Anda di halaman 1dari 3

Yang berusaha, ahli jawatankuasa program motivasi 'Permata Hati', yang dihormati

guru-guru serta pelajar-pelajar SMK Dato Syed Esa yang dikasihi sekalian.
Assalamualaikum dan selamat sejahtera,
Terlebih dahulu, marilah kita bersama-sama mengucapkan kesyukuran kepada
Tuhan kerana pada pagi yang ceria ini, kita dapat bersama-sama dalam program
motivasi 'Permata Hati' yang sangat bermanfaat kepada pelajar-pelajar tingkatan 3
dan 5 yang akan menduduki peperiksaan PMR dan SPM tidak beberapa lama lagi.
Apa yang ingin saya kongsikan pada hari ini ialah tentang 'Ciri-ciri Pelajar
Cemerlang'.
Hadirin dan hadirat yang saya hormati sekalian,
Semua insan inginkan kecemerlangan dalam kehidupan mereka. Malah, semua
pelajar yang berada di dalam Dewan Budiman yang permai ini juga ingin menjadi
pelajar yang cemerlang. Pendek kata, semua pelajar ingin cemerlang dalam semua
bidang yang diceburi. Contohnya, sudah pasti pelajar ingin cemerlang dalam bidang
akademik, kokurikulum, sahsiah dan sebagainya. Pelajar cemerlang umpama benih
yang baik, campak ke laut menjadi pulau. Persoalanya, apakah sebenarnya ciri-ciri
pelajar cemerlang? Bagaimanakah caranya untuk menjadi cemerlang? Apakah
pelajar di hadapan saya ini pelajar yang cemerlang? Bersedialah wahai pelajarpelajar, kerana sebentar lagi kita akan bersama-sama mengupas tajuk ciri-ciri pelajar
yang cemerlang.
Para pelajar yang disayangi,
Memang tidak dapat dinafikan, ciri pelajar cemerlang yang sering ditonjolkan
ialah dari segi pencapaian akademik. Pelajar cemerlang akan berusaha untuk
memastikan pecapaian akademik mereka sentiasa memberangsangkan dalam setiap
ujian dan peperiksaan. Contohnya, pelajar cemerlang akan mengutamakan
pembelajaran menerusi aktiviti terancang di bilik darjah, dan pembelajaran kendiri
serta bersama kumpulan sebaya di luar bilik darjah. Pelajar cemerlang sentiasa
menggembleng segala potensi dan fakulti yang ada dalam diri mereka bagi
memperoleh hasil pembelajaran yang optimum. Mereka menetapkan matlamat
pembelajaran yang munasabah, dan berusaha untuk mencapainya. Dengan itu,
pelajar cemerlang akan mengenepikan sebarang bentuk gangguan bagi memastikan
pencapaian akademik mereka sentiasa cemerlang.
Selain itu, semasa di bilik darjah, pelajar cemerlang sentiasa memberi tumpuan
terhadap aktiviti pembelajaran terancang bersama guru. Sebagai contoh, pelajar
cemerlang akan menunjukkan motivasi pembelajaran yang maksimum dengan
memberi kerjasama dan perhatian yang tidak berbelah bahagi. Mereka tidak mudah
dipengaruhi hasutan negatif sama ada yang datang daripada dalam diri sendiri
mahupun persekitarannya. Pelajar cemerlang tidak meletakkan terlalu banyak syarat
dalam pembelajaran supaya semuanya berkenan di hati. Mereka tidak bersifat
sentimental dengan terlalu banyak berharap tentang guru yang sempurna atau
persekitaran bilik darjah yang sempurna. Mereka mampu bertahan dalam iklim
pembelajaran yang seadanya.
Demikian juga apabila melaksanakan tugasan kumpulan, mahupun menyertai
kumpulan belajar, pelajar cemerlang menampilkan peranan yang seimbang, iaitu tidak
terlalu menonjol dan tidak hanya sebagai penumpang. Mereka mungkin memiliki

banyak idea, tetapi bersabar mendengar idea rakan sekumpulan. Pelajar cemerlang
tidak cuba berlagak menguasai perbincangan, tetapi kelihatan sebagai pemimpin
yang boleh dipercayai dan adil. Mereka datang dengan persediaan yang mencukupi,
bukan dengan tangan kosong. Maka, kehadiran pelajar cemerlang dalam mana-mana
aktiviti pembelajaran berorientasi kumpulan sentiasa meninggalkan impak, bukan
sekadar melukut di tepi gantang, datang tidak menambah, pergi tidak disuruh.

Guru-guru dan pelajar-pelajar sekalian,


Selanjutnya ialah, pelajar cemerlang juga meletakkan sasaran yang tinggi dalam
peperiksaan awam. Sasaran yang dibuat bukan sekadar cakap kosong, tetapi
dibuktikan menerusi strategi dan usaha yang optimum. Mereka tidak bergantung
kepada soalan ramalan, tetapi lebih fokus terhadap perancangan jawapan yang
menepati tugasan soalan. Pelajar cemerlang menggunakan segala pengalaman
pembelajaran di bilik darjah untuk mematuhi segala kehendak sukatan pelajaran yang
menjadi asas penggubalan item soalan peperiksaan awam. Dengan meletakkan
sasaran yang tinggi dari segi peperiksaan awam, pelajar cemerlang berpeluang
mengintai peluang melanjutkan pengajian dalam bidang yang diklasifikasikan sebagai
kritikal dan menjadi rebutan, di samping melamar tempat di institut pengajian tinggi
terkemuka dengan tajaan biasiswa yang berprestij.
Apakah tindakan ke sana ke mari dengan buku sehingga digelar sebagai 'ulat
buku' merupakan ciri pelajar yang cemerlang? Sebenarnya, Pelajar cemerlang tidak
rela dicop atau dilabel sebagai ulat buku semata-mata. Mereka juga menunjukkan
pencapaian yang tinggi dalam bidang kokurikulum. Sebenarnya bidang kokurikulum
ialah pelengkap kepada aktiviti kurikulum di bilik darjah. Aktiviti kokurikulum ialah
wahana bagi aplikasi pengetahuan dan kemahiran kurikulum. Pelajar cemerlang
menjadikan aktiviti kokurikulum sebagai kesempatan bagi menggilap bakat
kepimpinan, memupuk semangat suka rela dalam perkhidmatan sosial dan mendekati
aktiviti kebajikan. Pelajar cemerlang akan menggunakan kapasiti diri sama ada
sebagai pemimpin, peserta atau petugas dalam aktiviti kelab, persatuan, unit pakaian
seragam, permainan dan sukan. Mereka sentiasa cuba mencari pengalaman dengan
mengamalkan sikap ringan tulang dalam membantu pihak sekolah menjayakan
sebarang aktiviti kokurikulum.
pelajar-pelajar yang dikasihi sekalian,
Disiplin asas kejayaan. Oleh itu, pelajar cemerlang juga sinonim dengan
amalan disiplin yang tinggi. Mereka tidak kisah jika digelar sebagai pelajar skema
yang akur dengan segala peraturan sekolah. Walaupun mungkin kelihatan berbeza
dari segi penampilan dan tingkah laku, pelajar cemerlang tidak berasa kekok untuk
bergaul dan berkomunikasi dengan rakan yang sinikal, mahupun rakan yang kurang
beruntung. Pelajar cemerlang akan berusaha untuk muncul sebagai peribadi rujukan
yang mampu mempengaruhi lebih ramai pelajar supaya bersikap positif dalam
menimba pengalaman pembelajaran di sekolah. Mereka tidak perlu membutirkan
tunjuk ajar, sebaliknya cukup dengan pencapaian dan tingkah laku yang disenangi.
Sebagai contoh, pelajar cemerlang mementingkan ketepatan masa, dan sentiasa
melaksanakan sesuatu tugasan sesempurna mungkin. Setiap kali diberi tugasan,
pelajar cemerlang tidak melaksanakannya dengan sambalewa semata-mata seperti
"melepaskan batuk di tangga". Jelaslah prinsip pelajar cemerlang ialah
mementingkan disiplin dalam memacu kecemerlangan hidup mereka.

Seterusnya, pelajar cemerlang juga perlu menampilkan sahsiah dan budi


pekerti yang mulia dan murni. Percakapan mereka dihiasi dengan sopan santun
bagaikan butir-butir mutiara yang berharga. Rakan akan berasa selamat dan
dilindungi kerana mereka akan hanya mendengar hal yang baik-baik, serta tidak
mengalami provokasi yang tidak berfaedah. Sudah tentu, sebagai manusia biasa,
pelajar cemerlang tetap memiliki kelemahan tertentu, tetapi mereka akan cuba
melakukan kawalan sebaik mungkin supaya tidak mendatangkan mudarat kepada
mana-mana pihak.

Akhirnya, satu lagi ciri yang sangat penting ialah, pelajar cemerlang
sentiasa berpegang teguh pada tali agama. Kepercayaan dan kepatuhan kepada
suruhanNya sepatutnyalah menjadi perkara utama dalam kehidupan ini. Contohnya,
pelajar yang cemerlang sentiasa berusaha melaksanakan suruhan Tuhan dan
menjauhi larangannya. Malah pegangan agama yang kukuh menjadi penyuluh dan
petunjuk jalan dalam kehidupan pelajar supaya sentiasa berada pada jalan
kebenaran. Hal ini demikian kerana, pelajar yang cemerlang sentiasa meninginkan
kecemerlangan di dunia dan di akhirat.
Sebagai kesimpulannya, pelajar cemerlang memiliki sejumlah kualiti diri yang
tinggi dari segi akademik, kokurikulum, disiplin, sahsiah dan pegangan agama.
Mereka menepati ciri-ciri modal insan minda kelas pertama yang disebut sebagai hala
tuju pendidikan negara. Mereka menjadi harapan negara untuk meletakkan daya saing
negara di pentas antarabangsa. Oleh itu pelajar cemerlang haruslah sentiasa
berusaha melakukan penambahbaikan setiap masa dan jangan sesekali menganggap
bahawa diri mereka serba sempurna.
Sebelum saya menamatkan ceramah pada hari ini, saya percaya tentu pelajarpelajar yang berada di hadapan saya ini sedang tertanya-tanya kepada diri sendiri.
Antara persoalan yang mundar-mandir di minda ialah adakah ciri-ciri yang telah
dinyatakan tadi dalam diriku? Mampukah saya menggarab ciri-ciri kecemerlangan
tersebut. Jawapanya ialah, jika hanya satu atau dua ciri sahaja yang ada dalam diri
pelajar-pelajar ketika ini, syabas dan tahniah saya ucapkan. Satu permulaan yang
baik dan teruskan untuk mencapai ciri-ciri kecemerlangan itu. Saya percaya dan
penuh keyakinan bahawa semua pelajar akan mampu menjadi pelajar yang cemerlang
dalam pelbagai bidang. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Tepuk dada tanya
selera.

Sekian. Terima Kasih.

Anda mungkin juga menyukai