Anda di halaman 1dari 4

Ringkasan Hikayat Raja Pasai

Hikayat Raja Pasai bermula dengan kisah dua orang raja yang bersaudara, iaitu Raja Ahmad dan
Raja Muhammad. Pada awalnya, mereka ingin membuka negeri di Samarlangga. Ketika
menebas hutan untuk membuka negeri, Raja Muhammad telah menemui seorang kanak-kanak
perempuan dari sebuah pokok buluh. Lalu dia mengambil kanak-kanak itu, dan menjadikannya
sebagai anaknya sendiri. Kanak-kanak itu dinamakan Puteri Betung. Raja Ahmad pula mendapat
seorang anak lelaki yang dijaga oleh seekor gajah. Anak lelaki itu dinamakan Merah Gajah.
Setelah dewasa, Puteri Betung dan Merah Gajah dinikahkan. Mereka mendapat dua orang anak
lelaki yang diberi nama Merah Silau dan Merah Hasum.
Pada suatu hari, Merah Gajah melihat sehelai rambut Puteri Betung yang berwarna emas. Dia
meminta untuk mencabut rambut itu dari Puteri Betung tetapi Puteri Betung tidak
mengizinkannya. Namun demikian, Merah Gajah tetap mencabut rambut itu ketika Puteri Betung
sedang tidur. Akibat daripada perbuatan itu, keluarlah darah putih dari kepala Puteri Betung
kemudian beliau meninggal dunia. Apabila diketahui oleh Raja Muhammad, baginda sangat
marah lalu membunuh Merah Gajah. Apabila Raja Ahmad mengetahui bahawa anaknya
dibunuh, baginda terus melancarkan perang terhadap Raja Muhammad. Akhirnya, kedua-dua
raja tersebut menemui ajal dalam peperangan tersebut.
Setelah perang selesai, Merah Silau dan Merah Hasum bersepakat untuk meninggalkan negeri
Samarlangga dan berniat untuk membuka negeri lain. Merah Silu membuka negeri Samudera.
Setelah diislamkan, Merah Silau menukar namanya menjadi Malikul Saleh. Baginda
kemudiannya mengahwini puteri Sultan Perlak, iaitu Puteri Ganggang. Daripada perkahwinan
itu, lahir seorang anak lelaki yang diberi nama Malikul Tahir. Tampuk pemerintahan diambil alih
pula oleh Malikul Tahil. Setelah baginda mangkat, kedua putera Malikul Tahir iaitu Malikul
Mahmud dan Malikul Mansur yang mengambil alih tugas bapanya. Malikul Mahmud
memerintah Samudera manakala Malikul Mansur memerintah negeri Pasai. Setelah Malikul
Mahmud mangkat, takhta kerajaan jatuh ke tangan puteranya, Sultan Ahmad Perumudal
Perumal. Pemerintah negeri Pasai diakhiri oleh Sultan Ahmad Perumudal Perumal kerana
berlakunya zaman kejatuhan Pasai.
Pada suatu hari, Merah Silau pergi berburu dengan membawa anjingnya, Si Pasai. Apabila
baginda melepaskan Si Pasai, anjing itu terus menyalak di atas sebuah bukit yang tinggi. Lalu
Merah Silau melihat di sana terdapat seekor semut yang sangat besar, sebesar seekor kucing.
Kemudian, Merah Silau menangkap semut tersebut lalu dimakannya. Merah Silau kemudiannya
menyuruh para pengikutnya menebas hutan untuk menjadikan kawasan itu sebuah negeri.
Setelah siap, Merah Silau tinggal di kawasan itu dengan membuat istana miliknya bersama-sama
dengan segala hulu balang dan rakyat jelata. Lalu, baginda menamakan negeri itu sebagai
Samudera, sempena semut besar yang ditemuinya.
Nama negeri Pasai pula diambil daripada nama anjing Sultan Malikul Saleh. Pada suatu hari,
Sultan Malikul Saleh pergi berburu dengan para pengikutnya di tepi laut. Turut bersama baginda

ialah anjang peliharannya, Si Pasai. Setelah tiba di tepi laut, Si Pasai dilepaskan lalu masuk ke
dalam hutan. Kemudian, Si Pasai bertemu dengan seekor pelanduk yang sedang duduk berehat di
atas suatu kawasan tanah tinggi. Si Pasai kemudiannya menyalak kepada pelanduk tersebut dan
ingin menangkapnya. Sesuatu yang ganjil telah berlaku apabila pelanduk itu membalas salakan
Si Pasai. Apabila Si Pasai mendengar salakan pelanduk tadi, ia pun kembali ke belakang iaitu di
tempat asalnya. Setelah Sultan Malikul Saleh melihat kejadian yang berlaku itu, baginda pun
cuba untuk menangkap pelanduk itu tadi. Namun, pelanduk itu dapat melarikan diri dari
ditangkap oleh Sultan Malikul Saleh. Baginda kemudiannya menanyakan kepada semua hulu
baling sama ada pernah melihat seekor pelanduk yang gagah sekali. Setelah itu, terlintas di
fikiran Sultan Malikul Saleh untuk membuka negeri baru khas untuk anakandanya, Sultan
Malikul Tahir. Setelah kembali ke negeri Samudera, baginda memerintahkan agar kawasan
tersebut dibersihkan, lalu baginda mendirikan sebuah istana di kawasan itu. Tidak berapa lama
kemudian, maka selesailah semua pembinaan di kawasan tanah tinggi tersebut kemudian anjing
baginda, Si Pasai pun mati. Baginda kemudian memerintahkan agar Si Pasai ditanam di negeri
yang baru dibuka itu. Sempena kematian Si Pasai, maka Sultan Malikul Saleh menamakan negeri
baru itu sebagai negeri Pasai.
Nabi Muhammad S.A.W pernah berpesan kepada seorang sahabat bahawa suatu hari nanti akan
muncul negeri di bawah angin yang bernama Samudera. Apabila berlakunya hal ini, maka
hendaklah dihantar orang untuk mengislamkan orang-orang di negeri ini kerana di sinilah akan
melahirkan ramai wali-wali Allah. Rasulullah juga berwasiat supaya rombongan yang bakal
pergi ke sana singgah terlebih dahulu di negeri Mengiri untuk mengambil seorang fakir untuk
dibawa ke Samudera. Wasiat tersebut kemudiannya sampai kepada Sharif Mekah iaitu Raja yang
memerintah Mekah dan sekitarnya, Madinah dan wilayah Hijaz. Seorang ulamak yang bernama
Sheikh Ismail dijadikan mualim atau nakhoda kapal bagi menjayakan wasiat Rasulullah itu.
Beliau dan orang-orangnya pun kemudiannya berlayar ke negeri Mengiri seperti yang
diwasiatkan oleh Nabi Muhammad, iaitu sebuah negeri yang terletak di benua Hindi.
Negeri Meringi ini diperintah oleh seorang raja yang bernama Raja Muhammad. Menurut cerita,
Raja Muhammad adalah daripada keturunan sahabat baginda S.A.W iaitu Saidina Abu Bakar.
Sebaik sahaja beliau mendapat tahu ada kapal hendak berlabuh di negerinya bagi memenuhi
permintaan Sharif Mekah, baginda terus turun takhta lalu menabalkan seorang anaknya sebagai
Raja Meringi yang baru. Selain itu, baginda juga melucutkan pakaian bangsawan yang ada di
tubuhnya lalu menukar kepada pakaian orang fakir. Raja Muhammad yang telah menjadi fakir
ini membawa pula seorang anaknya yang muda untuk meninggalkan istana dan bersama-sama
menjadi fakir. Mereka pergi berjumpa Sheikh Ismail lalu meminta supaya dibawa belayar ke
Samudera untuk bersama-sama menunaikan wasiat Nabi S.A.W.
Rombongan itu pun belayar mencari negeri Samudera. Tetapi,mereka tidak pasti kedudukan
negeri tersebut sehinggalah mereka tersasar ke negeri Barus, Lamuri dan Perlak. Walau
bagaimanapun, rombongan ini turut singgah di negeri-negeri untuk mengislamkan raja dan
penduduknya tetapi apabila disuruh membaca al-Quran yang dibawa dari Mekah, tidak ada
seorang pun yang pandai membacanya.
Pada suatu malam, Merah Silau sedang tidur. Dalam tidur baginda bermimpi melihat seorang tua
berjubah datang dan memegang dagunya. Kemudian, orang itu menutup mata baginda dengan
tangannya. Orang dalam mimpi tersebut menyuruh Merah Silau mengucap dua kalimah
syahadah. Merah Silau bertanya kepada lelaki tersebut cara untuk mengucap, lalu lelaki itu

menyuruh Merah Silau membuka mulutnya lantas meludah ke dalam mulutnya. Orang itu
kemudiannya mengisytiharkan bahawa Merah Silau sebagai raja, dan nama barunya ialah Sultan
Malikul Saleh. Orang itu juga berpesan kepada Merah Silau agar hanya memakan makanan yang
halal dan menjauhi makanan yang haram, iaitu memakan binatang yang disembelih sahaja.
Selain itu, orang tua itu juga memberitahu Merah Silau bahawa baginda sekarang berada dalam
syariat agama Isam, iaitu agama Allah. Orang tua itu juga sempat mengingatkan Merah Silau
bahawa dalam masa empat hari sahaja lagi akan sampai sebuah kapal dari Mekah, dan Merah
Silau hendaklah mengikut apa sahaja yang dibawa oleh rombongan tersebut tanpa banyak
bantahan. Merah Silau kemudian dapat tahu bahawa orang lelaki itu ialah Nabi Muhammad
S.A.W. setelah terjaga, Merah Silau merasakan bahawa dirinya sudah dikhatankan. Kesan itu
boleh dilihat nyata pada tubuhnya. Baginda juga sentiasa mengucapkan dua kalimah syahadah
tanpa henti. Kemudian, baginda membaca al-Quran tiga puluh juzuk dengan lancar sehingga
tamat. Semua menteri dan hulu balang merasa hairan mendengar perkataan demi perkataan yang
disebut oleh raja mereka, kerana sebelum ini mereka tidak pernah mendengarnya.
Tidak lama kemudian, rombongan Sheikh Ismail sampai ke Teluk Terli lalu berlabuh di situ.
Fakir Muhammad terjumpa dengan seorang lelaki yang sedang menjala ikan lalu bertanya nama
negeri tersebut dan nama ketuanya. Lelaki itu menjawab bahawa negeri itu ialah Samudera dan
rajanya ialah Merah Silau atau nama islamnya, Malikul Saleh.
Pada keesokan harinya, Syeikh Ismail pun turun ke darat lalu pergi menemui Sultan Malikul
Saleh. Syeikh Ismail meminta Sultan Malikul Saleh mengucap dua kalimah syahadah. Lalu
mengucaplah Sultan Malikul Saleh tanpa sebarang kesalahan. Pada keesokan harinya pula,
Syeikh Ismail bersama fakir Muhammad datang kembali menemui Sultan Malikul Saleh dengan
membawa al-Quran tiga puluh juzuk. Sultan Malikul Saleh membaca al-Quran itu dengan betul
tanpa perlu diajar. Syeikh Ismail dan fakir Muhammad akhirnya bersyukur kerana telah
menemui orang yang diwasiatkan oleh Nabi Muhammad S.A.W.
Syeikh Ismail kemudiannya meminta Sultan Malikul Saleh untuk menghimpunkan segala
hulubalang dan seluruh rakyat yang terdiri daripada semua peringkat umur dan jantina. Setelah
dihimpunkan, mereka diajar mengucap dua kalimah syahadah oleh Syeikh Ismail. Mereka
mengucapkannya dengan penuh keyakinan dan keikhlasan. Oleh sebab itu, negeri Samudera
disebut juga sebagai Negeri Darulsalam. Hal ini kerana, setelah memeluk Islam, negeri itu
berada dalam keadaan yang aman dan sejahtera.
Setelah Sultan Malikul Mahmud mangkat, takhta kerajaan jatuh ke tangan puteranya, Sultan
Ahmad Perumudal Perumal. Sultan Ahmad dirajakan oleh Sultan Malikul Saleh itu sendiri di
Pasai. Sultan Ahmad ini ialah seorang pemerintah yang zalim. Dia sanggup membunuh anaknya
sendiri. Kezalimannya juga diketahui oleh kerajaan Majapahit.
Sultan Ahmad Perumudal Perumal ini sangat menyukai perempuan dan akan mengahwini manamana sahaja perempuan yang baginda inginkan. Oleh sebab itu, baginda mempunyai anak
seramai 30 orang. Lima orang anaknya ialah seibu dan sebapa, iaitu Tun Beraim Bapa, Tun
Abdul Jalil, Tun Abul Fadil, Tun Medam Peria dan Tun Takiah Dara. Anaknya Tun Beraim
Bapa itu merupakan seorang pahlawan yang sangat kuat dan tidak ada bandingnya pada zaman
tersebut. Manakala, Tun Abdul Jalil merupakan seorang lelaki yang sangat kacak rupa parasnya.
Tun Abul Fadil pula seorang anak yang kuat agama dan bijaksana dalam soal keagamaan. Dua

orang anak perempuannya Tun Medam Peria dan Tun Takiah Dara sangat cantik dan tidak ada
tandingannya pada zaman itu.
Kezaliman Sultan Ahmad dapat dilihat apabila baginda berahikan kedua-dua anak kandungnya
sendiri dan memberitahu para pembesarnya bahawa dia ingin mengahwini dua puteri
kandungnya tersebut. Setelah Tun Beraim Bapa mendengar berita tersebut, segera baginda
melarikan kedua-dua adiknya ke Tukas. Apabila Sultan Ahmad mengetahui akan hal tersebut,
baginda sangat marah. Sultan Ahmad bertambah marah apabila mengetahui puteranya bergurau
senda dengan seorang dayang yang cantik bernama Fatimah Lampau. Oleh sebab itu, baginda
kemudiannya merancang untuk membunuh anaknya Tun Beraim Bapa. Pelbagai cara yang
dibuatnya untuk membunuh Tun Beraim Bapa, namun semuanya gagal kerana keperkasaan Tun
Beraim Bapa.
Raja Ahmad kemudiannya menghantarkan makanan beracun kepada Tun Beraim Bapa. Tun
Beraim bapa memberikan makanan tersebut kepada anjing lalu anjing itu pun mati. Baginda
memberikan pula kepada ayam, ayam tersebut juga mati. Oleh sebab Tun Beraim Bapa tidak
mahu menderhaka, maka dia juga turut memakan makanan itu. Lalu gatal-gatal seluruh
tubuhnya. Adik-adik perempuannya juga meninggal dunia kerana memakan makanan itu.
Akhirnya, Tun Beraim Bapa mati dan dikuburkan di Bukit Fudul Allah.
Kezaliman Sultan Ahmad Perumudal Perumal tidak berhenti setakat itu sahaja. Baginda
kemudiannya membunuh puteranya Tun Abdul Jalil. Baginda membunuh anak-anaknya hanya
kerana puteri Majapahit jatuh cinta dengan anaknya. Puteri itu bernama Tuan Puteri
Gemerencang. Puteri Gemerencang jatuh hati setelah melihat gambar Tun Abdul Jalil yang
sangat kacak. Oleh sebab itu, Tuan Puteri Gemerencang pun pergi belayar ke negeri Pasai.
Apabila Sultan Ahmad mengetahui Tuan Puteri Gemercangan ingin datang ke Pasai kerana mahu
berkahwin dengan Tun Abdul Jalil, maka Sultan Ahmad sangat cemburu lalu membunuh
puteranya itu. Apabila Tuan Puteri Gemercangan mendengar berita kematian Tun Abdul Jalil,
dia pun berdoa agar dimatikan oleh Allah. Lalu, kapalnya tenggelam dalam laut Jambu Air,
tempat mayat Tun Abdul Jalil dibuang. Angkatan yang membawa Tuan Puteri Gemercangan
pulang kembali ke benua Jawa. Apabila mendengar berita kematian Tuan Puteri Gemercangan,
Sultan Ahmad berasa sangat menyesal.
Setelah angkatan yang membawa Tuan Puteri Gemercangan sampai ke benua Jawa, mereka
memberitahu akan hal yang berlaku. Oleh sebab itu, maka Sang Nata sebagai raja Majapahit
mengambil keputusan untuk menyerang Pasai. Oleh sebab panglima perang Pasai yang handal,
iaitu Tun Beraim Bapa sudah tiada, maka Pasai pun kalah. Akhirnya, Sultan Ahmad melarikan
diri ke Menduga dengan penuh sesalan. Akhirnya, negeri Pasai berjaya ditawan oleh Majapahit.
Melalui peristiwa-peristiwa di atas, jelas menunjukkan bahawa kezaliman seseorang raja boleh
menyebabkan runtuhnya sesebuah negara.

Anda mungkin juga menyukai