Anda di halaman 1dari 1

GAYA HIDUP SIHAT

Setiap orang yang hidup di dunia ini mempunyai gaya hidup yang tersendiri kerana
manusia dibesarkan dan dididik dalam keadaan berlainan oleh orang yang berbeza. Ada
yang hidup dalam keadaan yang selesa dan sempurna, dan ada pula di sebaliknya. Jika
kita perhatikan manusia di sekeliling kita, kita akan nampak pelbagai gaya hidup. Ada
yang sihat, dan kurang sihat pada pandangan kita.
Gaya hidup yang sihat membawa kebaikan kepada kita kerana jika kita mengamalkannya
sepanjang masa, hidup kita akan menjadi lebih bahagia dan gembira. Antara gaya
hidup yang baik kepada kita ialah mengelakkan perbuatan yang memudaratkan diri
sendiri dan mendatangkan penyakit seperti merokok, minum arak dan mengambil dadah
sama ada dalam dos yang sedikit atau banyak.
Selain daripada itu, kita harus memberi perhatian kepada pemakanan kita kerana
pemakanan yang baik boleh membekalkan vitamin dan mineral untuk menguatkan
pertahanan tubuh kita. Makanan yang tidak berkhasiat walaupun enak dimakan seperti
makanan segera dan daging bergoreng hendaklah dikurangkan. Buah-buahan, sayursayuran dan daging putih bolehlah disenaraikan sebagai makanan yang baik.
Di samping itu, orang yang gaya hidupnya sihat akan prihatin terhadap masa rehat
dan masa tidurnya. Tempoh tidur yang cukup iaitu antara enam hingga lapan jam akan
memberi peluang kepada tubuh kita untuk membina sel-sel baru. Proses metabolisme
dapat dijalankan dengan lancar. Tambahan pula, berehat daripada sebarang pekerjaan
pula dapat mengurangkan tekanan dan menenangkan tubuh. Pada masa yang sama, kita
boleh melakukan senanam ringan.
Gaya hidup yang sihat juga termasuklah cara pergaulan kita dengan manusia di
sekeliling kita. Setiap manusia memerlukan kawan, namun untuk berkawan kita
hendaklah pandai memilih kawan. Hal ini dapat mengelakkan kita daripada terpengaruh
dan terjerumus dalam perkara yang tidak sihat seperti terlibat dalam jenayah atau
penyalahgunaan dadah. Kawan yang bersikap baik pula dapat kita jadikan sebagai tempat
meluahkan perasaan dan berbincang tentang masa depan.
Seterusnya, kita harus sentiasa berfikiran optimis tentang diri kita dan masa
depan kita. Apabila usaha yang kita buat bertemu kegagalan, janganlah mudah
mengaku kalah. Apabila kita berdepan dengan masalah, janganlah mudah hilang akal.
Kita hendaklah sentiasa ingat bahawa setiap masalah ada penyelesaiannya. Kita patut
yakin bahawa setiap kejadian yang berlaku kepada kita ada hikmahnya.
Selain itu, kebersihan dari segi mental, fizikal dan persekitaran hendaklah
sentiasa dijaga. Mental kita boleh dibersihkan melalui amalan ajaran agama yang baik.
Perkara yang boleh merosakkan mental seperti laman lucah hendaklah dielakkan. Mandi,
memakai pakaian bersih, dan mencuci tangan pula adalah antara cara menjaga
kebersihan fizikal. Kebersihan rumah, halaman rumah dan alam sekitar juga hendaklah
dijaga.
Sesungguhnya terdapat banyak perkara yang perlu kita berikan perhatian untuk
hidup dalam keadaan yang sihat. Hampir kesemua perkara tersebut berpunca daripada
diri kita sendiri. Kita adalah orang yang bertanggung jawab menentukan gaya hidup kita
dan bukannya orang lain. Oleh itu, marilah kita sama-sama mengamalkan gaya hidup
yang sihat.

Anda mungkin juga menyukai