Anda di halaman 1dari 3

Wanita, Bersediakah Anda Menjadi Penyejuk Mata?

SEL, 23 OGO 2011 14:20 | MYILHAM.COM | ITQAN11


"Wahai Tuhan kami, kurniakanlah kepada kami dari isteri-isteri kami
dan anak pinak kami, penyejuk mata kami, dan jadikanlah kami
penghulu bagi orang-orang bertaqwa."
Ya. Penyejuk mata. Suatu perkara yang tidak
pernah kita lupa untuk pohon setiap kali kita
menadah tangan berdoa. Kenapa Allah Ta'ala
suruh kita minta penyejuk mata? Sebabnya,
itulah yang bakal menjamin ketenangan dan
kebahagiaan kita dalam kehidupan nanti.
Bagaimana kalau nantinya ada isteri, tetapi
seringkali
menyakitkan
hati
kita,
raut
wajahnya langsung tidak mendamaikan kita, tingkah lakunya ada
sahaja yang tidak kena di mata kita. Adakah kita akan bahagia?
Bagaimana pula kalau nantinya ada anak. Comel-comel belaka, tetapi
wujudnya mereka begitu menyusahkan kita, sikap mereka kerapkali
melukakan hati kita, kedegilan mereka selalu sahaja membuatkan kita
hilang sabar dan sakit hati sentiasa. Adakah kita beroleh ketenangan?
Tentu sekali tidak.
Lantas, kita dianjurkan supaya berdoa. Minta supaya Allah beri
pasangan yang mendamaikan hati dan perasaan kita, serta zuriat yang
boleh menjadi penyejuk mata kita. Mudah-mudahan, Allah makbulkan
doa dan permintaan kita.
Suatu lontaran untuk para wanita hari ini, khususnya yang belum
berumahtangga.
Sedarkah anda, bahawa bakal teman hidup anda setiap hari berdoa
supaya anda menjadi penyejuk mata mereka? Sedarkah anda, bahawa
mereka tidak pernah melupakan anda dalam setiap doa mereka?
Tidak. Saya tidak maksudkan anda mengenali mereka atau mereka
mengenali anda.
Tetapi hakikatnya, mereka mendoakan anda yang bakal hadir dalam
hidup mereka suatu ketika nanti. Sayangnya, anda mungkin terlupa
lantaran anda tidak kenal siapa mereka. Kerana itu juga, anda kurang
mengambil berat tentang persediaan anda untuk menjadi penyejuk
mata mereka.

Penyejuk mata?
Sungguh, ia bukan tugas yang mudah. Kalau anda fikir ia akan berhasil
dengan anda berhias diri, memakai wangian dan berbaju cantik di
hadapan mereka setiap hari, sesungguhnya anda silap sama sekali.
Anda harus sedar, ramai sekali golongan cantik dan menawan di luar
sana yang gagal untuk menjadi penyejuk mata kepada suami mereka.
Bahkan sebahagian besar dari mereka berakhir dengan perceraian.
Semoga dijauhkan Allah.
Menjadi penyejuk mata suami, prosesnya bermula hari ini.
Tilik kembali diri anda. Zahiriah dan batiniah. Kedua-duanya.
Pertama sekali, bagaimana hubungan anda dengan Allah? Solat
wajib dan sunat. Bacaan al-Quran. Zikir munajat. Selawat serta
amalan-amalan yang lain. Berapa peratus yang telah anda capai dan
lakukan secara istiqamah? Tahukah anda, faktor paling besar yang
menentukan samada anda berjaya atau tidak menjadi penyejuk mata
suami adalah; cemerlang atau tidak hubungan anda dengan Allah?
Justeru, perbaiki dari sekarang.
Kedua, sikap dan perangai. Carilah seorang kawan yang jujur dan
yang anda kira agak rapat serta kenal dengan anda. Sekiranya anda
yakin akan kejujurannya, minta pandangannya tentang diri anda,
terutama tentang sikap dan perangai. Jika anda dapati diri anda masih
dibelenggu sikap meninggi diri, degil, ego yang tinggi, kurang rasa
hormat pada orang, suka mengumpat, pemalas dan seribu satu sikap
negatif yang lain, maka perkara pertama yang wajib anda buat
adalah ; kikis sedaya upaya semua sikap tersebut dari terus melekat
dalam diri anda. Percayalah, ia antara faktor yang bakal menggagalkan
anda dari menjadi penyejuk mata suami.
Ketiga,
lihat
balik
luaran
diri
anda.
Khususnya
pemakaian. Sempurnakah anda dalam menutup aurat? Jika masih
selesa bertudung ringkas, berbaju t-shirt lengan sekerat dan berseluar
jeans separa ketat, maka percayalah anda bakal bertemu kegagalan.
Itupun sekiranya anda mempunyai hasrat untuk bergelar penyejuk
mata suami.
Tidak, ini bukan soal suami anda islamik atau tidak, mengambil berat
semua perkara itu atau tidak. Ia adalah soal Si Pemberi
Ketenangan, iaitu Allah. Kalau Dia tak bagi, siapa lagi yang boleh
bagi?
Mudahnya begini. Doa itu kan permintaan kita dengan Allah.
Contohnya, kita minta supaya Allah terangkan hati kita supaya mudah

belajar. Tetapi kita tidak berhenti dari tabiat suka minum arak. Mana
mungkin Allah akan berikan ketenangan itu pada hati kita yang gelap?
Sama juga. Suami minta pada Allah, berikan dia penyejuk mata supaya
dia beroleh tenang dalam hidup. Tetapi kita pula melazimi maksiat dan
penderhakaan kepada Allah. Aurat kita terdedah setiap hari. Akhlak
kita langsung tiada ciri isteri mithali. Hubungan kita dengan Allah
lompong di sana sini. Lantas, adakah kita layak untuk menduduki
tempat 'penyejuk mata' tersebut? Bagaimana pula kita yang jauh dari
Tuhan, boleh menjadi penyejuk mata manusia?
Sekadar lontaran buat kaum hawa. Ramai di antara anda mahu
menjadi isteri solehah suatu ketika nanti. Tetapi usaha ke arah itu
masih lemah. Perbaikilah dari sekarang. Bisikkan ke dalam hati anda
setiap hari, bahawa anda bakal menjadi penyejuk mata kepada
seorang lelaki yang baik suatu ketika nanti. Lelaki itu pula setiap masa
mendoakan anda supaya berjaya menjadi penyejuk mata mereka
suatu masa nanti. Besar harapan mereka, sanggupkah anda hancurkan
begitu sahaja?
Jadi mulai hari ini, berusahalah untuk menjadi penyejuk mata suami.
Sebenarnya, andai anda mampu melaksanakan langkah pertama yang
saya sebut di atas ; iaitu memperbaiki hubungan anda dengan Allah,
maka anda sebenarnya telah berjaya melepasi separuh masa pertama
piala kemenangan untuk bergelar isteri solehah penyejuk mata
suami.
Justeru, selamat berjaya, wahai para penyejuk mata!

Anda mungkin juga menyukai