Anda di halaman 1dari 13

PENGENALAN

Bahasa merupakan aspek penting dalam kehidupan setiap manusia. Hal ini kerana bicara
manusia wujud berdasarkan bahasa. Tanpa bahasa yang jelas dan bermakna proses komunikasi
tidak akan berlaku dan terganggu. Jalinan bahasa yang terjadi antara setiap penutur memerlukan
persefahaman dan kefahaman dalam mengungkapkan makna. Komunikasi yang berkesan turut
melibatkan penggunaan kata atau ayat yang berstruktur. Ayat yang berstruktur merupakan ayat
yang menitikberatkan tentang sistem tatabahasa bahasa Melayu atau lebih dikenali sebagai
penghasilan ayat-ayat gramatis.
Dalam bahasa Melayu, terdapat satu bidang yang mengkaji secara mendalam tentang
makna setiap apa yang diujarkan atau dituturkan oleh si penutur untuk menghasilkan komunikasi
yang berkesan. Bidang tersebut adalah bidang semantik. Secara umumnya, istilah semantik
adalah istilah yang digunakan untuk merujuk kepada perkembangan dan perubahan makna dalam
bahasa. Di samping itu semantik turut dikenali sebagai bidang kajian yang berkaitan dengan
makna kata dan ayat.
Kepentingan untuk mempelajari atau memiliki pengetahuan berkenaan ilmu semantik
khususnya kepada penggiat bahasa merupakan perkara yang sangat perlu. Hal ini kerana sebagai
individu yang mempelajari atau mengkaji tentang bahasa keutamaan tentang kebenaran setiap
ujaran yang dituturkan akan mendapat perhatian daripada pelbagai pihak sama ada secara formal
atau tidak formal. Bak kata pepatah melayu rumah telah siap pahat masih berbunyi .
Berdasarkan pepatah tersebut, seseorang individu yang melibatkan diri dalam bidang bahasa,
seharusnya tahu dan mengamalkan sistem bahasa dengan betul tanpa kesalahan-kesalahan sama
ada yang dianggap remeh mahupun terperinci.
Oleh itu, bidang semantik seharusnya dijadikan panduan dalam setiap tutur bicara yang
diungkapkan. Jika dilihat dari konsep masyarakat pula, semantik dianggap penting kerana, bagi
memahami sesuatu yang diujarkan penutur yang menyampaikan maklumat hendaklah
menyatakan ayat yang bermakna untuk difahami oleh pendengar. Sekiranya pertuturan tersebut
tidak difahami maka keberkesanan proses komunikasi tidak berlaku seperti yang diperlukan
antara kedua-dua pihak.

Selain daripada semantik, sistem tatabahasa bahasa Melayu turut mementingkan sistem
penulisan yang betul berdasarkan tatabahasa bahasa Melayu mengikut piawaian yang telah
disediakan. Komponen yang berkaitan dengan susunan tatabahasa yang betul dikenali sebagai
wacana. Wacana merupakan satu kesatuan idea yang dituturkan atau diujarkan sama ada dalam
bentuk lisan atau tulisan. Antara ciri-ciri wacana yang diambil kira dalam penulisan atau lisan
bahasa Melayu adalah gaya bahasa, jenis ungkapan ayat yang digunakan, unsur-unsur susun atur,
dan sebagainya.
Penggunaan wacana yang tepat dalam penulisan atau lisan akan memudahkan lagi
pendengar memahami apa yang dituturkan oleh orang yang menyampaikan maklumat. Hal ini
kerana, ayat yang diujarkan menggunakan gaya bahasa yang sesuai serta mampu menimbulkan
kesan dialek sosial dalam pertuturan. Selain itu, kesinambungan ayat-ayat yang dibina juga dapat
memperincikan lagi kefahaman pembaca atau pendengar tentang sesuatu perkara yang
disampaikan.
Setiap wacana mempunyai penanda yang juga dikenali sebagai penanda wacana. Penanda
wacana ialah perkataan atau pun rangkaian perkataan yang berfungsi menghubungkan sesuatu
idea, hujah, dan pandangan seseorang semasa menulis atau pun berucap. Antara fungsi penanda
wacana ialah sebagai tambahan, urutan, penyataan semula, untuk menunjukkan sebab, kesan
waktu dan tempat serta berfungsi untuk membuat bandingan serta rumusan sesuatu wacana.
Sebagai individu yang menggunakan bahasa Melayu sebagai pertuturan seharian,
pengetahuan tentang setiap aspek yang terdapat dalam bahasa Melayu seperti semantik, wacana,
psikolinguistik dan banyak lagi haruslah dimiliki oleh setiap individu tersebut. Penggunaan ayat
yang betul sama ada dalam bentuk lisan atau tulisan dapat menggambarkan bahawa seseorang
individu itu memiliki pengetahuan tentang sistem tatabahasa bahasa Melayu yang dapat
memberikan keberkesanan sosial antara sesama masyarakat.

BAHAGIAN A

PEMINJAMAN BAHASA TELAH MEMPERKAYA BAHASA MELAYU. BINCANGKAN


SECARA KRITIS.

Bermula pada kelahiran seorang manusia yang masih bayi, ia akan menangis untuk
menyatakan sesuatu kepada orang yang paling dekat dengan dirinya. Tangisan itulah lamakelamaan berganti menjadi arus bunyi yang membawa makna dan akan bertambah lengkap serta
rumit sehinggalah manusia meninggalkan dunia yang fana ini. Itulah yang dikenali sebagai
bahasa sehingga pada umumnya, dapatlah disimpulkan bahawa bahasa sangat berkait rapat
dengan manusia atau sentiasa ada bersama dengan manusia. Simpulan ini bukan hanya sekadar
simpulan yang tidak mempunyai dasar, malah dasar tersebut adalah bahasa merupakan sarana
komunikasi antara sesama manusia.
Seperti yang telah tertulis sejak azali lagi, setiap benda hidup di dunia ini adalah sering
memerlukan. Sebagai contoh, burung helang yang sering menjadikan ayam sebagai mangsanya.
Namun begitu, selagi mampu bertahan sang ayam tidak akan sekali-kali menyerah kalah
terhadap sang helang. Sang ayam akan berusaha sedaya upaya melarikan diri dari pemangsanya.
Oleh itu dapatlah dilihat dalam situasi ini bahawa, komunikasi antara sang ayam dan sang helang
berlaku dengan menggunakan bahasa haiwan itu sendiri. Dapatlah juga diungkapkan bahawa jika
dibandingkan dengan manusia adalah jauh lebih lengkap untuk mengungkapkan fikiran, bahasa,
dan perasaan, berbanding bahasa haiwan atau simbol yang lain.
Fenomena unsur serapan atau pinjaman dalam bahasa Melayu merupakan antara aspek
penting yang perlu diketahui oleh seseorang penutur bahasa Melayu itu. Seperti yang kita telah
sedia maklum, kewujudan unsur serapan atau pinjaman ini merupakan suatu proses pengayaan
bahasa Melayu sekiranya dipandang dari sudut positif. Selain itu penyerapan kata asing dalam
bahasa Melayu juga bertujuan untuk menggantikan kosa kata yang tidak terdapat dalam bahasa
Melayu untuk dijadikan perkataan yang sesuai penggunaanya dalam bahasa Melayu.

Antara bahasa asing yang terkenal menjadi pinjaman dalam bahasa Melayu adalah bahasa
Sanskrit. Pengaruh bahasa Sanskrit berlaku ketika zaman bahasa Melayu kuno iaitu abad ke 7
hingga ke 13. Bahasa Sanskrit dibawa oleh pedagang India dan sami serta pendeta agama Hindu
dan Buddha. Pengaruh bahasa Sanskrit ke dalam kosa kata bahasa Melayu antaranya ialah
bahasa, bicara, guru, cinta, duka, merdu, setia, bahu, kepala, lidah, senja, permata, emas,
keranda, ayah, isteri , janda, suami, menteri, dosa pahala, asmara, bahaya, rahsia, bumi,
cahaya, suria, tanah, melor, seroja, hari, masa. Selain itu imbuhan daripada bahasa Sanskrit juga
turut wujud dalam pinjaman bahasa Melayu. Sebagai contoh imbuhan tersebut adalah eka, dwi,
maha, pra, swa, tata, tuna, wan, man, wait, nita. Manakala bagi sistem bunti pula, pengaruh
bahasa Sanskrit terhadap bunyi bahasa Melayu adalah seperti dw/, /sw/, /sy/.
Selain itu, pengaruh bahasa Arab juga turut memainkan peranan penting dalam pinjaman
asing bahasa Melayu. Pengaruh bahasa Arab meresap ke dalam bahasa Melayu dengan
kedatangan Islam ke alam Melayu oleh pedagang dan pendakwah Arab. Proses pengislaman
orang Melayu berjalan lancar kerana apabila pihak istana memeluk islam maka rakyat jelata turut
mengikutinya. Proses pengislaman bukan sahaja mengubah kepercayaan agama, tetapi juga
memberi kesan kepada budaya, sastera dan bahasa orang Melayu. Pengaruh bahasa Arab lebih
dominan dalam bahasa Melayu berbanding bahasa Sanskrit kerana bahasa Arab banyak
mempengaruhi bab-bab berkaitan hukum kehidupan manusia. Sebagai contoh, pengaruh bahasa
Arab terhadap tulisan bahasa Melayu. Pengaruh bahasa Arab yang terpenting ialah terciptanya
tulisan jawi. Tulisan jawi yang diambil daripada askara Arab dan ditambah dengan 6 huruf
digunakan dalam tulisan untuk bahasa Melayu. Dengan adanya tulisan jawi, maka karya sastera
islam, kitab agama dapat dihasilkan dalam bentuk tulisan. Dari aspek pengaruh bahasa Arab
terhadap kosa kata bahasa Melayu pula adalah berdasarkan hal-hal yang membicarakan tentang
agama khususnya dan hal-hal lain amnya. Contohnya adalah seperti doa, hadis, haji, kiblat,
murtad, rukuk, hisab, ilmu, sejarah, soal, tarikh, akal, faham, fakir, halal, haram, zalim, akad,
fitnah, hormat, kaum, kerabat, maaf, salam sedekah, tahniah,akhirat, alam, haiwan, dunia, wajah,
wujud, roh dan banyak lagi.
Di samping itu, bahasa Parsi juga antara pinjaman kata asing yang mempengaruhi bahasa
Melayu. Bahasa Parsi yang mana seperti bahasa Arab, pengaruh bahasa Parsi dalam bahasa
Melayu dikaitkan dengan kedatangan Islam ke alam Melayu. Kebanyakan pengaruh bahasa Parsi

lebih tertumpu dalam lapangan kesusasteraan dan gelaran raja-raja dan adat pertabalan seperti
Syah, nobat dan sebagainya. Antara kosa kata bahasa Parsi dalam bahasa Melayu ialah agar,
andai, andam, baju, banjir, beriani, cokmar, dewan, gandum, garam, istana, juadah, kamar,
kahwin, kelasi, kebab, laksa, nakhoda, nisan, pinggan, seluar, takhta, seruling, pelana, pahlawan,
lawak, pesona, piala. Bagi imbuhan bahasa Parsi dalam bahasa Melayu ialah imbuhan bi yang
bermaksud tidak seperti biadab (tidak beradab), bitara (tiada tara).
Bahasa Jawa juga merupakan antara bahasa yang menjadi penyumbang dalam kata
pinjaman bahasa Melayu. Penyebaran bahasa Jawa ke alam Melayu berlaku ketika pemerintahan
kerajaan Majapahit melalui kesusasteraan jawa iaitu cerita panji, selain penghijrahan orangorang Jawa ke alam Melayu. Antara kosa kata Jawa yang terdapat dalam bahasa Melayu adalah
adegan, awet, ayu, bagus, beres, calon, duda, enak, garing, gembleng, kaget, keringat, keruan,
ketara, kiai, lakon, lapor, lontong, lumayan, lumrah, lurah, matang, pamer, perabot, prihatin,
rawat, saring, sering, tulen.
Bahasa lain yang turut memperkaya bahasa Melayu adalah bahasa Cina. Oleh sebab
kebanyakan orang Cina yang datang ke Tanah Melayu berasal dari daerah selatan (Hokkien dan
Canton), maka kebanyakan kosa kata yang dipinjam berasal dari dialek bahasa daerah tersebut.
Antara kosa kata bahasa Cina dalam bahasa Melayu ialah camca, pongkes, cawan, teko, beca,
abah, amoi, apek, encik, tauke, bohsia, beng, suun, kuaci, lobak, tauhu, tocang, gincu, amah,
pisau, tong, loceng kicap, laici, cincau, dacing, mihun, pau, cat, inci, sampan, tauge.
Seperti yang kita telah sedia maklum, Malaysia merupakan negara yang terkenal denga
jolokan masyarakat pelbagai kaum. Oleh itu, secara tidak langsung pengaruh bahasa-bahasa
daripada kaum tersebut juga memainkan peranan penting dalam memperkaya kosa kata bahasa
Melayu. Begitu juga dengan bahasa Tamil yang turut mempengaruhi pengayaan bkosa kata
bahasa Melayu di samping menambahkan lagi bilangan penggunaan perkataan-perkataan bahasa
Melayu, walaupun jumlah bahasa Tamil dalam bahasa Melayu agak sedikit. Sebahagiannya pula
merupakan pinjaman atas pinjaman iaitu bahasa Tamil yang dipinjam daripada bahasa asing
kemudian dipinjam pula oleh bahasa Melayu. Antara bahasa Tamil yang dipinjam ke dalam
bahasa melayu ialah ceti, kapal, kedai, mempelam, bagai, kawal, modal, kolam, ayah, kakak,
apam, canai, coli, gudang, gerudi, guni, ketumbar, kuli, nelayan, nilam, sami, ragam, tali,
tembikai, emak, jodoh, kari, pondan, pinggan.

Bagi bahasa Inggeris pula, pengaruh bahasa Inggeris mula bertapak ke dalam bahasa
Melayu bermula pada abad ke-18, iaitu bermulanya penjajahan Inggeris. Pengaruh bahasa
Inggeris begitu dominan dan menguasai bahasa Melayu terutama dalam bidang ekonomi,
pentadbiran, dan masyarakat disebabkan oleh beberapa factor. Antara faktor tersebut adalah
dasar penjajah yang lebih mementingkan bahasa Inggeris berbanding Bahasa Melayu, bahasa
Inggeris dijadikan bahasa rasmi oleh penjajah Inggeris, pendidikan Inggeris mempengaruhi
penduduk berbilang kaum di Tanah Melayu, peranan bahasa Inggeris sebagai bahasa
antarabangsa, dan sikap orang Melayu sendiri yang lebih mengagungkan bahasa Inggeris
berbanding bahasa Melayu. Bahasa melayu banyak meminjam kosa kata bahasa Inggeris bagi
meningkatkan keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu terutama dalam bidang sains dan
teknologi. Antara contoh kosa kata bahasa Inggeris yang digunakan dalam bahasa melayu ialah
aiskrim, agensi, automatik, demokrasi, enjin, gimik, idea, imej, faktor, nitrogen, lori, paip, radio,
rizab, subjek, plastik, rubela, tayar, teknologi, saman, sepana, tiub, tuisyen, universiti, unit,
yogurt, yoyo,

dan zip. Pengaruh bahasa Inggeris terhadap peribahasa bahasa Melayu pula

antaranya adalah work load (beban kerja), honey moon (bulan madu), film star (bintang filem),
black and white (hitam putih). Pengaruh bahasa Inggeris terhadap imbuhan bahasa Melayu pula
adalah seperti anti kemajuan, anti penjajah, anti-Inggeris, automatic, autimobil, makroekonomi,
mikroekonomi,monopoli,

multimedia,

poligami,

prokerajaan,

subtajuk,

supranasional,

ultrabunyi, klinikal, defendan, geografi, kaunter, detektif, automatik, artis, Zionisme, kronologi,
koleksi, mentality, editor. Manakala pengaruh bahasa Inggeris terhadap sistem tulisan bahasa
Melayu berlaku apabila bahasa Inggeris menguasai bahasa Melayu, maka tulisan rumi telah
diterima dan menggantikan tulisan jawi.
Secara konklusinya, bahasa Melayu memerlukan pinjaman bahasa asing dalam
mengukuhkan fungsinya yang merangkumi pelbagai bidang ilmu. Tidak dapat dinafikan Bahasa
Melayu telah mengalamai perkembangan yang terancang dari tahun 1950 sehinggalah sekarang
yang banyak digerakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka bagi memartabatkan Bahasa Melayu
sebagai bahasa kebangsaan, pendidikan, pengantar, pentadbiran serta mencakupi banyak bidang
ilmu. Disamping itu juga, kajian penulisan yang dilaksanakan mendapati Bahasa Melayu tidak
lari daripada berhadapan dengan isu-isu terutamanya selepas 1990-an, bermula kepada konsep
asas, iaitu Bahasa Melayu atau Bahasa Malaysia, peranan dalam pembangunan negara,
persaingan dengan Bahasa Inggeris dalam pendidikan dan bnayak lagi yang disifatkan mengugat

kedudukan Bahasa Melayu berikutan penelitian status dimata masyarakat selepas 56 tahun
merdeka.

BAHAGIAN B

MEMARTABATKAN BAHASA MELAYU UNTUK BERSAING DENGAN BAHASABAHASA LAIN DIDUNIA. BINCANGKAN.

Bahasa Melayu merupakan salah satu bahasa yang penggunaannya sangat meluas dan
bilangan penuturnya sangat besar. Dianggarkan lebih 300 juta orang di seluruh dunia boleh
bertutur dalam bahasa Melayu. Sejarah pertumbuhan dan perkembangan bahasa Melayu
membuktikan bahawa bahasa Melayu pernah diangkat sebagai bahasa lingua franca di Asia
Tenggara, khususnya pada zaman kemasyhuran Kesultanan Melayu Melaka. Pada hari ini,
bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan di Malaysia, Indonesia,
Singapura dan Brunei. Di Malaysia, bahasa Melayu dimartabatkan dalam Perlembagaan
Persekutuan (Perkara 152) yang menyatakan bahawa bahasa Melayu ialah bahasa rasmi negara.
Atas faktor tertentu, bahasa Melayu dikenali juga sebagai bahasa Malaysia.
Oleh yang demikian sebagai penutur jati bahasa Melayu, rakyat Malaysia khasnya
memartabatkan bahasa Melayu di mata dunia bukanlah tugas pihak tertentu sahaja malah
keseluruhan rakyat Malaysia bertanggungjawab terhadap hal ini. Antara usaha untuk
memartabatkan bahasa Melayu adalah dengan memupuk kesedaran tentang pentingnya bahasa
Melayu kepada anak-anak sejak kecil. Oleh itu, kesedaran tersebut perlulah ditanam dalam diri
anak-anak seawal usia mereka lagi. Dalam hal ini sudah tentu peranan tersebut perlu dimainkan
oleh ibu bapa dan guru-guru. Sebagai contohnya, ibu bapa perlulah menggunakan bahasa Melayu
yang betul apabila bertutur dengan anak-anak. Ibu bapa juga haruslah menerangkan kepentingan
bahasa Melayu di negara kita dan juga sejarah bahasa Melayu yang telah dijadikan lingua franca
pada zaman keagungan kerajaan Melayu Melaka pada kurun ke-15. Sekiranya kesedaran ini

dapat dipupuk sejak kecil, bak kata pepatah, Kalau hendak melentur buluh biarlah dari
rebungnya. sudah pasti hasilnya akan berkekalan hingga dewasa dan sampai bila-bila.
Selain itu, melalui kempen dan peranan media massa juga merupakan usaha yang boleh
digunakan bagi memartabatkan bahasa Melayu. Pihak berkuasa yang bertanggungjawab dalam
perkara ini perlulah menjalankan kempen untuk memartabatkan bahasa Melayu. Pihak yang
bertanggungjawab dalam hal ini seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang mana haruslah
menjalankan kempen yang berkesan untuk memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat agar
cinta akan bahasa Melayu. Sebagai contohnya, pihak DBP perlu bekerjasama dengan pihak
sekolah dan institusi pengajian tinggi awam atau swasta yang lain untuk menjalankan aktiviti
yang menjurus ke arah memartabatkan bahasa Melayu. Media massa turut memainkan peranan
untuk memartabatkan bahasa Melayu dalam kalangan anggota masyarakat. Hal ini demikian
kerana, media massa memang berkesan dalam mempengaruhi orang ramai. Oleh hal yang
demikian, sudah pasti perkara ini akan membuahkan hasil dan dapat meningkatkan
penggunaannya dalam kalangan masyarakat di negara kita. Sekiranya penggunaan bahasa
Melayu semakin meluas digunakan sudah tentu bahasa ini setanding dengan bahasa-bahasa lain
di dunia. Perkara ini dapatlah disamakan seperti kata pepatah, Duduk sama rendah, berdiri sama
tinggi dengan bahasa-bahasa antarabangsa yang lain di dunia ini.
Seterusnya, akta yang mewajibkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa
kebangsaan menurut Akta 32 iaitu Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67, pindaan 1994, perlulah
diperkasakan. Dengan perkataan lain, kerajaan perlulah menguatkuasakan akta parlimen ini iaitu
akta yang mewajibkan penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi dan pada papan tanda
atau iklan. Secara tidak langsung, pihak swasta juga perlu patuh akan akta atau undang-undang
yang berkaitan dengan penggunaan bahasa Melayu ini. Hal ini dibuktikan melalui kenyataan
Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka pada 18 Oktober 2009, iaitu Pejabat Peguam Negara
sedang meneliti pindaan Akta Bahasa Kebangsaan 1963 Dan Akta Pendidikan 1996 bagi
memberi kuasa kepada DBP untuk mendenda sektor awam dan agensinya yang tidak
menggunakan bahasa Melayu dalam urusan mereka seperti pengendalian mesyuarat, penyediaan
minit mesyuarat, urusan surat-menyurat dan majlis rasmi. Perkara ini perlu dipandang serius oleh
semua pihak kerana kesalahan penggunaan bahasa tersebut menyebabkan mereka boleh didakwa

dan seterusnya didenda. Oleh hal yang demikian, sudah pastilah bahasa Melayu akan dapat
dimartabatkan di negara kita.
Di samping itu, memperkasakan peranan pihak penguatkuasa juga anatara usaha dalam
memartabatkan bahasa Melayu. Pihak berkuasa seterusnya perlu memberikan kuasa yang
mencukupi kepada pihak penguatkuasa atau pemantau semasa menguatkuasakan undang-undang
yang berkaitan dengan penggunaan bahasa Melayu. Pihak penguatkuasa ini sepatutnya
dibenarkan untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang ingkar atau tidak mematuhi
peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa. Sebagai contoh, pihak penguatkuasa bahasa
ini perlu diberikan kuasa untuk menyaman, mendenda atau mendakwa pihak yang tidak
mengikut undang-undang atau peraturan yang berkaitan dengan pelaksanaan bahasa Melayu
seperti yang telah diluluskan oleh parlimen. Keadaan ini sudah pasti akan dijadikan sebagai
pengajaran dan menakutkan pihak yang tidak mematuhi peraturan yang berkaitan dengan bahasa
Melayu. Hal ini sudah tentu akan memberikan impak kepada pihak yang tidak mementingkan
penggunaan bahasa Melayu yang betul dalam urusan seharian.
Seperti yang kita telah sedia maklum, dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu
pelbagai cabaran dan rintangan yang perlu dihadapi samada dalam bentuk abstrak mahu pun
konkrit. Sebagai contoh, menurut A. Azizi Deraman dalam makalahnya Bahasa Melayu Dan
Cabaran Globalisasi, Dewan Bahasa 2007 menegaskan bahawa cabaran utama bahasa Melayu
sebagai bahasa nasional adalah lemahnya sokongan, jagaan, kawalan, peneguhan dan penegasan
bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan. Tambah beliau lagi, wujudnya
keserongan persepsi terhadap keperluan atau cara sesebuah negara memilih bahasa dan bahasa
Inggeris dianggap mampu membawa kemajuan negara telah memusnahkan kemajuan dan
keupayaan bahasa kebangsaan. Bahasa Melayu agung dengan sejarah yang dilakarnya bak sekian
lama sehinggakan penjajah yang datang mengaut segala keuntungan tanah Melayu telah
mematikan keagungan bahasa Melayu dengan membawa bahasanya. Untuk mengembalikan
maruah bahasa Melayu yang kini semakin dihenyak-henyak dari pelbagai penjuru.
Ditambahkan lagi, cabaran bahasa Melayu terus menerima persaingan dan hambatan
daripada pelbagai sudut, seperti kehadiran berpuluh-puluh universiti, kolej swasta sejajar dengan
Akta Institusi Pengajian Tinggi swasta (IPTS) 1996 yang lebih cenderung menggunakan bahasa
Inggeris sebagai bahasa pengantar menghimpitkan lagi peranan bahasa Melayu. Mahu tidak

mahu, suka atau tidak, bahasa Melayu terpaksa bersaing dalam situasi sebegini. Menurut Abang
Patdeli Abang Muhi dalam makalahnya Bahasa Melayu Menyongsong Era Cabaran menyatakan
nilai sosial dan nilai ekonomi bahasa Melayu tidak dapat dielakkan oleh bayangan bahasa
Inggeris.

Hal ini disebabkan, suasana dan juga persepsi masyarakat Malaysia yang masih

cenderung menganggap sesuatu yang berbau Inggeris dan barat itu lebih superior. Tidak
mustahil tiba satu tahap lulusan bahasa Melayu juga dianggap sebagai lulusan kelas kedua
berbanding mereka yang memperoleh lulusan berbahasa Inggeris. Fenomena ini bukan asing
tatkala pasaran pekerjaan yang mana menekankan kepada penguasaan bahasa Inggeris sebagai
ciri utama untuk berjaya dalam sesi temu duga.
Satu Bahasa, Satu Malaysia yang dicetuskan oleh Perdana Menteri, Dato Sri Mohd.
Najib Tun Razak dilihat sabagai satu langkah yang meyakinkan untuk mengembalikan peranan
Asia sebagai gergasi dunia. Jepun, sebagai contoh yang paling berjaya membentuk negaranya
melalui acuan sendiri melalui budaya dan bahasa. Tidak mustahil Malaysia juga mampu
mengikut langkah Jepun sekiranya rakyat berbilang bangsa di negara ini bersatu untuk
memulihara budaya bangsa. Devamany menekankan bahawa menjadi kerugian besar jika segala
usaha untuk memartabatkan bahasa, budaya dan agama tidak digembleng sejak dari awal lagi.
Usaha memartabatkan bahasa Melayu ini juga hendaklah bermula dari awal lagi dan usaha
tersebut wajib dijalankan secara serius bukan hanya dengan kata-kata kosong yang tidak
membuahkan hasil seperti yang dirancang.
Di samping itu, mahasiswa institusi pengajian tinggi perlu memainkan peranan yang
proaktif untuk memartabatkan bahasa Melayu. Hal ini demikian kerana, mahasiswa perlu
bergerak bersama-sama bagi mengukuhkan bahasa Melayu dalam semua bidang ilmu. Menurut
Datuk Mahadzir Mohd Khir, Timbalan Menteri Pelajaran, beliau mengatakan bahawa langkahlangkah yang dijalankan oleh mahasiswa dengan menganjurkan Minggu Bahasa Melayu di
institusi pengajian tinggi dalam kegiatan kebahasaan akan menarik minat dan memupuk
kecintaan orang ramai terhadap bahasa Melayu. Pembabitan mahasiswa yang peka terhadap
keperluan dan perubahan semasa selaras dengan peranan mahasiswa sebagai penggerak
pembangunan masyarakat patut diberikan pujian. Minggu Bahasa Melayu yang dianjurkan oleh
mahasiswa dapat mendaulatkan bahasa ibunda di samping memupuk kecintaan terhadap bahasa
Melayu khususnya dalam kalangan generasi muda masa kini.

Warga pendidik di negara ini juga turut memainkan peranan yang penting untuk
memartabatkan bahasa Melayu serta meningkatkan mutu pendidikan bahasa Melayu. Golongan
pendidik hari ini telah dipertanggungjawabkan melaksanakan konsep bahasa Melayu dalam
kalangan masyarakat. Peranan pendidik bahasa adalah penting kerana mereka juga
bertanggungjawab membimbing guru mata pelajaran lain. Peranan para pendidik lebih penting
dalam memartabatkan bahasa Melayu kerana dalam kurikulum pendidikan bahasa, matlamat
utama adalah untuk melahirkan pelajar yang berupaya menggunakan bahasa Melayu yang baik
dan membanggakan. Selain itu, dalam konteks sikap yang lebih luas, nilai-nilai masyarakat yang
positif perlu diterapkan melalui pendidikan bahasa.
Sememangnya, kita perlu akui bahawa masih wujud masalah semangat dan kesungguhan
yang belum cukup mantap dan hakiki dalam penggunaan bahasa Melayu. Fenomena ini berlaku,
apabila banyak terjadi peristiwa-peristiwa bahasa Melayu kehilangan tempat dalam upacara dan
majlis rasmi di peringkat kebangsaan, apatah lagi pelbagai isu yang timbul melibatkan institusi
pendidikan negara dicabar dengan penggunaan bahasa lain sebagai bahasa penggantar lebih
diutamakan daripada bahasa ibunda kita sendiri. Justeru sebagai kesimpulan daripada
perbincangan di atas, langkah-langkah yang konkrit dan pragmatik perlulah diambil untuk
memartabatkan bahasa Melayu. Ini adalah kerana bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan kita.
Hakikat ini perlu disedari dan diakui oleh seluruh rakyat Malaysia. Kepentingan bahasa ini tidak
dapat dipertikaikan lagi, sebaliknya setiap individu haruslah memanfaatkan masa mereka untuk
mempelajari dan menguasai bahasa Melayu dengan baik. Cara itulah yang terbaik untuk
memartabatkan bahasa Melayu yang ternyata memberikan faedah yang besar kepada perpaduan
rakyat dan teknologi Malaysia. Jika tidak, generasi yang akan datang akan ketinggalan dan akan
dijajah oleh kuasa-kuasa Barat yang menggunakan bahasa asing melalui pelbagai kaedah.
Sesungguhnya, bahasa jiwa bangsa.

RUJUKAN

Abdul Hamid Mahmood. (2007). Kuasai Sistem Ejaan Baharu Bahasa Melayu Melalui
Latihan. Tanjong Malim: Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Abdullah Hassan dan Ainon Mohd. (1994). Panduan Ejaan Rumi Bahasa Melayu. Kuala
Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Dewan Bahasa dan Pustaka. (2000). Kamus Dewan (Edisi Ketiga). Kuala Lumpur :
Dewan Bahasa dan Pustaka.

Habibah Mohd Samin dan Hasnah Awang. (2010). Siri Pendidikan Guru: Revisi Bahasa
Melayu Akademik 1 Untuk Ppismp. Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman Sdn.Bhd.

Nik Safiah Karim, Farid M. Onn, Hashim Musa, dan Abdul Hamid Mahmood. (2008).
Tatabahasa Dewan (Edisi Ketiga). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.
http://www.usm.my/index.php/ms/admin/news-article-bahasa/185-memartabatkan-bahasamelayu-perlukan-kesungguhan

http://anelyza.blogspot.com/2010/11/usaha-usaha-memartabatkan-bahasa.html.
Dilayari pada 20 Oktober 2013.

http://www.slideshare.net/akusngus/faktorfaktor-yang-menghalang-penggunaan-ictdalam-lalangan-guruguru-pendidikan-islam. Dilayari pada 20 Oktober 2013

http://shaifulbahri66.blogspot.com/2012/11/fungsi-dan-pentingnya-memartabatkan.html.
Dilayari pada 21 Oktber 2013.

Anda mungkin juga menyukai