Anda di halaman 1dari 9

Sajak: PERSAHABATAN

( Mohd. Amran Daud )

Seorang kanak-kanak
berbaju kurung nampak cantik
berlesung pipit beralis lentik
bermain-main riang, bermain keseorangan
pada wajahnya meriak gembira
pada bibirnya menguntum ceria
berderai ketawa mengocak suasana.

Seorang kanak-kanak
berpakaian ceongsam bertocang dua
bergincu pipi tampak ceria
tiba-tiba datang menerpa bertegur sapa
menghulur senyum dan ketawa manja
pada wajahnya menyerlah keriangan
mereka bermain alang-kepalang
berkejar-kejaran tanpa halangan.

Seorang kanak-kanak
bersari bergelang kaki
bertindik hidung menguntum seri
melihat saja telatah manja

si comel berdua, bermain, dan ketawa


dirinya bagai digamit bermain bersama
mengongsi kemesraan
menterjemah makna kejiranan.

Ah, kanak-kanak
biar berlainan agama
biar berlainan bangsa
mereka saling bersalaman
dan berpeluk mesra
tanpa menghirau adat dan budaya;
membina keakraban tanpa curiga
membentuk perpaduan tanpa prasangka
bersatu hati membentuk jati diri
ke arah wawasan lebih bererti!

Maksud

Pengajaran

Tema

Sajak
Persahabatan

Nilai

Bentuk

Nada
Gaya
Bahasa

Maksud Sajak Persahabatan

I
Seorang kanak-kanak
berbaju kurung nampak cantik
berlesung pipit beralis lentik
bermain-main riang, bermain keseorangan
pada wajahnya meriak gembira

Persoalan

pada bibirnya menguntum ceria


berderai ketawa mengocak suasana.

Gambaran seorang kanak-kanak berbangsa Melayu yang nampak cantik apabila berbaju
kurung. Mempunyai lesung pipit dan kening yang lentik. Dia sedang bermain-main
keseorangan dalam keadaan keriangan. Di wajahnya menampakkan kegembiraan melalui
sentum dan ketawanya.

II
Seorang kanak-kanak
berpakaian ceongsam bertocang dua
bergincu pipi tampak ceria
tiba-tiba datang menerpa bertegur sapa
menghulur senyum dan ketawa manja
pada wajahnya menyerlah keriangan
mereka bermain alang-kepalang
berkejar-kejaran tanpa halangan.
Gambaran seorang kanak-kanak berbangsa Cina yang mengenakan pakaian cheongsam
dan mempunyai dua tocang pada rambutnya. Wajahnya menampakkan keceriaan.
Kemudian dia datang bertegur sapa dengan kanak-kanak berbangsa Melayu. Dia
menghulurkan senyuman dan ketawa manja yang menyerlahkan keriangannya. Kemudian
mereka bermain dan berkejaran bersama-sama tanpa sesiapa yang menghalang.

III
Seorang kanak-kanak
bersari bergelang kaki

bertindik hidung menguntum seri


melihat saja telatah manja
si comel berdua, bermain, dan ketawa
dirinya bagai digamit bermain bersama
mengongsi kemesraan
menterjemah makna kejiranan.

Gambaran seorang kanak-kanak berbangsa India yang mengenakan pakaian sari,


bergelang dan bertindik hidung. Apabila dia melihat keriangan kanak-kanak berbangsa
Melayu dan Cina itu bermain bersama-sama maka timbul rasa di hatinya untuk bermain
bersama-sama dan berkongsi kemesraan.

IV
Ah, kanak-kanak
biar berlainan agama
biar berlainan bangsa
mereka saling bersalaman
dan berpeluk mesra
tanpa menghirau adat dan budaya;
membina keakraban tanpa curiga
membentuk perpaduan tanpa prasangka
bersatu hati membentuk jati diri
ke arah wawasan lebih bererti!

Kanak-kanak yang berlainan agama dan bangsa itu saling bersalaman dan berpeluk mesra.
Mereka tidak menghiraukan perbezaan adat dan budaya yang wujud antara mereka. Mereka

telah membina hubungan baik antara satu sama lain tanpa rasa curiga. Wujudnya
perpaduan dalam kalangan mereka tanpa rasa prasangka. Mereka telah bersatu hati
membentuk jati diri bagi merealisasikan wawasan negara agar lebih bererti.

Tema:

Sajak ini mengemukakan tema tentang perpaduan antara kaum - masyarakat berbilang
kaum perlulah bekerjasama antara satu sama lain bagi mewujudkan perpaduan.

Persoalan:

1. Persoalan hubungan persahabatan yang wujud tanpa mengira kaum dan agama.
2. Persoalan keakraban dan perpaduan dapat dicapai tanpa wujudnya rasa sangsi atau
curiga antara satu sama lain.
3. Persoalan kemesraan dalam perhubungan contohnya kanak-kanak pelbagai kaum
bermain bersama-sama dengan riang dan gembira.
4. Persoalan sikap ramah mesra tanpa batasan kaum iaitu kanak-kanak berbangsa
Melayu terhadap kanak-kanak berbangsa lain untuk bermain bersama-sama.

Nada:
Sajak ini bernada patriotik

Gaya Bahasa:
1. Kata ganda

kanak-kanak/ bermain-main/ berkejar-kejaran.

2. Pesonifikasi

pipi tampak ceria bergincu

3. Inversi

bertindik hidung menguntum senyum

4. Simile

Dirinya bagai digamit bermain bersama.

5. Anafora

pada wajahnya meriak gembira

pada bibirnya menguntum ceria

6. Asonansi

melihat saja telatah manja ( Pengulangan vokal 'a' )

7. Aliterasi

menterjemah makna kejiranan ( Pengulangan konsonan 'n' )

Bentuk:
1. Sajak ini terdiri daripada empat rangkap
2. Jumlah baris adalah bebas. Contoh: R1 - 7b, R2 - 8b, R3 - 8b dan R4 -ada sepuluh
baris.
3. Jumlah perkataan antara tiga hingga enam patah kata sebaris.
4. Jumlah suku kata antara lima hingga lima belas suku kata sebaris.
5. Rima akhir bebas.

Nilai:
1. Nilai perpaduan

Contoh: Masyarakat perlulah bersatu padu antara satu sama lain untuk menjayakan
wawasan negara.

2. Nilai keakraban.

Nilai keakraban dalam hubungan persahabatan ini dapat dilihat kepada telatah
kanak-kanak pelbagai kaum menjalin hubungan persahabatan tanpa timbul rasa
curiga.

Pengajaran:
1. Kita hendaklah menjalinkan hubungan persahabatan tanpa mengira kaum atau
agama.
2. Kita janganlah menyimpan perasaan curiga atau prasangka antara satu sama lain.
3. Masyarakat perlulah bersatu padu antara satu sama lain bagi menjayakan wawasan
negara.

Tugasan 3

Anda mungkin juga menyukai