Anda di halaman 1dari 3

Hiburan menurut pandangan syarak .

Melihat kepada perkembangan semasa hari ini, kita melihat banyak perkembangan dari
segi hiburan serta unsur-unsur keterlaluan dalam perkembangan industri muzik dan
seni suara, terutamanya yang berkaitan dengan program hiburan realiti tanahair
mahupun secara globalnya di seluruh dunia. Malah lebih malang lagi apabila isu ini
sudah menular di sekeliling mahasiswa/wi Islam di timur tengah ini. Sememangnya
perkara ini adalah satu isu yang perlu diberikan perhatian. Ini adalah penting kerana
perkembangan tersebut begitu menampakkan kesan dan pengaruhnya terhadap gaya
hidup remaja dan belia masa kini.
Secara umumnya, Islam tidaklah mengharamkan hiburan secara keseluruhannya,
namun hiburan tersebut mestilah mengikut nilai-nilai murni yang diajarkan oleh agama
Islam dan tidak melalaikan. Ini kerana hiburan juga merupakan suatu perkara yang
fitrah yang rata-rata manusia menjadikan muzik dan seni suara adalah merupakan hasil
kreativiti yang mencerminkan manifestasi pemikiran, emosi, dan inovasi manusia. Ianya
adalah sebahagian daripada aktiviti rekreasi manusia yang terkandung di dalamnya
seni, budaya, hiburan, kehalusan bahasa dan juga pemikiran yang sentiasa
diperbincangkan dalam mana-mana sejarah, kebudayaan dan tamadun manusia.
Sebagai seorang muslim, kita meyakini bahawa Islam merupakan satu cara hidup yang
sempurna dan pasti dapat menjawab setiap persoalan hidup manusia yang mempunyai
keinginan yang bermacam-macam dan tidak terkecuali dalam urusan yang berkaitan
dengan hiburan. Tujuan syariat Islam bukanlah untuk menyekat segala bentuk
kebebasan manusia tetapi sebaliknya lebih kepada mengawal dan mendidik, kerana
Islam itu sesuai dengan fitrah semulajadi manusia dan boleh diamalkan pada setiap
zaman dan tempat walau dimana kita berada.
Hiburan dalam Islam sangat berlawanan dengan konsep mencari hiburan dan
kepuasan murahan bagi memenuhi tuntutan nafsu yang tiada sempadan. Malah
hiburan itu juga adalah suatu yang terkawal dan terarah, dan bukannya satu cara
mencari keseronokan dengan cara yang amat bebas sehingga tidak terkawal dan tidak
terikat dengan batas-batas perundangan dan nilai keagamaan.
Konsep berhibur dengan tujuan untuk kesejahteraan, menenangkan fikiran dan
kerehatan tubuh badan adalah dibolehkan oleh syarak. Dalil keharusan ini dapat dilihat
dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w. kepada Abdullah bin Amr bin Al-As , yang
bermaksud:
"Wahai Abdullah bin Amar, "Sesungguhnya ke atas kamu hak untuk Allah s.w.t., dan ke
atas kamu hak untuk tubuh kamu, dan ke atas kamu hak untuk keluarga kamu. Maka
berilah kepada yang miliki hak tersebut."
Selain itu, terdapat hadis daripada Rasulullah s.a.w. yang mengizinkan gendang
dimainkan pada majlis-majlis tertentu, sebagaiman Imam Tarmizi telah meriwayatkan
daripada Aishah, katanya: Rasulullah s.a.w. telah bersabda, yang maksudnya:

"Isytiharkanlah perkahwinan ini dan akadlah di masjid serta pukullah rebana."


Begitu juga sejarah Islam telah menceritakan bagaimana gendang telah digunakan
untuk menaikkan semangat pahlawan-pahlawan Islam yang berada di medan
peperangan.
Imam al-Ghazali berpendapat bahawa mendengar nyanyian ada yang harus dan ada
yang sunat serta ada pula yang haram. Nyanyian yang haram disebabkan oleh lima
perkara yang mencorakkannya iaitu penyanyi, alat muzik yang digunakan, susunan
kata-kata, tanggapan pendengar terhadap nyanyian dan pendengar yang terdiri
daripada orang awam.

Sementara Sheikh Mahmud Shaltut, bekas


Sheikh al-Azhar pula berpendapat bahawa mendengar suara indah dan merdu sama
ada daripada binatang, manusia atau apa-apa alat atau ada kecenderungan untuk
mempelajari sesuatu daripadanya adalah merupakan keinginan untuk memenuhi
tuntutan nalurinya. Selama perkara itu tidak melalaikannya daripada kewajipan agama,
bersesuaian dengan nilai akhlak dan bersesuaian pula dengan kedudukannya, maka ia
diharuskan.
Oleh itu apabila membincangkan mengenai hiburan, hal-hal seperti susunan kata-kata
yang haram, penampilan penyanyi, masa persembahan nyanyian yang menghalang
kewajipan agama atau melalaikan manusia, majlis yang disertai dengan makanan dan
minuman haram, pergaulan lelaki dan perempuan tanpa batas, dan kesan nyanyian
kepada pendengar-pendengar tertentu yang membawa kepada berkelakuan buruk
hendaklah diambil-kira.
Selain itu, Islam juga telah meletakkan garis panduan asas yang perlu dipatuhi bagi
memastikan sebarang bentuk hiburan yang ingin diketengahkan ke dalam masyarakat
tidak terbabas dari landasan syariat. Antaranya ialah niat yang betul, tiada unsur-unsur
yang bercanggah dengan akidah dan syariat Islam, tidak meninggal dan melalaikan
kewajiban yang difardhukan oleh Allah s.w.t., sentiasa menjaga adab-adab pergaulan,
tiada unsur perjudian (pertaruhan) dan tidak berlaku pembaziran. Juga tujuannya
hendaklah betul, seperti untuk kesihatan, ketenangan dan kepuasan, jalan untuk
taqarub dan mencapai keredaan Allah s.w.t., serta dapat menjalin hubungan sesama
manusia.

Jelas kepada kita bahawa tujuan berhibur dalam Islam ialah untuk melahirkan insan
yang sihat jasmani, rohani dan sosialnya. Insan yang sihat bukanlah yang hanya
terhindar dari sebarang penyakit, tetapi juga terhindar dari permasalahan emosi,
perasaan, isu-isu rumahtangga, kekeluargaan, tempat kerja dan sebagainya.
Maka dengan itu, sewajarnya tidak menjadi kesalahan sekiranya hiburan masa kini
ingin disemarakkan tetapi hendaklah dibangunkan dalam bentuk dan acuan yang
bersandarkan kepada garis panduan Islam kerana pastinya ianya memiliki unsur-unsur
positif, terkawal, bersifat mendidik, dan diterima dari pandangan syarak.
Kesimpulan:
Menurut Fatwa Syeikh Syaltut, muzik adalah harus selagi bukan untuk tujuan
melalaikan dan maksiat.
Manakala menurut Al-Ghazali, tidak ada perincian syarak berkenaan peralatan muzik
yang halal dan haram. Ia bergantung kepada keadaan masa dan tempat serta manamana alat muzik yang baik dan lunak di dengar adalah harus, dan mana-mana alat
muzik yang melalaikan dan dikaitkan dengan pemain muzik serta penyanyi yang
mempamirkan akhlak yang buruk merupakan perkara yang ditegah sama sekali.
Setelah kita melihat secara ringkas perbahasan mengenai hiburan dari sudut
pandangan syarak , maka dapatlah kita menilai dan membuat perbandingan antara
hiburan yang ada disekeliling kita, adakah ia bertepatan dengan pandangan hukum
ataupun tidak. Artikel ini juga mampu memberi panduan kepada kita dalam memilih
hiburan yang sesuai untuk kehidupan kita seharian agar tidak tersasar dari nilai-nilai
murni yang dianjurkan oleh agama kita.

Anda mungkin juga menyukai