Anda di halaman 1dari 9

JOURNAL 1 (22/6/2009 26/6/2009)

Minggu ini adalah minggu pertama saya di sekolah ini. Pada minggu ini saya
hendak bercerita tentang keadaan sekeliling di sekolah ini. Sekolah ini adalah sebuah
sekolah yang terletak di tengah-tengah bandar iaitu di tengah Bandar Pandan Jaya dan
juga berdekatan dengan Bandar Taman Maluri. Itulah yang menyebabkan kesesakkan
yang berlaku di jalan menuju ke sekolah. Tetapi saya berasa agak bernasib baik kerana
mengajar di waktu petang.
Sekolah ini mempunyai 3 blok utama. Keadaan sekeliling di sekolah ini agak
bersih jugak. Keadaan ini amat sesuailah untuk sesi pengajaran dan pembelajaran. Di
sekolah ini juga terdapat landskap-landskap yang menarik seperti kolam ikan, tamantaman kecil dan lain-lain lagi. Taman-taman ini dapatlah menarik minat murid-murid di
sekolah ini untuk menjadikan tempat ini untuk mengulangkaji pelajaran dan juga untuk
membuat sebarang aktiviti perbincangan.
Keadaan di kantin juga bolehlah dikatakan amat memuaskan. Tetapi terdapat
sedikit masalah seperti meja dan kerusi untuk murid-murid makan tidak mencukupi. Ini
menyebabkan ramai murid-murid yang terpaksa makan di merata-rata tempat. Tetapi
keadaannya masih lagi terkawal dan bersih. Makana juga saya dapati bersih dan sesuai
untuk dimakan oleh murid-murid. Tetapi kebanyakkan makanan tengahari untuk cikgucikgu sesi petang selalunya sudah habis ataupun terlalu sedikit. Bagi saya itu tidak
menjadi masalah kerana saya sudah pun makan di luar sebelum datang ke sekolah.
Selain itu, saya juga ada perhatikan keadaan padang di sekolah ini. Saya dapati
keadaan padang di sekolah ini tidaklah besar sangat. Bagi saya cukuplah saiznya untuk
murid-murid sekolah rendah. Keadaan rumputnya juga adalah terkawal dan selalu di
jaga rapi. Saya juga perhatikan gelanggang untuk permainan gelanggang adalah
terhad. Ini amat sukar sedikit bagi murid-murid untuk menjalankan aktiviti sukan secara
serentak.

Journal 2 (29/6/2009-3/7/2009)
Ini adalah minggu kedua saya di Sekolah ini. Di sini saya hendak bercerita serba
sedikit tentang murid-murid di sekolah ini. Pada hari pertama saya menjejakkan kaki di
Sekolah Pandan Jaya ini, saya dapati murid-murid di sini amat menghormati guru-guru.
Saya juga selalu disapa oleh mereka dengan memberi salam kepada saya. Muridmurid di sekolah ini terbahagi kepada dua . murid-murid darjah 1, 4,5 dan 6 adalah
murid-murid yang belajar di sesi pagi. Manakala murid-murid darjah 2 dan 3 di sesi
petang.
Saya mula masuk kelas pada hari pertama lagi. Tetapi saya masuk hanya
sebagai guru ganti sahaja. Mula-mula saya masuk ke kelas 5Amanah. Saya dapati
kelas itu bising sangat. Sampaikan suara saya tenggelam terus. Mula-mula rasa kekok
juga. Tapi saya cuba juga membiasakan diri ini. Kadang-kadang terasa tertekan juga
kerana kelas terlalu bising. Apabila saya suruh mereka diam mereka buat-buat tak tahu
sahaja. Rasa nak marah jer kat budak-budak tu. Tapi saya tahan sahajalah.
Pada keesokkannya saya mula dating ke sekolah pada sesi petang. Pada
minggu pertama kebanyakkannya saya dikehendaki menjadi guru ganti. Saya
perhatikan murid-murid di sesi petang sangat nakal dan suka membuat bising dalam
kelas. Murid-murid ini seolah-olah mengangap cikgu-cikgu baru ini macam tidak wujud
pun dalam kelas mereka. Kebanyakkan mereka suka bermain di dalam kelas. Pada
hari ketiga saya sudah diminta untuk mengajar. Tetapi saya masuk hanyalah untuk sesi
pengenalan sahaja. Saya mula masuk ke kelas 3 Cemerlang. Kelas ini memang terlalu
aktif. Pada mulanya memang saya tidak dapat mengawal keadaan kelas ini. Apa yang
saya suruh mereka buat main-main sahaja. Lama kelamaan memang saya tidak dapat
hendak mengawal keadaan kelas itu. Saya menjerit sekuat hati saya sambil mengambil
pembaris panjang dan mengetuk meja dengan kuat. Barulah mereka senyap. Kadangkadang terasa tertekan juga.

Journal 3 (6/7/2009-10/7/2009)
Minggu ini adalah minggu ketiga saya di sekolah ini. Kali ini saya akan bercerita
tentang guru-guru disekolah ini. Pada mula-mula saya menjejakkan kaki di sekolah ini
saya dapati guru-guru di sini amat ramah sekali. Semuanya memberi senyuman pada
kami guru praktikum ini. Itulah sebabnya saya merasakan tidak kekok apabila berada
dikalangan mereka. Tambahan pula ramai guru-guru yang berasal dari pantai timur.
Apabila saya ditempatkan di sebelah petang, saya dapati cikgu-cikgu di sebelah
petang juga terlalu ramah. Sehinggakan kami merasakan bahawa kami sudah lama
berada di sekolah ini. Terutamanya guru-guru lelaki. Selain itu mereka juga tidak kekok
untuk member tunjuk ajar kepada kami jika terdapat perkara yang kami ingin tahu
tentang masalah pengajaran dan pembelajaran ini. Mereka juga selalu menceritakan
pengalaman mereka semasa menjadi guru ini. Banyak juga perkara-perkara yang
menarik yang kami dapati menjadi seorang guru ini. Seperti contoh menjadi seorang
guru ini kita dapat bertemu macam-macam ragam manusia.
Selain itu saya juga merasakan mereka ini langsung tidak menganggap kami ini
guru praktikal di sini. Kadang-kadang apabila sudah habis waktu sekolah kami dapat
melepak sama-sama di gerai-gerai makanan yang berdekatan dengan sekolah. Seperti
contoh di sekolah ini saya dah mula rapat dengan cikgu Azhar dan juga cikgu hafiz.
Kedua-dua cikgu ini saya sudah menganggap mereka ini kawan saya. Jika saya
bersendirian di bilik guru, mereka akan datang dekat saya untuk berbual-bual. Macammacam cerita yang kami bualkan. Daripada isu semasa hinggalah kepada cerita
tentang keluarga dan juga minat masing-masing.
Manakala guru-guru perempuan juga begitu ramah dengan kami. Walaupun kami
ini semua lelaki tetapi mereka sanggup juga berkongsi cerita dan pengalaman dengan
kami. Mereka juga seolah-olah menganggap kami semua ini adalah sebahagian
daripada warga sekolah ini yang telah lama berkhidmat di sekolah ini. Inilah juga yang
menjadikan saya ini berasa sedikit seronok apabila berada di sekolah ini.

JOURNAL 4

(13/7/2009-17/7/2009)

Minggu ini adalah minggu keempat saya di sekolah ini. Apabila sudah masuk
minggu keempat ini, saya rasa banyak perkara yang saya belajar untuk menjadi
seorang guru ini. Minggu ini saya hendak berceritakan tentang penglibatan saya dalam
permainan di sekolah ini. Di sekolah ini pada setiap hari rabu akan diadakan permainan
atau sukan untuk murid-murid darjah 3 sahaja. Ia diadakan pada sebelah pagi sahaja.
Guru-guru di sekolah adalah diwajibkan untuk terlibat sama dalam sukan ini. Guru-guru
pelatih juga tidak terkecuali. Guru-guru akan dibahagikan kepada beberapa permainan
yang telah disusun oleh bahagian ko-kurikulum sekolah ini. Saya pula telah dibahagikan
tugas untuk mengajar murid-murid darjah 3 bermain badminton.
Pada mulanya rasa sedih juga kerana tidak mendapat permainan kegemaran
saya iaitu bola sepak. Tetapi terpaksalah terima dengan arahan yang telah ditetapkan.
Badminton juga adalah salah satu permainan kegemaran saya. Tetapi rasanya sudah
lama tidak menyentuh raket badminton ini. Pada hari pertama latihan, saya terkejut juga
kerana murid-murid yang terlibat dengan sukan badminton ini sanggup membawa raket
sendiri. Pada mulanya saya ingatkan pihak sekolah akan menyediakan raket untuk
pelajar-pelajar. Tetapi saya pula rasa malu kerana tidak mempunyai raket sendiri.
Terpaksalah saya berkongsi raket dengan cikgu Norizwan.
Pada hari latihan bersama murid-murid, saya perhatikan murid-murid ini terlalu
seronok untuk bermain badminton. Sebelum bermain, kebiasaannya saya akan
menyuruh murid-murid ini melakukan senaman ringan dahulu. Selalunya saya dan
cikgu Norizwan yang akan menunjukkan kepada murid-murid senaman yang perlu
dilakukan. Selepas habis senaman murid-murid akan dibahagikan pasangan masingmasing untuk bermain. Saya juga akan bermain bersama murid-murid juga. Saya
perhatikan murid-murid ini memang seronok untuk bermain bersama guru-guru.
Kadang-kadang saya terpaksa belawan dengan 3 orang murid sekaligus. Tetapi saya
tidak merasa letih malah berasa seronok dapat bermain bersama mereka. Kadangkadang sampai ada bulu tangkis yang tersangkut atas pokok atau di atas atap kantin.
Semua itu saya anggap sebagai satu pengalaman yang berguna pada saya kerana
dapat memenuhi kehendak mereka untuk bermain badminton bersama-sama guru.

JOURNAL 5

(20/7/2009-24/7/2009)

Minggu ini adalah minggu kelima saya di sekolah ini. Pada minggu ini saya
hendak berkongsikan pengalaman saya bertugas pada minggu ini. Di sekolah ini, untuk
sesi petang guru-guru di sekolah ini akaan dibahagikan tugas untuk bertugas mengawal
murid-murid pada waktu mula-mula murid datang sehinggalah waktu balik murid-murid.
Setiap minggu sekolah ini akan membahagikan kumpulan untuk guru-guru yang
bertugas. Di dalam kumpulan tersebut akan terdapat lebih kurang 5 atau 6 orang guru
yang akan bertugas pada setiap minggu.
Pada minggu kelima ini saya beserta beberapa orang guru yang diketuai oleh
Cikgu Hafuza telah ditugaskan untuk mengawal murid-murid. Kami dikehendaki datang
awal iaitu sejam lebih awal daripada masa biasa. Dan apabila semua murid-murid sesi
petang sudah datang, guru-guru yang bertugas mesti memastikan murid-murid sesi
petang ini berada di kantin. Ini kerana untuk mengelakkan murid-murid ini membuat
bising ketika sesi pagi sedang menjalankan aktiviti P&P. pengawas-pengawas sesi
petang juga turut ditugaskan untuk mengawal murid-murid ini daripada bermain di
kawasan-kawasan larangan.
Guru-guru yang bertugas akan mengeluarkan kotak-kotak buku untuk
memastikan murid-murid membaca buku-buku tersebut. Ini adalah kerana untuk
menggelakkan murid-murid ini daripada bermain-main. Dan apabila loceng telah
dibunyikan, guru-guru yang bertugas hendaklah memastikan semua murid-murid
beratur di kantin sebelum masuk ke kelas. Sebelum masuk ke kelas ini, guru yang
bertugas akan memberikan sedikit nasihat dan maklumat kepada murid-murid.
Selain itu, pada waktu rehat juga saya dan guru-guru yang bertugas juga mesti
memastikan murid-murid tidak bermain-main di tempat yang dilarang seperti di tepi
longkang dan di tempat-tempat yang boleh membahayakan keselamatan murid-murid.
Dan apabila waktu rehat telah tamat, murid-murid dikehendaki beratur dahulu sebelum
masuk ke kelas. Guru yang mesti memastikan semua murid beratur di kelas masingmasing. Dan pada waktu balik pula, guru yang bertugas mesti memastikan semua
murid sudah tiada di sekolah dan barulah guru yang bertugas boleh pulang ke rumah.

JOURNAL 6

(27/7/2009-31/7/2009)

Minggu ini adalah minggu keenam saya di sekolah ini. Tak sangka pulak sudah
sebulan lebih saya di sekolah ini. Pada minggu ini saya hendak memperkatakan
tentang aktiviti Kem Bestari Solat yang telah diadakan di sekolah ini. Kem Bestari Solat
ini adalah anjuran daripada bahagian J-Qaf sekolah ini. Ia diketuai oleh Ustaz Fattah
dan dibantu oleh semua guru-guru di sekolah ini.
Kem bestari solat ini adalah bertujuan untuk memberi pendedahan kepada
pelajar cara untuk solat dengan sempurna dan juga dengan bertertib. Seperti contoh di
dalam kem ini akan ditekankan tentang cara berwuduk dengan sempurna, niat-niat di
dalam solat serta juga bacaan-bacaan di dalam solat. Selain itu, murid-murid juga
dikehendaki menghafal surah-surah pendek yang boleh dibaca di dalam solat.
Kem ini dibahagikan kepada dua sesi. Sesi pagi dan juga sesi petang. Untuk sesi
petang, murid-murid yang terlibat adalah murid-murid tahun 2 dan juga tahun 3.
Penilaian untuk murid-murid tahun 2 dan 3 adalah berbeza. Murid-murid tahun 3 lebih
ditekankan kepada bacaan di dalam solat dan juga surah-surah pendek. Manakala bagi
tahun dua pula lebih ditekankan kepada perlakuan di dalam solat dan juga cara untuk
mengambil wuduk.
Murid-murid ini akan dibahagikan kumpulan secara rawak. Kumpulan ini tidak
mengikut kelas. Manakala setiap kumpulan ini akan mendapat seorang guru untuk
membimbing dan juga untuk membuat penilaian. Guru ini ditugaskan untuk melihat dan
juga mendengar bacaan murid-murid di dalam solat. Untuk kem ini, saya telah
ditugaskan untuk membimbing dan juga memberi penilaian kepada murid-murid tahun
3. Pertama sekali, saya menyuruh murid-murid ini mengambil wuduk di hadapan saya.
Saya perhatikan semua mereka dapat mengambil wuduk dengan baik. Kemudian saya
membawa kumpulan saya ini naik ke bilik tahun 4 Harmoni. Di situ saya menyuruh
murid-murid ini membaca bacaan-bacaan di dalam solat dan surah-surah pendek
secara beramai-ramai. Kemudian saya memanggil seorang-demi seorang untuk
membaca di depan saya. Saya perhatikan ada juga yang dapat membaca dengan
lancar dan ada juga yang masih tidak boleh membaca dengan lancar.

JOURNAL 7

(3/8/2009-7/8/2009)

Minggu ini adalah minggu ketujuh saya di sekolah ini. Semakin hari semakin
seronok saya rasa berada di sekolah ini. Ini adalah kerana guru-gurunya yang sangat
baik dan tidak kekok dalam memberi tunjuk ajar kepada saya dan rakan-rakan praktikal
yang lain. Saya juga merasakan seperti seorang cikgu yang sudah lama berkhidmat di
sekolah ini.
Pada kali ini saya hendak berceritakan tentang pengalaman saya di minggu
peperiksaan. Pada minggu ini peperiksaan di peringkat sekolah dijalankan selama 4
hari iaitu bermula pada hari selasa hinggalah tamat pada hari jumaat. Saya juga
berkesempatan untuk menolong guru-guru di sini menyiapkan kertas soalan untuk
diedarkan kepada murid-miurid semasa pepriksaan nanti.
Pada hari pertama peperiksaan, saya telah ditugaskan untuk menjaga kelas
3Cemerlang. Saya tengok murid-murid ini seronok apabila mengetahui minggu ini
adalah minggu peperiksaan. Ini mungkin kerana mereka dapat merehatkan sedikit
minda mereka daripada mengikuti proses pengajaran. Saya lihat ada murid-murid yang
menjawab dengan tekun dan ada juga yang menjawab sambil lewa sahaja.
Selain itu saya ada juga murid-murid yang suka sangat bertanyakan apabila
mereka tidak faham akan kehendak soalan. Saya akan dating kepada mereka dan
menerangkan apakah yang dikehendaki oleh soalan itu. Selain itu ada juga pelajar yang
menanyakan jawapan kepada saya. Tetapi saya menasihati mereka supaya cuba buat
sendiri dan fikirkan apakah jawapannya.
Dari pemerhatian saya, saya tengok ada juga pelajar yang berpotensi untuk lulus
cemerlang dalam peperiksaan kali ini. Dan ada juga pelajar yang lemah dan perlukan
lagi bimbingan dan tunjuk ajar untuk mereka lebih Berjaya di peperiksaan yang akan
datang. Murid-murid ini saya rasakan ada potensi untuk mereka Berjaya, Cuma
mungkin di tahap umur mereka ini mereka suka bermain-main dan inilah sebab
mengapa mereka tidak boleh menumpukan perhatian sepenuhnya kepada pelajaran
mereka.

JOURNAL 8

(10/8/2009-14/8/2009)

Minggu ini adalah minggu kelapan saya di sekolah ini. Saya merasakan terlalu
cepat masa berlalu. Saya rasakan masih banyak lagi ilmu untuk menjadi seorang guru
ini belum cukup dan masih banyak lagi yang perlu saya belajar untuk menjadi seorang
guru yang berdedikasi dalam bidang pendidikan ini.
Pada minggu ini saya hendak berceritakan serba sedikit tentang aktiviti gotongroyong yang telah dijalankan di sekolah ini pada hari sabtu yang lalu. Aktiviti ini
hanyalah melibatkan guru-guru sahaja. Aktiviti gotong-royong ini juga lebih tertumpu
kepada kawasan dalaman seperti, bilik perpustakaan, bilik alat pandang dan dengar,
bilik bbm, bilik J-Qaf, makmal sains dan juga melibatkan bangunan sekolah.
Dalam aktiviti ini, saya telah ditugaskan dengan macam-macam tugas. Saya
mulakan dengan mengecat dinding di bilik bbm. Saya juga dibantu oleh cikgu-cikgu lain
untuk mengecat dan mengemas bilik ini. Di dalam bilik ini saya dikehendaki mengecat
dinding atasnya dengan warna biru dan juga hijau. Untuk mengecat ini saya dibantu
oleh cikgu praktikal lain seperti cikgu Izzudin, cikgu Syahairi dan juga cikgu norizwan.
Mereka jugalah banyak member tunjuk ajar kepada saya cara untuk mengecat dengan
cantik.
Selepas itu saya ditugaskan pula untuk menampal bendera-bendera negeri dan
juga maklumat-maklumat tentang sesebuah negeri itu di dinding luar bilik APP dan juga
bilik Perpustakaan. Tujuannya adalah memudahkan murid-murid yang lalu di koridor itu
dapat membaca dan mendapatkan maklumat tentang sesebuah negeri itu. Untuk
membuat kerja ini, saya telah dibantu oleh cikgu Syahairi dalam menyiapkan tugasan
ini. Selepas itu saya bersama-sama cikgu Syahairi dan juga cikgu Izzudin ditugaskan
untuk membuat frame poster untuk ditampalkan di tangga-tangga sekolah untuk
memudahkan murid-murid membaca arahan dan peringatan yang terdapat di dalaam
poster tersebut.
Aktiviti ini bagi saya amat baik sekali kerana dapat mengeratkan lagi silaturahim
di antara guru praktikum dan juga guru tetap di sekolah ini. Selain itu, saya juga dapat
mengenali lebih rapat lagi dengan guru-guru sesi pagi.

JOURNAL 9

(17/8/2009-21/8/2009)

Minggu ini adalah minggu kesembilan saya di sekolah ini. Hanya tinggal
beberapa minggu sahaja saya hendak menamatkan latihan praktikal saya di sini. Saya
rasakan terlalu cepat masa berlalu. Dan saya harapkan dengan hanya beberapa
minggu sahaja lagi saya di sini dapatlah saya menimba lebih banyak ilmu untuk
membentuk jati diri saya ini agar dapat menjadi seorang guru yang berdedikasi.
Pada minggu ini saya hendak menceritakan tentang semangat patriotik yang
terdapat di sekolah ini. Apa yang saya perhatikan, sejak dari hari pertama pada bulan
ini lagi sekolah ini telah pun dihiasi dengan bendera dan juga gambar-gambar tokoh
kemerdekaan Negara kita. Sebagai contoh gambar dan juga Biografi Perdana Menteri
kita dari yang pertama sehinggalah Perdana Menteri yang terkini iaitu Dato Seri Najib
Tun Razak. Bendera-bendera digantung di sekitar bangunan dan juga di tempat-tempat
yang strategik.
Selain itu pihak sekolah juga amat menggalakkan setiap kelas untuk menghias
kelas mereka dengan tema-tema kemerdekaan dan juga mencantikkan kelas dengan
bendera-bendera Jalur Gemilang. Selain itu sekolah ini juga akan menganjurkan
pertandingan kelas yang tercantik dan juga yang kreatif dalam menghias kelas masingmasing. Saya juga berasa amat teruja dengan semangat-semangat murid-murid ini
dalam aktiviti menghias bilik darjah mereka. Saya perhatikan ada murid yang betul-betul
bersemangat menggantung bendera dan juga gambar-gambar tentang kemerdekaan.
Selain itu sekolah ini juga akan menganjurkan pertandingan nyanyian lagu-lagu patriotik
di antara kelas masing-masing.
Bagi saya, aktiviti seperti ini adalah amat baik sekali kerana ia dapat memupuk
perasaan cintakan negara ini dari kecil lagi. Semangat inilah yang sebenarnya perlu
ada pada setiap masyarakat di Negara ini agar dapat kita memelihara dan
mempertahankan Negara ini dari serangan dan juga penjajahan dari Negara-negara
luar suatu hari nanti.

Anda mungkin juga menyukai