Anda di halaman 1dari 3

Cabaran Ekonomi Dekad Baru Cabaran Ekonomi Dekad Baru MALAYSIA memasuki dekad

baru bermula tahun Masihi 2010 dan tahun Hijrah 1431 dalam keadaan ekonomi global yang
mencabar ekoran tergugatnya sistem kewangan negara maju. Keadaan ini diakibatkan oleh
lemahnya sistem tadbir urus dan kawalan sektor bank pelaburan (investment bank) atau apa yang
disebut sebagai shadow banking, khususnya di Amerika Syarikat (AS). Ia juga disebabkan oleh
sifat tamak haloba (greed) dan kurang berhemah (imprudences) di kalangan pihak pengurusan.
Akibatnya ekonomi Malaysia dan juga negara-negara lain terjerumus dalam keadaan
pertumbuhan negatif pada tahun 2009. Kewibawaan kita untuk mengurus ekonomi negara sekali
lagi diduga, selepas pengalaman pahit tahun 1997/1998. Dalam tempoh terdekat ini, ada tiga isu
utama yang perlu diberi perhatian oleh pengurusan ekonomi negara. Pertama, keperluan
memantapkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kesan daripada
kemerosotan ekonomi global dalam 2009. Kedua, usaha memantapkan kedudukan kewangan
awam atau public finance yang mengalami defisit sejak 1998. Dan ketiga, hasrat untuk
merombak beberapa dasar bagi meningkatkan daya saing negara serta membolehkan usaha
mencapai model pertumbuhan berasaskan pendapatan (nilai tambah) yang tinggi. Dalam isu
pertama, kita boleh menimba pengalaman dari usaha mengatasi krisis ekonomi bagi tahun 1986
dan kegawatan tahun 1997/1998. Pada tahun 1986, negara telah terjejas oleh kejatuhan harga
komoditi dan kedudukan kewangan awam yang lemah. Kerajaan telah mengambil tindakan
liberalisasi dan deregulasi serta mengurangkan cukai dan mengawal perbelanjaan awam bagi
memperbaiki iklim pelaburan swasta. Kesannya, ekonomi tumbuh dengan sangat pesat pada
kadar 8-9 peratus setahun sepanjang tempoh 1988-1997. Semasa kegawatan tahun 1997/1998
pula, atau apa yang selalu disebut sebagai East Asian financial crisis, akibat aliran modal
jangka pendek tidak terkawal (unregulated) di rantau ini serta serangan ke atas mata wang
serantau dan kegiatan hedge fund, tindakan kerajaan (menerusi MTEN) untuk mengawal modal
(capital control) dan penetapan mata wang (pegging of the Ringgit) serta meningkatkan
permintaan agregat menerusi perbelanjaan awam dan dasar kewangan (monetary) telah berjaya
menstabilkan ekonomi negara. Dengan dibantu oleh kedudukan pasaran eksport yang
menggalakkan pada masa itu, Malaysia telah berjaya keluar dari kegawatan ekonomi itu
berasaskan kepada formula sendiri, tanpa menggunakan preskripsi Dana Kewangan
Antarabangsa (IMF). Namun demikian, cabaran bagi mengatasi krisis ekonomi semasa (2009)
menjadi lebih ketara. Kali ini, hampir seluruh ekonomi dunia, termasuk China dan India tergugat
dan terperangkap dengan kelembapan dan ketidaktentuan ekonomi AS dan negara-negara maju
lain, seperti Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun. Dari itu, sektor eksport kurang memainkan
peranan untuk memantapkan proses pemulihan ekonomi negara. Dengan demikian, kesan Pakej
Rangsangan Ekonomi sepenuhnya hanya berputar dalam sektor domestik. Pasaran domestik kita
pula tidak sebesar pasaran dalaman China, India dan juga Indonesia. Oleh itu, ia tidak mampu
memacu pertumbuhan positif bagi tahun 2009. Kedua, kerajaan akan berdepan dengan cabaran
mengawal perbelanjaan dan meningkatkan hasil (revenue). Kemungkinan mengawal
perbelanjaan terhad kerana beberapa jenis perbelanjaan operasi adalah wajib disediakan (lockedin expenses) seperti emolumen, gaji dan elaun, geran kepada negeri-negeri (per capitation grant)
dan kerajaan tempatan, bayaran hutang awam serta beberapa subsidi yang sukar dirungkai akibat

penyediaannya yang sebegitu lama sehingga menjadikannya seperti satu amalan fiskal biasa.
Usaha mengurangkan subsidi-subsidi ini perlu dibuat secara komprehensif dan dilaksanakan
berperingkat-peringkat kerana penghapusannya akan menyebabkan satu kerumitan. Untuk
membantu masyarakat, kerajaan telah menyediakan subsidi seperti bantuan buku sekolah,
biasiswa, kos perubatan di hospital dan klinik awam yang sangat rendah, serta subsidi untuk
bahan api (minyak petrol dan diesel). Manakala bagi bidang industri pula, kerajaan memberi
subsidi tenaga untuk industri, baja untuk pengeluaran padi dan pengecualian dan potongan cukai
(sistem galakan industri) untuk sektor pembuatan. Fikirkan bagaimana sukarnya subsidi-subsidi
ini boleh dirungkai dan dikurangkan dalam masa terdekat setelah ia menjadi elemen penting
dalam perkiraan cara hidup rakyat dan sistem pengeluaran negara. Namun demikian usaha
mengurangkan subsidi perlu diteruskan. Dari perspektif hasil kerajaan pula, kesungguhan
kerajaan untuk mengadakan Goods and Service Tax (GST) perlu disokong. Memang sudah
sampai masanya kita mengurangkan cukai berasaskan pendapatan tetapi bergerak maju ke arah
cukai berasaskan penggunaan (consumption based tax). Sebenarnya cadangan GST ini bukan
baru. Ia pernah dicadangkan oleh Tun Daim Zainuddin dalam ucapan Belanjawan 1987 bagi
pelaksanaan tahun 1989. Cukai GST adalah lebih cekap berbanding dengan cukai jualan dan ia
kurang mempunyai unsur arbitrariness yang terdapat dalam cukai jualan. Unsur penting dalam
formula GST adalah ia jangan dikenakan kepada barangan eksport serta barangan keperluan asas
seperti makanan, pendidikan, dan kesihatan. Skim zero rating ' boleh dicadangkan bagi produkproduk ini. Kita juga perlu menerima hakikat bahawa kesan GST ke atas inflasi memang wujud
tetapi ia hanya berlaku pada tahun pelaksanaan sahaja dan tidak selepas itu. Jika kesannya
berlarutan selepas itu, ia bukan disebabkan GST tetapi kelemahan sistem pasaran sendiri akibat
tiadanya undang-undang persaingan dan perdagangan adil (fair trade) di negara ini yang boleh
membendung amalan perniagaan tidak beretika. Satu cara bagi mengurangkan perbelanjaan
negara adalah meneruskan peringkat kedua dasar penswastaan yang meliputi inisiatif
pembiayaan swasta bagi kegiatan awam yang pada ketika ini sudah boleh dilaksanakan. Bagi
dasar ini, yang pentingnya segala kelemahan pelaksanaan yang lalu perlu diperbaiki. Kawal selia
yang mantap boleh menjaga kepentingan sosial, manakala pemilihan syarikat berasaskan tender
terbuka mampu menyediakan perkhidmatan terbaik kepada kerajaan dan pembayar cukai. Isu
ketiga, meningkatkan daya saing dan melaksanakan pembangunan berteraskan value added
yang tinggi. Usaha ini memerlukan pengorbanan semua pihak untuk membantu melaksanakan
proses transformasi sosial bagi melaksanakan beberapa perubahan dasar. Perubahan dalam
sistem subsidi, sistem kawalan harga, pembaikan sistem penyampaian (delivery system),
liberalisasi, peningkatan produktiviti dan kemahiran modal insan serta memperkayakan harta
intelek negara adalah antara perkara-perkara pokok dan utama yang perlu dilaksanakan secara
serentak dan terancang. Satu pelan tindakan perlu disediakan bagi merencanakan apa yang perlu
dibuat dan diukur bagi setiap pihak. Kita juga perlu mencari model pertumbuhan baru yang
mengimbangi antara pertumbuhan pendapatan pada kadar yang tinggi dan aspek pengagihan
(distribution) yang bersesuaian dengan kedudukan semasa. Dasar pengagihan perlu diteruskan
kerana ia merupakan dasar jangka panjang negara yang termaktub dalam Rukun Negara
(bahagian pertama) dan dalam sejarah kesefahaman antara kaum utama negara ini. Yang

pentingnya pelaksanaan dasar ini perlu disesuaikan dengan keadaan semasa. Kita juga perlu
merombak struktur industri perkhidmatan kepada industri yang membawa kepakaran dan
kemahiran yang canggih dan tinggi (seperti R&D, designing) serta mempunyai value added yang
lebih banyak untuk meningkat dan mempelbagaikan sumber KDNK serta mencanggihkan
struktur guna tenaga negara dan menghasilkan pendapatan per kapita yang lebih tinggi. Keadaan
dan corak industri sedia ada kurang mewujudkan kekayaan harta intelek negara. Yang demikian
akan melemahkan asas jangka panjang negara dalam bidang persaingan dan keupayaan mencapai
Wawasan 2020. Cabaran-cabaran ini tidak boleh diperlekehkan. Kita perlu berfikir dan
mengambil tindakan yang jitu. Kita perlu mengurangkan politicking dan sebaliknya membantu
kerajaan merencanakan pembangunan negara ke arah kestabilan ekonomi, pembangunan mapan
dan kesejahteraan rakyat serta kepentingan generasi akan datang yang bakal berdepan dengan
persaingan ketara di persada antarabangsa. Mereka memerlukan warisan daripada kita berbentuk
infrastruktur, harta intelek, pengalaman, dan modal sosial untuk dimajukan seterusnya. Untuk
memastikan kejayaan mereka kelak, pembangunan modal insan sedia ada dan dasar
pembangunan mapan (sustainability) serta asas-asas pertumbuhan ekonomi perlu diperkukuhkan
lagi. Budaya persaingan yang sihat serta kerangka mental yang sentiasa ingin mencapai
kecemerlangan perlu dipupuk dan disemarakkan di bangku sekolah lagi. Memandangkan kita
telah melangkah masuk ambang dekad baru dan tahun baru, Hijrah dan Masehi, Malaysia
mungkin tiada jalan lain selain menangani isu-isu di atas dengan penuh tabah dan keyakinan.
Masyarakat kita perlu bersedia untuk berhijrah kepada pendekatan pembangunan yang baru
bagi pembangunan sosial yang lebih makmur, berimbang dan mapan. Oleh:TAN SRI DR.
SULAIMAN MAHBOB Berita disunting daripada sumber : Utusan Malaysia Posted by Cikgu
Nik
Mie
at
11:19
PM
Copy and WIN : http://bit.ly/copynwin

Anda mungkin juga menyukai