunyi-bunyi
dengan huruf-hurufnya. Kaedah bunyi sesuai digunakan kerana susuk
Bahasa Melayu yang terdiri daripada suku kata yang tetap bunyinya.
Menurut kaedah fonik, hanya bunyi huruf yang diperkenalkan terlebih
dahulu dan diikuti dengan membunyikan suku kata dan seterusnya
membunyikan perkataan. Dalam bidang fonetik, huruf tidak dieja tetapi
terus dibunyikan sebagai [ a ], dan begitulah bagi huruf-huruf dan suku
kata yang lain. Sebagai contoh, ba + ta terus disebut sebagai [ ba ] + [ ta
] dan seterusnya disebut sebagai [ bata ].
[ b ] + [ a ] = [ ba ]
[ t ] + [ a ] = [ ta ]
[ ba ] + [ta ] = [ bata ]
Kaedah gabungan bunyi kata
( Dari nama huruf dan bunyi kepada perkataan )
Kaedah ini diperkenalkan oleh Profesor Isahak Haron, dan dalam
kaedah ini murid diajar langkah demi langkah, dimulai dengan bunyi
huruf digabungkan dengan nama huruf (abjad) dan bentuk huruf.
Selepas itu membina suku kata dan seterusnya perkataan. Latih tubi
mengeja adalah perlu berdasarkan pendekatan pelbagai deria
(multisensory).
Contoh;
i. Guru tunjukkan huruf pada kad imbasan dengan gambar di sebelah
belakang. Murid menyebut nama huruf tersebut.
ii. Guru menyebut perkataan dan bunyi huruf.
a
iii. Murid mengulangi menyebut perkataan dan bunyi huruf.
iv. Guru menyebut bunyi huruf dan kemudian menyebut nama huruf.
v. Murid mengulang bunyi dan menyebut nama huruf, menulis huruf
sambil menyebutnya (terjemahkan bunyi yang didengar kepada tulisan)
dan seterusnya murid menulis huruf-huruf.

vi. Murid membaca apa yg telah ditulisnya, iaitu membunyikan huruf


(terjemahkan huruf yang ditulis kepada bunyi yang boleh didengar).
vii. Murid menulis huruf dengan mata tertutup untuk dapat merasakan
huruf itu
Setelah murid sudah biasa dengan nama, bunyi, dan bentuk huruf, guru
boleh teruskan dengan latih/tubi berikut;
i. Murid melihat semula kad imbasan dan membunyikan huruf dengan
kuat (proses bacaan).
ii. Guru membunyikan huruf-huruf tertentu secara rawak. Murid
menyebut nama huruf dan kemudiannya menulis (proses mengeja).
Hubungan antara nama , bunyi, dan bentuk huruf hendaklah diajar
terlebih dahulu dengan pengetahuan bahawa sesetengah huruf adalah
vokal dan sangat diperlukan dalam setiap perkataan. Kemudian diajar
huruf dan bunyi vokal pula.

6.6 Kaedah Khas Pemulihan Bacaan


Terdapat segelintir kanak-kanak yang mengalami masalah bacaan yang
serius dan memerlukan kaedah bacaan khas untuk mengajar mereka
seperti kanak-kanak Disleksia, kanak-kanak pemulihan, dan kanakkanak berkeperluan khas (PKBP). Antara kaedah bacaan yang akan
dibincangkan dalam bahagian ini adalah seperti kaedah VAK, kaedah
VAKT, kaedah Fernald, dan kaedah Gillingham, dan semua kaedah ini
digolongkan sebagai pendekatan kinestetik.(Margaret, Lynne, Janet,
1989).

Kaedah VAK
Kaedah VAK menggabungkan deria penglihatan dan pendengaran
dengan tulisan (kinestetik atau pergerakan). Dalam kaedah ini murid
melihat dan menyebut perkataan sambil menulis perkataan itu
berdasarkan ingatannya.
Kaedah VAK menggunakan prosedur pengajaran seperti berikut, iaitu
pelajar :

i. memerhati perkataan yang hendak dipelajari


ii. menyebut perkataan itu
iii. cuba menulis perkataan itu berdasarkan ingatannya, dan
iv. membandingkan hasil tulisan dengan perkataan asal
Prosedur VAK ini diulang-ulang sehingga perkatan dapat ditulis dengan
betul.

Kaedah Membaca Pelbagai Deria - VAKT


(Multisensory Reading Method)
Kaedah ini dikenali sebagai kaedah VAKT yang bermaksud;
V - visual (penglihatan)
A audio (pendengaran)
K - kinesthetic ( pergerakan )
T - tactile ( sentuhan)
Kaedah ini berpegang kepada prinsip rangsangan dalam pembelajaran
dan berdiri atas Premis bahawa rangsangan ke atas beberapa deria
yang sensitif akan mengukuhkan pembelajaran . Langkah-langkah
pengajaran adalah sepeerti berikut:
- kaedah ini menggunakan surihan (tracing) untuk mengajar bacaan
- guru menulis huruf cetak yang besar di atas kertas 4 x 10
( menggunakan krayon )
- Murid membuat surihan huruf dengan jari di atas kertas itu
- Untuk mendapatkan kesan sentuhan semasa membuat surihan, huruf
dibuat daripada kertas pasir, menggunakan talam berpasir/lumpur,
mewarna dengan jari, huruf timbul yang besar dan lain-lain.
- Untuk belajar huruf melalui kaedah VAKT, murid hendaklah ;
v. lihat huruf (V)
vi. dengar guru sebut huruf (A)
vii. menyebut huruf (A)
viii. dengar huruf yang disebut (A)
ix. rasa pergerakan otot semasa membuat surihan huruf (K)
x. rasa permukaan huruf dgn hujung jari (T)
xi. lihat pergerakan tangan semasa tracing (V)
xii. dengar sendiri huruf yang disebut semasa membuat
surihan (A)

Kaedah VAKT dijadikan asas kepada model-model pengajaran bacaan


yang lebih perinci oleh tokoh-tokoh seperti Fernald, Gillingham, dan lainlain.

Kaedah Fernald
Kaedah ini diperkenalkan oleh Fernald G.M. dan Helen, B.K.(1943,
1988) untuk membantu kanak-kanak yang mengalami masalah bacaan
yang teruk. Kaedah ini merupakan gabungan pendekatan pengalaman
bahasa dan pembelajaran berasaskan pendekatan pelbagai deria
(VAKT). Pendekatan ini dibentuk untuk pengajaran secara individu.
Terdapat empat peringkat pengajaran dalam kaedah Fernald, iaitu:
i. Menyurih (tracing) dan menulis berdasarkan ingatan satu perkataan
yang diberi,
ii. Menulis berdasarkan ingatan perkataan yang diberi,
iii. Menulis berdasarkan ingatan perkataan yang dijumpai dalam petikan,
dan
iv. Belajar melalui perkataan asas (sight words) yang terdapat dalam
teks.

Peringkat pengajaran dalam kaedeah Fernald adalah seperti berikut:

Peringkat 1:
- Guru menulis perkataan dengan besar menggunakan crayon di atas
kertas.
- Pelajar surih huruf-huruf dengan jari (T K) sambil menyebut dan
mendengar sebutan perkataan itu (A).
- Pelajar juga memandang perkataan itu semasa membuat surihan(V) .
- Proses ini diulang sehingga pelajar boleh menulis perkataan tanpa
melihat contoh.
- Pelajar menulis cerita berdasarkan perkataan yang telah dipelajari.
Peringkat 2:
- Pelajar tidak perlu surih setiap perkataan, tetapi hanya melihat
perkataan yang guru tulis, menyebut, dan menulis perkataan tersebut.

- Pelajar meneruskan menulis cerita dan menyimpan fail perkataan.


Peringkat 3:
- Pelajar belajar perkataan baru dengan melihat, menyebut, dan
menulisnya terus daripada perkataan-perkataan bercetak (teks).
- Guru tidak perlu menulis perkataan kerana pada tahap ini pelajar
sudah boleh membaca daripada buku.

Peringkat 4:
- Pelajar dapat mengecam perkataan-perkataan baru berdasarkan
persamaannya dengan perkataan-perkataan yang tercetak, atau
bahagian-bahagian perkataan yang sudah dipelajari.
- Pelajar sudah boleh menggunakan kemahiran bacaan untuk
mengembangkan minat membaca.

Kesimpulannya, kaedah Fernald menggunakan pengalaman bahasa


pelajar dan kaedah VAKT.
Kaedah Fernald mempunyai prinsip tertentu yang perlu dipatuhi, iaitu:
i. kejayaan hendaklah ditekankan supaya motivasi pelajar dapat
ditingkatkan atau dikekalkan,
ii. keempat-empat peringkat perlu dikuasai mengikut urutan,dan
iii. hanya diguna untuk pelajar yang menghadapi masalah bacaan yang
teruk sahaja seperti disleksia, murid pemulihan, dan murid PKBP.

Kaedah Gillingham
Kaedah ini diperkenalkan oleh Gillingham dan Stillman pada tahun 1970
AN difokuskan untuk mengajar bacaan kepada kanak-kanak yang
menghadapi masalah bacaan yang sangat teruk. Kaedah ini mengambil
masa yang lama dan langkah-langkah pengajaran hendaklah dipatuhi
dengan ketat, iaitu memerlukan lima sesi pengajaran seminggu untuk
selama dua tahun (minimum)

Kaedah Gillinghammenumpukan penstrukturan pengajaran yang tinggi


dan berorientasikan pendekatan fonetik yang menggunakan teknik
surihan (tracing) untuk mengajar huruf tunggal dan bunyi yang
bersamaan dengannnya.

Kaedah Gillingham menekankan pendekatan pelbagai deria yang terdiri


daripada enam kesatuan deria yang sangat penting pada peringkat
permulaan mengajar huruf huruf. Enam kesatuan asas itu adalah:
i. V-A (Visual-Auditory). Perkataan yang ditulis dan huruf-huruf
dihubungkan denga bunyinya. Murid tidak perlu menyebut bunyi-bunyi
itu.
ii. A-V (Auditory-Visual). Bunuyi-bunyi huruf dan perkataan digabungkan
dengan imej visual. Tugasan ini seakan-akan aktiviti mengeja.
iii. A-K (Auditory Kinesthetic). Bunyi-bunyi huruf danperkataan
digabungkan dengan pergerakan otot semasa menyebut dan menulis.
iv. K-A (Kinesthetic Auditory). Tangan murid didibantu untuk menyurih
atau menulis bentuk huruf sambil menyebut nama atau bunyi huruf
tersebut.
v. V-K (Visual Kinesthetic). Huruf cetak dan perkataan dikaitkan
dengan pergerakan otot semasa bertutur dan menulis.
vi. K-V (Kinesthetic- Visual). Pergerakan otot semasa bertutur atau
menulis dikaitkan dengan bentuk visual huruf-huruf.

Langkah-langkah pengajaran;
Langkah 1:
- Dgn menggunakan kad latih tubi, tunjuk satu huruf kepada murid.
- Guru menyebut nama huruf dan murid mengikut sebutan guru
- Bila sudah mahir, guru menyebut bunyi huruf dan murid mengikutnya
- Soalan guru , Apakah bunyi huruf ini?
Langkah 2:
- Tanpa menggunakan kad latih tubi, guru membunyikan mengikut huruf.
- Soalan guru, Berikan nama huruf yang bunyinya [ ] . Guru

menggunakan strategi ejaan lisan


Langkah 3:
- Guru menulis huruf dan menerangkan bentuknya.
- Murid menyurih ikut tulisan guru, dengar, pandang, dan membunyikan
huruf itu.
- guru mula memperkenalkan tulisan sambung.

Setelah murid mahir 10 huruf (konsonan dan vokal), mereka mengadun


hurufhuruf menjadi perkataan.

Sebagai rumusan, semua guru adalah bertanggungjawab untuk


mengesan kelemahan bacaan pelajarnya, mengenal pasti punca
masalah, dan cuba membantu mereka membina kemahiran membaca
seawal mungkin supaya masalah ini dapat dipulihkan sebelum menjadi
lebih teruk.

Latihan:
Bezakan antara kaedah abjad dengan kaedah fonik dalam mengajar
bacaan.

6.7 Kesimpulan
Keupayaan membaca di kalangan kanak-kanak adalah berbeza-beza
dan guru hendaklah memberi perhatian terhadap hakikat ini. Oleh itu
guru hendaklah memperkemaskan diri dalam kemahiran menyampaikan
pengajaran bacaan. Pengetahuan tentang kaedah-kaedah mengajar
bacaan semata-mata tidak mencukupi, sebaliknya guru perlu
mempunyai kreativiti dalam penyampaian pengajarannya. Kaedah
membaca yang digunakan akan lebih berkesan dengan penggunaan
bahan bantu mengajar yang sesuai dan menarik. Bagi kanak-kanak
yang mengalami masalah bacaan yang teruk dan juga untuk kanakkanak berke[perluan khas, kaedah pengajaran pelbagai deria sangat
sesuai digunakan. Sekiranya guru memilih untuk menggunakan sesuatu

kaedah, maka guru hendaklah tetap dengan langkah-langkah yang


disaran dalam kaedah itu. Sekiranya guru tidak mengikut langkahlangkah yang telah ditetapkan atau mengikut sebahagian darikpada
langkah sahaja, maka guru tidak boleh mengatakan yang dia
menggunakan kaedah tersebut.

Rumusan
1. Masalah bacaan yang dihadapi oleh kanak-kanak dapat dilihat melalui
aktiviti bacaan nyaring, manakala aktiviti bacaan senyap hanya dapat
dilihat
melalui aspek bacaan kefahaman.
2. Guru mestilah peka dengan petunjuk-petunjuk tingkah laku yang
ditunjukkan
oleh murid-muridnya kerana tingkah laku tersebut menunjukkan murid
berkenaan menghadapi masalah dalam bacaan.
3. Guy L.B. dan rakan-rakannya (1989) telah membahagikan punca
masalah
membaca kepada tiga faktor besar , iaitu faktor fizikal, faktor kognitif dan
bahasa, dan faktor emosi, persekitaran, dan pendidikan
4. Murid-murid ini perlu diajar menguasai kemahiran-kemahiran asas
bacaan
terlebih dahulu supaya pemerolehan kemahiran membaca mereka
menjadi
mantap.
5. Pengajaran membaca kepada kanak-kanak terutamanya kanak-kanak
berkeperluan khas memerlukan strategi yang pelbagai. Guru tidak boleh
hanya bergantung kepada kaedah dan teknik tertentu sahaja kerana
kerana
penerimaan seseorang kanak-kanak terhadap perkara yang diajar
adalah
berbeza antara satu sama lain.
6. Kaedah VAK, kaedah VAKT, kaedah Fernald, dan kaedah Gillingham
digolongkan sebagai pendekatan kinestetik dan hanya digunakan untuk
mengajar bacaan bagi kanak-kan ak yang mengalami masalah bacaan
yang
teruk.

Kata Kunci
Kinestetik
Surih
Pelbagai deria
Kognitif
Aphasia
Rujukan
Kamarudin Hj. Husin, (1998). Pedagogi Bahasa. Kuala Lumpur:
Longman
Malaysia Sdn. Bhd.
Guy .L.B., Barbara B.W., Miles A.T, & John B.W. (1994). Reading
Difficulties:
Their Diagnosis and Correction. Boston: Allyn and Bacon.
Margaret A. R , Lynne K.L., & Janet W.L. (1989). Reading Problems:
Assessment and Teaching Strategies. New Jersey: Prentice Hall.

Anda mungkin juga menyukai