Anda di halaman 1dari 3

Sejarah kelantan

Negeri Kelantan yang mempunyai seni budaya tradisional yang unik ini juga mempunyai
sejarah persinggahsanaan yang menarik. Diriwayatkan dalam tahun 1411M (814H) di
Kelantan, terdapat seorang Raja yang beragama Islam bernama Raja Ku Umar. Tetapi
sehingga kini ahli-ahli sejarah masih belum dapat mengesani daripada manakah asalnya
Raja Ku Umar ini. Walau bagaimanapun baginda Raja Ku Umar telah menjalinkan
hubungan muhibbah dengan Maharaja China, dan sebaliknya dalam tahun 1412M,
baginda Raja Ku Umar telah menerima persembahan balas berupa kain-kain sutera dan
surat kepujian daripada Maharaja China itu.
Selepas pemerintahan Raja Ku Umar lahir pula pemerintahan Sultan Iskandar sehingga
1465M. Kemudian Kelantan diperintah pula oleh Putera Baginda Sultan Mansur. Dalam
zaman pemerintahan Sultan Mansur, nama Kelantan telah menjadi masyhur sehingga ke
negeri Melaka di bawah pemerintahan Sultan Mahmud Shah. Pada 1477M, Sultan
Melaka ini telah menghantar bala tenteranya untuk menyerang Kelantan. Walau
bagaimanapun ia berakhir dengan satu simpulan peristiwa yang menarik, iaitu baginda
Sultan Mahmud Shah telah berkahwin dengan Puteri Sultan Mansur yang bernama
Onang Kening, yang kemudian menjadi bonda kepada Raja Perak yang pertama, iaitu
Sultan Muzaffar Shah (1528M).
Apabila Sultan Mansur Shah mangkat 1526M (928H), maka putera baginda, Raja
Gombak ditabalkan menjadi Sultan dengan gelaran "Sultan Gombak". Setelah baginda
Raja Gombak mangkat, maka cucunda baginda yang telah dijadikan putera angkat, iaitu
Raja Ahmad, ditabal menjadi Sultan Kelantan pada 1584M (992H). Dengan gelaran
Sultan Ahmad, Baginda telah berkahwin dengan Cik Banun Puteri Seri Nara DiRaja, iaitu
sepupu kepada Raja Hussein di sebelah isteri Lela Wangsa Pahang. Baginda berdua telah
dikurniakan seorang puteri dinamakan Cik Siti Wan Kembang.
Baginda Sultan Ahmad mangkat pada 1589M, sewaktu puteri baginda Cik Siti Wan
Kembang berusia 4 tahun, dan oleh sebab itu Raja Hussein dari Johor telah dilantik
menjadi Pemangku Raja Pemerintah Kelantan. Bila Raja Hussein mangkat pada 1610M
(1018H), maka Cik Wan Kembang ditabalkam menjadi Permaisuri Kelantan. Baginda
bersemayam di Gunung Chinta Wangsa, Ulu Kelantan, kira-kira 40 kilometer ke arah
tenggara Kuala Krai.
Pemerintahan Cik Siti Wan Kembang di Gunung Chinta Wangsa menjadi terkenal
menyebabkan banyak dikunjungi oleh pedagang-pedagang dari dalam dan luar negeri
termasuk juga orang-orang Arab yang menggelarkan Cik Wan Kembang dengan
panggilan "Paduka Cik Siti". Baginda mempunyai seekor kijang yang kemudiannya
menjadi lambang kebesaran negeri Kelantan.

Semasa dalam pemerintahan Cik Siti Wan Kembang, telah timbul sebuah lagi kerajaan
berpusat di Jembal, di bawah pemerintahan Raja Sakti 1638M (1046H). Setelah baginda
mangkat, maka putera baginda, Raja Loyor telah ditabal menjadi Sultan pada 1649M
(1059H). Baginda dianugerahkan dengan dua orang cahaya mata iaitu seorang putera,
Raja Sakti yang mangkat sewaktu masih kecil dan seorang puteri bernama Puteri
Saadong.
Hubungan baik telah terjalin di antara Kerajaan Cik Siti Wan Kembang dengan Kerajaan
Loyor di Jembal. Baginda mengambil Puteri Saadong sebagai anak angkat yang akan
mewarisi takhta kerajaan sepeninggalannya nanti.
Puteri Saadong seorang gadis ayu yang cantik dan jelita, digelar oleh penduduk Gunung
Chinta Wangsa sebagai Puteri Wijaya Mala. Perihal kecantikan Puteri Saadong itu telah
sampai kepada Maharaja Siam yang menghantar utusan untuk meminang Puteri Saadong,
tetapi ditolak. Puteri Saadong telah dikahwinkan dengan Raja Abdullah iaitu sepupunya,
dan telah dimahkotakan di Kota Tegayong (Tanah Serendah Sekebun Bunga Cherang
Tegayong) dan kemudiannya dipindahkan ke Kota Jelasin di Kota Mahligai.
Puteri Saadong telah diculik oleh Penglima Tentera Siam bernama Phraya Decho dan
dibawa kepada Narai Maharaja Siam (1656-1688), kerana kesetiaannya pada suami
baginda tidak boleh disentuh oleh Maharaja Siam. Setelah Puteri Saadong kembali ke
Kelantan telah berlaku pergaduhan dengan Raja Abdullah. Akibat pergaduhan itu Raja
Abdullah terkorban kerana kena tikaman cucuk sanggul Puteri Saadong.
Selepas kemangkatan Raja Abdullah, Puteri Saadong telah melantik Raja Abdul Rahim
iaitu saudara raja Abdullah menjadi Sultan di Kota Mahligai pada 1671M (1082H) dan
dikahwinkan dengan janda Raja Abdullah, anak Penghulu Ngah Jembal. Selepas itu
Puteri Saadong menjadi Raja di Bukit Marak dan sejak itu kisahnya tidak dapat dikesan
lagi.
Kemudian, Raja Abdul Rahim telah mangkat ditikam oleh rakyatnya di tepi Tasek
Lelayang Mandi. Dengan itu putuslah sejarah "kerajaan mahligai" dan wujud pula
Kerajaan Jembal yang pada waktu itu terletak dibawah pemerintahan Raja Omar yang
bergelar Sultan Omar pada 1675M (1086H).
Raja Omar adalah adinda kepada Raja Loyor yang sebelum itu telah bergelar
Temenggong Sultan Omar mempunyai lima orang putera dan puteri, iaitu Raja Kecil
Sulung, Raja Ngah yang bergelar Raja Hudang, Raja Nah, Raja Sakti dan Raja Pah.
Setelah Raja Omar mangkat pada 1721M (1132H), Baginda Long Bahar telah ditabal
menjadi Sultan di Jembal atas kehendak puteri sulungnya, Raja Kecil Sulung. Baginda
Long Bahar adalah putera Raja Petani (Wan Daim) yang bergelar Datuk Pengkalan Tua

yang berhijrah ke Kelantan bersama ayahandanya dan berkahwin dengan Raja Pah Puteri
Sultan Omar dan bersemayam di Sening dekat Jembal.
Long Sulaiman (Wan Anom Long Nik) anak Long Bahar dengan Raja Perempuan Patani
bergelar Mas Kelantan mempunyai seorang putera bernama Long Yunus dan dua orang
puteri, iaitu Tuan Dewi dan Tuan Kembang yang berkahwin dengan Long Deraman
putera Tuan Senik Geting yang memerintah di Legeh. Pada 1756M (1169H) telah berlaku
serangan untuk merebut takhta dan akhirnya telah membawa kemangkatan Long
Sulaiman. Berikutnya Long Pandak, sepupu Long Sulaiman telah dilantik menjadi Raja
Kubang Labu, dan adiknya pula Long Muhammad dilantik menjadi Raja Muda.
Kemudiannya pada 1758M, Long Pandak telah mangkat di tangan Long Deraman kerana
membalas dendam terhadap perbuatan Long Pandak membunuh isterinya Tengku Tengah
iaitu adik Long Deraman. Selepas itu Long Muhamad dilantik menjadi Sultan di Kota
Kubang Labu. Dalam masa pemerintahan Long Muhammad telah meletus peperangan
antara pihak Long Muhammad yang dibantu oleh Long Deraman dan Penghulu Umar
Kampung Laut dengan Long Yunus yang dibantu oleh Long Gafar seorang putera kepada
Raja Reman di Hulu Perak, Mandor Mis dan Penghulu Adas(ipar Mandor Mis). Dalam
peperangan pada 1762M, Pihak sebelah Long Muhammad dan Long Deraman telah
tumpas dan Kerajaan Kubang Labu telah dapat dikuasai oleh Long Yunus. bagi
mengenang jasa yang membantunya dalam peperangan itu, maka baginda Long Yunus
telah melantik Long Gaffar menjadi Perdana Menteri dengan diberi gelaran Engku Sri
Maharaja Perdana Menteri memerintah dari kawasan Jeram sampai ke Pasir
Tumbuh.Mandor Mis dilantik Penghulu Menteri@bendahari dengan diberi gelaran Dato'
Maharaja Wangsa serta diberi kuasa berbuat dan memerintah Kampung yang sekarang
dipangil Kampung Lundang, Penghulu Adas diberi kuasa berbuat Kampung serta dilantik
menjadi Penghulu Kampung tersebut yang sekarang dipangil Kampung Kaduk. Baginda
Long Yunus telah berjaya menyatukan seluruh pemerintahan negeri Kelantan yang
banyak itu dengan meletakkannya dibawah satu pemerintahan pusat sahaja.

Anda mungkin juga menyukai